Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Sunday, July 22, 2012

Pembohongan Ketua Pemuda PAS Nasruddin Tantawi kerana mendakwa Karpal Singh dan DAP menerima Hukum Hudud di Malaysia


Kenyataan Nasrudin yang menyatakan bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh akan berkompromi berkenaan perlaksanaan hudud di negara ini sekiranya Pakatan Haram berjaya menjajah Putrajaya.

Berani betul Ketua Dewan Pemuda PAS itu “goreng” mempergunakan nama Karpal Singh? Berkenaan dengan hudud pula!

Dia kenal sangatkah dan sudah berkawan lamakah dengan Karpal sehingga menjangka Pengerusi DAP itu akan mendengar kemahuan dan cakap PAS…



Video penuh debat UFB dengan Ketua Pemuda PAS




Friday, July 20, 2012

Kisah 3 Tok Guru PAS - "Kami keluar Pas sebab nak masuk Umno"

BEBERAPA artis dan bekas pegawai kanan kerajaan yang masuk Pas bukan sahaja mendapat liputan meluas dalam Harakah dan blog, malah diarak dan dijaja ke sana ke mari untuk berceramah. Ada yang jadi ustaz segera. Mereka diraikan sebagai orang yang ingin mencari kebenaran agama.

Di negara ini, sesiapa mahu masuk parti apa pun tidak jadi hal kerana ini negara demokrasi. Sebagaimana warganegara lain, artis juga mempunyai hak.

Dalam kalangan artis, lebih ramai yang masuk Umno seperti Afdlin Shauki, Amy Search, Awie, Mus May, Harun Salim Bachik, Ibnor Riza, Zed Zaidi dan Erma Fatima. Antara penyokong kuat Umno ialah Datuk Siti Nurhaliza. Manakala Datuk Jins Shamsuddin bukan sahaja ahli Umno yang setia tetapi juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara.

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir dan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Fauzi Abdul Rahman adalah antara pemimpin yang bertindak keluar Umno. Ini juga tidak memberi sebarang impak dalam hati rakyat.

Saya teringat kes seorang bekas Menteri Kabinet pada zaman Tunku Abdul Rahman yang menjadi renggang hubungan keduanya kerana beberapa kali bertindak di luar pengetahuan Kabinet. Selepas tidak lagi berada dalam kerajaan, beliau mula memburuk-burukkan parti dan kerajaan termasuk mendakwa Perikatan sebagai patung imperialis.

Nasihat Tunku kepada ahli Umno ketika itu: “Kita semua mesti berjaga-jaga dan mengawasi orang seperti ini kerana dalam tiap-tiap satu zaman, dalam tiap-tiap satu pemerintahan itu, sentiasalah terdapat pengkhianat seperti ini.” (25 Ogos 1963).

Pengalaman dan nasihat Tunku masih relevan sampai ke hari ini. Namun, dalam sejarah Umno, belum ada tokoh kanan yang masuk Pas. Tapi kalangan pemimpin Pas, begitu ramai tokoh kanannya masuk Umno, termasuk Ahli Dewan Ulama Datuk Ghazali Ahmad, Prof Datuk Dr Mohd Noor Deris, Setiausaha Agung Datuk Nakhaie Ahmad dan Presiden Pas sendiri, Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda.

Tan Sri Sanusi Junid pernah bercerita: Pada suatu pagi Khamis 1962, Dewan Ulama Pas berbincang di rumah Menteri Besar Kelantan sama ada kerjasama Umno dengan MCA dan MIC sah di sisi Islam. Antara yang hadir termasuk Setiausahanya, Tok Guru Haji Mat Nor Teliar, penolongnya Tok Guru Haji Mat Nor Selising dan Tok Guru Haji Umar Daud.

Asri bertanya kepada Mat Nor: “Boleh tak Umno bekerjasama dengan kafir MCA dan MIC?” Mat Nor bertanya balik: “Apakah kerjasama itu untuk keamanan?” Maka pemimpin Pas menjawab: “Umno nak jual bangsa, nak jual agama, bukan kerana keamanan.” Dengan itu, Dewan Ulama Pas pun berfatwa, ahli Umno kafir. Majlis Raja-Raja Melayu mengharamkan fatwa itu tetapi kesan pengkafiran itu telah menular walaupun Umno dan Perikatan memenangi Pilihan Raya Umum 1965.

Setelah Peristiwa 13 Mei, Presiden Umno, Tun Abdul Razak menjemput Asri berunding mengenai keanggotaan Pas dalam Barisan Nasional (BN). Asri sekali lagi berjumpa ketiga-tiga tok guru itu tapi gagal memujuk mereka dan Dewan Ulama supaya menerima Pas masuk BN. Sebaliknya, ketiga-tiga tok guru minta jumpa sendiri dengan Tun Razak. Ketika Asri duduk di luar Seri Perdana, seorang tok guru itu bertanya: “Tun, bekerjasama dengan kafir MCA dan MIC ni buat gapo?” Tun Razak menjawab: “Kalau tak bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita akan huru-hara dalam negara ini.” Tok Guru menyampuk: “Oh, jadi kerjasama ni untuk keamanan. Adakah dengan kerjasama dengan Cina dan India, orang Islam akan rugi?” Jawab Tun Razak: “Orang Melayu Islam lebih untung kerana yang membayar cukai bukan Melayu. Kita buat jalan luar bandar, kita buat rancangan Felda, kita buat masjid dan pelbagai lagi dengan menggunakan hasil cukai orang bukan Islam.”

Justeru, mereka beritahu Tun Razak: “Tun, kami akan bawa balik ke Kelantan dan kami akan beri fatwa bahawa Pas boleh masuk BN. Kami bertiga akan keluar Pas setelah Pas masuk BN.” Tun Razak mengeluh: “Tak sempurnalah Pas masuk Barisan kalau tok guru semua keluar Pas.” Jawab mereka: “Kami keluar Pas sebab nak masuk Umno.”

Moralnya: Walau terpelajar setinggi mana pun seseorang itu dalam bidang agama, namun ada yang dia tidak tahu. Maka, fatwa pengkafiran dibuat pada 1962. Tiga ulama telah mengkafirkan Umno kerana diberi maklumat tidak betul. Tapi akhirnya, dengan kehendak ALLAH, mereka semuanya masuk Umno.

Umar menjadi guru agama Kemas manakala Mat Nor Teliar dan Mat Nor Selising pernah jadi penasihat Umno. Sebelum masuk ke satu-satu parti, ambillah pedoman daripada kisah ini, selain pengalaman Naib Presiden Pas, Datuk Dr Hassan Ali, bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Ustaz Hassan Basri dan Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad.

Ingatlah, Pas hanya sebuah parti politik, bukan jalan mudah untuk masuk syurga.

Oleh : Dr. Mashitah Ibrahim - "Masuk parti bukan jaminan ke syurga"

Saturday, July 14, 2012

Pas meruntuhkan institusi keluarga Muslims

BERITA guru al-Quran, Che Hasnah Che Ahmad, 61, diceraikan suaminya, Yahaya Ibrahim, 78, dikatakan akibat perbezaan politik menggemparkan banyak pihak.

Che Hasnah, guru agama di Kampung Chabang Tiga, Chetok, Pasir Mas, diceraikan suami dengan talak satu di Mahkamah Majistret Pasir Mas Rabu lalu kerana dianggap sesat disebabkan tidak menyokong Pas.

Yahaya kemudian menafikan menceraikan isterinya itu disebabkan perbezaan politik sebaliknya mendakwa Che Hasnah sesat akibat tidak mengamalkan ajaran Islam, malah bersedia rujuk kembali sekiranya Che Hasnah kembali kepada ajaran Islam.

Dakwaan Yahaya itu disanggah Che Hasnah yang turut menolak kesediaan suaminya untuk rujuk kembali.

Ikuti penjelasan Che Hasnah kepada wartawan Utusan Malaysia, YULPISMAN ASLI dan jurugambar ROSNI MASRI di rumahnya semalam mengenai kemelut yang berlaku dan kesediaannya untuk hidup bersendirian selepas ini tanpa suami.



UTUSAN: Boleh beritahu apa sebenarnya yang berlaku?

CHE HASNAH: Bekas suami kuat (taksub) kepada parti Pas. Saya ini asal-asal lagi Barisan Nasional (BN), dia asal Pas. Tetapi jodoh dengan dia, tak mengapa. Selama kenal tak ada apa-apa, kalau dia cakap pasal parti Pas saya senyap, begitu sebaliknya.

Tetapi akhir-akhir ini, dia mungkin dihasut rakan-rakannya dalam Pas. Dua, tiga hari sebelum bercerai dia nampak lain, selepas itu, dia kata awak nak ikut parti saya tak? Kalau tak nak ikut, saya tinggalkan awak. Saya beritahu saya ahli UMNO.

Dia kata tak apalah, dia pun balik ke rumah anaknya. Barang-barangnya di rumah ini pun diminta supaya cucunya datang ambil.

Sebelum ini, saya hadir ke program Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dia tidak kisah. Dia tidak marah, senyap sahaja. Tetapi akhir-akhir ini berbeza.

Kenapa tidak ikut permintaan bekas suami supaya sertai Pas?

Saya tak mahu sebab Pas banyak kerenah. Tengok, apa yang Pas buat untuk bantu orang Melayu, tetapi Pas tolong orang Cina. Sekarang di Kelantan, orang Cina yang banyak Pas bantu. Sekarang Nik Aziz (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) banyak beri tanah kepada orang Cina. Sekarang Pas pentingkan orang Cina, tidak pentingkan orang Melayu lebih-lebih lagi orang UMNO.

Bukankah Pas dakwa perjuangkan Islam?

Itu Pas kata, tetapi sebenarnya tidak begitu. Tengok apa yang terjadi, bercerai-berai kerana dasar Pas, kalau dasar UMNO tidak begitu. UMNO satukan orang Melayu dan Islam. Kita pun tahu juga, sebab kita tengok berita di televisyen, tetapi bekas suami tidak tengok berita di televisyen dan surat khabar, yang dia baca hanya Harakah.

Selama 14 tahun kami boleh bersama, tak berbalah, tetapi hanya kebelakangan ini sejak kerap pergi dengar ceramah Pas termasuk di Pejabat Penerangan Pas Kelantan. Mungkin waktu itu dia kena hasut.

Awal perkahwinan dahulu tak ada masalah?

Tak ada masalah, dia baik sangat. Tetapi sekarang sebab parti kami bercerai-berai. Masa mula ambil borang cerai, mahkamah tanya sebab mahu bercerai, dia kata kami tak sehaluan. Semasa depan hakim, dia kata mahu bercerai dan saya pula setuju. Dia pun lafaz cerai.

Bagaimana perasaan ketika itu?

Tidak rasa apa-apa. Dia selalu anggap parti dia lebih Islam dan menjamin syurga. Tetapi pada saya tidak. Kalau amalan baik, parti mana-mana pun Tuhan akan tilik hati kita, kalau baik bolehlah masuk syurga itu pun dengan rahmat Allah.

Sepanjang 14 tahun, macam mana pegangan bekas suami terhadap partinya?

Kuat, kalau sembahyang orang BN dia tak ikut. Sebelum nikah, orang BN meninggal dunia dia tak pergi, lepas bernikah saya kata tak boleh, sekampung kena pergi.

Kalau pergi ke program UMNO, bekas suami ada ikut sama?

Dia tak pergi, tetapi dia tak larang saya hadir program itu.

Macam mana boleh timbul mahu bercerai?

Cerai kerana saya tak ikut parti dia, mungkin kerana dia kena hasut.

Bekas suami kata sedia rujuk semula dengan bersyarat?

Saya tak mahu rujuk, elok seorang sahaja sekarang. Dia hendak beri syarat supaya saya ikut parti dia, saya tak mahu. Saya tak mahu masalah berulang lagi. UMNO pejuang Islam sebenar, yang tolong dan bela orang Melayu.

Bekas suami selalu ke ceramah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Ya, sebab itulah jadi macam itu, tak tahu apa yang Nik Abdul Aziz beritahu.

Apa perancangan selepas ini?

Tak ada apa, mengajar al-Quran sahaja, mula pukul 3 petang, berhenti solat Asar dan sambung lagi sampai pukul 7 petang.

Sedih dengan apa yang berlaku?

Sedih kerana ia berlaku disebabkan parti. Masalah ini berlaku bukan kerana apa, tetapi kerana parti. Dasar Islam apa dalam Pas, saya pun tak tahu. Masalah ini tidak akan berlaku dalam UMNO kerana UMNO satukan orang Melayu. Saya terkilan kerana dia tak sedar-sedar dan tetap menganggap hanya partinya yang Islam.

Wednesday, July 11, 2012

Anwar Ibrahim dan UMNO – Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO tidak lama selepas saya jadi Perdana Menteri pada 1981. Saya terkejut juga apabila dapat tahu beliau mahu menyertai UMNO memandangkan pembabitannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)(1*) dan kenyataan-kenyataan awamnya jelas menjadikan beliau sekutu semula jadi PAS.

Bagaimanapun saya fikir, tentulah lebih menguntungkan beliau jika menyertai UMNO kerana beliau tidak akan dapat mara dalam politik selagi berada di luar UMNO. Besar kemungkinan beliau akan selama-lamanya terumbang-ambing dalam politik pembangkang dan ini tentulah bukan apa yang dikehendakinya.

Saya juga berpendapat beliau berguna kepada UMNO. Bagi saya, parti lebih penting dan sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada parti, walaupun orang itu tidak sependapat dengan saya, saya tidak akan halang kemasukannya.

Umum beranggapan UMNO yang mengambil langkah pertama membawa masuk Anwar, tetapi itu tidak benar. Bagi tempoh masa yang lama, UMNO telah menjadi parti yang besar dan berjaya. Ia tidak perlu bersusah-payah mencari ahli. Waktu itu, menyertai UMNO adalah satu keistimewaan. Dalam tempoh beberapa bulan, sebilangan orang telah datang memberitahu saya yang Anwar berminat untuk sertai UMNO. Jadi saya pun bersetuju menemui beliau.

Pertemuan pertama kami berlangsung di pejabat saya. Itulah interaksi sebenar yang pertama antara kami tanpa kehadiran orang lain. Beliau nampak begitu berminat untuk menyertai UMNO, jadi beliau sedia bertolak-ansur dan tidak memperlihatkan tindak-tanduk yang boleh menyebabkan hasratnya ditolak.

Apabila saya bertanya mengapa beliau mahu menjadi sebahagian daripada UMNO, beliau berkata yang beliau kini bersetuju dengan perjuangan UMNO. Beliau mengaku kepimpinan ABIM agak kritikal dengan keputusannya dan mereka juga hendak tahu mengapa beliau mahu sertai UMNO.

Beliau memberitahu mereka yang beliau mahu mengubah UMNO supaya sependapat dengan ABIM dan mempengaruhi Kerajaan dari dalam.

Menurut Anwar, agenda beliau adalah mahu mengubah Kerajaan menjadi Kerajaan Islam dan dengan itu, menyertai UMNO adalah cara paling berkesan untuk melakukannya.

Pada masa itu pun beliau sudah menunjukkan kepintarannya. Beliau berjaya menyakinkan ABIM dan membuat peralihan tanpa memutuskan hubungan dengan pergerakan itu. Bahkan kemudiannya saya mendapati beliau boleh menyakinkan pihak yang bertelingkah dengannya bahawa beliau bersetuju dengan mereka semua.

Rancangan beliau untuk mengubah UMNO dari dalam tidak membimbangkan saya sebab saya yakin saya boleh menangani beliau. Lagi pun saya berpendapat, kalau beliau sertai PAS tentu beliau boleh menang pilihan raya dan ini mungkin akan membantu menarik keluar ahli UMNO daripada parti.

Dalam erti kata lain, besar kemungkinan beliau akan jadi duri dalam daging jika berada di luar UMNO. Ciri positif penyertaan beliau dalam UMNO boleh dilihat dari sudut seorang pemimpin muda yang memiliki ramai pengikut, maka sudah tentu beliau mempunyai banyak kenalan di kalangan pemimpin belia seluruh dunia.

Bentuk Islam yang diperjuangkannya tidak mengasingkan beliau daripada pemimpin belia bukan Islam manakala pemimpin belia Islam dan aktivis Islam yang lain menganggap beliau seorang pemimpin besar Islam.

Sebagai pemimpin ABIM, beliau mempunyai pengikut yang ramai dan ini boleh memberi kelebihan kepada UMNO. Di kalangan pergerakan Islam Malaysia, ABIM memang luar biasa. Ia cergas membantu belia Islam menimba ilmu, menyebarkan ajaran Islam dan membuat kerja-kerja kebajikan.

Walaupun ABIM tidak rapat dengan UMNO atau kerajaan pimpinan UMNO, ia pula tidak menampakkan sifat melampau. Penyertaan Anwar dalam UMNO mungkin dapat melembutkan pendirian ABIM terhadap kerajaan atau setidak-tidaknya menumpulkannya sedikit.

Dengan imej Islamnya, saya berharap Anwar akan memperkukuhkan kewibawaan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan Islam. Setelah saya putuskan untuk menerima keahlian beliau dan mendapati tidak ada bantahan kuat daripada rakan-rakan, maka saya pun mengaturkan supaya beliau menandatangani borang keanggotaan di pejabat saya.

Anwar secara rasmi menyertai UMNO pada 1982. Saya adakan satu sidang akhbar di pejabat saya bagi mengumumkan hal itu dengan dihadiri oleh Anwar sendiri. Tindakan saya menggunakan premis kerajaan untuk urusan parti dikecam oleh Tan Sri Tan Chee Khoon, bekas pemimpin Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS) (2*).

Tan terkenal di seluruh negara sebagai Mr Opposition (Tuan Pembangkang). Saya membalas dengan mengatakan bahawa ia akan dilihat sebagai satu lakonan kalau saya keluar dari pejabat bagi urusan menandatangani surat penyertaan itu dan kemudian balik semula ke pejabat untuk menemui Anwar seperti yang lazim saya lakukan dengan semua tetamu, tidak kira orang politik atau bukan politik.

Saya kenal bapa Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, seorang penyokong kuat UMNO yang menjadi Ahli Parlimen bersama-sama saya di antara tahun 1964 dan 1969. Dengan itu saya berpendapat tentulah di dalam hatinya, Anwar juga orang UMNO. Malah beliau menjadi penyokong saya sewaktu saya berselisih faham dengan Tunku sekitar tahun 1969-1970.

Anwar juga mempunyai ciri-ciri yang boleh menyumbang ke arah memperbaiki kedudukan UMNO di kalangan cendekiawan. Beliau banyak membaca dan boleh memetik kata-kata hikmat ramai ahli falsafah dan pemikir, daripada Sun Tzu kepada Malik Bennabi.

Pencapaian bahasa Melayu beliau cemerlang dan gemar menggunakan bahasa sastera dalam ucapan-ucapannya. Walaupun ramai yang terpaksa merujuk kamus kerana istilah-istilah yang digunakannya, gaya beliau berucap tetap mengagumkan mereka.

Beliau juga boleh bergaul baik dengan ahli akademik di dalam dan luar negara. Saya benar-benar percaya beliau akan menjadi aset kepada parti, jadi saya cenderung untuk memberi sokongan saya kepada beliau.

Sesetengah ahli UMNO bagaimanapun bimbang dan berasa terancam oleh Anwar. Ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri, golongan ini telah bekerja keras menentang kegiatan antikerajaan Anwar. Kumpulan yang tidak sukakan Anwar itu dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan antara anggotanya ialah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Setiausaha Politik saya yang kemudiannya dilantik menjadi Menteri. (3*)

Saya tidak fikir Aziz menerima hakikat kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Bahkan kedua-dua Tun Abdullah dan Aziz berpendapat tindak-tanduk dan kata-kata Anwar hanyalah satu lakonan. Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmud, yang kemudiannya menjadi bapa mertua Anwar, juga adalah antara orang yang menentang keras terhadap beliau.

Pada masa itu, Wan Ismail bekerja dengan sebuah unit perang saraf dan menjadi seorang penyokong kuat Kerajaan. Apabila saya mendapat tahu yang beliau membantah Anwar mengahwini anaknya, Dr Wan Azizah, saya memujuk beliau agar berlembut. Ini berlaku sebelum Anwar menyertai UMNO.


Petanda tidak baik yang pertama mengenai Anwar muncul apabila saya membentuk Kabinet pada 1982 dan melantik beliau sebagai Timbalan Menteri. Beliau datang berjumpa saya bagi menyatakan kehampaan kerana tidak dilantik menjadi Menteri penuh. Saya tergamam. Saya kata: “Ada ramai lagi orang yang lebih kanan daripada awak. Bagaimana saya hendak melantik awak?”.

Saya juga memberitahunya belum pernah sesiapa yang menjadi pengkritik kerajaan diangkat sebagai anggota penuh Kabinet dalam masa yang singkat. Lagipun, beliau baru sahaja menyertai UMNO. Anggota kanan Kabinet tentu tersinggung kalau beliau terlalu cepat dinaikkan pangkat menjadi Menteri penuh. Saya sudah pun memberi beliau jawatan yang tinggi dengan melantiknya menjadi Timbalan Menteri.

Jadi, tindakan beliau merungut mengenainya adalah tidak wajar dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa itu saya tidak sedar betapa tingginya cita-cita beliau. Mungkin saya sepatutnya berhati-hati sejak saat itu lagi mengenai cita-cita beliau dan kemarahannya yang amat sangat apabila rancangannya dihampakan.

Satu lagi bukti tentang cita-cita Anwar yang tinggi dapat dilihat pada pemilihan UMNO 1982 apabila beliau memutuskan untuk bertanding jawatan tertinggi Pemuda.

Ketua Pemuda waktu itu, Datuk Suhaimi Kamaruddin suka memegang lama jawatan yang disandangnya dalam mana-mana pertubuhan yang diketuainya. Misalnya, sewaktu memimpin Gerakan Belia 4B Malaysia (4*) beliau sentiasa mengubah peraturan supaya boleh terus memimpin.

Saya menyokong usaha Anwar itu, tetapi Suhaimi menolak cadangan mengundurkan diri untuk Anwar. Akibatnya, hubungan saya dengan Suhaimi jadi agak tegang. Beliau tetap berkeras mahu menentang Anwar. Suhaimi kalah dan berasa amat marah. Pada 1987, beliau menyokong Tengku Razaleigh mencabar kepimpinan saya. Hal ini akan saya ceritakan kemudian.

Mulai saat itu, cita-cita Anwar yang tidak kenal sempadan semakin jelas. Beliau mahu mara dalam hieraki UMNO secepat mungkin, seolah-olah itu sahajalah matlamat beliau menyertai UMNO.

Saya segera menyedari hal ini, tetapi tidak mengambil sebarang langkah untuk menghalang kerana saya tahu beliau mempunyai sifat seorang pemimpin yang baik. Lagipun, elok juga kalau ada seorang yang boleh diharapkan dalam barisan kepimpinan untuk bersedia mengambil alih tempat saya.

Bagaimanapun, menjadi Ketua Pemuda UMNO tidak memberi kepuasan yang lama kepada Anwar. Beliau mahu menjadi Naib Presiden yang dipilih pula. Sebagai Ketua Pemuda, beliau secara automatik adalah Naib Presiden sebagaimana ketua-ketua sayap UMNO yang lain kecuali Puteri UMNO kerana baru ditubuhkan.

Saya dapat tahu hasrat Anwar untuk bertanding jawatan Naib Presiden daripada Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang ketika itu adalah seorang Timbalan Menteri. Saya beritahu Megat bahawa Anwar sepatutnya berpuas hati dengan kedudukannya dan bagi peluang orang lain untuk naik.

Bagaimanapun akhirnya, disebabkan Anwar begitu mendesak, saya biarkan juga beliau bertanding. Mengapa saya sokong beliau? Mengapa saya tidak sekat beliau daripada bertanding? Sebenarnya saya tidak menyokong beliau, tetapi saya juga tidak menghalang. Apakah ada cara bagi saya untuk berkata jangan bertanding?

Sesetengah orang mungkin menganggap bahawa kebenaran yang saya berikan kepada Anwar untuk bertanding menandakan saya menyokongnya. Tidak sama sekali. Ia bukanlah sokongan cuma saya tidak ada sebarang alasan untuk menyekat hasrat beliau.

Namun saya ada beritahu Megat bahawa pada pendapat saya, langkah Anwar itu tidak patut dan sikap tidak sabar beliau jelas kurang sopan. Bagaimanapun, tindakan beliau itu tidak melanggar parti.

Ada tiga jawatan Naib Presiden yang dipilih di dalam UMNO. Ia adalah jawatan paling kanan selepas Presiden dan Timbalan Presiden. Mengikut resam, Presiden akan jadi Perdana Menteri dan Timbalan Presiden jadi Timbalan Perdana Menteri.

Disebabkan kedudukan Naib Presiden hanya setapak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, maka pertandingan untuk kerusi itu amat sengit. Inilah peringkatnya penyandang cuba membuktikan kebolehan dan memperkukuhkan kedudukan sebagai bakal pengganti untuk jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya Presiden.

Saya tahu benar betapa sengitnya pertandingan jawatan itu, terutama kalau penyandang tidak bersedia mengundurkan diri untuk mewujudkan kekosongan. Ini kerana saya sendiri pernah bertanding merebut salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden di mana semua tiga penyandang turut bertanding, iaitu pada 1971/1972 dan saya tewas.

Saya tidak pernah bercakap dengan Anwar mengenai hasrat beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Tindakan saya yang tidak melarang atau menggalakkan Anwar daripada bertanding tidak ada kena-mengena dengan sikap saya terhadap beliau. Itu memang cara dan peribadi saya.

Sebagai Presiden UMNO juga, saya jarang cuba mempengaruhi pemilihan parti. Jika saya melibatkan diri, ia adalah dengan matlamat umum dan buka peribadi. Saya memilih untuk tidak campur tangan dalam pertandingan untuk jawatan tertentu parti. Saya tidak suka menyokong seorang yang tewas dan kemudian terpaksa bekerja dengan yang menang.

Namun saya sedar bahawa walaupun saya sendiri tidak peduli sangat hal-hal sebegitu, ramai ahli UMNO menganggap pendirian berkecuali saya sebagai tanda sokongan dan meletakkan nilai yang tinggi kepada etika dan petunjuk lampau tradisi Melayu.

Apa pun, mereka masih melihat sikap gelojoh Anwar untuk naik sebagai tidak wajar sama sekali. Sebahagian sebab Anwar pantas membina asas kuasa dalam parti adalah kerana imej keagamaannya dan apabila beliau menjadi Menteri Pelajaran, beliau berbuat baik dengan guru-guru Melayu dan kesatuan mereka.

Sebelum orang Melayu menonjol dalam sektor perniagaan sekitar 1990-an, guru adalah kumpulan yang mempunyai pengaruh kuat di dalam UMNO dan dianggap sebagai satu blok kuasa yang besar di dalam parti. Mereka juga mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Melayu akar umbi, pengundi di kampung dan Melayu bandar. Mereka memahami sentimen dan aspirasi orang Melayu.

Apabila Anwar hendak mengambil hati dan mendapatkan sokongan, beliau sangat berbudi bahasa dan menawan. Beliau boleh memikat hati orang alim Arab dan berbaik-baik dengan pelampau Yahudi yang anti-Arab. Beliau tidak dilihat sebagai seorang ekstremis Islam.

Bahkan selepas didapati bersalah kerana rasuah dan liwat pada 1999, pun masih ramai orang Islam yang terus mempercayai Anwar. Mereka juga percayakan cerita kejadian itu mengikut versi beliau.

Dalam hubungan ini, jelaslah beliau seorang lelaki yang agak luar biasa. Anwar begitu menyakinkan dan tahu bagaimana memujuk orang ramai agar mempercayai beliau.

Bagi kebanyakan orang Islam, Anwar tampil sebagai seorang yang sangat warak. Sebelum menyertai UMNO, beliau sudah pun membentuk barisan pengikut yang besar di kalangan orang Islam antarabangsa. Saya teringat seorang anggota Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur memandang serong terhadap saya, tetapi mengubah pendiriannya terhadap kepemimpinan saya selepas Anwar menyertai Kerajaan.

Anwar pandai berbaik-baik dengan orang dan tahu bagaimana memenangi sokongan mereka. Beliau banyak mengembara sewaktu menjadi pemimpin belia, menemui orang Afghanistan, Pakistan dan ramai pemimpin belia Islam dan bukan Islam yang terkemuka. Beliau memastikan dapat berjumpa dan berbincang dengan mereka. Beliau adalah segala-galanya kepada semua orang.


Beliau juga berbaik-baik dengan orang seperti Paul Wolfowotiz (5*) yang ketika itu Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika dan penyokong kuat pencerobohan Israel ke atas Palestin dan Iraq.

Anwar juga mesra dengan media antarabangsa melalui paparan imej seorang liberal. Beliau tidak teragak-agak menunjukkan kepada mereka bahawa beliau menentang banyak amalan Kerajaan Malaysia yang beliau sendiri adalah salah seorang anggotanya. Beliau mengumpan mereka dengan janji bahawa keadaan akan berubah sebaik sahaja beliau mengambil alih.

Ramai orang datang memberitahu saya yang beliau sedang berusaha membina populariti peribadi, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli UMNO. Beliau kerap melawat bahagian dan cawangan parti, yang pada pandangan saya adalah perkara biasa. Semua ahli politik cuba mendampingi orang ramai dengan tujuan menjadi popular.

Jadi apabila Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, saya anggap hubungan baik beliau dengan pemimpin bahagian adalah sesuatu yang berguna. Suatu hari nanti, beliau akan mengambil alih kepemimpinan. Apabila ini berlaku, beliau memerlukan orang yang begitu kenali dalam parti untuk membantunya memimpin UMNO dan negara secara lebih berkesan.

Untuk beberapa tahun lamanya, kami mempunyai hubungan peribadi yang baik. Saya menunggang kuda dan beliau pun belajar menunggang kuda, tetapi Anwar terbukti seorang penunggang yang tidak sabar. Sebelum beliau belajar menunggang dengan betul, beliau sudah mula menderap menyebabkannya terjatuh dan hampir patah tengkuk. Beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Kemudian (semasa dibicara atas tuduhan) beliau mendakwa polis mencederakan tengkuknya.

Sebelum beliau jadi Timbalan Perdana Menteri, saya kerap bawa beliau bersama-sama saya dalam lawatan rasmi ke luar negara. Di dalam kapal terbang, kami akan berbual dan berbincang mengenai politik dan agama, dua tajuk yang kami berdua minati. Beliau begitu berpengetahuan dan nampak komited dalam hal-hal agama – mengambil wuduk dan bersolat walaupun di dalam pesawat.

Beliau memikat saya sebagai seorang yang mengagumkan dan warak. Beliau adalah salah seorang penyokong kuat saya dan sering mengucapkan kata-kata yang betul. Tidak syak lagi ada aura istimewa – satu karisma – mengenai beliau dan saya juga mungkin terpengaruh.

Salah satu amalan dalam UMNO adalah bagi Perdana Menteri mengunjungi rumah timbalannya pada petang hari pertama Aidilfitri selepas semua pelawat meninggalkan kediamannya. Kunjung-mengunjungi di kalangan orang Islam bertujuan menghapuskan segala salah faham dan memperbaharui muhibah dan persaudaraan untuk tahun akan datang. Ini adalah amalan orang Islam di mana sahaja dan amat dihargai oleh orang Melayu dan orang Islam Malaysia.

Hubungan di antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sebagaimana yang saya sendiri alami dengan Tun Hussein, adalah sangat kompleks. Jadi amat penting, kepercayaan antara dua pemimpin tertinggi parti dan kerajaan ini diulang tegas.

Bagaimanapun, di antara Anwar dan saya tidak wujud keperluan khusus untuk membina muhibah atau mengubati luka kerana keluarga kami sangat rapat antara satu sama lain. Isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyediakan masakan utara yang saya suka dan beliau dengan Hasmah sangat akrab.

Saya menyenangi Wan Azizah yang mempunyai tarikan tersendiri. Walaupun selepas kami berpecah haluan, saya tidak dapat menganggap beliau sebagai musuh politik atau seseorang yang bergaduh dengan saya. Saya faham keputusan beliau untuk menyokong suaminya.

Anwar juga seorang yang gemar menerima tetamu. Pada bulan puasa, beliau akan menghabiskan banyak hari untuk berbuka dengan ramai orang di rumahnya. Di majlis itu, saya dapati beliau juga menjemput Menteri Besar dari semua negeri.

Saya sendiri tidak pernah melakukannya kerana memikirkan tentulah sukar bagi orang di luar Kuala Lumpur hendak datang hanya kerana jamuan malam yang pendek. Kerajaan yang bayar belanja perjalanan mereka. Namun Anwar tentu merasakan ia adalah satu amalan hubungan awam yang baik dan menguntungkan dari segi politik.

Selepas dapat jawatan Naib Presiden, Anwar masih resah. Matlamat beliau seterusnya ialah jawatan Timbalan Presiden. Beliau tahu Timbalan Presiden akan jadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada masa lalu, Timbalan Presiden jarang dicabar. Cabaran hanya berlaku dalam keadaan luar biasa seperti pada 1987 apabila saya sebagai Perdana Menteri dan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri, telah ditentang. Saya dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah manakala Tun Musa Hitam mencabar Tun Ghafar.

Jadi dengan mencabar Tun Ghafar, Anwar bukan sahaja melanggar tradisi parti, tetapi juga mempamerkan ketidaksabaran beliau untuk sampai ke puncak. Apabila beliau datang menemui saya untuk menyatakan hasratnya itu, saya tegaskan kepadanya bahawa tidak sesuai mencabar Tun Ghafar kerana Tun Ghafar adalah calon saya untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya minta beliau agar tidak bertanding. Buat seketika beliau nampaknya mendengar nasihat saya dan tidak berkempen.

Bagaimanapun apabila saya mengkritik sesetengah pemimpin UMNO Terengganu kerana kekal terlalu lama dalam jawatan dan tidak memberi peluang kepada golongan muda, beliau menakrifkan hujah saya itu sebagai bermaksud bahawa saya mahu pemimpin yang lebih tua seperti Tun Ghafar berundur.

Anwar anggap cabaran beliau terhadap Tun Ghafar adalah sejajar dengan pandangan saya. Jadi tanpa meminta kebenaran saya, beliau memulakan kempennya.

Saya tidak tahu macam mana Anwar melakukannya, tetapi lebih daripada dua pertiga bahagian mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Malah bahagian-bahagian yang memang diketahui penyokong kuat Tun Ghafar pun tidak mencalonkan Tun Ghafar dan jelaslah beliau akan kalah.

Melihat keadaan yang tidak memberi harapan kepada beliau maka Tun Ghafar memilih untuk mengundurkan diri dan Anwar menang tanpa dicabar.

Saya tidak mahu menggugurkan Tun Ghafar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi apakah alasan kalau saya tidak melantik Timbalan Presiden baru UMNO ke jawatan itu?

Saya sentiasa menimbang dan mengikut kehendak UMNO. Misalnya, pada 1993 apabila parti memilih Tun Abdullah sebagai salah seorang Naib Presiden, saya bawa beliau balik semula ke dalam Kabinet walaupun beliau menyokong Tengku Razaleigh menentang saya pada pemilihan 1987.

Kemudian saya diberitahu yang Anwar sedang giat mencari sokongan untuk dirinya di kalangan bahagian UMNO dan pada masa yang sama menggesa mereka mengkritik saya. Itu pun saya tidak peduli. Saya beritahu diri sendiri, tidak mengapalah Anwar buat begitu sebab beliau pun akan menjadi Perdana Menteri menggantikan saya.

Saya mahu mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan beliau, jadi saya bersedia mengetepikan sikap tidak sabar beliau berhubung persaraan saya.

Adalah sukar untuk menyalahkan ahli politik kerana bercita-cita besar, bekerja kuat dan berpandangan jauh. Mungkin masyarakat Melayu sekarang memerlukan pemimpin seperti beliau dan lagi ramai lagi baik. Kita sudah jauh meninggalkan zaman ramah mesra Tunku yang amat membimbangkan saya sekitar lewat 1960-an. Mungkin itu ada baiknya, dan pendekatan agresif Anwar adalah manifestasi politik baru orang Melayu.


Dengan peningkatannya yang pantas dalam UMNO, Anwar sudah tentulah menjadi ancaman kepada kepemimpinan Tun Abdullah di dalam UMNO Pulau Pinang. Kebimbangan Tun Abdullah itu menjadi kenyataan apabila Anwar menjadi Timbalan Persiden dan menggantikan Tun Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar segera mengambil alih jawatan Tun Abdullah sebagai ketua perhubungan UMNO dan Barisan Nasional Pulau Pinang.


Masa berlalu dan saya dapati kecaman Anwar terhadap Kerajaan, terutama berkaitan dakwaan kronisme menjadi semakin terbuka. Beliau bercakap mengenai apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan amanah rakyat dan dengan menyusun kata-kata sebegitu rupa, beliau memberi gambaran saya terbabit.

Secara prinsipnya beliau mengutuk kronisme dan ini sangat saya alu-alukan, tetapi kata-kata beliau itu ibarat gergaji bermata dua. Retorik beliau adalah mainan moral – beliau adalah baik dan sesiapa sahaja yang ditendangnya adalah jahat.

Apabila beliau bercakap lantang menentang kronisme di peringkat atas, kepada siapakah beliau tujukan kata-kata itu kalau bukan kepada saya? Di atas adalah saya dan beliau, tidak ada orang lain lagi.

Lagipun dengan mengutuk kronisme, beliau cuba memberi gambaran yang beliau sendiri tidak terlibat. Ia adalah strategi yang baik bagi mengalih pandangan daripada kronisme beliau sendiri.


Ahli kanan UMNO memberi amaran kepada saya bahawa Anwar sedang merancang sesuatu yang tidak baik dan beliau tidak setia kepada parti. Selepas menyingkirkan Tun Ghafar, kata mereka, sasaran Anwar yang berikutnya adalah saya. Namun saya tidak bimbang. Saya tidak fikir beliau akan berjaya dan saya amat yakin dengan kedudukan saya.

Walaupun keadaan sudah menjadi tidak ‘selesa’ lagi, saya fikir saya boleh menanganinya. Saya tidak percaya beliau boleh mendapat cukup sokongan kalau menentang saya. Sekalipun saya masih anggap Anwar sebagai seorang pemimpin yang berkesan, saya rasa hasrat beliau untuk menyingkirkan saya terlalu tergesa-gesa.

Bagaimanapun, dengan keyakinan teguh terhadap diri sendiri dan jalan yang saya pilih telah membolehkan saya menerima sebarang perbezaan pendapat dengan orang yang berfikir dan bertindak berlainan daripada saya. Mungkin saya terlalu yakin, tetapi bagi saya adalah penting semua pihak yang bertelagah diberikan ruang di dalam parti.

Kalau kita menyingkirkan seorang pemimpin, seorang yang lain pasti akan mengorak langkah untuk mengambil tempatnya. Tidak ada jaminan orang yang menggantikan itu tidak bercita-cita besar atau menimbulkan masalah. Kita masih terpaksa berdepan dengannya. Saya tahu mesti ada yang akan menyokong Anwar jika beliau mencabar saya, dan pergeseran ini akan melemahkan UMNO. Namun, saya bersedia menangani semua ini.

Beberapa orang yang rapat dengan saya – orang yang tidak ada kedudukan atau kepentingan dalam politik – juga memberitahu saya tentang apa yang mereka lihat dan dengar mengenai Anwar. Mereka tidak disuruh oleh sesiapa untuk memaklumkannya kepada saya, jadi tidak ada sebab untuk saya mempersoalkan motif mereka.

Ketika itu, bermacam-macam cerita sudah disebarkan dan digalakkan penyebarannya. Sesetengah khabar angin mengenai tuduhan rasuah dan kronisme terhadap saya mula sampai kepada akhbar. Kesudahannya, bagi menghentikan semua tuduhan itu, saya terpaksa siarkan nama semua orang yang mendapat kontrak kerajaan sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan.

Senarai itu menunjukkan ramai daripada mereka yang mendapat kontrak secara rundingan adalah kawan-kawan dan anggota keluarga beliau. Terdapat juga seorang dua anggota keluarga saya dan orang yang ada kaitan dengan saya, tetapi kontrak mereka terlalu kecil.

Memekik “pencuri” adalah helah terbaik untuk mengalih perhatian orang daripada kita dan itulah strategi yang diguna oleh Anwar. Saya khuatir strategi itu masih digunakannya.


Saya perhatikan Anwar mempamerkan watak yang mengagumkan di khalayak ramai. Beliau juga berjaya meninggalkan kesan kepada wartawan Amerika dan Barat dengan idea-idea beliau yang pada zahirnya nampak liberal.

Beliau mengatur lawatan senator dan ahli kongres Amerika ke Malaysia setiap tahun dengan dibiayai oleh tabung yang ditubuhkannya. Senator dan ahli kongres itu percaya Anwar adalah seorang ahli politik yang liberal dan demokratik. Mereka sukakan Anwar.

Pada masa yang sama, beliau mengekalkan hubungan dengan ramai aktivis Islam di dunia Islam. Semua landasan yang beliau bina ini terbukti berguna kemudiannya. Perhubungan yang dijalin dan imejnya yang menyerlah telah meletakkan beliau di atas landasan yang kukuh apabila beliau dihadapkan ke mahkamah dan dihukum atas tuduhan jenayah. Mereka percaya dengan cerita beliau yang ianya telah diperangkap bagi menghalangnya menjadi Perdana Menteri.

Tidak syak lagi orang Amerika anggap beliau akan menjadi Perdana Menteri yang lebih baik daripada saya. Itulah yang diuar-uarkan oleh sebilangan akhbar dan majalah perdagangan utama mereka.

Saya kononnya kasar dan tidak pernah disukai oleh orang Amerika. Itu pun saya masih cuba memenuhi kehendak Anwar dengan menemui senator dan ahli kongres yang dijemputnya ke Malaysia dan menyertai seminar yang beliau anjurkan. Mengapa pula saya mesti menolaknya?

Saya tidak mempertikaikan matlamat beliau mengundang mereka ke Malaysia setiap tahun atas andaian membolehkan mereka mengenali Malaysia dengan lebih baik.

Apabila tindakan diambil terhadap beliau kerana melanggar undang-undang jenayah kita, semua orang ini mengutuk saya dan menuntut pembebasan beliau. Memandangkan Anwar popular di pentas antarabangsa maka penangkapan dan perbicaraannya atas dua tuduhan jenayah menjadi masalah yang terpaksa kerajaan tangani.

Sekali lagi masalah timbul apabila Anwar mendakwa beliaulah yang berjaya menangani krisis mata wang 1997/1998.

Di dalam negara, sesetengah pemimpin UMNO yang beliau tidak suka atau yang rapat dengan saya, mengadu bahawa sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar buat hidup mereka susah. Seorang Ketua Menteri dituduh mempunyai hubungan sulit dengan seorang pelajar perempuan. Beliau mendakwa, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan kes itu diberikan publisiti yang luas dan akhirnya, Ketua Menteri itu hilang jawatan.

Pada 1993, Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohamad Hanif Omar datang menemui saya dengan bukti salah laku seksual Anwar. Tuduhan itu terlalu serius sehingga saya fikir, mustahil ia benar dan mungkin itu adalah sebahagian daripada rancangan tak masuk akal untuk menjatuhkan beliau.

Saya tidak mencadangkan agar tindakan diambil, tetapi mengikut amalan polis, mereka akan tetap meneruskan pengawasan. Selepas itu, tidak ada lagi laporan dibuat kepada saya sehinggalah pada 1998 apabila terdapat bukti yang sangat kuat sehingga memaksa saya bertindak. Saya akan bincangkan perkara ini di dalam bab yang lain.


Sementara itu, percubaan Anwar untuk memaksa saya berundur semakin ketara. Walaupun saya tidak begitu bimbang, hubungan kami terus tegang dan saya mula ragu-ragu sama ada beliau boleh menjadi pemimpin yang baik dan seterusnya menggantikan saya. Saya tetap meneruskan tugas seolah-olah tidak ada apa yang berlaku, sama seperti keadaan menjadi sukar dengan Tun Musa. Itulah cara saya berurusan dengan orang – saya tidak menuduh mereka apa-apa. Saya teruskan kerja.

Sewaktu Tun Musa menentang saya, saya fikir beliau merosakkan dirinya sendiri kerana beliau menjadi tidak popular dengan parti. Saya sedia menerima beliau semula dan saya tidak membantah apabila penyokongnya mahu beliau kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden parti. Itu terbukti satu strategi yang betul.

Kini dengan Anwar, saya mengambil pandangan dan pendekatan yang serupa. Anwar kekal dengan sifat mengambil hati dan bertindak seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Sementara itu, saya dengar ada beberapa orang anggota Kabinet yang pergi merata-rata tempat bercakap buruk mengenai saya.

Namun apa pun yang beliau dan sekutunya lakukan serta taktik kotor yang digunakan, Anwar kekal dengan reputasinya sebagai orang warak dan terhormat.

Saya simpan di dalam hati sebarang keraguan mengenai beliau. Saya yakin jika beliau melancarkan cabaran terbuka terhadap kedudukan saya sebagai Presiden UMNO, saya boleh menewaskannya.

Rancangan saya meletak jawatan selepas Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 bagaimanapun terbantut akibat serangan terhadap ringgit Malaysia oleh peniaga mata wang antarabangsa pada 1997-1998.

Apa pun rancangan peribadi saya, ternyata saya tidak boleh berundur dalam keadaan sebegini. Saya tidak boleh bersara sewaktu negara menghadapi krisis besar. Saya berpendapat bahawa menjadi tugas saya memperbetulkan keadaan.

Ini menjadi lebih mendesak kerana Anwar, sebagai bakal pengganti saya, nampaknya tidak berupaya menangani krisis itu. Beliau telah bertindak mengikut formula IMF dan keadaan menjadi bertambah buruk. Kecuali tindakan pembetulan dibuat, negara yang bakal diwarisi oleh pengganti saya akan menderita kemelesetan ekonomi yang teruk.

Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad

(1) Angkatan Belia Islam diasaskan pada tahun 1972 dan telah menyokong kebangkitan semula Islam dan penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia.
(2) Tan adalah pengasas Gerakan, tetapi telah menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia, iaitu sebuah parti pelbagai kaum pada 1972 setelah Gerakan menyertai Kerajaan Barisan Nasional. Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum 1974, hanya beliau sahaja ahli parti yang telah memenangi kerusi Persekutuan. Parti tersebut dibubarkan apabila beliau bersara pada 1977 dan kebanyakan ahlinya menyertai DAP.
(3) Datuk Abdul Aziz Shamsuddin menjadi Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar pada 2006 sebelum hilang kerusi Persekutuannya kepada Khalid Abdul Samad dari PAS dalam Pilihan Raya Umum 2008.
(4) Gerakan Belia 4B Malayisa yang ditubuhkan pada 1966 sebagai sebuah pergerakan remaja kebangsaan telah bertindak sebagai medan ujian bagi pemimpin muda UMNO.
(5) Seorang ahli politik Amerika Syarikat yang telah berkhidmat dalam pentadbiran Ronald Reagan dan George W. Bush, Wolfowitz juga adalah duta Amerika Syarikat ke Indonesia sebelum berkhidmat sebagai Presiden Bank Dunia sehingga Jun 2007, apabila beliau dipaksa meletakkan jawatan atas dakwaan membabitkan kenaikan pangkat yang tidak wajar seorang pekerja bank bernama Shaha Reza, yang merupakan teman wanitanya.


Sunday, July 8, 2012

Tuduhan PAS, Penjelasan UMNO

NOTA :
Ayat 44 surah al-Maidah [Sajian/The Table Spread] yang lengkap dengan terjemahannya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.”

NOTA :
Ayat 45 surah al-Maidah [Sajian/The Table Spread] yang lengkap dengan terjemahannya:


“Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

NOTA :
Ayat 47 surah al-Maidah [Sajian/The Table Spread] yang lengkap dengan terjemahannya:


“Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. ”

Thursday, July 5, 2012

Pembahagian Kerusi PRU13 - DAP 90, PKR 66 dan PAS 66. Tiada Hudud


PENULIS sedikit terkejut bila menerima salinan mesyuarat yang membincangkan soal pembahagian kerusi oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang diadakan baru-baru ini.

Daripada dokumen tersebut, sudah sah bahawa DAP akan bertanding di 90 kerusi parlimen, PKR 66 kerusi manakala kerusi selebihnya akan ditandingi oleh PAS!!


Pada penulis, ini adalah satu kejutan terbesar kerana ia meletakkan DAP dalam kedudukkan yang sangat selesa untuk melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan pemimpin partinya.

Dengan syarat, momentum kemenangan parti tersebut pada 2008 berlanjutan dan menjadi lebih baik dalam kempen kali ini.

Semasa pilihanraya umum 2008, DAP memperolehi 28 kerusi dari 47 kerusi yang ditandingi mereka atau bersamaan dengan 59.57% menang dibanding dengan yang kalah.

Mengikut perkiraan penulis, kalau peratusan sama dapat dikekalkan dalam pilihanraya umum akan datang, DAP akan memperolehi 54 kerusi dari keseluruhan 90 kerusi yang ditandingi mereka.

Dari segi logik, tidak dinafikan peruntukkan kerusi ini memang masuk akal kerana DAP diketahui mendapat hampir 100% sokongan dari kalangan orang cina dan separuh sokongan orang India.

Dengan undi orang Melayu berpecah kepada 2 atau 3 bahagian, parti tersebut dengan mudah boleh menang di kawasan Parlimen yang mempunyai populasi separuh pengundi melayu dan separuh lagi bukan melayu.


Tapi dalam masa yang sama, penulis bimbang keadaan ini akan mencetus persepsi yang tidak baik di kalangan orang Melayu yang mungkin bimbang negara ini akan diperintah oleh bukan Melayu dikala mereka masih lagi membentuk majoriti di negara ini.

Keadaan ini dengan mudah akan digunakan oleh parti seperti UMNO untuk membangkitkan sentimen perkauman menebal, dimana diakhirnya nanti akan memberi kelebihan kepada mereka.

Orang Melayu tidak boleh sama sekali dibenarkan bersatu kerana ia hanya akan menguntungkan UMNO dan merugikan pembangkang. Sejarah telah membuktikan itu. Maka itu penting imej Anwar sebagai bakal Perdana Menteri dikekalkan pada setiap masa.

Itu baru bercakap tentang DAP.

Penulis juga sedikit hairan dengan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada PKR. Dari 97 kerusi yang ditandingi mereka pada 2008, jumlah itu merosot menjadi 66 kerusi sahaja pada pilihanraya kali ini. Separuh dari calon yang dipertandingkan itupun terdiri dari bukan Melayu.

Yang anehnya, nama Anwar diletakkan sebagai calon di 2 kawasan parlimen di Pulau Pinang iaitu di Nibong Tebal dan Permatang Pauh sendiri. Apa motif disebalik ini, penulis tidak dapat menafsirkannya buat masa sekarang sehingga maklumat lengkap diperolehi.

Penulis juga mendapati, ramai dari kalangan penyandang jawatan sekarang akan digugurkan, antaranya Azan Ismail (Indera Mahkota), Datuk Rashid Din (Merbuk) dan Loh Gwo Burne (Kelana Jaya) – sekadar menyebut beberapa.


Persoalannya disini, apa sudah jadi dengan PKR? Apakah mereka sudah hilang keyakinan untuk menang? Amat sukar untuk mempertahankan kedudukkan Anwar sebagai Perdana Menteri jika partinya tidak dominan di dalam Parlimen.

Perlu diingat, persefahaman yang wujud dalam Pakatan Rakyat adalah dalam bentuk persefahaman dan persepakatan tidak rasmi sahaja dek kerana kegagalan Zaid Ibrahim mendaftarkan nama Pakatan Rakyat dengan pendaftar pertubuhan.

Penulis tidak mahu mengulas panjang tentang jumlah kerusi yang ditandingi PAS kerana apa yang diperuntukkan itu pada penulis memang padan dengan kemampuan parti tersebut.

Lagipun, memberi jumlah kerusi yang besar kepada PAS untuk ditandingi, hanya akan menimbulkan keresahan berpanjangan di kalangan orang cina mengenai perlaksanaan hukum hudud.

Dengan jumlah kerusi yang ditandingi pun hampir menyamai jumlah kerusi pada 2008, penulis tidak rasa PAS mampu memberi ancaman yang membawa ketakutan kepada pengundi bukan melayu. Bertanding 66 kerusi, tidak semestinya menang semua.


Rujuk : pisau.net

Popular Posts

Recent Posts

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP