Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Tuesday, August 20, 2013

Dr. Morsi, Ikhwanul Muslimin dan Rakyat Mesir - Ke Arah Demokrasi Tulin?

Rentetan peristiwa yang menyebabkan pemberontakan rakyat Mesir tanpa menunggu Pilihan Raya 4 tahun lagi.......... 

1. Dr. Morsi yang dipilih oleh Ikhwanul Muslimin sebagai calonnya selepas ketua mereka sendiri tidak layak bertanding telah memenangi jawatan Presiden Mesir selepas mendapat undi popular 51.7%. 

2. Penubuhan Majlis Syura (Senate) yang dianggotai oleh 270 ahli dengan kos perbelanjaan Egyptian Pound 150 juta setahun ketika negara dalam kegawatan ekonomi. Majlis Syura ini dimonopoli oleh Ikhwanul Muslimin. 

3. Pada penghujung tahun 2012 Parlimen dan Majlis Syura Mesir telah meluluskan beberapa pindaan kepada Perlembagaan Mesir. 

4. Antara pindaan-pindaan Perlembagaan yang memulakan dan membuatkan rakyat Mesir yang sebelum ini menyokong Morsi tetapi mula menentang pemerintahannya ialah:- 

(a) Memansuhkan peruntukan 5 Perlembagaan Mesir tahun 2007 yang tidak membenarkan parti politik menggunakan nama agama (cth. Parti Islam SeMalaysia), matlamat agama (cth. Parti Hudud Malaysia), atau parti berasaskan jantina (cth. Parti Janda Malaysia). 

(b) Memasukkan peruntukan undang-undang Syariah (Hudud, Qisas & Takzir) sebagai punca atau source kepada undang-undang lain. 

(c) Memasukkan peruntukan baru 232 iaitu "Mana-mana pegawai utama Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang dipimpin oleh bekas Presiden Husni Mubarak (parti NDP ini telahpun dibubarkan) TIDAK LAYAK bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya selama tempoh 10 tahun

[Nota: Walaupun Husni Mubarak amat benci kepada pertubuhan Ikhwanul Muslimin ini, tetapi dia tidak pun mewujudkan sekatan seperti ini dalam Perlembagaan tahun 2007 di bawah pemerintahannya itu] 

5. Dakwaan wujud salahguna kuasa oleh Ikhwanul Muslimin dan rasuah menjadi-jadi oleh Pengerusi dan ahli-ahli Majlis Syura. 

6. Dakwaan kebebasan telah disekat, hak asasi rakyat dilanggari, penderaan terhadap rakyat dan akhir sekali dakwaan untuk menjadikan Mesir seperti negara Iran, berkerajaan fundamentalist. 

 Rujukan:- 
 1.Absolute Power : Morsi Decree Stuns Egyptians 
 2. Why Is Morsi Killing Egyptians? 
 3. Millions on streets for anti-Morsi protests

Monday, August 19, 2013

Surat Dr. Mahathir Kepada Tunku Abdul Rahman Selepas Peristiwa 13 Mei 1969 - Isi Kandungan dan Penilaian


Y.T.M. Tunku,

Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada akhbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkan-nya.

Pendapat-pendapat Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek membuat kenyataan yang di-tegor itu.

Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.

Tunku selalu "bertolak-ansor," ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.

Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.

Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamok sehingga mengorbankan nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.

Patek mohon ma’af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku.

Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.

Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal-kan sebagai "The Happy Prime Minister" walau-pun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.

Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku "naïve" dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hinggga China becha. Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul.

Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos. Pegawai Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak di-ingini oleh mereka, patek perchaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.

Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula "lose control over the armed forces". Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi "Happy Prime Minister" tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai "happiness" apa2.

Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata "satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya". Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi perdana menteri dan Ketua Umno.

Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.

Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tubuh badan patek.

Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu. Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua2 Umno tidak boleh?

Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo’a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku untok menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas.



Tuesday, August 13, 2013

Buku "Awakening - The Abdullah Badawi Years In Malaysia" - Satu Penjelasan

Al-kisah buku 'Awakening'
Ia bukan biografi bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia setebal 620 muka surat itu hanyalah kumpulan esei mengenai isu-isu yang berlegar sepanjang pentadbiran Abdullah sebagai orang nombor satu Malaysia (2004-2009).
Ia dikumpul dan diedit oleh dua simpatisan pembangkang yang tidak asing lagi, Dr Bridget Welsh dan Prof James Chin. Mengandungi esei yang ditulis oleh 35 penyumbang antaranya ahli akademik, wartawan dan pemimpin politik.
Di dalam buku tersebut ada perbualan yang dirakam antara Abdullah dan Bridget Welsh, rakaman interbiu itulah kemudiannya menjadi sandaran untuk Pak Lah menjawab balik segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya semasa menjadi Perdana Menteri.
Ia termasuk isu beliau suka tidur, 'budak tingkat empat', dan paling utama perselisihan dengan pemimpin yang digantinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam kata lain, ia sebuah buku akademik, dan Pak Lah tidak menulisnya sendiri, ia merupakan pandangan yang diutarakan bagi menjawab soalan-soalan yang kemudiannya dipilih dan ditapis, direncahkan oleh orang lain.
Editor buku tersebut, Bridget Welsh, merupakan simpatisan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Wanita berbadan besar dan pengamat politik yang serius ini merupakan bekas pensyarah di School for Advanced International Studies (SAIS) of Johns Hopkins University. 
Universiti Johns Hopkins adalah tempat yang sama Anwar mengajar selepas beliau dibebaskan dari penjara pada pada 2004 dulu.
Sebab itu jangan terkejut pelancaran tak rasminya di Singapura akan dilakukan oleh anak Anwar, Nurul Izzah.
Kenapa Singapura? ini mungkin kerana jiran Malaysia itu merupakan 'tauke' baru kepada Bridget Welsh yang kini merupakan pensyarah sains politik di Singapore Management University.
Cakap-cakap mengenai Bridget ada projek khas untuk buat buku mengenai Pak Lah sudah lama kedengaran di kalangan wartawan. Ada yang kata wanita berbadan besar ini sering kelihatan di rumah Pak Lah di Sungai Penchala sejak 2011 lagi.
Pada asalnya buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia ini pun hendak dilancarkan sebelum PRU13, namun atas pertimbangan tertentu, ia dilewatkan, ada yang kata akan dilancarkan secara rasmi oleh Tun Musa Hitam dan Pak Lah di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada pertengahan Ogos ini.
Dalam buku tersebut, Pak Lah jawab mengapa beliau menghentikan projek mega yang dimulakan di zaman Dr Mahathir.
Menurutnya, sekiranya beliau mengikut kehendak dan tekanan Dr Mahathir supaya berbelanja tanpa kawalan dan meneruskan projek mega, Malaysia pasti akan bankrap.
Merujuk kepada beberapa serangan Dr Mahathir yang ditujukan kepadanya, Pak Lah berkata beberapa individu pernah bertanya kepadanya kenapa beliau tidak memberikan penjelasan mengenai penasihat mudanya (budak tingkat empat), penglibatan anaknya dalam perniagaan dan pengaruh menantunya, Khairy Jamaluddin.
"Mungkin, saya patut membela diri dan menjelaskan isu itu dengan lebih lantang. Saya boleh bertindak balas atas kenyataan Mahathir. Bagaimanapun, apa kebaikannya untuk kerajaan dan parti?" soalnya.
Jelas Pak Lah, selepas menerima beberapa kritikan daripada Dr Mahathir, apa yang jelas ialah Dr Mahathir hanya mahu pendapatnya didengari tetapi tidak mendengar pendapat orang lain.
Beliau telah berjumpa Dr Mahathir untuk menjelaskan penangguhan beberapa projek mega disebabkan bajet defisit.
"Dr Mahathir bagaimanapun menolak cadangan tersebut kerana kerajaan jelasnya perlu terus berbelanja. Tapi bagaimana kita nak teruskan apabila defisit kita sangat kritikal? Adalah tidak bertanggungjawab jika saya terus berbelanja.
"Jadi kami tiada pilihan untuk mengurangkan defisit dengan menangguhkan beberapa projek mega seperti landasan berkembar dan ia membuat Dr Mahathir mengamuk.
"Boleh anda bayangkan jika saya tunduk dengan tekanan Dr Mahathir untuk terus berbelanja ketika defisit yang sangat tinggi, bagaimana Malaysia mahu mengatasi krisis kewangan dan minyak pada 2008?
"Defisit kita berjaya diturunkan pada kadar 3.2 peratus dan kepada 5 peratus. Jika kita terus berbelanja, saya boleh bayangkan kita sudah bankrap," kata Pak Lah.
Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2009, beliau bertekad tidak mahu jadi seperti Dr Mahathir.
Beliau mahu Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kebolehannya sebagai Perdana Menteri.
"Sebab itu saya kekal berdiam diri selama ini. Saya percaya apabila kita sudah bersara, kita akan bersara. Tidak lagi perlu kita campur tangan. Jika ada yang tidak puas hati, kita luahkan secara tertutup. Kenapa perlu hebahkan kepada media?" tambah beliau.
Menyentuh mengenai kritikan bahawa beliau tertidur ketika bertugas, Pak Lah mendedahkan beliau menghidapi masalah kesihatan 'sleep apnea' dan telah mendapatkan rawatan di Australia pada 2007.
"Saya memberitahu Dr Mahathir keadaan saya. Jadi untuk beliau mengatakan saya tertidur kerana tidak berminat dengan tugas, itu tidak patutlah. Beliau tahu masalahnya,  namun memilih untuk memperkatakan semua itu."
Buku Pak Lah ini walaupun belum dilancarkan secara rasmi tapi sudah beredar di kedai-kedai buku utama. Penerbit buku ini Strategic Information dan Research Development Centre (SIRD) memang terkenal sebagai penerbit dan pengedar buku-buku kiri di Lembah Klang.
Kebanyakkan buku yang 'mengangkat' tokoh-tokoh komunis yang kini banyak di pasaran buku negara, keluaran SIRD.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tidak mahu komen mengenai buku ini.
Beliau yang dikerumuni wartawan ketika mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri pada Khamis berkata: "Saya simpan komen saya dulu sehingga saya baca buku itu. Saya tidak boleh mengulas berdasarkan komen orang lain. Saya perlu membaca buku itu, (dan komen) berdasarkan tafsiran saya mengenai buku itu."
Manakala Dr Mahathir mahu lebih masa untuk membuat rujukan sebelum mengulas isu-isu mengenainya yang dibangkitkan di dalam buku tersebut.
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini pertama kali mengeluarkan kenyataan memberi penjelasan mengenai kontroversi buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia yang jadi buah mulut ramai sejak dua tiga hari kebelakangan ini.

Beliau dengan tegas menjelaskan bahawa buku tersebut bukan ditulis atau ditaja olehnya sebaliknya beliau hanya menjawab soalan-soalan dalam wawancara oleh dua penyunting buku itu James Chin dan Bridget Welsh.

"Wawancara ini lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang kepada buku tersebut dan memberi saya ruang untuk menjelaskan beberapa perkara dari sudut saya sendiri," kata Abdullah dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, beliau seorang yang mengamalkan prinsip keterbukaan.

"Prinsip keterbukaan bermaksud kita sedia memberi ruang kepada semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada yang membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri. Itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah,"katanya.

Selain itu, Abdullah berkata beliau tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab di atas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku itu.

Katanya, beliau juga tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku itu kerana tidak mahu orang membuat andaian yang buku itu ditulis dan ditaja oleh beliau.

"Berita yang mengatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura - kalaupun benar - adalah keputusan penerbit buku, bukan saya," tegas Pak Lah.

Di akhir kenyataan tersebut, Pak Lah menjelaskan beliau ingin melihat UMNO terus diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat.

"Saya tak pernah meninggalkan UMNO dan Insya'Allah bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya,"ujarnya.


BERIKUT KENYATAAN PENUH TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Sejak dua tiga hari yang lepas, banyak berita diterbit mengenai 'buku Pak Lah'. Isu ini juga mendapat liputan luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen.Sebelum saya memberi apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi sedikit penjelasan tentang buku tersebut.

Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri. Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal.

Kedua, saya sendiri hanya terlibat melalui wawancara yang dibuat oleh James Chin dan Bridget Welsh. Wawancara ini lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang kepada buku tersebut dan memberi saya ruang untuk menjelaskan beberapa perkara dari sudut saya sendiri.

Ketiga, saya tidak menaja atau meminta buku tersebut diterbitkan. Sudah menjadi perkara biasa para akademik membuat analisa tentang sejarah politik negara kita dan sudah pasti era saya tidak terlepas dari kajian ilmiah. Saya cuma telah setuju untuk diwawancara agar suara, pendapat serta penjelasan saya dapat dimuatkan didalam buku tersebut.

Keempat, oleh kerana saya bukan penerbit, pencetak, pengarang ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab diatas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku tersebut. Berita yang mengatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura - kalaupun benar - adalah keputusan penerbit buku, bukan saya.

Kelima, saya tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku tersebut. Ini kerana saya tidak mahu orang membuat andaian yang buku ini ditulis atau ditaja oleh saya. Saya cuma menjawab soalan yang ditanya. Biarlah jawapan-jawapan saya menjadi tumpuan pembaca.

Berlatarbelakangkan fakta-fakta diatas, saya berharap orang awam mendapat gambaran yang lebih jelas tentang 'buku Pak Lah'. Sekali lagi, ini bukan buku yang ditulis atau ditaja oleh saya. Mungkin ada yang bertanya, kenapa Pak Lah setuju untuk diwawancara oleh pengarang-pengarang yang dikatakan selalu menulis rencana yang kritikal?

Saya bersetuju diwawancara kerana perlu ada penjelasan saya sendiri didalam kajian ilmiah ini. Suka atau tidak, setuju atau tidak, saya berpegang kepada prinsip keterbukaan sebagai paksi kepada demokrasi yang matang. Prinsip keterbukaan inilah yang saya amalkan apabila didatangi dengan permohonan oleh para pengarang buku ini untuk diwawancara.

Walaupun saya dimaklumkan buku ini bakal memuatkan rencana yang kritis dan 'unflattering' tentang kepimpinan saya, saya masih setuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan.

Sudah pasti pandangan-pandangan dalam buku ini akan mengundang reaksi-reaksi tertentu. Terpulanglah kepada semua pihak untuk membuat rumusan masing-masing. Prinsip keterbukaan bermaksud kita sedia memberi ruang kepada semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada yang membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri. Itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah.

Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Saya tak pernah meninggalkan UMNO dan Insya'Allah bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya.

TUN ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
12 Ogos, 2013


Oleh : HELME HANAFI

Popular Posts

Recent Posts

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP