Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Tuesday, October 5, 2010

PAS gelisah kemungkinan Ku Li dipilih bertanding di Galas

Belum pun hari penamaan calon diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PAS memperlihatkan kegelisahan dan sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan awal bahawa parti itu tidak memiliki kekuatan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang dirampasnya daripada Barisan Nasional (BN pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Walaupun mendakwa PAS sudah mengubah Galas menjadi kubu kuat mereka, hakikatnya, ia masih kurang pengaruh apatah lagi dengan kelebihan 646 undi untuk menguasai DUN Galas, selain berkira-kira adakah pengundi Cina akan terus memberi undi kepada calonnya pada pilihan raya kecil DUN itu.

Cadangan supaya BN menurunkan Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika ini Ahli Parlimen Gua Musang sebagai calon sudah cukup memberi tekanan besar kepada PAS, sehinggakan Mursyidul Amnya yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ‘bertempik’ dengan pelbagai alasan kenapa Tengku Razaleigh tidak perlu bertanding, termasuk mengaitkannya dengan ‘menghina’ Ku Li jika beliau dicalonkan.

Pada ketika ini jugalah Nik Aziz tiba-tiba seperti menyokong usul perpaduan Umno–PAS dengan meletakkan syarat supaya BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti demi perpaduan.

Agak pelik dan ganjil apabila Nik Aziz berbicara soal perpaduan, sedangkan sebelum ini Mursyidul Am PAS itu adalah individu yang paling lantang menentang sebarang bentuk kerjasama politik antara PAS dan Umno.

Salahkah Tengku Razaleigh bertanding di DUN Galas? Beliau adalah Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan memiliki keupayaan dan mendapat sokongan rakyat di Gua Musang.

Dalam keadaan UMNO memerlukan suntikan kekuatan, tidak salah jika Umno mempertaruhkan beliau bagi merampas kembali kerusi DUN Galas.

Bagi Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, cadangan Umno Kelantan supaya Tengku Razaleigh dicalonkan adalah satu penghinaan kepada beliau sebagai pemimpin veteran dan juga beliau adalah anak raja.

Perlu diingat, ada pemimpin pakatan pembangkang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen dalam satu masa, misalnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang ketika ini Menteri Besar Selangor adalah Adun Ijok di Selangor dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Mengapa PAS begitu takut untuk berdepan dengan Tengku Razaleigh di DUN Galas, apakah kerana ketokohan ataupun banyak rahsia PAS dalam genggamannya menyebabkan PAS kini ‘kepanasan’ ataupun mungkin bimbang segala kegagalannya membangunkan kawasan berkenaan dibongkar.

Pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah pilihan raya Umno dan BN bagi DUN Galas itu adalah satu pendekatan bijak, kerana bekas Menteri Kewangan itu lebih mengenali hati budi pengundi Gua Musang khususnya di Galas.

Walaupun PAS sudah bercakap bahawa pelantikan datuk saudara Sultan Kelantan itu akan memberi kelebihan kepada mereka kerana Ku Li sebelum ini menyokong tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan parti itu. Bagi Tengku Razaleigh soal royalti dan politik kepartian dua perkara berbeza.

Apa pun, cadangan supaya BN meletakkan Tengku Razaleigh bagi berdepan PAS bukanlah satu tindakan ‘terdesak’ tetapi ia berdasarkan suara rakyat. Sama ada beliau mahu bertanding atau tidak, ia juga perlu diputuskan beliau sendiri.’

Sejarah pilihan raya sudah membuktikan calon yang memenuhi kehendak rakyat akan memperoleh kemenangan. Ini terbukti apabila ‘kemunculan semula’ Tan Sri Isa Samad pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang sebelum ini. Pemimpin veteran Umno ini berjaya mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang pada pilihan raya kecil tahun lalu.

Tidak mustahil ‘skrip’ ini boleh berulang di Galas sekiranya Tengku Razaleigh bertanding dan PAS pula mungkin akan mencongak nasib seperti mana dilalui Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Pastinya, PAS seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada berdepan dengan Ku Li.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Mustaffa Ali ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri di Gombak, kelmarin mengakui laluan PAS cukup berliku di DUN Galas.

— Berita Harian
October 05, 2010

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP