Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Wednesday, August 2, 2017

Cari jalan keluar mengatasi isu anak luar nikah -- Usah zalimi anak zina



Cari jalan keluar mengatasi isu anak luar nikah -- Usah zalimi anak zina

BANYAK respons diterima mengenai isu `Anak zina boleh bin kepada bapa' yang menjadi tajuk fokus majalah Al Islam yang sedang berada di pasaran.

Beberapa orang memberitahu penulis melalui e-mel, surat dan telefon serta orang tengah bahawa mereka membantah penulis menyiarkan fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi, Ibn Taimiah, Ibn al-Qaiyyim, Urwah bin az-Zubeir, al-Hasan al-Basri dan Ishaq bin Rahawaih yang membenarkan anak zina dibin kepada `bapanya' jika dia berkahwin dengan `emaknya' tanpa mengehadkan masa hamil enam bulan seperti fatwa yang diguna pakai di negara ini.
Salah seorang daripada mereka merupakan pegawai agama yang menganggap fatwa berkenaan selain dianggap boleh mengelirukan masyarakat, ia juga menggalakkan perzinaan.
Bagaimanapun, respons orang yang bersetuju dengan fatwa itu lebih ramai termasuk beberapa ulama besar tanah air.
Beberapa orang daripada mereka berkata, jika fatwa tersebut digunakan di negara ini, tidak ragu lagi dianggap boleh membantu masalah anak zina yang menjadi salah satu masalah besar itu. Sesetengah ulama yang tidak sempat membaca fokus anak zina dalam majalah Al Islam dan petikan sebahagian rencananya yang disiarkan di ruangan ini dua minggu lalu berjanji akan membuat kajian selepas membacanya.
Selain itu secara mulut penulis telah meminta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad supaya membuat kajian lanjut tentang fatwa berkenaan. Beliau yang bersua dengan penulis pada satu majlis mesyuarat minggu lalu berjanji akan melakukan perkara itu.
Pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terutama yang memperjuangkan hak wanita boleh juga menjadikan salah satu agenda kegiatannya untuk memperjuangkan fatwa yang boleh membantu menyelesaikan fenomena anak zina. Penulis percaya isu anak zina patut memberi keutamaan melebihi isu poligami yang diberi perhatian oleh banyak NGO kini.
Begitu juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu memberi perhatian kepada isu bin anak zina ini. Malah Kementerian Dalam Negeri pun boleh terlibat sama kerana fenomena anak zina tidak begitu berbeza dengan video lucah yang sedang diperangi secara bersungguh-sungguh. Kepada mereka yang tidak bersetuju dengan fatwa yang membolehkan anak zina dijadikan anak yang sah taraf jika bapanya berkahwin dengan emaknya walaupun masa hamil tidak cukup enam bulan kerana menganggap fatwa itu menggalakkan muda-mudi berzina dulu sebelum berkahwin perlu juga memikirkan fatwa yang sedia ada dan diguna pakai di Malaysia.
Penulis merumuskan fatwa itu sebagai fatwa tidak cukup enam bulan hamil dan merumuskan fatwa yang sedia ada dan diguna pakai di Malaysia sebagai fatwa enam bulan hamil.
Kenapa perlu memikirkan juga mengenai fatwa enam bulan hamil?
Kerana jika mereka menganggap fatwa tidak cukup enam bulan hamil menggalakkan muda-mudi berzina sebelum berkahwin, fatwa enam bulan hamil pun memain peranan yang sama juga kerana ia juga memberi peluang kepada pasangan berkahwin selepas terlanjur. Cuma yang berbeza antara kedua ialah fatwa yang pertama tidak dibatas masa hamil enam bulan (lebih empat bulan berzina baru kahwin) dan fatwa yang kedua dibataskan dengan masa hamil enam bulan (empat bulan berzina baru berkahwin).
Perlu diterangkan bahawa hukum yang terkandung dalam kedua-dua fatwa itu adalah merupakan hukum ijtihad yang bermaksud ia bukan hukum yang dijelas oleh Allah dalam al-Quran secara qatiyyah ad-dalalah atau secara putus dan muktamad. Dalam erti kata lain para ulamalah yang mencipta hukum berdasarkan ijtihad mereka dengan berpandukan ayat al-Quran yang umum atau mengqiaskan ayat-ayat al-Quran mengenai hukum terhadap perkara lain. Mereka juga berpandukan hadis Rasulullah s.a.w. yang mempunyai kedudukan hampir sama ayat-ayat al-Quran mengenai anak zina itu.
Jadi begitulah kedudukan hukum mengenai anak zina, maka tidak patutlah kita berpegang mati-matian dengan satu fatwa ijtihad dan menolak fatwa ijtihad yang lain. Dengan itu apakah alasan yang dianggap terkuat menyebabkan kita perlu berpegang dengan fatwa enam bulan hamil dan menolak fatwa tidak cukup enam bulan hamil?
Tidakkah fatwa tidak cukup enam bulan hamil lebih relevan dengan suasana dan zaman kita sekarang untuk memerangi fenomena membunuh, membuang, menganiaya dan menzalimi anak zina yang berleluasa kini?
FENOMENA
Penulis percaya semua mengetahui tentang fenomena membunuh dan membuang anak zina, tetapi mungkin ada yang kurang jelas mengenai penganiayaan dan penzaliman yang dilakukan ke atas anak yang tidak berdosa itu.
Sebenarnya membunuh dan membuang anak zina memang dianggap penganiayaan dan penzaliman juga. Manakala hukum terhadap orang yang melakukan penganiayaan dan penzaliman ke atas anak zina itu boleh sampai ke peringkat dihumban ke dalam neraka oleh Allah secara berkekalan.
Yang dimaksudkan penganiayaan dan penzaliman ke atas anak zina di sini termasuk juga tindakan mengebinkan anak zina dengan Abdullah atau mana-mana al-Asma al-Husna. Ini kerana akan menyebabkan anak yang tidak berdosa itu terhina sepanjang hidup. Apakah ulama kita tidak berasa berdosa membiarkan orang-orang terlanjur menggunakan fatwa lemah yang menghina anak mereka sepanjang hidup itu?
Apakah ulama kita tidak terfikir bahawa fatwa itu seperti bercanggah dengan firman Allah (an-Najm: 38) yang memperuntukkan bahawa anak tidak menanggung dosa kedua-dua ibu bapanya?
Sebenarnya mengebinkan anak yang terhasil daripada perbuatan keji suami isteri sebelum mereka berkahwin kepada Abdullah dan mana-mana al-Asma al-Husna bukan hukum Allah yang bersifat putus dan muktamad, tetapi ia hukum yang ijtihad ulama yang tidak bersifat putus dan muktamad.
Dengan itu jangan ada di kalangan kita pandai-pandai menganggap hukum yang terkandung dalam fatwa itu tidak boleh berubah dan mesti dilaksanakan sampai bila-bila. Kerana jika ada di kalangan kita yang menganggap begitu bererti mereka berbohong dan berdusta atas nama Allah yang amat besar dosanya.
Cuba perhatikan firman Allah ini: Maka sesiapa yang mereka-rekakan kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (Ali Imran: 94). Begitu juga firman Allah: Dan siapakah lagi yang lebih aniaya daripada orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keterangan-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya (al-Anaam: 21).
Jika kita melakukan penganiayaan dan penzaliman yang terlalu besar, kita boleh dihumban ke dalam neraka menurut al-Quran. Mengenai perkara ini Allah berfirman: Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan daripada api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (daripada api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya) (al-Araf: 41).
Bagaimanapun, itu hanya hukum melakukan penganiayaan dan penzaliman terhadap anak yang tidak berdosa dengan mengebinkan mereka kepada Abdullah dan lain-lain al-Asma al-Husna. Sedangkan yang melakukan penganiayaan dan penzaliman yang sampai ke peringkat membunuh anak yang tidak berdosa itu mungkin akan dihumban ke dalam neraka serta secara berkekalan di dalamnya buat selama-lamanya. Ini kerana Allah berfirman: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar (An-Nisa: 93).
Ayat-ayat di atas juga menjadi jawapan yang jelas kepada mereka yang mendakwa bahawa fatwa yang membolehkan anak zina dijadikan anak yang sah taraf jika bapanya berkahwin dengan emaknya walaupun masa hamil tidak cukup enam bulan sebagai menggalakkan perzinaan tidak mempunyai hujah dan alasan yang kuat.
Dalam pada itu patut juga membandingkan hukum berzina dengan hukum melakukan penganiayaan dan penzaliman ke atas anak zina, sama ada dengan mengebinkan mereka dengan Abdullah mahupun dengan mencampak dan membunuh mereka.
Hukum berzina adalah dosa yang amat besar seperti disebut dalam al-Quran, tetapi dalam ayat-ayat al-Quran yang lain termasuk ayat-ayat yang disebut di atas memperuntukkan bahawa hukum menganiaya dan menzalimi anak zina, dosa adalah jauh lebih besar daripada dosa berzina itu.
Akhir sekali penulis ingin jelaskan bahawa disebabkan kita mengamal fatwa ijtihad ulama yang lemah dan tidak lagi relevan dengan suasana dan zaman kita itulah menyebabkan kebanyakan orang Melayu/ Islam yang menggunakan jalan keluar mencampak anak di tepi jalan dan membuang mereka ke dalam longkang dan tong sampah.
Bangsa-bangsa lain kurang melakukan perkara itu kerana mereka tidak mempunyai fatwa yang lemah dan tidak relevan itu dalam agama mereka. Orang Melayu/Islam melakukan kemungkaran yang dianggap dosa paling besar itu kerana mereka percaya kepada fatwa itu sebagai hukum Allah yang tidak berubah dan bertolak ansur dan seterusnya mereka menganggap anak yang terbentuk daripada darah daging mereka secara biologikal itu bukan anak mereka. Lalu mereka pun melakukan dosa paling besar dengan mencampak anak mereka di tepi jalan atau membuangnya ke dalam longkang dan tong sampah. Hukum yang terkandung dalam fatwa yang lemah dan tidak relevan itu yang menggalakkan mereka menjadi orang tidak berhati perut macam hantu pelesit. Akibatnya taraf anak yang tidak berdosa itu menjadi hampir sama dengan binatang kerana jika dia perempuan, bapanya dianggap sah berkahwin dengannya seperti pendapat sesetengah ulama. Kebanyakan binatang melakukan hubungan seks dengan anak sendiri.

Oleh ASTORA JABAT


bicara agama
ARKIB : 25/05/2003


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4oaH2DmMG 
© Utusan Melayu (M) Bhd


Sila klik di pautan di bawah...

1. Jalan keluar bagi pasangan yang sudah terlanjur - Anak zina dibin pada bapa


2. Penghakiman bertulis Panel Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia pada 25 Julai 2017 yang membenarkan anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan Qamariah dari tarikh ibubapanya bernikah layak diBINkan atas nama bapanya (bukan Abdullah lagi) di bawah Seksyen 13a(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, 1957



Popular Posts

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP