Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Tuesday, October 29, 2013

Apakah itu GST?


1. Apakah itu GST (Goods Services Tax atau Cukai Barang dan Perkhidmatan)?

GST adalah merupakan cukai kepenggunaan yang berasaskan kepada konsep nilai ditambah. Ianya dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport.

2. Adakah GST merupakan cukai penggunaan yang baru?

GST akan menggantikan cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Perbezaan GST dengan sistem cukai penggunaan sedia ada hanyalah dari segi skop pengenaan cukai yang lebih meluas iaitu disemua peringkat pengeluaran dan pengedaran di samping boleh menuntut kredit cukai ke atas GST yang dibayar ke atas input perniagaan. Berbanding dengan sistem cukai penggunaan sedia ada, di mana Cukai Jualan hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa barang-barang tersebut dikeluarkan daripada kilang atau diimport. Manakala, Cukai Perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan-perkhidmatan tertentu pada peringkat ianya disediakan kepada pihak pengguna.

3. Mengapa cukai jualan dan cukai perkhidmatan perlu diganti dengan GST?

GST adalah merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, efektif, telus, efisien dan mesra perniagaan. Diperhatikan GST boleh mengatasi berbagai kelemahan yang terdapat dalam sistem cukai kepenggunaan sedia ada. Antara kelemahan-kelemahan yang ketara yang tidak boleh diatasi di bawah sistem cukai sedia ada adalah seperti kesan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat, isu kebocoran dan ketirisan hasil akibat daripada aktiviti pemindahan harga dan sebagainya. Di samping itu, GST juga dijangka dapat meningkatkan pematuhan cukai dan lebih mudah untuk ditadbir-urus berikutan sistem pengurusannya adalah berasaskan kepada kaedah self policing. Selain daripada itu, pihak peniaga hanya perlu mengemukakan penyata cukai yang ringkas mengikut format yang disediakan, manakala semua rekod dan dokumen berhubung dengan transaksi yang berkaitan hanya perlu disimpan di premis syarikat untuk diaudit oleh juruaudit GST di kemudian hari.

4. Mengapakah kerajaan hendak melaksanakan GST ?

Pelaksanaan GST adalah merupakan sebahagian daripada program pembaharuan terhadap sistem percukaian negara sebagai langkah Kerajaan untuk meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan dalam pengurusan cukai.

5. Mengapakah kerajaan mencadangkan kadar GST yang lebih rendah daripada kadar cukai semasa?

Kerajaan mencadangkan kadar GST yang lebih rendah daripada kadar cukai semasa bagi tujuan mengimbangi impak GST terhadap rakyat dan pengguna supaya ianya tidak terlalu membebankan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah. Dengan mengenakan GST pada kadar yang lebih rendah, dijangka pengguna akan mendapat manfaat daripadanya oleh kerana kebanyakan barang dan perkhidmatan akan mengalami penurunan harga.

6. Adakah benar mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan yang pada ketika ini tidak dikenakan cukai pendapatan, perlu membayar cukai di bawah GST?

Persepsi berkenaan adalah kurang tepat berikutan kaedah pengenaan cukai bagi kedua-dua jenis cukai tersebut adalah sangat berbeza. Dimaklumkan bahawa kaedah pengenaan cukai pendapatan adalah berasaskan kepada jumlah pendapatan yang diperolehi oleh seseorang individu, manakala pengenaan GST adalah berdasarkan kepada kepenggunaan terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan yang digunakan. Pada ketika ini pun, mereka yang tidak dikenakan cukai pendapatan masih tetap membayar cukai jualan atau cukai perkhidmatan ke atas barang dan perkhidmatan yang digunakannya. Persoalannya, kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa harga barang atau perkhidmatan yang dijual oleh peniaga runcit telah termasuk elemen cukai. Pada hakikatnya, pengenaan GST tidak akan memberi sebarang perbezaan dalam aspek bebanan cukai yang ditanggung oleh mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan kerana pada masa ini mereka telah pun membayar cukai terhadap barang dan perkhidmatan tertentu yang digunakan.

7. Bilakah kerajaan akan melaksanakan GST?

Kerajaan telah menetapkan untuk melaksanakan GST di Malaysia mulai 1 April 2015. Sebelum tarikh pelaksanaan GST itu, pada masa kini Kerajaan sedang giat berusaha untuk memberi pendedahan dan kefahaman mengenai konsep dan kaedah pelaksanaan GST. Jika sekiranya GST dilaksanakan, Kerajaan akan memberi ruang masa yang mencukupi di antara 18 hingga 24 bulan kepada pihak industri dan peniaga untuk membuat persediaan bagi pelaksanaan GST.

8. Bagaimanakah GST beroperasi?

GST adalah dikenakan ke atas semua barang dan perkhidmatan bercukai yang dikeluarkan di dalam negara termasuk yang diimport. GST hanya boleh dicaj serta dipungut oleh peniaga yang telah berdaftar di bawah GST.

GST yang dipungut ke atas output perlu diremitkan kepada Kerajaan. Walaupun bagitu, pihak peniaga adalah dibenarkan untuk menuntut semula kredit cukai input melalui mekanisme dan kaedah seperti berikut:

i. GST yang dipungut ke atas output (cukai output) tolak GST yang telah dibayar ke atas input (cukai input).

ii. Jika terdapat lebihan, amaun tersebut hendaklah diremitkan kepada Kerajaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

iii. Jika terdapat kekurangan, pihak peniaga boleh menuntut pembayaran balik (refund) daripada Kerajaan.

9. Apakah cukai input, cukai output dan kredit cukai input?

Cukai input adalah merupakan GST yang dikenakan ke atas pembelian barang dan perkhidmatan yang digunakan dalam aktiviti perniagaan. Manakala cukai output adalah merupakan GST yang dicaj dan dipungut ke atas penjualan/pembekalan barang dan perkhidmatan. Kredit cukai input bermaksud cukai input yang boleh dituntut oleh peniaga yang berdaftar di bawah GST.

10. Apakah pembekalan berkadar standard, berkadar sifar dan dikecualikan?

Pembekalan berkadar standard adalah merupakan bekalan barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar cukai yang ditetapkan. Manakala pembekalan berkadar sifar adalah merupakan bekalan barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar sifar iaitu tidak dikenakan GST sama ada di peringkat output mahupun di peringkat input. Sementara pembekalan dikecualikan adalah merujuk kepada barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST pada peringkat output iaitu pada peringkat ianya dibekalkan kepada pihak pengguna. Namun begitu, GST yang dibayar ke atas input oleh pihak peniaga yang terlibat tidak boleh dituntut semula sebagai kredit cukai.

11. Siapa yang akan memungut GST dan membayarnya kepada kerajaan?

GST hanya boleh dipungut oleh mereka yang telah berdaftar di bawah GST dan cukai tersebut hendaklah diremitkan kepada kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.

12. Bagaimanakah kerajaan boleh memastikan bahawa pihak peniaga akan meremit amaun pungutan cukai yang betul kepada Kerajaan?

Di dalam memastikan pihak peniaga meremitkan amaun pungutan cukai yang betul, Kerajaan akan membuat program pengesanan awal melalui kaedah audit meja dan audit transaksi ke atas borang penyata cukai yang dikemukakan oleh pihak peniaga pada setiap tempoh bercukai. Pasukan audit GST juga akan menjalankan pengauditan luar ke atas rekod dan akaun perniagaan syarikat bagi memastikan tiada sebarang aktiviti manipulasi cukai yang telah dilakukan oleh pihak peniaga. Selain daripada itu, sistem penilaian risiko GST adalah merupakan kaedah pengesanan berkomputer yang akan memberi amaran (alerts) berhubung dengan kes – kes yang berisiko tinggi.

13. Adakah semua barang dan perkhidmatan dikenakan GST?

Pada dasarnya, GST akan dikenakan ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara termasuk yang diimport. Walaupun begitu, beberapa makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, sayuran, ikan dan daging ternakan, telur dan kemudahan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan swasta, pengangkutan awam, rumah kediaman dan tanah pertanian adalah tidak dikenakan GST. Pengecualian ini adalah bertujuan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan GST.

14. Adakah semua perniagaan dikehendaki berdaftar di bawah GST?

Perniagaan yang telah mencapai nilai jualan tahunan RM500,000 setahun diwajibkan untuk mendaftar di bawah GST. Perniagaan yang tidak mencapai nilai jualan tahunan yang dinyatakan di atas tidak perlu mendaftar di bawah GST. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh memohon untuk berdaftar secara sukarela.

15. Mengapakah nilai ambang (threshold) ditetapkan pada tahap RM500,000 setahun?

Penetapan nilai ambang pada tahap RM500,000 setahun adalah bertujuan untuk mengecualikan pembekalan syarikat dan perniagaan kecil daripada dikenakan GST supaya mereka tidak perlu menanggung semua kos yang berkaitan (kos permulaan dan kos pematuhan) sekiranya perlu mendaftar di bawah GST.

Berdasarkan kajian, dianggarkan sebanyak 78% daripada jumlah entiti perniagaan tidak akan termasuk dalam sistem GST. Dengan ini, pengguna boleh membuat pilihan untuk membeli barang keperluan mereka daripada peniaga yang tidak mengenakan GST. Secara tidak langsung, pengguna khususnya rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar tidak akan dibebankan dengan GST.

16. Bagaimanakah hendak menentukan sama ada nilai ambang RM500,000 telah dicapai ataupun tidak?

Kiraan nilai ambang hendaklah dibuat berdasarkan kepada kaedah berikut :

Kaedah 1
Pengiraan berdasarkan rekod jualan bagi tempoh 12 bulan ke belakang.

Kaedah 2
Pengiraan berdasarkan anggaran jualan yang dijangkakan bagi tempoh 12 bulan akan datang.

17. Jika nilai ambang tidak mencapai RM500,000, bolehkah mendaftar di bawah GST?

Pihak peniaga masih boleh berdaftar secara sukarela dibawah GST walaupun tidak mencapai nilai ambang yang ditetapkan. Walaupun begitu, mereka yang mendaftar secara sukarela dikehendaki kekal berdaftar untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

18. Bolehkah pendaftaran GST dibuat secara online?

Kerajaan memang menggalakkan pendaftaran GST dibuat secara online. Walaupun begitu, pendaftaran secara manual masih diterima pakai.

19. Bagaimanakah caranya untuk membuat permohonan pendaftaran GST?

Permohonan secara online boleh dibuat dengan menggunakan borang yang boleh dicapai melalui laman web GST. Bagi permohonan secara manual, borang permohonan boleh didapati dari mana-mana pejabat Kastam ataupun dimuat turun dari laman web GST.

20. Bila dan dimana permohonan pendaftaran GST perlu dibuat?

Peniaga yang telah mencapai nilai ambang RM500,000 perlu memohon untuk didaftarkan di bawah GST dalam tempoh 28 hari selepas akhir bulan di mana nilai ambang tersebut dicapai. Permohonan pendaftaran secara manual hendaklah dikemukakan kepada mana-mana pejabat Kastam yang berdekatan. Permohonan secara online akan dikemukakan secara talian terus kepada Pusat Pemprosesan Setempat. Permohonan secara online juga boleh dibuat dengan menggunakan kemudahan komputer dan internet yang disediakan di semua pejabat GST di seluruh negara.

21. Adakah pendaftaran GST akan dikenakan sebarang caj?

Tiada sebarang caj yang dikenakan ke atas proses pendaftaran GST.

22. Adakah barang dan perkhidmatan yang dieksport dikenakan GST?

Barang dan perkhidmatan yang dieksport tidak akan dikenakan GST (dikenakan pada kadar sifar) bagi tujuan untuk meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa.

23. Adakah petani dikehendaki berdaftar di bawah GST?

Skop pengenaan GST adalah meliputi semua sektor ekonomi termasuk aktiviti pertanian. Oleh yang demikian, petani juga perlu mendaftar di bawah GST tertakluk kepada nilai ambang seperti mana yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, sekiranya produk pertanian berkenaan merupakan barang yang tidak dikenakan GST (dikenakan pada kadar sifar), maka petani tersebut boleh memilih untuk tidak berdaftar di bawah GST.

24. Adakah nelayan dikehendaki berdaftar di bawah GST?

Skop pengenaan GST adalah meliputi semua sektor ekonomi termasuk aktiviti perikanan. Oleh yang demikian, nelayan juga perlu mendaftar di bawah GST tertakluk kepada nilai ambang seperti mana yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, sekiranya produk perikanan berkenaan merupakan barang yang tidak dikenakan GST (dikenakan pada kadar sifar), maka nelayan tersebut boleh memilih untuk tidak berdaftar di bawah GST.

25. Bagaimanakah Kerajaan akan mengawal harga?

Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang lebih serius di dalam memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga barang bagi tujuan membuat keuntungan secara berlebihan. Antara langkah yang akan diambil oleh Kerajaan ialah memperkenalkan Anti Profiteering Act, penguatkuasaan yang intensif melalui penubuhan Majlis Harga Negara, penerbitan Shoppers’ Guide, di samping menjadikan pasaraya sebagai penanda aras harga (price setter).

Bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan, pengenaan denda dan penalti yang lebih berat akan dikenakan. Segala langkah yang dinyatakan di atas diharapkan dapat mengubah sikap yang mementingkan keuntungan serta menjalankan perniagaan secara tidak beretika.

26. Adakah pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) tertakluk kepada GST?

Pihak NGOs akan dikenakan GST jika terlibat secara langsung dalam aktiviti perniagaan sekiranya barang atau perkhidmatan tersebut adalah bercukai.

27. Adakah pertubuhan amal tertakluk kepada GST?

Pertubuhan amal seperti institusi orang kurang upaya, rumah anak yatim dan rumah orang tua tidak akan dikenakan GST sekiranya perkhidmatan yang disediakan hanyalah untuk ahli-ahli persatuannya dan tidak dikenakan sebarang caj. Pertubuhan amal perlu mendaftar di bawah GST jika sekiranya aktiviti yang dilaksanakan berunsurkan perniagaan.

28. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk membantu IKS semasa GST dilaksanakan?

Kerajaan akan memastikan pelaksanaan GST tidak akan memberi impak negatif kepada pembangunan IKS. Di dalam usaha untuk membantu IKS, Kerajaan akan mengadakan program-program latihan dan pendidikan secara menyeluruh kepada semua IKS di seluruh negara. Program-program ini akan dijalankan secara kerjasama diantara Kementerian Kewangan dengan SME Corp. Di samping itu, Kerajaan juga sedang merancang untuk menyediakan pakej perisian perakaunan GST dalam bentuk CD kepada IKS yang tidak mempunyai sistem perakaunan sendiri.

29. Adakah Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan masih dikuatkuasakan dengan pelaksanaan GST?

Pelaksanaan GST adalah untuk menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini. Dengan yang demikian, kedua-dua jenis cukai tersebut akan dimansuhkan pada tarikh mula pelaksanaan GST.

30. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mempastikan GST dilaksanakan dengan lancar?

Kerajaan akan memberi tempoh masa yang mencukupi bagi pihak peniaga bersiap sedia untuk melaksanakan GST. Program kesedaran dan pendidikan GST akan dijalankan secara berterusan sehingga tarikh GST dilaksanakan.

Dalam usaha untuk menyebarkan maklumat GST kepada orang awam, Kerajaan telahpun menubuhkan Pusat Panggilan Kastam (call centre) yang akan beroperasi di Kelana Jaya, Selangor. Di samping itu, pelbagai panduan industri akan diterbitkan sebagai garis panduan kepada pihak industri berhubung dengan layanan dan prosedur-prosedur GST terhadap industri-industri tertentu. Pihak Jabatan Kastam akan mengadakan lawatan ke premis-premis perniagaan bagi memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar supaya peniaga dapat memahami dengan lebih jelas terhadap prosedur dan peraturan GST.

Kerajaan juga akan memastikan sistem perkomputeran GST disiapkan sepenuhnya sebelum GST dilaksanakan. Sistem pengkomputeran GST ini akan diuji melalui pilot project dalam proses pendaftaran awal yang akan dijalankan 6 bulan sebelum tarikh pelaksanaan GST.

31. Adakah jentera kerajaan telah bersedia untuk melaksanakan GST?

Kerajaan sememangnya telah bersedia untuk melaksanakan GST pada bila-bila masa sahaja. Pada ketika ini, jentera Kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengambil langkah bagi menyediakan keperluan-keperluan pelaksanaan GST yang merangkumi aspek perundangan, pembangunan sistem komputer, penyediaan logistik dan infrastruktur, latihan dan publisiti serta pengorganisasian.

32. Siapa akan mentadbir GST?

Kerajaan telah memutuskan supaya Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) mengurus dan mentadbirkan operasi GST yang akan dilaksanakan di Malaysia.

33. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi menangani isu ketidak-patuhan dan fraud?

Untuk menangani isu berhubung dengan ketidak patuhan dan frod, beberapa pendekatan akan digunakan oleh Kerajaan seperti berikut:-

i. mengadakan program penilaian risiko bagi mengenal pasti jenis perniagaan dan orang yang berpotensi untuk melakukan aktiviti ketidak patuhan dan frod. Langkah untuk menguatkuasakan undang-undang akan dilaksanakan lebih tegas dengan mengenakan denda dan penalti yang tinggi;

ii. mengadakan program pengauditan secara menyeluruh ke atas rekod dan akaun perniagaan; dan

iii. memastikan Jabatan Kastam meningkatkan tahap keupayaan dan kemahiran pegawainya dalam bidang-bidang yang berkaitan perakaunan, kewangan dan perundangan serta melengkapkan mereka dengan teknik dan kaedah pengauditan yang terkini termasuk penggunaan perisikan secara forensik. Di samping itu, kaedah perkongsian maklumat dengan agensi penguat kuasaan yang lain juga adalah penting untuk dilaksanakan.

Dengan pendekatan dan kaedah yang dinyatakan di atas, dijangka aktiviti ketidak patuhan dan frod akan dapat dikurangkan.

Rujukan : Kementerian Kewangan Malaysia

Sila rujuk juga : 1. GST (Goods Services Tax) - Faham, tapi bangkang tetap bangkang oleh pembangkang
2. Jabatan Kastam dan Eksais Diraja - Malaysia Goods & Services Tax (GST)

3 comments:

  1. Tahun 2014....bil letrik naik ....cukai harta naik...bil astro naik.... tambah gst lagi... semua naik tapi aku akan tetap menerimanya dgan hati terbuka sebab yg aku bayar tu tak seberapa berbanding dgn apa yang kerajaan dah beri kat aku dari kecil smpi besar....

    ReplyDelete
  2. Apa2 pun gaji minimum yg diberi utk rakyat masih tidak boleh mengimbangi GST ni.. Wlupun harga boleh dikawal oleh kerajaan..namun diperingkat peruncit msh boleh menipu rakyat yg bergaji minimum tersebut..bayangkanlah dahulu rakyat membeli pelbagai barangan bernilai rm50..klu dibeli dgn nilai tersebut..hanya beberapa barang saja dpt dibeli dan rakyat kena bayar GST rm3 keatas belian rm50 tersebut.dgn niai matawang malaysia yg susut ini,rakyat semakin tertekan dgn pelaksanaan GST tersebut.yg pasti nilai inflasi sesebuah keluarga pasti naik dgn pelaksanaan GST dgn nilai matawang yg rendah sekarang. Renungkanlah.

    ReplyDelete

Popular Posts

Recent Posts

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP