Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Wednesday, October 9, 2013

Fakta sebenar National Feedlot Centre (NFC) dan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp)


SEPANJANG kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, pihak pembangkang telah menggunakan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan dan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) bagi memburukkan kerajaan.

Kontroversi itu timbul setelah pihak pembangkang memanipulasi Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang sebenarnya merujuk kepada kelemahan NFC semata-mata.

Walaupun NFC dan NFCorp mempunyai akronim yang hampir sama, ia adalah dua entiti yang berbeza.

Sebenarnya, tanggungjawab untuk menjayakan NFC bukan terletak di bahu NFCorp semata-mata sebaliknya turut melibatkan beberapa syarikat lain yang dipilih untuk membangunkan prasarana dan sebagai operator di pusat berkenaan.

Masalah juga berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan ketika itu seperti yang telah ditegur dalam laporan audit termasuk pembinaan prasarana substandard dan kegagalan membangunkan pusat penyembelihan berkapasiti 350 ekor sehari walaupun ia merupakan komponen kritikal dalam projek berkenaan.

Berikut adalah jawapan terhadap tuduhan pembangkang termasuk yang ditujukan kepada Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

Ini bagi membolehkan rakyat menilai sendiri kesahihan tuduhan yang dibuat oleh pihak terbabit khususnya Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.


Mohamad Salleh Mempunyai Kelayakan Untuk Terlibat Dalam Bidang Ternakan Lembu

Anak kelahiran Kelantan yang didakwa pembangkang tidak berkelayakan sebenarnya bukan asing dengan ternakan lembu kerana telah terlibat memelihara haiwan itu sejak zaman remaja lagi di kampungnya.

Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ijazah dalam bidang yang mempunyai kaitan dengan ternakan iaitu Sains dan Teknologi Pemakanan di University of South Bank, London pada 1973. Beliau kemudiannya berjaya memperoleh doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang sama dari Cornell University, Amerika Syarikat (AS) pada 1977 ketika berusia 29 tahun.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau telah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan jawatan terakhir adalah sebagai ketua jabatan berkenaan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pakar runding dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama lima tahun untuk seluruh Asia.

Sesuai dengan kepakaran yang dimilikinya, beliau telah menubuhkan syarikat yang menjalankan perniagaan dalam bidang ternakan dan makanan iaitu Agroscience Industries Sdn. Bhd. pada 2006.

Sebelum itu, beliau telah banyak berjasa kepada negara termasuk sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Taman Teknologi Malaysia (TPM) yang pertama.

Antara kajian yang telah dilakukan beliau adalah bagi menghasilkan makanan yang bersesuaian untuk membolehkan lembu Wagyu yang mempunyai daging berkualiti tinggi diternak di kawasan beriklim tropika seperti Malaysia.

Kajian ini membolehkan lembu jenis itu menghasilkan 700 hingga 800 kilogram daging setiap ekor, berbanding baka lembu tempatan yang hanya dapat memberikan maksimum 250 hingga 300 kilogram daging setiap ekor.

Kajian lain adalah mengenai kaedah menggunakan sisa buangan pusat sembelih bagi menjana tenaga elektrik.

Anak-anak Mohamad Salleh Berkemampuan Urus Syarikat

Tiga anak Mohamad Salleh yang terlibat dalam pengurusan syarikat itu ialah Pengarah Urusan, Wan Shahinur Izran dan pengarah-pengarah eksekutif, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah.

Mereka yang menerima ijazah ketika berusia muda iaitu 20 tahun sebenarnya mempunyai kelayakan akademik yang mencukupi untuk membolehkan mereka memegang jawatan itu.

Wan Shahinur Izran berkelulusan ijazah dalam bidang sains komputer dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 dari California State University, AS. Beliau juga pernah menjadi pelajar terbaik kampusnya.

Wan Shahinur Izmir pula bekelulusan ijazah dalam bidang Komunikasi Organisasi dari California State Polytechnic University (Cal Poly Pomona), AS manakala Wan Izzana Fatimah Zabedah mendapat ijazah dalam bidang bioteknologi dari universiti sama.

Ketiga-tiga mereka pada mulanya enggan pulang kerana ingin meneruskan kerjaya di luar negara termasuk Wan Izzana Fatimah Zabedah yang ketika itu membuat penyelidikan di Institut Penyelidikan Kanser di California, AS.

Mereka terpaksa pulang setelah dipujuk oleh Mohamad Salleh yang memerlukan satu pasukan yang betul-betul setia kepadanya bagi menjayakan projek.

NFCorp sebenarnya bukan syarikat anak beranak seperti yang didakwa Rafizi kerana ia juga menggajikan 16 pekerja kaum Cina termasuk dilantik Pengurus Kewangan.

Satu persoalan yang masih lagi belum terjawab sehingga kini ialah kenapa kesemua mereka telah berhenti setelah bekerja selama enam bulan dengan NFCorp?

Pada 2011, syarikat itu turut membuat laporan polis mendakwa salah seorang pekerja yang berhenti berkenaan telah mencuri maklumat kewangan syarikat terbabit untuk diberikan kepada DAP yang kemudiannya menyerahkannya kepada PKR.

Kenapa Rafizi hanya mengkritik NFCorp sebagai syarikat anak beranak sedangkan ramai jutawan Cina Malaysia yang berjaya juga melantik anak-anak mereka bagi memegang jawatan tinggi dalam syarikat?

NFCorp Dipilih Berasaskan Merit

Satu jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dengan dianggotai Ketua Setiausaha kementerian dan pengarah-pengarah berkaitan pada 2006 telah memilih NFCorp setelah berpuas hati dengan pembentangan kertas kerja pembuktian konsep oleh syarikat itu.

Ia berjaya mengetepikan sembilan syarikat lain kerana konsep bisnes yang dikemukakan oleh NFCorp adalah menyeluruh berdasarkan kaedah ‘Farm-To-Fork’ (dari ladang ke garpu).

Dalam pembentangan itu, syarikat berkenaan menyatakan kesediaan terlibat dalam membiak dan menggemukkan lembu, menyembelih, menghasilkan daging lembu dan lain-lain produk berasaskan daging, fidlot, ladang kontrak, pengeluaran bahan makanan lembu, penghasilan tenaga daripada biogas, penghasilan baja, promosi, pengedaran ke pasar raya dan pasar basah, khidmat jualan, mengoperasikan restoran dan mewujudkan pasar raya khusus.

Syarikat itu kemudiannya turut membuat beberapa pembentangan lain termasuk kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Pasukan Petugas Pelaksanaan Negara (NITF) pada 2007 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai Timbalan Perdana Menteri dan enam menteri berkaitan yang turut berpuas hati dengan konsep bisnes yang dikemukakan.

NFCorp Tidak Membazirkan Duit Rakyat

Dana RM250 juta yang diluluskan kerajaan pada Disember 2007 sebenarnya bukan geran sebaliknya adalah satu bentuk pinjaman yang perlu dibayar balik. Kadar faedah yang dikenakan kerajaan adalah sebanyak dua peratus.

Sebelum projek ini ‘dibunuh’ oleh pihak pembangkang, syarikat NFCorp mempunyai keyakinan tinggi untuk membayar balik pinjaman kerana ia dijangka memperoleh keuntungan RM70 juta setahun berbanding bayaran balik pinjaman sebanyak RM17.7 juta setahun.

Mohamad Salleh Tidak Perlu Bantuan Shahrizat Bagi Mendapatkan Projek

Sebagai seorang yang berkelulusan Ph.D dalam bidang Sains dan Teknologi Pemakanan serta berpengalaman sebagai pakar runding FAO, sudah tentu beliau tidak memerlukan nasihat daripada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Seperti yang selalu disebut oleh Mohamad Salleh yang pernah menerajui TPM, adalah tidak bermaruah untuk beliau meminta pertolongan isterinya dalam bidang makanan dan bioteknologi yang beliau sendiri mempunyai pengalaman.

“Kalau dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang bukan kepandaian saya, Tun Dr. Mahathir Mohamad pilih saya (untuk menerajui TPM), takkan kerana kepandaian saya dalam bidang pertanian, bioteknologi dan makanan, saya kena minta tolong isteri saya," katanya.

Ini memandangkan beliau sendiri mempunyai kebolehan dan pengalaman termasuk 18 tahun menerajui TPM. Sebenarnya, konsep perniagaan NFCorp mempunyai persamaan dengan TPM.

Mohamad Salleh juga sentiasa berpegang kepada prinsip untuk tidak membincangkan soal perniagaan dengan isterinya. Shahrizat juga tidak dibenarkan berkunjung ke pejabat suaminya.

Konsep Perniagaan NFCorp Menguntungkan

Konsep perniagaan NFCorp tidak merugikan seperti yang didakwa pembangkang. Sepanjang beroperasi, syarikat itu telah berjaya membiak baka 80 ekor lembu Wagyu yang tahan dengan cuaca tropika. Haiwan berkenaan juga sihat dan tidak kurus kering seperti yang didakwa oleh Rafizi.

NFCorp juga telah mencapai sasaran apabila membawa masuk lebih 8,000 ekor lembu dari Australia untuk digemukkan dan disembelih.

Daging lembu yang dihasilkan juga mendapat sambutan hangat pasar raya dan pasar raya besar di Malaysia kerana ia berkualiti tinggi dengan harga setara dengan daging sejuk beku yang diimport.

Sekiranya tidak ‘diganggu’ oleh pihak pembangkang, NFCorp dijangka menjadi satu-satunya syarikat di Malaysia yang berjaya menghasilkan makanan ternakan lembu sendiri.

Ia juga dijangka dapat menjimat kos elektrik sebanyak RM60 juta setahun kerana akan menggunakan sepenuhnya tenaga elektrik yang dikitar semula daripada sisa pusat sembelihan.

Sisa-sisa juga boleh dibuat baja dan untuk membiak alga yang boleh diguna semula untuk makanan ternakan.

Konsep perniagaan syarikat itu jika dilaksanakan sepenuhnya akan menjana pendapatan RM340 juta setahun dengan keuntungan kira-kira 20 peratus daripada jumlah itu atau RM70 juta setahun.

Transformasi perniagaan yang dibawa oleh NFCorp juga akan membantu 310 penternak yang akan membekalkan 186,000 lembu menjelang 2014 melalui kaedah ladang kontrak. Seorang penternak dijangka akan mendapat pendapatan minimum RM10,000 sebulan.

Penglibatan NFCorp akan mengurangkan import daging dari luar negara sebanyak 20 peratus dan mengurangkan penggantungan kepada gelatin import yang 99 peratusnya adalah berasaskan kepada sumber khinzir.

Hakikat itulah yang ditakuti oleh kartel pengimport daging yang dikuasai bukan Melayu yang telah melakukan pelbagai cara bagi ‘membunuh’ NFCorp. Sampai bilakah umat Islam akan terus memakan daging import dari India, Amerika Latin, Australia dan lain-lain negara yang diragui status halalnya?

Cukup menyedihkan apabila orang Melayu menyerang kaumnya sendiri semata-mata untuk memberikan keuntungan kepada kartel pengimport bukan Melayu.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 Tidak Menyebut Penyelewengan NFCorp

NFCorp telah menerima surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bertarikh 25 Januari 2012 yang menjelaskan tiada dalam laporan itu yang menyatakan syarikat berkenaan tidak mencapai sasaran.

Sebaliknya, laporan itu hanya menyebut objektif projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) masih belum dicapai sepenuhnya.

NFC diuruskan oleh kerajaan yang memang perlu dipantau oleh Ketua Audit Negara manakala NFCorp adalah entiti perniagaan yang tidak perlu diaudit oleh pihak berkenaan.

Ambrin juga menafikan laporan itu menyebut projek berkenaan berada dalam kucar kacir, in a mess atau pun berlaku penyelewengan. Perkataan itu sebenarnya digunakan oleh pihak pembangkang yang sengaja memutarbelitkan laporan berkenaan.

Teguran terhadap NFCorp dalam laporan itu hanya mengenai prasarana seperti jalan, pagar dan kolam yang sebenarnya dibina oleh kerajaan tetapi tidak diselenggara dengan baik oleh syarikat berkenaan.

Keadaan itu berlaku kerana sebulan sebelum pengauditan dibuat, banjir besar telah melanda kawasan berkenaan dan belum sempat dibaiki.

Pembelian Hartanah Dibenarkan Dalam Perjanjian Langkah membeli hartanah yang dianggap salah oleh Rafizi hanya dibuat setelah kerajaan menggantung projek NFC dan ia dibeli di atas nama NFCorp dan bukannya atas nama individu.

Ia dibuat kerana pengalaman Mohamad Salleh menunjukkan pelaburan dalam bidang hartanah tidak merugikan.

Pembelian hartanah dibenarkan seperti yang tercatat dalam Perkara 12 yang terkandung dalam dokumen perjanjian pemberian pinjaman oleh pihak kerajaan.

Tidak Berlaku Penyaluran Dana Tidak Sah Dari NFCorp Kepada NMLC

Dakwaan Rafizi dana disalurkan secara tidak sah daripada NFCorp kepada syarikat milik keluarga Mohamad Salleh iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd. (NMLC) juga tidak berasas.

Sebenarnya NFCorp telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan pada Mac 2009 bagi memaklumkan hasrat menjadikan NMLC sebagai syarikat induk dan bukannya anak syarikat kepada NFCorp seperti sedia ada.

Ini kerana NMLC yang terlibat menguruskan ladang kontrak, memproses dan menjual daging mampu menjana pendapatan lebih banyak berbanding NFCorp yang hanya terlibat membela lembu.

Pemindahan dana kepada NMLC adalah sejajar dengan keputusan menjadikan syarikat itu sebagai syarikat induk dan tiada dana yang masuk ke dalam poket individu sebenarnya.

Berdasarkan fakta-fakta tersebut, adalah menyedihkan apabila orang Melayu sanggup memburuk-burukkan dan menghancurkan perniagaan bangsanya sendiri. Pelan perniagaan yang bagus terjejas akibat mainan politik orang Melayu sendiri.

Oleh : NIZAM YATIM

Rujuk juga:-
Fitnah Anwar terhadap NFC - Satu penjelasan
Penjelasan Ketua Audit Negara Malaysia mengenai isu NFC
Antara Projek Lembu Fidlot Kerajaan Persekutuan Dengan Projek Kambing Janapari Kerajaan Kelantan, Mana Yang Gagal???
Rujukan lain:- Sila klik
Laporan Ketua Audit Negara 2010 - PROJEK PUSAT FIDLOT NASIONAL ms. 135 - ms. 147
The Star 25.10.2011 - "Headless" National Feedlot Centre project
The Star 29.10.2011 - Project meant for 8,000 heads of cattle but only 3,289 produced
The Star 30.10.2011 - Noh to explain feedlot centre problems
The Star 10.11.2011 - Shahrizat: Opposition out to destroy me and Wanita Umno
The Star 15.11.2011 - MACC passes RM9.8mil condo case to cops
The Star 16.11.2011 - National Feedlot Centre should explain operations, says Muhyiddin
The Star 17.11.2011 - National Feedlot Corp is not a ‘mess’, says chairman
The Star 18.11.2011 - Chairman: NFC not in a mess
The Star 18.11.2011 - NFC chairman explains income from condominiums
The Borneo Post 20.01.2012 - NFC : Shahrizat files RM100 million defamation suit against PKR's Rafizi & Zuraida
The Star 25.01.2012 - Auditor-General: We never said NFC in a mess
The Star 11.03.2012 - Chronology of the NFCorp issue
The Star 31.05.2012 - NFC scandal: Shahrizat cleared of involvement
NST 07.08.2012 - Shahrizat's defamation suit against Rafizi : I wasn't involved in NFCorp affairs
The Star 11.08.2012 - Shahrizat's defamation suit against Rafizi : I only learnt of family’s involvement in cattle breeding project in 2007
The Star 18.03.2013 - Shahrizat's defamation suit against Rafizi : Family members didn't discuss condo purchase with me
The Star 11.07.2013 - Government has recovered RM80mil from NFCorp, says Ahmad Husni
The Star 25.07.2013 - Japanese company to take over NFCorp's assets and liabilities

4 comments:

  1. Nyata balasan jawapan tuan langsung tidak bertanggungjawab dan penuh persoalan mungkin tuan juga adalah seorang yang makan hasil duit pembayar cukai

    ReplyDelete
  2. I now understand the issues and the explanation provided by this article with referrences to justify NFC which has been overly politicised since 2013.Thank you.

    ReplyDelete
  3. Cantek perancangan...pelaksanaan napa gagal...sebab rafizi...hebat rafizi sabotaj....buat filem leh laku ni...

    ReplyDelete

Popular Posts

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP