Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Wednesday, August 2, 2017

Cari jalan keluar mengatasi isu anak luar nikah -- Usah zalimi anak zina



Cari jalan keluar mengatasi isu anak luar nikah -- Usah zalimi anak zina

BANYAK respons diterima mengenai isu `Anak zina boleh bin kepada bapa' yang menjadi tajuk fokus majalah Al Islam yang sedang berada di pasaran.

Beberapa orang memberitahu penulis melalui e-mel, surat dan telefon serta orang tengah bahawa mereka membantah penulis menyiarkan fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi, Ibn Taimiah, Ibn al-Qaiyyim, Urwah bin az-Zubeir, al-Hasan al-Basri dan Ishaq bin Rahawaih yang membenarkan anak zina dibin kepada `bapanya' jika dia berkahwin dengan `emaknya' tanpa mengehadkan masa hamil enam bulan seperti fatwa yang diguna pakai di negara ini.
Salah seorang daripada mereka merupakan pegawai agama yang menganggap fatwa berkenaan selain dianggap boleh mengelirukan masyarakat, ia juga menggalakkan perzinaan.
Bagaimanapun, respons orang yang bersetuju dengan fatwa itu lebih ramai termasuk beberapa ulama besar tanah air.
Beberapa orang daripada mereka berkata, jika fatwa tersebut digunakan di negara ini, tidak ragu lagi dianggap boleh membantu masalah anak zina yang menjadi salah satu masalah besar itu. Sesetengah ulama yang tidak sempat membaca fokus anak zina dalam majalah Al Islam dan petikan sebahagian rencananya yang disiarkan di ruangan ini dua minggu lalu berjanji akan membuat kajian selepas membacanya.
Selain itu secara mulut penulis telah meminta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad supaya membuat kajian lanjut tentang fatwa berkenaan. Beliau yang bersua dengan penulis pada satu majlis mesyuarat minggu lalu berjanji akan melakukan perkara itu.
Pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terutama yang memperjuangkan hak wanita boleh juga menjadikan salah satu agenda kegiatannya untuk memperjuangkan fatwa yang boleh membantu menyelesaikan fenomena anak zina. Penulis percaya isu anak zina patut memberi keutamaan melebihi isu poligami yang diberi perhatian oleh banyak NGO kini.
Begitu juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu memberi perhatian kepada isu bin anak zina ini. Malah Kementerian Dalam Negeri pun boleh terlibat sama kerana fenomena anak zina tidak begitu berbeza dengan video lucah yang sedang diperangi secara bersungguh-sungguh. Kepada mereka yang tidak bersetuju dengan fatwa yang membolehkan anak zina dijadikan anak yang sah taraf jika bapanya berkahwin dengan emaknya walaupun masa hamil tidak cukup enam bulan kerana menganggap fatwa itu menggalakkan muda-mudi berzina dulu sebelum berkahwin perlu juga memikirkan fatwa yang sedia ada dan diguna pakai di Malaysia.
Penulis merumuskan fatwa itu sebagai fatwa tidak cukup enam bulan hamil dan merumuskan fatwa yang sedia ada dan diguna pakai di Malaysia sebagai fatwa enam bulan hamil.
Kenapa perlu memikirkan juga mengenai fatwa enam bulan hamil?
Kerana jika mereka menganggap fatwa tidak cukup enam bulan hamil menggalakkan muda-mudi berzina sebelum berkahwin, fatwa enam bulan hamil pun memain peranan yang sama juga kerana ia juga memberi peluang kepada pasangan berkahwin selepas terlanjur. Cuma yang berbeza antara kedua ialah fatwa yang pertama tidak dibatas masa hamil enam bulan (lebih empat bulan berzina baru kahwin) dan fatwa yang kedua dibataskan dengan masa hamil enam bulan (empat bulan berzina baru berkahwin).
Perlu diterangkan bahawa hukum yang terkandung dalam kedua-dua fatwa itu adalah merupakan hukum ijtihad yang bermaksud ia bukan hukum yang dijelas oleh Allah dalam al-Quran secara qatiyyah ad-dalalah atau secara putus dan muktamad. Dalam erti kata lain para ulamalah yang mencipta hukum berdasarkan ijtihad mereka dengan berpandukan ayat al-Quran yang umum atau mengqiaskan ayat-ayat al-Quran mengenai hukum terhadap perkara lain. Mereka juga berpandukan hadis Rasulullah s.a.w. yang mempunyai kedudukan hampir sama ayat-ayat al-Quran mengenai anak zina itu.
Jadi begitulah kedudukan hukum mengenai anak zina, maka tidak patutlah kita berpegang mati-matian dengan satu fatwa ijtihad dan menolak fatwa ijtihad yang lain. Dengan itu apakah alasan yang dianggap terkuat menyebabkan kita perlu berpegang dengan fatwa enam bulan hamil dan menolak fatwa tidak cukup enam bulan hamil?
Tidakkah fatwa tidak cukup enam bulan hamil lebih relevan dengan suasana dan zaman kita sekarang untuk memerangi fenomena membunuh, membuang, menganiaya dan menzalimi anak zina yang berleluasa kini?
FENOMENA
Penulis percaya semua mengetahui tentang fenomena membunuh dan membuang anak zina, tetapi mungkin ada yang kurang jelas mengenai penganiayaan dan penzaliman yang dilakukan ke atas anak yang tidak berdosa itu.
Sebenarnya membunuh dan membuang anak zina memang dianggap penganiayaan dan penzaliman juga. Manakala hukum terhadap orang yang melakukan penganiayaan dan penzaliman ke atas anak zina itu boleh sampai ke peringkat dihumban ke dalam neraka oleh Allah secara berkekalan.
Yang dimaksudkan penganiayaan dan penzaliman ke atas anak zina di sini termasuk juga tindakan mengebinkan anak zina dengan Abdullah atau mana-mana al-Asma al-Husna. Ini kerana akan menyebabkan anak yang tidak berdosa itu terhina sepanjang hidup. Apakah ulama kita tidak berasa berdosa membiarkan orang-orang terlanjur menggunakan fatwa lemah yang menghina anak mereka sepanjang hidup itu?
Apakah ulama kita tidak terfikir bahawa fatwa itu seperti bercanggah dengan firman Allah (an-Najm: 38) yang memperuntukkan bahawa anak tidak menanggung dosa kedua-dua ibu bapanya?
Sebenarnya mengebinkan anak yang terhasil daripada perbuatan keji suami isteri sebelum mereka berkahwin kepada Abdullah dan mana-mana al-Asma al-Husna bukan hukum Allah yang bersifat putus dan muktamad, tetapi ia hukum yang ijtihad ulama yang tidak bersifat putus dan muktamad.
Dengan itu jangan ada di kalangan kita pandai-pandai menganggap hukum yang terkandung dalam fatwa itu tidak boleh berubah dan mesti dilaksanakan sampai bila-bila. Kerana jika ada di kalangan kita yang menganggap begitu bererti mereka berbohong dan berdusta atas nama Allah yang amat besar dosanya.
Cuba perhatikan firman Allah ini: Maka sesiapa yang mereka-rekakan kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (Ali Imran: 94). Begitu juga firman Allah: Dan siapakah lagi yang lebih aniaya daripada orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keterangan-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya (al-Anaam: 21).
Jika kita melakukan penganiayaan dan penzaliman yang terlalu besar, kita boleh dihumban ke dalam neraka menurut al-Quran. Mengenai perkara ini Allah berfirman: Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan daripada api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (daripada api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya) (al-Araf: 41).
Bagaimanapun, itu hanya hukum melakukan penganiayaan dan penzaliman terhadap anak yang tidak berdosa dengan mengebinkan mereka kepada Abdullah dan lain-lain al-Asma al-Husna. Sedangkan yang melakukan penganiayaan dan penzaliman yang sampai ke peringkat membunuh anak yang tidak berdosa itu mungkin akan dihumban ke dalam neraka serta secara berkekalan di dalamnya buat selama-lamanya. Ini kerana Allah berfirman: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar (An-Nisa: 93).
Ayat-ayat di atas juga menjadi jawapan yang jelas kepada mereka yang mendakwa bahawa fatwa yang membolehkan anak zina dijadikan anak yang sah taraf jika bapanya berkahwin dengan emaknya walaupun masa hamil tidak cukup enam bulan sebagai menggalakkan perzinaan tidak mempunyai hujah dan alasan yang kuat.
Dalam pada itu patut juga membandingkan hukum berzina dengan hukum melakukan penganiayaan dan penzaliman ke atas anak zina, sama ada dengan mengebinkan mereka dengan Abdullah mahupun dengan mencampak dan membunuh mereka.
Hukum berzina adalah dosa yang amat besar seperti disebut dalam al-Quran, tetapi dalam ayat-ayat al-Quran yang lain termasuk ayat-ayat yang disebut di atas memperuntukkan bahawa hukum menganiaya dan menzalimi anak zina, dosa adalah jauh lebih besar daripada dosa berzina itu.
Akhir sekali penulis ingin jelaskan bahawa disebabkan kita mengamal fatwa ijtihad ulama yang lemah dan tidak lagi relevan dengan suasana dan zaman kita itulah menyebabkan kebanyakan orang Melayu/ Islam yang menggunakan jalan keluar mencampak anak di tepi jalan dan membuang mereka ke dalam longkang dan tong sampah.
Bangsa-bangsa lain kurang melakukan perkara itu kerana mereka tidak mempunyai fatwa yang lemah dan tidak relevan itu dalam agama mereka. Orang Melayu/Islam melakukan kemungkaran yang dianggap dosa paling besar itu kerana mereka percaya kepada fatwa itu sebagai hukum Allah yang tidak berubah dan bertolak ansur dan seterusnya mereka menganggap anak yang terbentuk daripada darah daging mereka secara biologikal itu bukan anak mereka. Lalu mereka pun melakukan dosa paling besar dengan mencampak anak mereka di tepi jalan atau membuangnya ke dalam longkang dan tong sampah. Hukum yang terkandung dalam fatwa yang lemah dan tidak relevan itu yang menggalakkan mereka menjadi orang tidak berhati perut macam hantu pelesit. Akibatnya taraf anak yang tidak berdosa itu menjadi hampir sama dengan binatang kerana jika dia perempuan, bapanya dianggap sah berkahwin dengannya seperti pendapat sesetengah ulama. Kebanyakan binatang melakukan hubungan seks dengan anak sendiri.

Oleh ASTORA JABAT


bicara agama
ARKIB : 25/05/2003


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4oaH2DmMG 
© Utusan Melayu (M) Bhd


Sila klik di pautan di bawah...

1. Jalan keluar bagi pasangan yang sudah terlanjur - Anak zina dibin pada bapa


2. Penghakiman bertulis Panel Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia pada 25 Julai 2017 yang membenarkan anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan Qamariah dari tarikh ibubapanya bernikah layak diBINkan atas nama bapanya (bukan Abdullah lagi) di bawah Seksyen 13a(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, 1957



Jalan keluar bagi pasangan yang sudah terlanjur - Anak zina dibin pada bapa

Jalan keluar bagi pasangan yang sudah terlanjur - Anak zina dibin pada bapa

Hanya dua jalan keluar sahaja yang disering digunakan untuk masalah anak zina di Malaysia:-

Pertama, menjadikan seseorang anak zina itu berbin/binti Abdullah dan mana-mana nama Allah yang dipanggil al-Asma'u al-Husna. Jalan keluar yang pertama ini dianggap sah dari segi hukum agama walaupun bukan dianggap terbaik.

Kedua, mencampak atau membuangkan anak zina di tepi jalan, dalam longkang dan tong sampah. Jalan keluar kedua ini pula dianggap haram dan tidak sah dari hukum agama. 

Beberapa jalan keluar lain yang juga dianggap sah dari segi hukum agama dan mungkin dianggap lebih baik daripada mengebinkan anak zina dengan Abdullah atau mana-mana nama Allah al-Husna yang lain, tetapi ia tidak digunakan oleh orang Islam di Malaysia. Demikian itu kerana orang Malaysia lebih suka berpegang dengan hukum fikah yang bersifat satu pandangan dan satu mazhab. Mereka tidak mahu terbuka kepada pandangan-pandangan dan mazhab-mazhab yang lain.
Dua daripada jalan keluar itu akan dibincang secara terperinci di bawah ini.
Berdasar kepada perangkaan tahun 2001, Malaysia mempunyai 53,309 anak zina atau anak tidak sah taraf. Jumlah itu didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tahun 1999 hingga tahun 2001. Ia bukan angka kecil yang boleh dipandang remeh. Penulis tidak mempunyai perangkaan mutakhir, tetapi sudah tentu ramai juga yang didaftar sepanjang tahun lalu dan sehingga empat bulan pertama tahun ini.
Mungkin ramai juga anak zina tidak didaftar dengan JPN. Begitu juga jumlah anak zina yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, tepi masjid, di dalam longkang, tong sampah dan lain-lain.
Apakah semua yang dianggap anak zina itu benar-benar anak zina? Mungkin ada di antara ribuan anak zina yang didaftar atau tidak didaftar dengan JPN atau yang dicampak atau ditinggalkan di tepi jalan, di tepi masjid, dalam longkang dan tong sampah itu sebenarnya bukan anak zina atau boleh dipulih taraf menjadi anak yang sah dari segi hukum syarak. Tetapi mereka yang terlanjur tidak mengetahui perkara itu dan mengambil tindakan yang tidak tepat dengan memangsakan anak mereka.
Sebagai contoh seorang gadis hamil kerana terlanjur dengan tunangnya. Pasangan ini pula tidak mengambil tindakan yang tepat untuk menyelesaikan dilema yang dihadapi. Sepatutnya si gadis yang hamil itu dan tunangnya terus melangsungkan perkahwinan. Tetapi kerana mereka kurang pengetahuan tentang hukum agama serta malu atau takut kepada keluarga, maka mereka membiarkan masalah yang boleh diatasi (hamil) dengan mudah itu menjadi masalah besar (kelahiran anak zina) yang sukar diatasi. Padahal Islam mempunyai jalan keluar bagi menyelesaikan masalah anak yang terhasil daripada perbuatan zina menjadi anak yang sah taraf dari segi hukum syarak.
Salah satu jalan keluar yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ialah lelaki dan wanita yang terlanjur mesti berkahwin secepat mungkin dan anak yang lahir melebihi tempoh enam bulan dalam kandungan selepas mereka berdua berkahwin adalah anak yang sah taraf dari segi hukum syarak. Anak mereka berdua itu bukan lagi anak zina walaupun terhasil daripada perbuatan zina mereka.
Apakah orang-orang yang telah terlanjur mengetahui ada jalan keluar seperti ini?
Penulis membentangkan di sini salah satu lagi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah orang yang terlanjur itu dan sekali gus dapat menyelamatkan ramai anak zina. Untuk membentangkan jalan keluar yang luas ini, penulis merujuk kepada fatwa ulama pembangkang Mesir terkenal, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dan beberapa kitab ulama zaman silam di mana penulis menyebut nama kitab-kitab berkenaan serta nombor juz dan nombor muka suratnya supaya mudah dirujuk oleh sesiapa saja yang ingin mendapat ilmu secara lebih terperinci.
Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, anak zina boleh dibin kepada bapanya dan dia dianggap anak yang sah dan mendapat segala hak yang ditetapkan oleh hukum syarak jika bapanya berkahwin dengan ibunya. Beliau tidak menganggap anak perlu berada dalam kandungan ibu yang terlanjur selama melebihi enam bulan sebelum dia diijabkabulkan dengan pasangannya seperti kata ulama-ulama lain.
Fatwa yang agak janggal di Malaysia ini bukan sama sekali fatwa baru yang diijtihad oleh Dr. Al-Qaradawi, tetapi ia merupakan fatwa lama yang merujuk kepada Rasulullah s.a.w., beberapa orang sahabat, tabii dan ulama terdahulu (salaf) dan terkemudian (khalaf).
Bagaimanapun, fatwa ini tidak diguna pakai langsung di Malaysia. Sebaliknya yang diguna pakai ialah fatwa yang memperuntukkan bahawa anak yang lahir dari ibu yang hamil melebihi tempoh enam bulan setelah dia diijabkabulkan dengan lelaki yang terlanjur dengannya adalah anak sah taraf.
Dalam erti kata lain jika seorang wanita terlanjur dengan seorang lelaki dan hamil tiga bulan atau lebih tiga bulan, kemudian dia diijabkabulkan dengan lelaki itu, maka anak yang dilahirkan dianggap anak mereka yang sah dari segi hukum syarak.
Namun begitu terdapat cerdik pandai agama kita yang tidak menerima fatwa yang membolehkan anak yang lahir daripada ibu yang hamil melebihi enam bulan itu sebagai anak yang sah. Sebaliknya mereka berkata, anak hasil perbuatan zina antara lelaki dan wanita itu tetap dianggap anak zina walaupun mereka berkahwin secara sah tiga bulan selepas mereka terlanjur.
PERKAHWINAN
Secara harfiah Dr. Al-Qaradawi dalam fatwanya berkata, penzina lelaki dan penzina wanita jika mereka berdua bertaubat kepada Allah dan menghendaki keluar daripada haram kepada halal, keluar daripada kehidupan yang kotor kepada kehidupan yang bersih dan mahu mengubah kehidupan mereka berdua daripada zina yang diharamkan untuk hidup dalam kehalalan, maka perkahwinan mereka berdua dianggap sah (oleh ulama) secara ijmak (konsensus). Kebanyakan (jumhur) ulama fikah tidak menjadikan taubat sebagai syarat kesahan berkahwin dengan penzina wanita seperti diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab di mana dia telah memukul (iaitu mengenakan hukum sebat ke atas) seorang lelaki dan seorang wanita dalam kes zina dan dia (Umar) mengambil berat untuk mengumpul (mengahwinkan) mereka berdua.
Cuma ulama mazhab Hanbali sahaja yang meletakkan syarat bertaubat dan mereka berhujah dengan firman Allah: (an-Nur: 3) Lelaki yang berzina tidak berkahwin kecuali wanita yang berzina atau wanita yang musyrik; dan wanita yang berzina tidak berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik; dan yang demikian itu diharam ke atas orang-orang yang beriman.
Mengenai tindakan mengebin atau menasabkan anak zina, Dr. al-Qaradawi berkata, beberapa orang fuqaha Salaf seperti `Urwah bin az-Zubeir, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahawaih dan lain-lain mengharuskan istilhaq (menggabung/mengebin/menasabkan) anak zina kepada lelaki yang mendakwanya jika wanita (yang berzina dengan lelaki itu) bukan isteri orang kerana belum pernah berkahwin atau telah diceraikan atau seorang janda.
Dr. Al-Qaradawi mengutip pandangan Ibn Taimiah dan Ibn Al-Qaiyyim untuk berhujah tentang perkara itu. Beliau berkata, Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Al-Qaiyyim mentarjih (mengutama dan menguatkan) pandangan tersebut. Ibn Al-Qaiyyim selepas menyebut hadis: Anak adalah bagi katil dan bagi lelaki pelacur adalah hajar. Yang dimaksudkan dalam hadis anak adalah bagi katil ialah mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba wanita yang dimiliki.
Manakala yang dimaksudkan dalam hadis: Bagi lelaki pelacur adalah hajar ialah bagi lelaki yang mengadakan hubungan seks secara haram adalah batu, iaitu kena rejam dengan batu atau tidak dapat apa-apa termasuk anak seolah-olah dia hanya dapat biji-biji batu dan pasir yang tidak berharga. Lihat Syarh an-Nawawi Ala Sahih Muslim, juz 10, muka surat 37.
Ibn Al-Qaiyyim berkata, menurut Dr. Al-Qaradawi jika dikatakan hadis itu menjadi dalil hukum mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak pemilik katil (iaitu suami), maka apa pula akan dikatakan jika penzina mengistilhaq (menggabung/mengebin dan menasabkan) anak yang bukan katil?
Terdapat orang yang menentang, apakah disambungkan anak zina itu dengan nasab lelaki dan disabitkan hukum nasab ke atasnya? Katanya masalah ini merupakan masalah yang jelas di mana ulama berbeza pandangan tentangnya. Ishaq bin Rahawaih menganggap anak kelahiran dari perbuatan zina jika tidak dilahir atas katil yang didakwa dimiliki oleh seseorang dan penzina mendakwa anak itu adalah anaknya, disambungkan anak zina itu kepadanya. Ishaq bin Rahawaih mentakwilkan sabda Nabi s.a.w.: Anak adalah bagi katil, yang digunakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan antara penzina dengan pemilik katil. Itulah mazhab Al-Hasan Al-Basri yang meriwayatkan daripadanya Ishaq bin Rahawaih dengan sanadnya mengenai seorang lelaki berzina dengan seorang wanita dan wanita itu melahirkan seorang anak lelaki, maka lelaki itu mendakwa anaknya.
Al-Hasan Al-Basri berkata: ``Lelaki disebat dan anak dipertanggungjawab kepadanya.'' Ia juga mazhab `Urwah bin Az-Zubeir dan Sulaiman bin Yasar yang diriwayat mereka berkata: ``Mana-mana lelaki datang kepada budak dan mendakwa ia merupakan anak dan dia berzina dengan emaknya dan tidak mendakwa budak itu ke atas sesiapa, ia (budak) adalah anaknya.
Sulaiman bin Yasar berhujah bahawa Umar bin Al-Khattab menggabungkan anak-anak orang jahiliah dengan mereka yang mendakwa sebagai anak mereka dalam Islam. Mazhab ini adalah kuat dan jelas.
Untuk menyokong fatwa Dr. Al-Qaradawi itu penulis merujuk kepada pandangan Imam Asy-SyafiI dalam kitab al-Umm (al-Umm, juz 6, muka surat 197) di mana beliau berkata, Rasulullah s.a.w. menghukum dengan katil (iaitu mengikut apa yang berlaku di atas katil antara lelaki dan wanita yang berkahwin secara sah atau antara lelaki dan hamba yang dimiliki) Jika lelaki mengaku bersetubuh dengan emaknya, anak itu digabung (dibin dan dinasabkan) dengannya kecuali jika dia mendakwa istibra wanita itu selepas bersetubuh dengannya dan kemudian dia tidak mendekatinya. Maksud istibra ialah tidak bersetubuh dengan isteri selepas datang haid.
Pandangan yang serupa diungkap oleh Ibn Qudamah di mana beliau menulis dalam kitab al-Mughni (al-Mughni, juz 6, muka surat 228) dengan berkata, anak zina tidak boleh digabung kepada penzina menurut pandangan kebanyakan ulama. Tetapi Hasan, Ibn Sirin menganggap boleh digabung kepada penzina jika didirikan ke atasnya hukuman hudud dan anaknya itu boleh mewarisinya pula.
Ibrahim pula berkata digabungkan anak zina dengan penzina jika dia dikenakan hukuman sebat. Ishak juga berkata digabung anak zina dengan penzina. Begitu juga diriwayat daripada `Urwah dan Sulaiman bin Yasar.
Ibn Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid, juz 2, muka surat 268 pula menulis kebanyakan ulama bersepakat bahawa anak zina tidak digabung dengan bapanya kecuali yang berlaku pada zaman jahiliah seperti diriwayat daripada Umar bin Al-Khattab, tetapi para sahabat yang berbeza pandangan tentang perkara itu. Manakala segelintir menganggap anak zina digabung dengan bapanya juga pada zaman Islam.
Ulama dalam mazhab Hanafi juga menganggap jika tidak orang lain mendakwa anak itu anaknya, maka dia adalah milik pendakwa itu. Tetapi jika ada orang lain mendakwa seperti pendakwa pertama, maka pemilik katil diberi keutamaannya (at-Turuq al-Hukmiah, muka surat 324)
Fatwa Ibn Taimiyyah yang dirujuk oleh Dr. Al-Qaradawi terdapat dalam Kutub Wa Rasa-il Wa Fatawa Ibn Taimiah, juz 32, muka surat 137-139. Rujukan-rujukan tambahan lain boleh dilihat dalam kata-kata Imam asy-SyafiI dalam al-Umm, juz 6. muka surat 254, huraian panjang lebar dalam Fathul Bari, juz 12 muka surat 35-37 dan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayat oleh Al-Bukhari, hadis no. 1912, 2348, 2040, 3964, 6252 dan 6646, an-Nasaa'i hadis no. 3433, Muwatta' Imam Malik hadis no. 1224 dan ad-Darimi hadis no. 2139.
Fatwa Dr. Al-Qaradawi di atas boleh didapati di Islamonline.net di alamat: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=76246)
Rencana ini salah satu daripada enam rencana mengenai status anak zina dalam fokus yang disiar dalam majalah Al Islam keluaran Jun yang akan berada dalam pasaran pada 16 Mei ini.
Oleh ASTORA JABAT 

bicara agama

ARKIB : 11/05/2003

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4oaAOvriK 
© Utusan Melayu (M) Bhd


Sila baca juga pautan di di bawah...

Cari jalan keluar mengatasi isu anak luar nikah -- Usah zalimi anak zina


Saturday, March 1, 2014

Hudud: Memecah atau menyatu masyarakat? - Suatu jawapan kepada masyarakat majmuk di Malaysia


Isu hudud sentiasa mendapat perhatian masyarakat Malaysia sama ada di kalangan orang Islam atau yang bukan Islam.  Isu yang masih belum ada penyelesaian muktamad ini menjadi lebih menarik kerana ianya kerap muncul ketika menjelang PRU. Semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang ingin mengambil keuntungan dari isu ini.  Maka adalah sukar diterima jika isu ini hanya semata-mata soal hukum tanpa membabitkan soal politik.

Hukum hudud dalam konteks Malaysia kini ini biasanya dimulakan oleh orang orang politik, kemudian ia merebak ke setiap lapisan masyarakat.  Dari seorang pemandu teksi hingga kepada seorang professor semuanya ghairah membincangkan isu ini dari perspektif dan kemampuan masing-masing.  Yang menariknya walaupun hudud ini adalah hukum Islam dan kadang-kadang digambarkan sebagai kasar dan tidak bertamaddun oleh orang orang yang tidak menyokong undang-undang ini, terdapat juga orang bukan Islam yang bersetuju dengan hudud ini.  Alasannya mudah, kalau hukuman berat pasti penjenayah akan takut.

Di sini saya akan cuba mengemukakan beberapa pandangan tentang hukum hudud ini untuk renungan bersama.  Tidak dinafikan bahawa hudud adalah suatu yang sangat sensitif bagi umat Islam baik di Malaysia atau pun di luar Malaysia.  Umum melihat bentuk hukum hudud sebagaimana yang diperkatakan adalah suatu yang mutlak dan tidak boleh dipertikaikan lagi.  Akan tetapi jika ditinjau pemikiran ulamak dan pemikiran intelektual baik di Malaysia atau pun di peringkat antarabangsa tentang persoalan ini kita dapati ada empat aliran pemikiran yang berbeza-beza.

Empat Aliran Pemikiran:-


Aliran Pemikiran Pertama - yang paling popular ialah sebagaimana aliran pemikiran yang dikemukakan oleh PAS.  Aliran ini mengkatogorikan mencuri, berzina, tuduhan berzina merompak dan murtad (berdasarkan pemikiran ulamak klasik), kemudian ditambah lagi dua kesalahan oleh ulamak-ulamak kemudian iaitu meminum arak dan pemberontakan atau bughah sebagai kesalahan hudud.  Kesemua kesalahan ini akan dihukum mengikut apa yang tercatat dalam Enakmen Hudud Negeri Kelantan Tahun 1993 dan Enakmen Hudud Negeri Terengganu Tahun 2002 yang cuba hendak dilaksanakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan PAS Terengganu dahulu.

Aliran Pemikiran Kedua - aliran pemikiran yang kurang popular.  Akan tetapi ada juga sekali-sekala timbul dalam masyarakat.  Pada dasarnya aliran pemikiran ini bersetuju dengan aliran pemikiran pertama, akan tetapi mereka mempersoalkan tentang faktor masa, suasana dan persekitaran samada kondusif atau tidak untuk dilaksanakan hukum hudud ini.

Aliran Pemikiran Ketiga - suatu aliran pemikiran yang masih belum mendapat perhatian umum terutamanya di kalangan orang awam tentang keperluan konsep hukum hudud ini dinilai semula berdasarkan panduan Al Quran dan As Sunnah.  Demikian juga tentang bentuk rupa hukuman hudud hendaklah dikaji semula berasaskan semangat Al Quran dan Al Hadis dengan mengambil kira perkembangan semasa.  Di kalangan mereka yang boleh digolongkan dalam aliran pemikiran ketiga ini walaupun pada dasarnya ada persamaan, akan tetapi kalaulah diperincikan ada pula beberapa variasi pemikiran masing-masing.

Dan Aliran Pemikiran Keempat - yang secara terbuka menolak pelaksanaan hukum hudud.  Pada mereka hukum ini tidak sesuai dalam masyarakat moden kini, apatah lagi dalam masyarakat majmuk yang terdiri dari berbagai kaum dan agama.

Umumnya sudah ramai yang mengetahui aliran pemikiran pertama, kedua dan keempat.  Sekarang mari kita lihat dan bincangkan hujah hujah yang dibawa oleh Aliran Pemikiran Ketiga yang mampu memberi jalan keluar kepada persoalan hukum hudud hari ini tetapi masih kurang dibincang dan mendapat publisiti orang ramai dan intelektual samada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa. 

Perkara ini tidak menghairankan kita sebab umat Islam kini masih terikat dengan kerangka aliran pemikiran pertama yang bertapak dalam minda dan jiwa ummah sejak dahulu lagi.  Umat Islam selepas abad ke-13 pada umumnya berpegang kepada prinsip takliq kepada ulamak-ulamak klasik dahulu.  Justru pada pandangan umum ummah, pendapat ulama-ulama klasik perlu diikuti walaupun keadaan persekitaran sudah banyak berubah.


Dengan keyakinan kepada Ilmu Al Quran dan As Sunnah dan atas dasar tidak berpegang kepada takliq buta kepada ulamak ulamak sebelum maka muncul aliran pemikiran ketiga ini.  Pada umumnya mereka bangkit dengan pemikiran yang berbeza berhubung dengan hukum hudud ini berasaskan beberapa faktor.

Pertama, antara hujah hujah Aliran Pemikiran Ketiga ini ialah berhubung dengan perkataan hudud dalam Al Quran.  Perkataan hudud disebut dalam Al Quran sebanyak 14 kali.  Menariknya kata mereka yang mendokong aliran pemikiran ketiga ini, tidak satu pun ayat-ayat ini merujuk kepada perkara perkara yang telah dikategorikan oleh ulamak-ulamak dahulu sebagai kesalahan hudud, iaitu kesalahan mencuri, berzina, menuduh berzina merompak dan murtad, dan ditambah dua lagi iaitu minum arak dan pemberontakan (bughah).  Sebaliknya perkataan hudud yang disebut dalam 14 ayat ayat tadi menyentuh perkara perkara berikut:

1. surah 2 ayat 187, sekali berkenaan hubungan suami isteri dalam bulan puasa,
2. surah 2 ayat 229, empat kali berkenaan penceraian,
3. Surah 2 ayat 230, dua kali berkenaan penceraian,
4. surah 4 ayat 13, sekali berkenaan faraid,
5. surah 4 ayat 14, sekali berkenaan perkara umum,
6. surah 9 ayat 97, sekali berkenaan perkara umum,
7. surah 9 ayat 112, sekali berkenaan perkara umum,
8. surah 58 ayat 4, sekali berkenaan adat zihar orang Arab iaitu memboikot seks dengan isteri, dan
9. surah 65 ayat 1, dua kali berkenaan penceraian.

Tiada satu pun perkataan Hudud merujuk kesalahan jenayah

Berdasarkan ayat-ayat ini tiada satu pun perkataan hudud merujuk kepada kesalahan atau jenayah tetap (mencuri, berzina, tuduhan berzina, merompak, murtad dan ditambah dengan minum arak dan pemberontakan) seperti pendirian aliran pemikiran pertama dan kedua.  Hukum hudud berasaskan aliran fikiran pertama dan kedua adalah hasil dari ijtihad ulamak-ulamak klasik.  Ijtihad mereka ini hendaklah dihormati oleh kita semua.  Akan tetapi ijtihad yang mereka keluarkan itu dibuat berasaskan kepada zaman dan persekitaran masing masing.  Oleh yang demikian pendirian ulamak-ulamak klasik ini tidaklah boleh dianggap mutlak, apatah lagi dalam kontek masyarakat kini.  Dari segi sumbernya hanya Al Quran dan Al Hadis sahaja yang mutlak.  Kedua-dua sumber ini mestilah ditafsirkan mengikut metodologi metodologi tertentu oleh mereka yang otoritas dalam ilmu ilmu ini.

Kedua, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan hudud?  Perkataan hudud ini merujuk kepada had dan sempadan, ertinya setiap tindakan kita mestilah ada had dan sempadannya.  Ianya tidak boleh dilakukan dengan berlebihan dan berkurangan, sebagai contoh, apabila kita minum atau makan kita tidak boleh minum atau makan dengan berlebihan sehingga menjejaskan kesihatan.

Walaupun tiada perkataan hudud dalam Al Quran yang merujuk kepada jenayah-jenayah hudud yang dimaksudkan ulamak ulamak klasik dahulu akan tetapi konsep had dan sempadan yang terkandung dalam makna perkataan ini membenarkan kita menggunakan perkataan itu dengan makna undang-undang dalam erti kata yang luas dan menyeluruh.

Ketiga, sifat atau nature Al Quran dan Al Hadis itu sendiri.  Al Quran adalah sebuah kitab Ilahi penuh dengan hikmah dan teragung yang mana fungsinya adalah untuk menjadi panduan kepada manusia dalam kesemua hal.  Al Quran bukan kitab undang-undang dan tidak juga kitab sejarah, sains dan lain lain.  Kitabullah ini merupakan kitab Ilahi dalam pusingan wahyu terakhir yang sempurna dan sentiasa kemas kini maksudnya, berfungsi sebagai panduan dan petunjuk kepada semua aspek kehidupan manusia semenjak turunnya kebumi sehingga akhir zaman.

Justru kerana itu fungsinya di samping menangani dan menjadi formula kepada permasaalahan kehidupan dalam zaman arab jahilliah dahulu, Al Quran juga berfungsi menjadi formula kepada masyarakat dunia hingga akhir zaman dalam setiap ruang dan masa.  Berasaskan pada pandangan otoritas, Al Quran mengandungi dua mesej penting, iaitu ayat-ayat yang mempunyai ikatan sejarahnya dan ayat-ayat yang mempunyai nilai-nilai universalnya.  Berasaskan sifatnya sebagai panduan dan petunjuk dalam setiap budaya dan masa di dunia ini sudah pasti jiwa bentuknya ada unsur-unsur fleksibilitinya.  Berdasar kepada faktor demikian ulamak ulamak tafsir yang otoritas dalam setiap budaya dan masa digalakkan mentafsir secara mufrad atau pun secara sendirian melalui metodologi-metodologi tertentu dengan mengambil kira persekitaran semasa yang mereka hadapi.  KItab-kitab tafsir lampau yang banyak itu hanya boleh membantu dan dirujuk apabila berkait.  Sesungguhnya kitab kitab tafsir itu ditulis dan ditafsir mengikut zaman dan ada pula mengikut pengkhususan serta kecenderungan ilmiah pentafsir pentafsir itu sendiri.

Manakala nature ilmu Hadis (hadis sahih) berfungsi untuk menjelaskan maksud Al Quran dalam kontek zaman yang dihadapi oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat.  Oleh kerana hadis-hadis ini datang daripada Rasulullah S.A.W maka sudah tentu pada lahirnya nampak elemen-elemen budaya kearaban.  Untuk membolehkan hadis-hadis ini berfungsi kepada masyarakat bukan arab yaitu orang orang ajam dalam setiap zaman maka maksud hadis, yaitu Sunnah pula diperlukan untuk membolehkan mereka memahami maksud Al Quran.

Bertolak dari ilmu Al Quran dan Al Hadis inilah maka ulamak-ulamak otoritas dalam setiap budaya dan masa digalakkan supaya berijtihad demi untuk menyelesaikan masalah semasa yang timbul, pun demikian aspek ijmak dan kias tetap penting dalam proses berijtihad melalui jalan istinbad.

Keempat, bentuk hukuman atau penalti dalam kesalahan hudud (sebagaimana diputuskan ulamak klasik) secara fix dan mandatory.  Sedangkan mengikut suatu pentafsiran tentang apa yang terdapat dalam Al Quran secara maksudnya mempunya dua prinsip ia itu prinsip hukuman setimpal dan perinsip ihsan.  Penilaian demikian penting kerana kategori, latar belakang dan tahap kesalahan dalam setiap kes itu berbeza beza.  Prof Muhammad Hashim Kamali dalam risalah yang berjudul - Can The Hudud Be Given A Fresh Interpretation menyatakan "all that is needed of a proof of the offfence which must then be followed by enforcement there by living no room for flexibility and discreation.  Each of the for Quranic verses on hudud specifies a punishment which is then followed in every case by a reference to repentant and reform.  If the offender repent and reform himself then god is truly forgiving and merciful.  The clear text thus lift the door open to lenearncy to those who have fallen to the error regretful first time offender and those who show promise of correcting himself.  The rather harsh approach to punishment taken by the fiqh tradition also stand in a state of tension with totality of Islam as a religion of compassion".

Justru kerana itu jalan keluar untuk mengelak daripada wujudnya ketidakadilan dan ketidaktepatan dalam pelaksanaan hukuman sesuatu kesalahan dalam apa yang dikatakan hukum hudud dalam kontek kini, aliran ketiga menyarankan pendekatan takzir atau pun budi bicara hakim.  Pendekatan takzir ini hendaklah dikendalikan oleh hakim berasaskan kepada ruang di antara dua prinsip ia itu perinsip setimpal dan prinsip ihsan.

Sebagai contoh kita ambil ayat hukuman potong tangan dalam surah 5 ayat 38 dan 39 yang bermaksud "pencuri lelaki atau perempuan potong tangan mereka sebagai hukuman kepada jenayah mereka serta sebagai satu pencegahan daripada Allah tetapi jika seseorang itu bertaubat setelah melakukan jenayah ini serta berubah Tuhan menebuskan dosanya, Tuhan maha pengampun dan maha penyayang".

Daripada ayat ini dapat kita lihat dalam kontek zaman awal dahulu hukuman setimpal bagi kesalahan mencuri adalah potong tangan, manakala hukuman ihsan pula ialah dengan memberi pengampunan sekiranya pencuri itu bertaubat serta berubah.  Oleh kerana ayat ini berada dalam kategori ayat-ayat "a historical bound" atau yang bermaksud ayat-ayat yang mempunyai keterikatan dengan sejarah zaman awal maka bentuk hukuman setimpal dalam kontek kini terserah kepada pendekatan takzir atau budi bicara hakim berasaskan kepada kes-kes jenayah yang berlaku.  Yang pentingnya biarlah bentuk hukuman itu berasaskan kepada semangat jiwa Al Quran dan Hadis agar dapat mengelak dan menjauhkan anggota masyarakat daripada terus melakukan jenayah-jenayah itu.

Perlu diingat dalam melaksanakan pendekatan takzir itu pihak hakim hendaklah berpegang kepada prinsip keadilan dan kerahiman.  Adalah suatu yang ironi pendekatan takzir ini dibenarkan oleh ulamak ulamak fekah dahulu untuk digunakan dalam kesalahan kesalahan yang lain.  Akan tetapi tidak pula dibenarkan dalam kesalahan-kesalahan apa yang mereka tafsirkan sebagai kesalahan hudud.

Sesungguhnya ada beberapa ulamak Islah yang menganjurkan pendekatan takzir dalam kesalahan kesalahan apa yang dikatakan hudud.  Antara yang terkemuka ialah Maulana Ubaidillah Al Sindi seorang ulamak India pada awal abad ke 20.  Jika kita membaca sejarah, kita dapati pada zaman dahulu kecenderungan manusia ialah melaksanakan hukuman yang berat.  Mungkin juga hukuman yang berat begini cucuk dan sesuai dalam zaman tamadun yang masih kasar.  Di England dalam kurun ke-19 hukuman mencuri adalah potong kepala.  Sudah tentu kesemua hukuman yang dibuat mengambil kira usaha untuk membenteras jenayah dari terus berleluasa dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Oleh kerana kini dunia sudah banyak berubah, manusia kini secara global sudah pun bercakap tentang hak asasi manusia dan perihal keadilan politik, ekonomi, sosial dan soal-soal kemanusiaan sejagat maka faktor-faktor perubahan nilai dan budaya ini perlu juga diberi perhitungan.  Yang pentingnya sesuatu jenayah itu dapat diminimakan dalam sebuah masyarakat dan seterusnya dihapuskan demi mendapat keredaan Allah.

Persoalan sekarang timbul ialah apakah ijtihad-ijtihad ulamak klasik ini boleh dinilai semula?  Fenomena masyarakat Islam hari ini lebih senang mengikut apa yang sedia ada.  Atau dipanggil takliq buta.  Realiti ini kadang-kala ada dalam pemikiran kebanyakan ulamak juga.  Alasannya siapa kamu nak menyoal itu dan ini, apatah lagi terhadap ulamak-ulamak besar dahulu?  Apa otoriti dan kelayakan kamu?  Sedangkan sebaliknya kalaulah dirujuk kepada kata-kata ulamak besar dahulu, contohnya Imam Shafie sendiri, beliau tidak menyukai orang orang bertakliq buta kepada pandangannya.  Pada beliau sekiranya kita ada asas pergantungan yang lebih kuat dalam sesuatu perkara, kita berhak untuk menolak pandangannya.  Kata-kata Imam Shafie ini disahkan oleh muridnya Imam Muzani.

Kalaulah kita lihat pada pandangan ulamak-ulamak besar dahulu dalam beberapa perkara terdapat beberapa perbezaan yang nyata.  Ini jelas kalau kita rujuk kepada fekah Imam Abu Hanifah, Malik, Shafie dan Hambali.  Perbezaan ini timbul justru kerana mereka berada dalam suasana, tempat dan masa yang berbeza.  Sesungguhnya Islam meraikan perbezaan pendapat asalkan pendapat-pendapat itu tidak terkeluar daripada landasan dan jiwa Al Quran.  Dalam Islam perbezaan pandangan adalah suatu rahmat.

Berdasarkan hujah-hujah dari aliran ketiga ini saya yakin kekeliruan, kesangsian dan ketidakyakinan masyarakat bukan Islam dan sesetengah masyarakat Islam sendiri terhadap hukum hudud, pasti dapat kita tangani dengan lebih hikmah dalam negara kita yang majmuk dengan pelbagai latar belakang budaya, kaum dan agama.  Kerana sebagai umat Islam mahu tidak mahu kita wajib percaya dan yakin untuk melaksanakan hukum hudud sebagaimana yang disarankan Al Quran.  Persoalan sekarang bagaimanakah bentuk pelaksanaan hukum tersebut hendak dilaksanakan dalam kontek kini agar ia dapat menggambarkan kebesaran, keluasan dan kemurnian ajaran Islam.

Satu perkara yang penting dipersoalkan dalam semangat kita hendak mlelaksanakan hukum hudud ini, apakah kita tidak memikirkan tentang realiti-realiti yang wujud di Malaysia kini.  Pertama, demi keadilan masyarakat, apakah realiti politik, ekonomi dan sosial Malaysia kini sudah kondusif untuk kita laksanakan hukuman hudud?  Yang kedua apakah prasarana yang ada dalam sistem kehakiman terutama dalam mahkamah syariah di Malaysia kini sudah layak untuk kita melaksanakan hukuman ini?

Penulis berkeyakinan sekiranya aliran pemikiran ketiga diketengahkan walaupun ada beberapa perbezaan-perbezaan kecil di kalangan mereka akan tetapi perbezaan itu masih boleh dirumuskan dengan baik dan praktikal.  Pandangan aliran ini pada penulis sekiranya diketengahkan menampakkan lebih berhikmah dan senang untuk diterima oleh kesemua masyarakat di Malaysia, dengan syarat pihak berkuasa hendaklah ada "politcal will" atau keazaman politik dan "cultural will" atau keazaman budaya ke arah ini.  Pandangan aliran ketiga ini sekiranya dilaksana boleh menjadi contoh kepada dunia dalam era globalisasi ini.  Perlaksanaan pemikiran aliran ketiga ini juga boleh menghapus niat jahat dan pandangan serong media massa hegemonisma dunia terhadap hukum syariah yang pada mereka ditonjolkan sebagai barbarik dan tidak bertamaddun.

Seharusnya semua pihak mestlah jujur membincang dan menyelesaikan hukum ini tanpa menjadikan isu politik murahan demi kemenangan parti masing-masing.  Hukum hudud ini mestilah diletakkan lebih tinggi dan mengatasi politik kepartian demi mendapat keredaan Allah di dunia dan juga di akhirat.  Penyelesaian tentang isu ini bukan sahaja perlu untuk kebaikan umat Islam di Malaysia bahkan juga untuk kebaikan umat Islam di seluruh dunia.  Barulah dunia dapat melihat hukum jenayah Islam ini bukan sahaja praktikal bahkan dapat menangani segala bentuk jenayah yang berlaku dalam dunia hari ini secara adil dan saksama sesuai dengan iklim budaya dunia kini.
*Nik Abdul Aziz bin Nik Hassan ialah bekas Pensyarah Jabatan Sejarah dan Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM.

Friday, February 28, 2014

Perbezaan antara dua ulamak


"Pada saya ulama yang muncul sepanjang zaman pada umumnya terbahagi kepada dua kumpulan:-

a) Ulama yang mewarisi tradisi nabi.
b) Ulama dunia.

Yang sepatut kita tolak ialah ulama dunia. Mereka selalunya tidak takut kepada Tuhan. Mereka terpesona kepada kepentingan hidup di dunia dengan berkiblat kepada benda, pangkat, kedudukan, darjat dan bersifat diktator dengan pandangan masing-masing.

Sebal
iknya ulama yang mewarisi tradisi nabi mempunyai jiwa islah dan sentiasa takut kepada Allah. Imam Syafie juga seorang ulama yang boleh kita kategorikan sebagai ulama besar yang mengikut tradisi pengajaran Nabi Muhamad terutama untuk zamannya. Pun demikian selaku ulama kesemua pandangan mereka tidaklah pula boleh dikatakan mutlak." 

- Nik Abdul Aziz Nik Hassan, penganjur seminar pemikiran Kassim Ahmad: Suatu penilaian.
(
Nik Abdul Aziz bin Nik Hassan ialah bekas Pensyarah Jabatan Sejarah dan Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM)

Thursday, February 27, 2014

Tun Dr. Mahathir - Perbezaan Wahyu Allah dalam al-Quran dan Hadis-hadis



1. Saya tahu tulisan saya ini tidak akan dibaca oleh orang yang menghukum saya sebagai anti-hadis. Orang lain juga akan dilarang membaca tulisan ini. Mereka yang menghukum saya takut kalau-kalau hukuman mereka dipersoal. Mereka hendak segala-gala yang diperkatakan oleh mereka diterima bulat-bulat sebagai fatwa yang wajib diterima seperti firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran.

2. Orang yang benar, berani. Orang yang takut, takut kerana salah atau mungkin didapati salah.

3. Memberi label dan mengecap orang apabila kita tidak bersetuju dengannya memanglah satu cara orang yang tidak sanggup berhujah. Terima sahajalah apa yang didakwa oleh mereka tanpa berfikir. Jangan guna akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kerana ini kononnya dilarang oleh agama Islam.

4. Saya sekarang dilabel, iaitu diberi gelaran atau dicap anti-hadis kerana kononnya saya sudah jadi penyokong Kassim Ahmad yang telah diberi gelaran yang sama.

5. Saya juga diberitahu bahawa sebagai seorang yang tidak tahu bahasa Arab maka saya tidak berhak bercakap berkenaan agama Islam.

6. Hari ini kita lihat ummat Islam berpecah, bermusuh sesama mereka, berperang dan membuat kerja orang Yahudi dan Nasrani. Siapakah yang membawa malapetaka ini kepada orang Islam dan Negara-negara mereka. Bukankah mereka fasih dalam bahasa Arab bahkan penasihat dan pemimpin mereka terpelajar dengan dalamnya ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Saya sendiri sering mendengar mereka dari kedua-dua belah, mengeluarkan ayat Quran dan hadis bagi menghalalkan perbuatan mereka.

7. Ya, saya tak tahu bahasa Arab. Justeru itu saya terpaksa terima apa sahaja yang diajar kepada saya dalam bahasa Melayu sebagai ajaran Islam. Apakah kerana saya menerima Islam dalam bahasa Melayu maka ia bukan Islam. Apakah saya tidak Islam. Apakah lafaz dua kalimah syahadat oleh saya tidak boleh diterima.

8. Selain dari khatam Quran semasa umur belasan tahun, saya baca terjemahan Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ya, memang terjemahan Quran bukan Quran. Tetapi bolehkah kita kata terjemahan ajaran Islam yang diajar kepada kita dalam bahasa Melayu bukan Islam? Jika apa yang disampaikan dlam bahasa Melayu berkenaan agama Islam bukan Islam, majoriti orang Melayu bukanlah Islam.

9. Saya dan rakan-rakan saya pernah dihukum kafir kerana sebagai ahli parti tertentu telah bekerjasama dengan orang kafir. Tidak ada siapa yang fasih berbahasa Arab dan mendalami ajaran Islam yang mempertahankan saya apabila dituduh kafir. Mungkin sebabnya ialah mereka bersetuju saya kafir.

10. Kemudian orang yang mengkafirkan saya bekerjasama dan berpeluk-peluk dengan orang kafir. Tetapi tidak ada orang yang mendalami agama Islam yang fasih berbahasa Arab mendakwa mereka ini kafir. Saya tertanya-tanya apakah kelebihan mereka? Apakah mereka maksum?

11. Orang yang fasih berbahasa Arab dan mengenal diri sendiri sebagai ulama Islam dan mursyid telah berkata ia sanggup bekerjasama dengan syaitan jika syaitan menyokongnya. Orang yang fasih berbahasa Arab dan tahu larangan dalam Al-Quran terhadap bekerjasama dengan syaitan, tidak membuat tuduhan apa-apa, jauh sekali dari memberi apa-apa label kepadanya. Kenapa?

12. Bukan sahaja orang Arab yang fasih bahasa Arab yang berpecah dan bermusuh sesama Islam, tetapi di Malaysia juga perpecahan berlaku apabila orang yang digelar ulama dan fasih dalam bahasa Arab memisahkan diri dan memecahkan perpaduan orang Islam kerana tidak dapat tempat di dunia, tidak dipilih jadi Yang Berhormat. Sehingga sekarang perpecahan ini berlaku. Maka lemahlah orang Islam dan terpaksalah mereka mengemis untuk mendapat sokongan orang bukan Islam. Maka berpeluk-peluklah mereka. Tidak ada ulama yang berkecuali yang mendesak supaya semua orang Islam bersatupadu dan bersaudara semula.

13. Orang yang sama juga mendakwa bahawa Allah s.w.t. mencarut. Tiada siapa dari orang yang fasih berbahasa Arab dan tahu secara mendalam ajaran Islam yang menyangkal dakwaan ini. Mungkin ada hadis yang berkata demikian. Saya belum jumpa. Sila tunjuk kepada saya hadis yang berkata Tuhan mencarut.

14. Dalam ajaran Islam, ada yang wajib dan ada yang sunnat. Kita diberitahu yang sunnat boleh kita terima dan tunaikan tetapi tidaklah kita bersalah jika kita tidak tunaikan. Tetapi ada gesaan bahawa yang sunnat itu wajib dan mesti diterima dan diamalkan walaupun bercanggah dengan firman Tuhan dalam Al-Quran.

15. Hadis adalah sunnah Nabi. Saya ingin tahu samada hadis wajib dan mesti diterima. Betulkan saya.

16. Apa pula dengan orang yang utamakan hadis dari firman Allah s.w.t. yang terdapat dalam Al-Quran yang kita terima sebagai wahyu dari Allah s.w.t. Berkenaan dengan zina, apakah hukum yang terdapat dalam Al-Quran. Dan apakah yang terdapat dalam hadis. Yang manakah lebih utama, wahyu dan firman Allah s.w.t. atau hadis yang diriwayatkan oleh beberapa keturunan manusia biasa, yang dikaji, disah atau ditolak oleh pakar hadis yang juga manusia biasa 200 tahun kemudian. Salahkah jika kita pilih Al-Quran yang jelas dan satu yang tidak berbeza-beza dan oleh itu tidak merejam dan menembak mati dengan mesingun perempuan yang dituduh berzina.

17. Bukankah Allah s.w.t. telah berpesan berpuluh kali bahawa “apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil”. Allah s.w.t. juga sebut sebagai tidak suka akan kezaliman.

18. Apakah melabel iaitu menghukum seseorang selepas membaca akhbar atau mendengar lapuran T.V. mencerminkan keadilan yang dituntut dalam Islam. Apakah tanpa memberi peluang kepada yang tertuduh untuk mempertahankan diri, adil di sisi agama Islam. Apakah tanpa membincang dan membahas oleh badan yang dipertanggungjawabkan seperti mahkamah, yang terdiri dari orang yang tidak berkepentingan, adalah cara Islam mengadil.

19. Kita lihat akan betapa buruknya keadaan umat Islam sekarang. Apakah ini kerana sudah ditakdirkan bahawa orang Islam akan ditindas dan agama Islam dihina.

20. Tidakkah Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan menukar nasib sesiapa jika ia tidak berusaha menukar nasibnya sendiri.

21. Jika kita ingin menukar nasib dan kita berusaha sehingga terselamat diri kita, bolehkah kita kata ini bukan takdir, atau ini bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t.

22. Kita tahu adanya hadis yang sahih dan yang lemah Apabila hadis berbeza atau bertentangan dengan firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran, yang mana satukah yang kita harus terima? Jika kita pegang kepada Al-Quran, apakah ini salah.

23. Apakah kita wajib terima apa saja yang disampaikan oleh orang yang berbahasa Arab yang mempelajari agama walaupun jelas bertentangan dengan ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis. Apakah kita mesti iktiraf siapa sahaja yang mendakwa dirinya sebagai ulama. Apakah semua ahli persatuan ulama benar-benar ulama.

24. Amatlah merbahaya dan mengelirukan apabila sesiapa sahaja, hanya kerana fasih dalam bahasa Arab dan mendapat ijazah sarjana dalam bidang agama Islam, diberi gelaran ulama.

25. Perpecahan umat Islam kepada berbagai mazhab adalah disebabkan oleh orang seperti ini. Pengikut mereka turun temurun bermusuh dan membunuh. Tidak ada toleransi di kalangan mereka sedangkan Al-Quran tidak suruh kita bermusuh walaupun dengan penganut agama lain, melainkan mereka bermusuh dengan kita. Kepada mereka agama mereka. Lemahnya umat Islam dan terhinanya agama Islam ialah kerana ajaran mereka yang tidak boleh ditegur, yang tuntut kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi hanya kepada mereka.

26. Saya tahu bahawa jawapan kepada tulisan saya ini ialah saya anti-hadis, anti Al-Quran bahkan kafir.

27. Saya tidak lama lagi akan pergi menemui Tuhan saya, Allah s.w.t. Saya akan diadili oleh Kadzi Rabbul Jalil. Saya tidak tahu apakah akan disahkan segala tuduhan terhadap saya atau tidak. Tetapi yang saya tahu dan yakin ialah pengadilan oleh Allah s.w.t. tetap adil. Dan saya terima apa sahaja hukum yang dijatuhkan ke atas saya.

Tuesday, October 29, 2013

Apakah itu GST?


1. Apakah itu GST (Goods Services Tax atau Cukai Barang dan Perkhidmatan)?

GST adalah merupakan cukai kepenggunaan yang berasaskan kepada konsep nilai ditambah. Ianya dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport.

2. Adakah GST merupakan cukai penggunaan yang baru?

GST akan menggantikan cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Perbezaan GST dengan sistem cukai penggunaan sedia ada hanyalah dari segi skop pengenaan cukai yang lebih meluas iaitu disemua peringkat pengeluaran dan pengedaran di samping boleh menuntut kredit cukai ke atas GST yang dibayar ke atas input perniagaan. Berbanding dengan sistem cukai penggunaan sedia ada, di mana Cukai Jualan hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa barang-barang tersebut dikeluarkan daripada kilang atau diimport. Manakala, Cukai Perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan-perkhidmatan tertentu pada peringkat ianya disediakan kepada pihak pengguna.

3. Mengapa cukai jualan dan cukai perkhidmatan perlu diganti dengan GST?

GST adalah merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, efektif, telus, efisien dan mesra perniagaan. Diperhatikan GST boleh mengatasi berbagai kelemahan yang terdapat dalam sistem cukai kepenggunaan sedia ada. Antara kelemahan-kelemahan yang ketara yang tidak boleh diatasi di bawah sistem cukai sedia ada adalah seperti kesan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat, isu kebocoran dan ketirisan hasil akibat daripada aktiviti pemindahan harga dan sebagainya. Di samping itu, GST juga dijangka dapat meningkatkan pematuhan cukai dan lebih mudah untuk ditadbir-urus berikutan sistem pengurusannya adalah berasaskan kepada kaedah self policing. Selain daripada itu, pihak peniaga hanya perlu mengemukakan penyata cukai yang ringkas mengikut format yang disediakan, manakala semua rekod dan dokumen berhubung dengan transaksi yang berkaitan hanya perlu disimpan di premis syarikat untuk diaudit oleh juruaudit GST di kemudian hari.

4. Mengapakah kerajaan hendak melaksanakan GST ?

Pelaksanaan GST adalah merupakan sebahagian daripada program pembaharuan terhadap sistem percukaian negara sebagai langkah Kerajaan untuk meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan dalam pengurusan cukai.

5. Mengapakah kerajaan mencadangkan kadar GST yang lebih rendah daripada kadar cukai semasa?

Kerajaan mencadangkan kadar GST yang lebih rendah daripada kadar cukai semasa bagi tujuan mengimbangi impak GST terhadap rakyat dan pengguna supaya ianya tidak terlalu membebankan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah. Dengan mengenakan GST pada kadar yang lebih rendah, dijangka pengguna akan mendapat manfaat daripadanya oleh kerana kebanyakan barang dan perkhidmatan akan mengalami penurunan harga.

6. Adakah benar mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan yang pada ketika ini tidak dikenakan cukai pendapatan, perlu membayar cukai di bawah GST?

Persepsi berkenaan adalah kurang tepat berikutan kaedah pengenaan cukai bagi kedua-dua jenis cukai tersebut adalah sangat berbeza. Dimaklumkan bahawa kaedah pengenaan cukai pendapatan adalah berasaskan kepada jumlah pendapatan yang diperolehi oleh seseorang individu, manakala pengenaan GST adalah berdasarkan kepada kepenggunaan terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan yang digunakan. Pada ketika ini pun, mereka yang tidak dikenakan cukai pendapatan masih tetap membayar cukai jualan atau cukai perkhidmatan ke atas barang dan perkhidmatan yang digunakannya. Persoalannya, kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa harga barang atau perkhidmatan yang dijual oleh peniaga runcit telah termasuk elemen cukai. Pada hakikatnya, pengenaan GST tidak akan memberi sebarang perbezaan dalam aspek bebanan cukai yang ditanggung oleh mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan kerana pada masa ini mereka telah pun membayar cukai terhadap barang dan perkhidmatan tertentu yang digunakan.

7. Bilakah kerajaan akan melaksanakan GST?

Kerajaan telah menetapkan untuk melaksanakan GST di Malaysia mulai 1 April 2015. Sebelum tarikh pelaksanaan GST itu, pada masa kini Kerajaan sedang giat berusaha untuk memberi pendedahan dan kefahaman mengenai konsep dan kaedah pelaksanaan GST. Jika sekiranya GST dilaksanakan, Kerajaan akan memberi ruang masa yang mencukupi di antara 18 hingga 24 bulan kepada pihak industri dan peniaga untuk membuat persediaan bagi pelaksanaan GST.

8. Bagaimanakah GST beroperasi?

GST adalah dikenakan ke atas semua barang dan perkhidmatan bercukai yang dikeluarkan di dalam negara termasuk yang diimport. GST hanya boleh dicaj serta dipungut oleh peniaga yang telah berdaftar di bawah GST.

GST yang dipungut ke atas output perlu diremitkan kepada Kerajaan. Walaupun bagitu, pihak peniaga adalah dibenarkan untuk menuntut semula kredit cukai input melalui mekanisme dan kaedah seperti berikut:

i. GST yang dipungut ke atas output (cukai output) tolak GST yang telah dibayar ke atas input (cukai input).

ii. Jika terdapat lebihan, amaun tersebut hendaklah diremitkan kepada Kerajaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

iii. Jika terdapat kekurangan, pihak peniaga boleh menuntut pembayaran balik (refund) daripada Kerajaan.

9. Apakah cukai input, cukai output dan kredit cukai input?

Cukai input adalah merupakan GST yang dikenakan ke atas pembelian barang dan perkhidmatan yang digunakan dalam aktiviti perniagaan. Manakala cukai output adalah merupakan GST yang dicaj dan dipungut ke atas penjualan/pembekalan barang dan perkhidmatan. Kredit cukai input bermaksud cukai input yang boleh dituntut oleh peniaga yang berdaftar di bawah GST.

10. Apakah pembekalan berkadar standard, berkadar sifar dan dikecualikan?

Pembekalan berkadar standard adalah merupakan bekalan barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar cukai yang ditetapkan. Manakala pembekalan berkadar sifar adalah merupakan bekalan barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar sifar iaitu tidak dikenakan GST sama ada di peringkat output mahupun di peringkat input. Sementara pembekalan dikecualikan adalah merujuk kepada barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST pada peringkat output iaitu pada peringkat ianya dibekalkan kepada pihak pengguna. Namun begitu, GST yang dibayar ke atas input oleh pihak peniaga yang terlibat tidak boleh dituntut semula sebagai kredit cukai.

11. Siapa yang akan memungut GST dan membayarnya kepada kerajaan?

GST hanya boleh dipungut oleh mereka yang telah berdaftar di bawah GST dan cukai tersebut hendaklah diremitkan kepada kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.

12. Bagaimanakah kerajaan boleh memastikan bahawa pihak peniaga akan meremit amaun pungutan cukai yang betul kepada Kerajaan?

Di dalam memastikan pihak peniaga meremitkan amaun pungutan cukai yang betul, Kerajaan akan membuat program pengesanan awal melalui kaedah audit meja dan audit transaksi ke atas borang penyata cukai yang dikemukakan oleh pihak peniaga pada setiap tempoh bercukai. Pasukan audit GST juga akan menjalankan pengauditan luar ke atas rekod dan akaun perniagaan syarikat bagi memastikan tiada sebarang aktiviti manipulasi cukai yang telah dilakukan oleh pihak peniaga. Selain daripada itu, sistem penilaian risiko GST adalah merupakan kaedah pengesanan berkomputer yang akan memberi amaran (alerts) berhubung dengan kes – kes yang berisiko tinggi.

13. Adakah semua barang dan perkhidmatan dikenakan GST?

Pada dasarnya, GST akan dikenakan ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara termasuk yang diimport. Walaupun begitu, beberapa makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, sayuran, ikan dan daging ternakan, telur dan kemudahan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan swasta, pengangkutan awam, rumah kediaman dan tanah pertanian adalah tidak dikenakan GST. Pengecualian ini adalah bertujuan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan GST.

14. Adakah semua perniagaan dikehendaki berdaftar di bawah GST?

Perniagaan yang telah mencapai nilai jualan tahunan RM500,000 setahun diwajibkan untuk mendaftar di bawah GST. Perniagaan yang tidak mencapai nilai jualan tahunan yang dinyatakan di atas tidak perlu mendaftar di bawah GST. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh memohon untuk berdaftar secara sukarela.

15. Mengapakah nilai ambang (threshold) ditetapkan pada tahap RM500,000 setahun?

Penetapan nilai ambang pada tahap RM500,000 setahun adalah bertujuan untuk mengecualikan pembekalan syarikat dan perniagaan kecil daripada dikenakan GST supaya mereka tidak perlu menanggung semua kos yang berkaitan (kos permulaan dan kos pematuhan) sekiranya perlu mendaftar di bawah GST.

Berdasarkan kajian, dianggarkan sebanyak 78% daripada jumlah entiti perniagaan tidak akan termasuk dalam sistem GST. Dengan ini, pengguna boleh membuat pilihan untuk membeli barang keperluan mereka daripada peniaga yang tidak mengenakan GST. Secara tidak langsung, pengguna khususnya rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar tidak akan dibebankan dengan GST.

16. Bagaimanakah hendak menentukan sama ada nilai ambang RM500,000 telah dicapai ataupun tidak?

Kiraan nilai ambang hendaklah dibuat berdasarkan kepada kaedah berikut :

Kaedah 1
Pengiraan berdasarkan rekod jualan bagi tempoh 12 bulan ke belakang.

Kaedah 2
Pengiraan berdasarkan anggaran jualan yang dijangkakan bagi tempoh 12 bulan akan datang.

17. Jika nilai ambang tidak mencapai RM500,000, bolehkah mendaftar di bawah GST?

Pihak peniaga masih boleh berdaftar secara sukarela dibawah GST walaupun tidak mencapai nilai ambang yang ditetapkan. Walaupun begitu, mereka yang mendaftar secara sukarela dikehendaki kekal berdaftar untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

18. Bolehkah pendaftaran GST dibuat secara online?

Kerajaan memang menggalakkan pendaftaran GST dibuat secara online. Walaupun begitu, pendaftaran secara manual masih diterima pakai.

19. Bagaimanakah caranya untuk membuat permohonan pendaftaran GST?

Permohonan secara online boleh dibuat dengan menggunakan borang yang boleh dicapai melalui laman web GST. Bagi permohonan secara manual, borang permohonan boleh didapati dari mana-mana pejabat Kastam ataupun dimuat turun dari laman web GST.

20. Bila dan dimana permohonan pendaftaran GST perlu dibuat?

Peniaga yang telah mencapai nilai ambang RM500,000 perlu memohon untuk didaftarkan di bawah GST dalam tempoh 28 hari selepas akhir bulan di mana nilai ambang tersebut dicapai. Permohonan pendaftaran secara manual hendaklah dikemukakan kepada mana-mana pejabat Kastam yang berdekatan. Permohonan secara online akan dikemukakan secara talian terus kepada Pusat Pemprosesan Setempat. Permohonan secara online juga boleh dibuat dengan menggunakan kemudahan komputer dan internet yang disediakan di semua pejabat GST di seluruh negara.

21. Adakah pendaftaran GST akan dikenakan sebarang caj?

Tiada sebarang caj yang dikenakan ke atas proses pendaftaran GST.

22. Adakah barang dan perkhidmatan yang dieksport dikenakan GST?

Barang dan perkhidmatan yang dieksport tidak akan dikenakan GST (dikenakan pada kadar sifar) bagi tujuan untuk meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa.

23. Adakah petani dikehendaki berdaftar di bawah GST?

Skop pengenaan GST adalah meliputi semua sektor ekonomi termasuk aktiviti pertanian. Oleh yang demikian, petani juga perlu mendaftar di bawah GST tertakluk kepada nilai ambang seperti mana yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, sekiranya produk pertanian berkenaan merupakan barang yang tidak dikenakan GST (dikenakan pada kadar sifar), maka petani tersebut boleh memilih untuk tidak berdaftar di bawah GST.

24. Adakah nelayan dikehendaki berdaftar di bawah GST?

Skop pengenaan GST adalah meliputi semua sektor ekonomi termasuk aktiviti perikanan. Oleh yang demikian, nelayan juga perlu mendaftar di bawah GST tertakluk kepada nilai ambang seperti mana yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, sekiranya produk perikanan berkenaan merupakan barang yang tidak dikenakan GST (dikenakan pada kadar sifar), maka nelayan tersebut boleh memilih untuk tidak berdaftar di bawah GST.

25. Bagaimanakah Kerajaan akan mengawal harga?

Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang lebih serius di dalam memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga barang bagi tujuan membuat keuntungan secara berlebihan. Antara langkah yang akan diambil oleh Kerajaan ialah memperkenalkan Anti Profiteering Act, penguatkuasaan yang intensif melalui penubuhan Majlis Harga Negara, penerbitan Shoppers’ Guide, di samping menjadikan pasaraya sebagai penanda aras harga (price setter).

Bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan, pengenaan denda dan penalti yang lebih berat akan dikenakan. Segala langkah yang dinyatakan di atas diharapkan dapat mengubah sikap yang mementingkan keuntungan serta menjalankan perniagaan secara tidak beretika.

26. Adakah pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) tertakluk kepada GST?

Pihak NGOs akan dikenakan GST jika terlibat secara langsung dalam aktiviti perniagaan sekiranya barang atau perkhidmatan tersebut adalah bercukai.

27. Adakah pertubuhan amal tertakluk kepada GST?

Pertubuhan amal seperti institusi orang kurang upaya, rumah anak yatim dan rumah orang tua tidak akan dikenakan GST sekiranya perkhidmatan yang disediakan hanyalah untuk ahli-ahli persatuannya dan tidak dikenakan sebarang caj. Pertubuhan amal perlu mendaftar di bawah GST jika sekiranya aktiviti yang dilaksanakan berunsurkan perniagaan.

28. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk membantu IKS semasa GST dilaksanakan?

Kerajaan akan memastikan pelaksanaan GST tidak akan memberi impak negatif kepada pembangunan IKS. Di dalam usaha untuk membantu IKS, Kerajaan akan mengadakan program-program latihan dan pendidikan secara menyeluruh kepada semua IKS di seluruh negara. Program-program ini akan dijalankan secara kerjasama diantara Kementerian Kewangan dengan SME Corp. Di samping itu, Kerajaan juga sedang merancang untuk menyediakan pakej perisian perakaunan GST dalam bentuk CD kepada IKS yang tidak mempunyai sistem perakaunan sendiri.

29. Adakah Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan masih dikuatkuasakan dengan pelaksanaan GST?

Pelaksanaan GST adalah untuk menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini. Dengan yang demikian, kedua-dua jenis cukai tersebut akan dimansuhkan pada tarikh mula pelaksanaan GST.

30. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mempastikan GST dilaksanakan dengan lancar?

Kerajaan akan memberi tempoh masa yang mencukupi bagi pihak peniaga bersiap sedia untuk melaksanakan GST. Program kesedaran dan pendidikan GST akan dijalankan secara berterusan sehingga tarikh GST dilaksanakan.

Dalam usaha untuk menyebarkan maklumat GST kepada orang awam, Kerajaan telahpun menubuhkan Pusat Panggilan Kastam (call centre) yang akan beroperasi di Kelana Jaya, Selangor. Di samping itu, pelbagai panduan industri akan diterbitkan sebagai garis panduan kepada pihak industri berhubung dengan layanan dan prosedur-prosedur GST terhadap industri-industri tertentu. Pihak Jabatan Kastam akan mengadakan lawatan ke premis-premis perniagaan bagi memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar supaya peniaga dapat memahami dengan lebih jelas terhadap prosedur dan peraturan GST.

Kerajaan juga akan memastikan sistem perkomputeran GST disiapkan sepenuhnya sebelum GST dilaksanakan. Sistem pengkomputeran GST ini akan diuji melalui pilot project dalam proses pendaftaran awal yang akan dijalankan 6 bulan sebelum tarikh pelaksanaan GST.

31. Adakah jentera kerajaan telah bersedia untuk melaksanakan GST?

Kerajaan sememangnya telah bersedia untuk melaksanakan GST pada bila-bila masa sahaja. Pada ketika ini, jentera Kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengambil langkah bagi menyediakan keperluan-keperluan pelaksanaan GST yang merangkumi aspek perundangan, pembangunan sistem komputer, penyediaan logistik dan infrastruktur, latihan dan publisiti serta pengorganisasian.

32. Siapa akan mentadbir GST?

Kerajaan telah memutuskan supaya Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) mengurus dan mentadbirkan operasi GST yang akan dilaksanakan di Malaysia.

33. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi menangani isu ketidak-patuhan dan fraud?

Untuk menangani isu berhubung dengan ketidak patuhan dan frod, beberapa pendekatan akan digunakan oleh Kerajaan seperti berikut:-

i. mengadakan program penilaian risiko bagi mengenal pasti jenis perniagaan dan orang yang berpotensi untuk melakukan aktiviti ketidak patuhan dan frod. Langkah untuk menguatkuasakan undang-undang akan dilaksanakan lebih tegas dengan mengenakan denda dan penalti yang tinggi;

ii. mengadakan program pengauditan secara menyeluruh ke atas rekod dan akaun perniagaan; dan

iii. memastikan Jabatan Kastam meningkatkan tahap keupayaan dan kemahiran pegawainya dalam bidang-bidang yang berkaitan perakaunan, kewangan dan perundangan serta melengkapkan mereka dengan teknik dan kaedah pengauditan yang terkini termasuk penggunaan perisikan secara forensik. Di samping itu, kaedah perkongsian maklumat dengan agensi penguat kuasaan yang lain juga adalah penting untuk dilaksanakan.

Dengan pendekatan dan kaedah yang dinyatakan di atas, dijangka aktiviti ketidak patuhan dan frod akan dapat dikurangkan.

Rujukan : Kementerian Kewangan Malaysia

Sila rujuk juga : 1. GST (Goods Services Tax) - Faham, tapi bangkang tetap bangkang oleh pembangkang
2. Jabatan Kastam dan Eksais Diraja - Malaysia Goods & Services Tax (GST)

Popular Posts

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP