Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Sunday, June 6, 2010

PAS patut jadi 'Ketua' bukannya 'Pecacai'

MUKTAMAR Tahunan Pas Ke-56 yang bakal berlangsung di Kota Bharu mulai Rabu ini dianggap medan terpenting bagi parti itu dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Ia akan bermula dengan perasmian serentak Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda Pas pusat.

Sudah pastilah dalam membincangkan persiapan pilihan raya yang pada pandangan Pas akan diadakan pada 2011, perkara yang pasti menjadi tumpuan ialah berhubung kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pada muktamar lalu, ketika Pas diselubungi dengan isu kerajaan perpaduan, rata-rata perwakilan dengan penuh lantang mahukan kepimpinan parti terus istiqomah untuk bekerjasama dengan parti-parti berkenaan.

Malahan ada pemimpin-pemimpin Pas yang mengecam habis-habisan sebarang usaha untuk bekerjasama dengan UMNO.

Sebenarnya, tidak mengapalah kalau kepimpinan dan ahli Pas ingin terus setia dengan pakatan pembangkang tetapi apa yang diharapkan muktamar berkenaan akan membuat satu resolusi yang tegas dan jelas kepada rakan-rakan dalam pakatan supaya menghormati kewibawaan Pas.

Parti itu tidak harus dilayan di dalam pakatan seperti ‘pak turut’ dan tunduk kepada segala tindak-tanduk PKR dan DAP. Kalau kedua-dua parti itu menghormati Pas sudah pastilah mereka berhati-hati dalam apa juga tindakan dan percakapan.

Contohnya, cadangan seorang pemimpin kanan PKR agar parti PKR menjadi tulang belakang kepada pakatan pembangkang kerana memiliki pemimpin-pemimpin berwibawa dengan sendirinya menampakkan bahawa perasaan menghormati pemimpin-pemimpin Pas semakin luntur.

"Pemimpin itu kata pemimpin PKR lebih berwibawa dan berkemampuan tetapi apa yang berlaku jelas menampakkan bahawa PKR mempunyai seribu satu kepincangan" kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Kenyataan pemimpin berkenaan berlandaskan kepada situasi di mana selama ini yang menimbulkan banyak masalah kepada pakatan pembangkang ialah PKR, bukannya Pas.

Inilah salah satu perkara pokok yang perlu diteliti perwakilan ke muktamar nanti. Mereka perlu berani menegur kepimpinan parti pembangkang yang lain supaya menghormati kepimpinan Pas.

Mereka tidak perlu risau kalau bersuara lantang kerana Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sudah memberi jaminan bahawa Pas memberi ruang kepada para perwakilan mengemukakan pandangan masing-masing.

Menurut beliau, ruang kebebasan yang diberikan itu tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk memperbaiki serta memperkukuhkan parti.

Kalau itulah ‘lesen’ yang diberikan maka perwakilan perlu jujur untuk membuat teguran. PKR dan DAP harus diberi pemahaman bahawa Pas bukanlah parti kecil atau sebuah parti yang terpaksa melutut kepada kedua-dua parti berkenaan untuk mencari kuasa politik.

Pas sudah membuktikan kewibawaannya di dalam arena politik negara sebagai sebuah parti yang digeruni oleh Barisan Nasional (BN). Malahan ada pandangan yang menyatakan menentang DAP dan PKR dalam pilihan raya adalah lebih mudah kepada BN berbanding berhadapan dengan Pas.

Kemampuan

Jika BN atau lebih tepat lagi UMNO menghormati kemampuan Pas, kenapa PKR dan DAP tidak mempunyai pandangan seumpama itu?

Kita perlu mengakui bahawa tanpa Pas, pakatan pembangkang tidak akan sekukuh mana. Segala gerak kerja pakatan itu dalam pilihan raya banyak bergantung kepada Pas.

Tetapi malangnya, sebahagian pemimpin dan ahli Pas sengaja melupakan kekuatan itu, sebaliknya kerana terlalu ingin menjaga hati rakan-rakan dalam PKR dan DAP, mereka lebih rela melihat Pas diperkotak-katikkan.


Kononnya, mereka bimbang kalau kritikan atau teguran dilemparkan kepada kedua-dua parti itu maka ia akan memberi ruang mewujudkan persepsi bahawa pakatan pembangkang bertelagah. Bagaimanapun apa yang perlu mereka fikirkan apakah selama ini PKR dan DAP menjaga hati Pas?

Atas sebab itulah, muktamar kali ini perlu dijadikan medan untuk Pas untuk menghantar mesej yang jelas kepada kedua-dua parti berkenaan supaya tidak terlalu meminggirkan Pas sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Jika perwakilan benar-benar ingin memastikan Pas tidak hanya menjadi ‘pak turut’ yang sekadar hadir untuk meraih undi orang Melayu kepada PKR dan DAP dalam pilihan raya umum akan datang, maka mereka perlu memberikan peringatan agar Pas tidak sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan.

Ia kerana sudah ada kecenderungan di kalangan pemimpin PKR yang lebih mengutamakan DAP dalam soal apa sekali pun. Isu Timbalan Perdana Menteri II yang dikatakan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membuktikan bahawa Pas tidak dibawa berbincang bersama.

Oleh itu, misi perwakilan adalah untuk mendesak dan memberi penekanan kepada kepimpinan Pas bahawa dalam apa situasi sekali pun, jangan sampai Pas hanya menjadi parti ketiga dalam pakatan pembangkang dan terpaksa bertolak-ansur terlalu banyak dalam pembahagian kerusi dalam pilihan raya nanti.

Perwakilan Pas perlu faham bahawa orang Melayu kini semakin tertanya-tanya mengenai pendirian sebenar parti itu di dalam isu-isu tertentu yang melibatkan orang Melayu dan Islam.

Sebab itulah, Pas sepatutnya menjadikan kaji selidik yang menunjukkan sokongan orang Melayu kepada parti itu semakin merosot sebagai panduan bahawa mereka akan terus ditolak jika dilihat sekadar menjadi alat kepada PKR dan DAP.

‘‘Saya percaya isu kemerosotan sokongan orang Melayu akan menjadi bahan paling panas diperbincangkan dalam muktamar kali ini.

‘‘Ia kerana pemimpin dan ahli Pas sangat memahami situasi politik sekarang. Tanggapan bahawa Pas hanya ‘pak turut’ dalam pakatan perlu dihapuskan,’’ kata seorang lagi pemimpin Pas kepada penulis.

Selain itu, Pas juga perlu menjadikan muktamar ini sebagai platform untuk berbincang bagi menentukan arah tuju parti itu seterusnya.

Sama ada hendak diakui atau tidak, sebahagian besar orang Melayu kini keliru dengan pendirian Pas dalam isu-isu tertentu.

Lebih mengelirukan mereka ialah Pas dilihat sering kali sahaja menolak sebarang usaha untuk mengwujudkan perdamaian dengan UMNO, biarpun ia hanya menyentuh soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Penulis difahamkan, ada di kalangan pemimpin Pas yang menentang jika ada di kalangan mereka hendak menyokong sesuatu isu berkaitan orang Melayu dan Islam yang dibangkitkan oleh UMNO.

Bagi kelompok berkenaan, jika mereka memberi sokongan ia bermakna mereka ingin berbaik-baik dengan parti terbesar orang Melayu.

Keadaan inilah yang memungkinkan sesetengah pemimpin pembangkang terutamanya di dalam PKR dan DAP begitu berani menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam kerana mereka percaya bahawa Pas akan ‘menyebelahi’ mereka.

Percanggahan

Ia diburukkan lagi dengan percanggahan pandangan antara kepimpinan Pas di dalam sesetengah isu sehingga timbul persoalan siapa sebenarnya betul.

Paling ketara dalam isu kalimah Allah apabila ada di kalangan pemimpin Pas seolah-olah melanggar ketetapan parti apabila tetap memperalatkan isu berkenaan ketika kempen pilihan raya.

Matlamat pemimpin yang terlibat hanyalah satu iaitu memastikan pengundi bukan Melayu menyebelahi pembangkang.

Itu belum lagi termasuk soal perjuangan Islam yang selama ini menjadi dasar Pas. Ketika ini Pas seolah-olah hilang hala tuju. Ramai yang keliru apa matlamat akhir perjuangan parti berkenaan.

Kalau kata hendak menegakkan syiar Islam atau mendirikan negara Islam, ia sudah tidak begitu ketara dalam tindak-tanduk Pas sekarang. Sebaliknya, dalam situasi tertentu Pas dilihat lebih mengutamakan kuasa politik dan bersikap double standard’ apabila menyentuh isu berkaitan pakatan pembangkang.

Sebagai contoh, Pas begitu beria-ia menentang lesen judi bola sepak Piala Dunia tetapi di dalam masa yang sama, parti itu tidak berbuat apa-apa terhadap kegiatan judi dan penjualan arak terutamanya di Kedah dan Selangor.

Kesudahan Pas dianggap tidak lagi bersikap ‘yang benar itu benar, yang batil itu batil’. Apa pun yang ditegaskan oleh parti tersebut, segalanya bergantung sejauh mana ia mendatangkan kesan politik kepada mereka dan pakatan pembangkang.

Sebab itulah, Pas dilihat demi kepentingan politik, tidak begitu lagi beria-ia bercakap soal penubuhan negara Islam. Pas seolah-olah takut jika isu berkenaan diketengahkan ia akan menyinggung perasaan bukan Islam terutama rakan sekutu mereka DAP.

Ketika ditanya apa yang perlu dilakukan bagi menghapuskan tanggapan itu, seorang pemimpin Pas berkata, ‘‘Perwakilan ke muktamar perlu terbuka menyatakan kebenaran, ertinya kalau perlu tegur maka tegurlah kepimpinan.’’

Pada pandangan pemimpin tersebut, teguran atau kritikan bukanlah bererti hendak menjatuhkan parti atau pakatan pembangkang tetapi bagi memberikan kesedaran kepada kepimpinan parti.

Dalam memastikan Pas terus menjadi parti yang digeruni di persada politik tanah air, maka keyakinan yang tinggi terhadap pemimpin sendiri perlu ada di kalangan ahli-ahli Pas.

Sikap sesetengah pemimpin Pas yang terlalu mengagumi Anwar perlu diberikan teguran kerana ia seolah-olah mengecilkan kewibawaan pemimpin-pemimpin parti itu seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharudin.

Malahan Pas juga mempunyai pemimpin pelapis yang jika diketengahkan akan mampu menjadi pemimpin berwibawa seperti Naib Presiden, Salahudin Ayub dan Ketua Dewan Pemuda, Nasrudin Hassan. Begitu juga dengan kepimpinan ulama yang dihormati oleh umat Islam.

Justeru muktamar kali ini boleh dianggap gelanggang bagi memotivasikan pemimpin dan ahli Pas terhadap keupayaan dan kemampuan sendiri, bukannya mengagung-agungkan orang lain, seperti sikap sesetengah pemimpin Pas yang begitu menyanjungi Anwar.

Lebih penting daripada itu, muktamar yang bakal berlangsung, perlu mengembalikan imej Pas sebagai peneraju utama dalam pembangkang bukannya bersikap seperti pak turut semata-mata demi mencari kuasa politik.


Oleh: Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP