September 09, 2010
9 SEPT — PEREBUTAN jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang pemilihan barisan kepemimpinan baru November ini amat menarik kerana ia bagai ulang tayang kejadian pergelutan kuasa jawatan Timbalan Presiden yang pernah berlaku dalam Umno pada 1992.
Lebih menarik apabila orang yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, turut teringat nasib bekas Timbalan Presiden Umno, Allahyarham Tun Ghafar Baba, yang dikalahkan Team Wawasan ketika itu diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini penasihat PKR. Sejarah boleh berulang terutama apabila “tok dalang” masih orang sama. Yang berbeza hanya tarikh, tempat dan nama pemain lain.
Hairan juga apabila Datuk Zaid Ibrahim yang membuat “u-turn” dalam penawaran diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, selepas pada awal Mei lalu mengumumkan: “Adalah tidak benar sama sekali saya akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR” tetapi menggunakan tajuk “Saya akan Menerima Nasib Seperti Pak Ghafar Baba?”, dalam kenyataan akhbarnya, Isnin lalu.
Adakah Zaid rasa dipermainkan orang tertentu yang mempengaruhinya sehingga mendorong beliau menawarkan diri bertanding dengan calon yang terbukti begitu setia dengan Anwar? Anwar dijangka mengambil alih kepemimpinan PKR dari isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Apatah lagi spekulasi mengenai calon itu, Azmin Ali, dikatakan bakal menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, selepas Aidilfitri ini.
Amat lucu apabila Zaid menulis: “Semasa saya diterima masuk setahun dahulu saya digelar wira, seorang yang berani dan berprinsip, pejuang politik yang tidak mementingkan jawatan dan kedudukan. Dua belas bulan kemudian saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan akan menjual parti kepada Umno. Tuduhan terhadap peribadi saya juga ditingkatkan.”
Pensyarah sains politik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, berpendapat Azmin memang ketara mempunyai kelebihan dari segi sokongan peringkat akar umbi yang lebih kukuh berbanding Zaid berikutan pembabitannya sejak awal dalam perjuangan PKR.
“Beliau bermula dari bawah, malah sudah melalui bersama pelbagai fasa susah dan senang parti itu, sedangkan seperti yang ramai sedia maklum, Zaid sebelum ini adalah orang kuat Umno sebelum beralih arah kepada PKR. Faktor itu menjadi antara sebab sokongan peringkat akar umbi terhadap Zaid masih belum begitu menyerlah berbanding Azmin.
“Ada juga andaian bahawa Azmin mendapat sokongan kerana beliau dikatakan protege Anwar. Tetapi harus diingati kemasukan Zaid dalam PKR juga memperoleh sokongan kuat Anwar. Apa pun sama ada menang atau kalah, pertandingan pada pemilihan November depan boleh dianggap medan terbaik menguji sejauh mana sokongan ahli PKR terhadap Zaid,” katanya.
Mungkin sukar membandingkan kesetiaan Zaid selama 12 bulan dengan PKR berbanding Azmin yang bukan saja mencatat nama sebagai antara pengasas PKR malah orang kanan Anwar.
Apa lagi Zaid mengaku tidak akan setia dengan membuta tuli, dan keputusan menyertai PKR kerana ia dianggap parti yang demokratik, terbuka untuk dikritik dan bukan sebuah “cult organisation” yang sentiasa mendewakan pemimpin agung mereka.
Isu konon ada orang membayar blogger untuk menulis memburukkan namanya sebenarnya tidak perlu timbul kerana sebagai peguam beliau boleh menyaman sesiapa saja yang menfitnah atau melaporkan fakta palsu.
Tetapi yang jelas, Zaid kini terperangkap dalam permainan politik adu domba Anwar sejak berada dalam Umno.
Zaid yang mulanya bertegas tidak minat bertanding akhirnya menjadi orang pertama menawarkan diri sedangkan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, belum pun mengumumkan keputusan berundur dari politik.
Azmin belum membuat sebarang pengumuman tetapi mengorak langkah dengan mengumpulkan 13 Ahli Parlimen yang kononnya menyokong beliau bertanding jawatan nombor dua itu. Nampaknya, ahli Parlimen Bukit Antarabangsa itu turut mendapat sokongan Anwar dan Wan Azizah. Cuma anak Anwar, Nurul Izzah, yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai, masih belum mengumumkan pendirian.
Kempen perebutan kuasa dalam PKR sudah bermula. Zaid yang membuka tirai dan Azmin menyusul dengan gerakan lebih strategik. Persaingan merebut kuasa bagi semua jawatan utama lama dan pelbagai peringkat lain dijangka sengit kerana kempen “merampas Putrajaya” kian menjadi bayangan indah. Mata turut memandang Tan Sri Khalid Ibrahim dengan persoalan apakah beliau akan membiarkan dirinya jadi korban kepada politik adu domba yang begitu terancang yang dibawa Anwar dari Umno ke dalam PKR.
Akhirnya, apakah Zaid benar-benar akan menerima nasib seperti Ghafar yang mengakhiri zaman politiknya dengan diaibkan oleh Anwar? Atau, Zaid sebenarnya lebih licik daripada Azmin yang terpaksa bernaung belas dan pengaruh Anwar selama-lamanya. — Berita Harian
No comments:
Post a Comment