30.07.2011 - Kementerian Pertahanan hari ini ingin memberi penjelasan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia.
Kementerian Pertahanan mendapati bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat terutama oleh parti-parti politik tertentu mengenai perolehan kelengkapan tersebut sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan salah faham di dalam masyarakat.
Selain itu, ia juga menimbulkan persepsi negatif dan prasangka bahawa perolehan kelengkapan untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia telah dilaksanakan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan, tidak telus dan membazir.
Di sini, pihak Kementerian ingin memaklumkan bahawa semua rundingan perolehan adalah dijalankan mengikut Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara oleh pegawai-pegawai kerajaan. Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian-penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan Angkatan Tentera Malaysia.
Selain itu, rujukan juga dibuat kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma-terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan diperolehi.
Berhubung dengan perolehan kapal selam Scorpene, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada Encik Abd Razak Baginda merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.
Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam Scorpene, TIDAK ADA sebarang komisen yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd. seperti yang didakwa. Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus – selaras dengan tatacara perolehan kerajaan – dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.
Sebaliknya, syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta, yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.
Perimekar Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S.Ombak Laut Sdn. Bhd.
Skop kerja perkhidmatan sokongan adalah seperti berikut:
1. Menyediakan kemudahan kediaman beserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.
2. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman beserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.
3. Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol
4. Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.
5. Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia pada setiap 4 bulan (tiga kali setahun).
6. Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol
Perkhidmatan koordinasi pula melibatkan:
1. Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set.
2. Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.
3. Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan.
4. Menyediakan laporan koordinasi setiap enam bulan.
Jumlah kontrak EURO 114.96 juta bukanlah merupakan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn Bhd., sebaliknya jumlah ini adalah meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.
Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk melantik sebuah syarikat tempatan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah tersebut dianggap lebih sesuai dan berkesan. Ia juga bagi tujuan melicinkan kerja-kerja Tim Projek membuat pemantauan ke atas pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.
Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan bilangan anggota yang ramai.
Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan.
Tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan ingin menyatakan bahawa perolehan adalah dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Russia.
Rundingan terus ini adalah selari dengan dasar negara Rusia dan negara-negara lain yang mempunyai polisi bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara masing-masing agar tidak terlepas kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Berdasarkan senario tersebut, semua kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan ditandatangani oleh wakil Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Principal negara asing, termasuk dalam soal pembelian pesawat Sukhoi. Perolehan pesawat ini juga mematuhi Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.
Dalam soal pembelian pesawat Sukhoi, syarikat Rosboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini. Justeru, Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang urusan perniagaan antara Rosboronexport dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan Kerajaan Malaysia.
Dengan penjelasan ini, maka Kementerian Pertahanan berharap agar semua pihak memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.
Cawangan Perhubungan Awam
Kementerian Pertahanan Malaysia
Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR 12 Jun 2012 - Dewan Rakyat hari ini dikejutkan dengan pendedahan bekas peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Noordin iaitu beliau mengakui pernah diarah Ketua Pembangkang untuk mengada-adakan bukti dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut Zulkifli, Anwar memberi arahan tersebut bagi memastikan kes Altantuya dapat dijadikan modal politik untuk mensabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) selepas menyedari kes tersebut tiada kaitan dengan Ahli Parlimen Pekan itu.
Katanya, selaku peguam bela Anwar pada ketika itu, beliau membuat pelbagai semakan undang-undang untuk mencari bukti bagi mengaitkan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan berkenaan, namun tiada sebarang petunjuk Najib terlibat, tetapi pembangkang cukup galak melempar fitnah.
"Tiada sebesar zarah pun bukti Perdana Menteri terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya dan apabila saya beritahu Anwar, dia marahkan saya. Anwar kata, kalau tiada bukti, kamu kena adakan bukti tersebut, tetapi sebagai peguam yang berprinsip saya tidak mengikut arahan berkenaan.
"Kalau ada bukti sudah lama saya gunakan untuk menyerang Perdana Menteri, tetapi hari ini isu pembelian kapal selam Scorpene ditimbulkan lagi. Apa tujuan mereka timbulkan isu ini, tujuannya tidak lain untuk kembali mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya yang terbukti fitnah.
"Saya peguam Anwar, saya lebih tahu. Mereka mendakwa kononnya ada surat akuan bersumpah yang mengaitkan Najib, semua itu bohong sebagaimana akuan sumpah palsu (diarah Anwar) dalam kes Mohd. Saiful Bukhari Azlan," katanya semasa sesi perbahasan.
Semalam, isu kapal selam Scorpene kembali ditimbulkan oleh Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dalam sidang Parlimen dan anak kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh itu sekali lagi cuba mengaitkan Perdana Menteri dalam 'skandal' tersebut, selain mendakwa Najib tidak berintegriti.
Dalam pada itu, Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu menempelak Gobind agar terlebih dahulu 'cermin diri sendiri' dengan melihat pendiriannya dan bapanya sebelum menuduh Perdana Menteri tidak berintegriti.
"Kalau beliau lupa, saya suka ingatkan kembali, pada tahun 1997 di dewan inilah Karpal mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti yang Permatang Pauh (Anwar) terlibat dalam aktiviti liwat dan menuntut tindakan tegas kerajaan, tetapi hari ini siapa peguam bela Anwar kalau bukan Karpal," katanya.
15/06/12 – Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata isu Scorpene hanya semata-mata untuk memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, walaupun ianya tidak mempunyai bukti dan perkaitan.
“YB Zul telah bercakap dalam parlimen.. semalam pun dia bercakap sekali lagi.. di mana dengan jelas dia mengatakan dia dapat arahan (dari Anwar).
“Oleh sebab pendirian dia (Zul)… sebab dia fikir tentang agama dia.. tentang Tuhan.. dia tak berani buat kerja pembohongan itu.
“Oleh itu, dia tidak setuju tentang apa yang telah diarahkan oleh Anwar Ibrahim,” katanya.
Menurutnya, isu Scorpene dan Altantunya dibawa oleh Anwar sejak dari Pilihanraya Kecil Ijok pada tahun 2007.
“Walaupun YB Zul dah kata dia telah dipergunakan dan dia mengambil iktibar tidak mahu terlibat dalam isu itu, pada hal badan seperti SUARAM mewakili suara rakyat sepatutnya tidak mengambil tindakan menyebelahi tentang penipuan dan pembohongan.
“Kalau ada bukti keluarkan.. Sampai hari ini satu bukti pun (tidak dikeluarkan).. hanya dok petik (kenyataan sana) sana, petik sini, jadi tak kena lah,” katanya.
Oleh : anwaraidc
Akhirnya, Nurul Izzah terpaksa menerima hakikat bahawa tidak ada perbicaraan yang berlangsung di Perancis mengenai isu kapal selam Scorpene. Dalam Sidang Parlimen 26hb Jun baru-baru ini, Nurul Izzah antara lainnya bertanya Menteri sekiranya Malaysia akan memohon untuk menjadi pemerhati di Mahkamah Tribunal Perancis untuk mendapat akses kepada siasatan berhubung kes tersebut.
Y.B Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menjawab bahawa keperluan itu tidak timbul kerana pihak Perancis telah memaklumkan bahawa tiada perbicaraan yang berlangsung mengenai kapal selam scorpene di negara itu.
Nurul Izzah kemudiannya akur dengan jawapan tersebut dan bertanya lagi sama ada Suruhanjaya DiRaja akan ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut dan dijawab oleh Menteri Pertahanan sebagai tidak perlu kerana pembelian kelengkapan angkatan tentera dibuat mengikut tatacara perlaksanaan kontrak perolehan pertahanan negara.
Maka dengan itu, semakin jelaslah penipuan SUARAM mengenai perbicaraan di mana Nurul Izzah sendiri telah mengesahkannya apabila memohon penubuhan Suruhanjaya DiRaja sebagai ‘ganti’.
Benar, bahawa penyiasatan sedang dijalankan mengenai urusniaga kapal selam oleh syarikat DCNS di Perancis. Tetapi, penyiasatan itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan mahupun pemimpin-pemimpin di Malaysia, tetapi melibatkan syarikat tersebut, dengan ahli-ahli politik di sana. Ia masih di peringkat siasatan dan bukannya perbicaraan. Nama Altantuya Shaariibuu juga langsung tidak terlibat, malah nama Perdana Menteri juga tidak disebut. Malaysia tiada kena mengena dengan penyiasatan itu melainkan mungkin, sebagai pembeli sahaja.
Untuk SUARAM membangkitkan soal sapina merupakan sesuatu yang amat lucu sekali kerana bagaimana untuk mengsapina sesiapa jika perbicaraannya tidak ada?
SUARAM, atau lebih tepat, pembangkang bukan sahaja mempunyai tabiat yang suka menipu tetapi lebih buruk lagi ialah mereka sanggup menipu tanpa batasan. Tidak cukup mereka memburukkan sistem kehakiman dan pihak berkuasa di Malaysia, kini mereka turut membadutkan hakim dan mahkamah Perancis pula. Malah mereka juga menggambarkan polis Perancis sebagai tidak cekap kerana tidak mampu mengesan kemasukan Altantuya ke negara tersebut.
Mereka juga sanggup mengheret orang yang telah mati untuk dijadikan modal politik secara berterusan memandangkan orang tersebut tidak mampu membela diri atau menjelaskan apa-apa lagi. Mereka juga tidak malu menggunakan nama orang yang masih hidup seperti Jasbir Singh Chahl, yang ditohmah kononnnya akan disapina untuk hadir ke perbicaraan fantasi mereka.
Walaupun telah terkantoi berkali-kali, mereka tetap berdegil ingin mengasak isu yang sama.
Ini menyebabkan ramai di kalangan rakyat mula bertanya, setelah jelas kini bahawa isu ini sengaja diada-adakan oleh pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, maka apakah ia bermakna pembunuhan Altantuya juga didalangi oleh mereka?
Sememangnya pelik apabila Altantuya dikaitkan dalam isu yang beliau langsung tiada kena mengena. Dan memang pelik apabila namanya tetap disebut walaupun telah jelas beliau langsung tidak memasuki Perancis pada ketika urusniaga scorpene berlangsung. Perdana Menteri juga tidak mengenali Altantuya dan telah bersumpah sebanyak empat kali mengikut landasan Islam mengenainya. Begitu juga beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah, mempunyai alibi kukuh tidak terlibat dengan pembunuhan tersebut. Tetapi, nama gadis malang ini tetap diungkit dan dimainkan oleh pembangkang sekali gus membuktikan bahawa mereka benar-benar ketandusan isu ‘tulin’ untuk menyerang Perdana Menteri.
Dengan prestasi pembangkang yang begitu buruk di negeri-negeri yang ditadbir mereka, serta skandal-skandal peribadi yang tidak berkesudahan antara seorang demi seorang pemimpin mereka, di tambah dengan penipuan mengenai scorpene ini, rakyat menjadi bertambah curiga dengan pembangkang. Ramai yang mula tertanya-tanya, sejauh mana pembangkang sanggup lakukan untuk merampas kuasa?
Kita tahu bahawa pembangkang sanggup menggadai nyawa rakyat dengan mencetus keganasan, kita juga tahu bahawa pembangkang sanggup mengsabotaj ekonomi negara sendiri dengan memburuk-burukkan dan mencemar imej negara dan Perdana Menteri.
Justeru, kita tidak dapat mengelak dari mengesyaki yang segala apa yang dituduh oleh pembangkang terhadap kerajaan dalam isu scorpene ini, adalah sebenarnya apa yang telah dilakukan sendiri oleh mereka dengan niat untuk memerangkap kerajaan.
Dengan itu, Nurul Izzah boleh meneruskan lakonannya di parlimen dan SUARAM boleh meneruskan penipuan mereka di media tetapi rakyat jua yang akan menghakimkan mereka. Di mata rakyat, kredibiliti SUARAM, Nurul Izzah dan pembangkang keseluruhannya telah musnah sama sekali.
Malah, ramai rakyat yang sinis berkata bahawa mereka mengesyaki para penulis komen menyokong SUARAM dan Nurul Izzah di portal-portal dan blog-blog pro-pembangkang adalah kebanyakannya orang yang sama yang diupah oleh SUARAM untuk menyedapkan hati sendiri kononnya masih ramai yang menyokong mereka.
Tidak apa, teruskanlah menyedapkan hati sendiri buat masa ini, kerana jumlah sokongan sebenar tetap akan terserlah dalam pilihanraya.
No comments:
Post a Comment