Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Wednesday, September 11, 2013

13 Mei 1969 - Sebelum dan Selepas (BAB 23 : Mimpi dan Alamat)

PADA satu malam bulan penuh purnama yang terjatuh pada hari Jumaat, 2 Mei 1969, lapan hari sebelum hari mengundi dan 11 hari sebelum rusuhan berlaku, saya telah mendapat satu mimpi yang boleh dikatakan luar biasa.

Dalam mimpi itu saya dapati saya berada di lorong belakang di antara dua deretan rumah. Lorong itu sempit, becak, berlumpur dan kotor; sampah sarap dan kekotoran yang seperti itu tidak pernah saya lihat dahulu. Sedang saya berdiri di situ dengan tidak tahu apa yang hendak di buat, tiba-tiba tikus-tikus longkang sebesar kucing berduyun-duyun keluar dari parit sebelah kiri dan datang ke tengah-tengah lorong yang tersebut memakan sampah dan kotoran yang ada di situ.

Tikus itu nampaknya bengis, dan memamah sampah sarap dengan ganasnya. Saya cuba hendak pergi ke sebelah sana lorong itu yang tidak dipenuhi oleh tikus-tikus itu, tetapi dengan tiba-tiba berterbangan keluar lalat-lalat hijau yang kotor dari sebuah parit disebelah kanan, dan memenuhi kawasan yang kosong itu. Dengan itu maka saya telah terperangkap kerana tidak ada lagi jalan yang boleh saya lalui.

Tikus-tikus dan lalat-lalat itu terus juga keluar dari kedua-dua belah parit, dan saya pun mengambil keputusan untuk keluar dari situ dengan merempuh mereka. Oleh kerana saya fikir tikus-tikus itu akan menyerang saya, maka saya tidak megikuti jalan yang ada tikus-tikus itu tetapi merempuh lalat-lalat hijau itu sambil menutup mata dan muka saya dengan lengan. Lalat hijau itu berterbangan dan berdesing-desing di sekeliling saya dan mengikut saya seketika, tetapi akhirnya saya dapat lepas daripada mereka dan terus keluar ke jalan yang bersih dan udara yang segar.

Apabila terkejut daripada tidur saya tidak dapat mentadbirkan mimpi itu. Saya beritahu isteri saya dan meminta beliau memikirkan apa erti mimpi yang pelik dan dahsyat itu. Beliau berkata beliau juga tidak dapat mentabirkan mimpi itu tetapi nyatalah ia memberi alamat bahawa satu kejadian buruk akan berlaku, dan kejadian itu akan mendatangkan kesusahan besar kepada saya.

Pada ingatan saya tikus-tikus dan lalat-lalat hijau itu adalah merupakan dua binatang yang kotor sekali dalam dunia. Oleh itu mimpi saya itu tentulah menandakan bahawa ada satu perkara yang dahsyat akan berlaku. Saya beritahu isteri saya bahawa saya rasa ada musuh-musuh yang berusaha hendak menjahanamkan saya, atau sekurang-kurangnya hendak menyekat usaha-usaha saya untuk keamanan dan kebahagiaan. Saya segera mencatatkannya dalam buku ingatan saya supaya kemudian kelak dapatlah saya mengerti tujuan mimpi saya itu.

Dalam masa beberapa hari sejak mimpi itu, saya berkali-kali cuba hendak mencari makna tikus dan lalat hijau itu. Saya tidak dapat hendak melupakan mimpi itu kerana semua yang berlaku sangatlah jelas, dan merupakan satu alamat yang sangat buruk.

Pada pagi hari mengundi satu lagi kejadian yang merunsingkan telah berlaku selepas sembahahyang subuh. Apakala saya hendak bangkit dari tikar sembahyang, tasbih yang saya gunakan telah tersangkut di penjuru meja dan putus talinya sehingga biji-biji tasbih itu bertaburan di atas lantai.

Kejadian ini juga tentu mempunyai makna. Saya telah gunakan tasbih ini selama beberapa tahun untuk berzikir selepas sembahyang tetapi kejadian yang seperti ini tidak pernah berlaku sebelum itu. Tuhan sahaja yang maha mengetahui kenapa tasbih itu putus talinya pada pagi itu, iaitu hari mengundi. Saya mula berasa gelisah dengan kejadian-kejadian yang pelik ini, mungkin ia mempunyai alamat yang tidak baik.

Sekarang baru saya tahu apa yang dimaksudkan oleh mimpi itu. Tikus-tikus itu nyatalah merupakan komunis-komunis Malaysia atau konco-konco dan penyokong-penyokong mereka dan juga semua anasir jahat.

Orang-orang inilah yang menganjurkan perarakan mayat pada 9 Mei dan sebagaimana yang telah saya ceritakan tadi, mereka cuba hendak menimbulkan peristiwa buruk dalam perarakan itu supaya terhalanglah pilihan raya. Mereka tidak berjaya dalam pecubaan ini tetapi mereka telah berjaya menimbulkan perasaan buruk dan meninggalkan kesan yang membahayakan keamanan. Mereka telah menyematkan perasaan perkauman di hati orang ramai, dan melakukan perbuatan-perbuatan yang membawa kepada tercetusnya kekacauan besar pada 13 Mei. Ringkasnya mereka telah menaburkan benih-benih dan sekarang mereka hendak makan buahnya.

Elok saya terangkan bahawa pihak Cina Komunis tidaklah bertujuan hendak menimbulkan pergaduhan atau pertelingkahan perkauman seperti yang berlaku itu, tetapi hasil perbuatan mereka yang lazimnya berakhir dengan kejadian yang sama seperti ini. Apa sebabnya begitu? Sebabnya ialah orang-orang Melayu enggan menurut perintah mereka dan sebarang perselisihan dengan orang-orang Melayu pastilah membawa kepada pertelingkahan kaum.

Ini telah terbukti dalam kejadian yang berlaku di Pulau Pinang semasa komunis memberi perintah supaya diadakan hartal, orang-orang Melayu tidak hiraukan perintah itu, dan apabila mereka menyerang pekedai-pekedai Melayu, maka orang-orang Melayu lain telah datang menolong sehingga membawa kepada timbulnya satu pertempuran kaum.

Tujuan mereka hendak merosakkan Kerajaan dengan mengadakan ‘boikot’  telah bertukar menjadi satu pertempuran antara orang-orang Melayu dengan orang-orang Cina,  iaitu satu kejadian yang bukan dimaksudkan oleh Komunis.
Perarakan mayat di mana 14,000 berarak dalam bandar KL melalui kawasan Melayu
Kejadian seperti ini berlaku sekali lagi pada hari perarakan mayat. Tujuan mereka ialah hendak menunjuk perasaan menentang kerajaan, tetapi dengan melakukan perbuatan itu mereka telah menyentuh perasaan orang-orang Melayu. Sikap orang-orang Melayu ialah kiranya mereka menganggap kerajaan negeri ini sebagai kerajaan mereka, maka perbuatan mengutuk kerajaan itu berertilah mereka juga mengutuk diri mereka sendiri. Orang-orang Melayu adalah anti-Komunis, tetapi nampaknya Komunis Cina tidak memahami sikap dan pendirian orang-orang Melayu itu. Bilangan orang-orang Melayu yang mempercayai ideologi mereka boleh dikatakan hanya  berapa kerat saja.
Perarakan kemenangan yang terkeluar dari batasan yang diluluskan
Pada 12 Mei, Dr Tan Chee Khoon dan anggota-anggota Gerakan telah mengadakan perarakan untuk merayakan “kemenangan” parti mereka, dan dalam perarakan itu anggota-anggota DAP juga turut serta. Perarakan itu telah berjalan dengan teratur sebagaimana yang dirancang, tetapi selepas daripada tamatnya perarakan itu anggota-anggota parti telah hilang akal menunjukkan kelakuan yang biadab. Semasa mereka dalam perayaan itulah mereka telah melakukan perbuatan yang tidak senonoh dan melemparkan kata-kata yang keji. Perbuatan mereka yang keji itu dengan sendirinya memasukkan mereka ke dalam perangkap `tikus-tikus longkang’ tersebut.

Perarakan mayat yang dianjurkan oleh Komunis pada hari Jumaat dan sambutan “kemenangan” yang diadakan oleh Gerakan dan DAP pada hari Isnin adalah dua kejadian yang provokasi sehingga tercetusnya kekacauan yang sehabis-habis buruk yang belum pernah berlaku di Kuala Lumpur. Tujuk-tunjuk perasaan yang berlaku satu demi satu telah dianjurkan oleh Cina Komunis dan parti-parti politik tersebut, yang merupakan perbuataan provokasi dan jahat telah memberi makna yang jelas kepada mimpi saya itu.

Sekarang apakah pula erti lalat-lalat hijau? Pada malam 25 Mei seorang pelayan di Residency (kediaman rasmi saya) telah memberitahu saya bahawa seorang sahabat lama, Dato’ Syed Esa Almanoer hendak bercakap dengan saya menerusi telefon. Apabila saya mengangkat telefon itu saya dapati bukanlah suaranya, tetapi orang lain yang cuba hendak menyamar dan bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia memberitahu saya bahawa ada 20 orang ahli UMNO yang sedang bermesyuarat pada masa itu di satu tempat dan mereka telah mengambil keputusan meminta saya meletakkan jawatan.

Saya cuba hendak mengecam suaranya, tetapi tidak dapat. Apabila saya bertanya siapakah dia, dia enggan memberitahu namanya. Jadi saya katakan kepadanya “Go to hell (pergi jahanam).” Panggilan-panggilan telefon yang seumpama telah dibuat berulang kali dalam masa tiga atau empat malam kemudiannya. Apabila  diberitahu kepada orang yang memanggil itu bahawa saya tiada di rumah, dia telah memberitahu kepada pelayan yang menjawab telefon itu supaya memberitahu kepada saya supaya meletakkan jawatan kerana saya tidak dikehendaki lagi dalam UMNO dan dalam Kerajaan.

Pada 6 Jun pula, iaitu hari yang sepatutnya saya masuk hospital, Utusan Melayu telah menerbitkan satu berita yang mengandungi pendapat beberapa orang anggota UMNO bahawa adalah bijak bagi MCA tidak menyertai Kabinet. Saya telah menasihatkan mereka itu supaya jangan mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana saya bimbang perbuatan itu mungkin akan menambahkan perpecahan dan dengan itu juga akan mencacatkan pentadbiran. Sebarang persoalan kaum yang dibangkitkan pada waktu ini akan membahayakan keamanan.

Selang tidak berapa lama, iaitu pada 18 Jun, saya telah menerima surat daripada Dr. Mahathir yang telah saya ceritakan terdahulu. Surat ini kemudiannya telah disebar beribu-ribu naskah. Kandungannya semata-mata bertujuan untuk menghina saya di mata orang ramai dan menaikkan perasaan marah dan benci orang ramai terhadap diri saya.

Kempen benci terhadap diri saya ini telah mengejutkan orang-orang Melayu yang taat setia amnya dan anggota UMNO khasnya. Saya sendiri menghadapi dugaan yang berat. Keadaan tegang telah timbul di dalam parti yang boleh membawa kepada timbulnya perpecahan dalam UMNO. Kemudian Majlis Tertinggi UMNO telah memecat Dr. Mahathir.

Perkara ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka terus menganiaya diri saya. Beberapa lagi surat liar telah dikirim dan disebarkan kepada orang ramai. Lalat-lalat hijau ini terus mengekori saya, dan mereka masih berdesing-desing di sekeliling saya.

Sekarang dapatlah saya faham bahawa biji-biji tasbih yang telah terburai itu merupakan pecahnya keamanan dan harmoni antara berbagai-bagai kaum. Tikus-tikus boleh dibunuh, lalat-lalat boleh diusir dan biji-biji tasbih boleh dicucuk kembali benangnya. Marilah kita berdoa supaya segala penderitaan dan percubaan yang kita telah alami, dan bencana serta kesan-kesan yang buruk yang timbul daripadanya itu akan menjadi pengajaran kepada kita semua.

Pihak Kerajaan sebenarnya bersungguh-sungguh mengamalkan sikap sabar dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan. Sepatutnya kita tidak membenarkan mayat pemuda Parti Buroh itu disimpan di rumah mayat di Jalan Sultan yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, tetapi memerintahkan supaya mayat itu dibawa ke kampungnya di Kepong untuk dikebumikan.


Labour Party of Malaya
Parti Buruh Malaya
Niat Parti Buroh itu adalah jelas; hendak mempersenda-sendakan pemerintah dan melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh memecahkan keamanan. Cara mereka mengadakan perarakan mayat menunjukkan dengan jelas niat dan tujuan mereka. Mereka tergamak meminta kebenaran supaya perarakan itu diadakan pada hari mengundi. Jika permintaan mereka itu diluluskan, mungkin pilihan raya di Kuala Lumpur tidak dapat diadakan. Kesan perarakan mayat itu tentulah buruk ke atas negara pada keseluruhannya tidak kira pada hari mana jua pun ia diadakan, kerana perarakan yang seumpama itu akan membangkitkan perasaan anti kerajaan.

Oleh kerana itu Gerakan dan DAP tidaklah sekali-kali patut mengadakan perayaan ‘kemenangan’ setelah perarakan mayat itu telah diadakan dan kesan-kesan daripadanya menunjukkan bahawa perbuatan itu telah menimbulkan perasaan yang buruk. Cara bagaimana mereka merayakan ‘kemenangan’ mereka tidak dapat tiada mesti mengakibatkan kejadian seperti yang telah berlaku dan saya meletakkan tanggungjawab yang sama ke atas parti-parti ini di atas kekacauan yang berlaku.

Setelah parti-parti pembangkang mengadakan perarakan kemenangan mereka maka tidaklah pula dapat disekat kehendak UMNO mengadakan perarakan kemenangannya pada 13 Mei. Jika perarakan UMNO itu tidak diadakan, maka moral anggota-anggota parti itu tentulah jatuh setelah parti-parti pembangkang menunjukkan kekuatan mereka, dan juga kerana anggota-anggota UMNO ini telah dicerca oleh parti-parti pembangkang itu. Oleh itu rusuhan-rusuhan 13 Mei yang telah timbul akibat daripada perarakan-perarakan itu adalah satu kejadian yang dikutuk, dikesali dan tidak dapat dimaafkan.

Selain daripada itu, dalam kempen pilihan raya asas-asas demokrasi telah dipersenda-sendakan dan perlembagaan telah dicabul dan dipermainkan oleh semua partii pembangkang. Pemimpin-pemimpin mereka telah melancarkan kempen dengan tidak menghiraukan dan tidak menghormati perlembagaan yang menjadi piagam demokrasi negara.

Sesungguhnya mereka telah membuat ucapan-ucapan seolah-olah negara ini tidak mempunyai perlembagaan. Pensyarah-pensyarah yang berdiri di atas pentas DAP telah kedengaran berkata bahawa sekiranya mereka memegang kuasa, mereka akan melucutkan hak-hak orang Melayu. Banyak lagi perkataan-perkataan mereka mengenai soal berbilang bahasa dan soal-soal perkauman yang lain yang juga tidak sekali-kali patut dikeluarkan. Banyak perkara yang ditimbulkan oleh ahli-ahli Gerakan dan DAP merupakan soal-soal yang bercorak provokasi yang boleh difahami oleh orang-orang Melayu bahawa sekiranya pembangkang menang dalam Pilihanraya itu, orang-orang Melayu akan `diajar.’

Di satu pihak lagi, PAS menjalankan kempen yang boleh diertikan sebagai bertujuan hendak mengambil kuasa negara ini untuk orang-orang Melayu sahaja. Menurut PAS sekalipun mereka mengakui adanya orang-orang lain di negara ini, orang-orang yang bukan Melayu tidak akan dibenarkan mengambil bahagian di dalam pemerintahan negara atau pun di berikan sebarang hak.

Sebaliknya Parti Perikatan berdiri teguh di belakang perlembagaan dan dengan sebab itu Perikatan telah menjadi sasaran serangan daripada kesemua pihak. Sungguh pun begitu, keputusan-keputusan pilihan raya telah membuktikan satu perkara. Sekali pun di dalam kempen itu berbagai-bagai tuduhan telah dilemparkan ke atas Perikatan dan pelbagai kritikan telah dihalakan kepada perlembagaan, rakyat masih memilih Perikatan untuk memegang kuasa pemerintahan. Ini menunjukkan satu bukti yang jelas bahawa rakyat Malaysia menyokong Perikatan kerana mereka menyifatkan parti itu sebagai pendukung perlembagaan, iaitu sebuah piagam yang menjamin kebebasan, hak-hak perseorangan dan keselamatan.

Oleh itu apakah yang patut kita lakukan supaya perlembagaan itu dihormati? Perlembagaan adalah menjadi asas kemerdekaan kita, dan di atas asas inilah kita telah membina negara kita. Oleh itu kita mestilah sentiasa menegakkan Perlembagaan kita itu dan mempertahankan serta melindunginya dengan segala kekuatan yang ada pada kita.

Saya dapat tahu bahawa di Amerika Syarikat semua parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya bersetuju tidak menyentuh hal-hal perlembagaan mereka. Perlembagaan ini disifatkan sebagai dokumen yang suci dan tidak boleh dibiarkan mana-mana pihak menjadikannya sebagai satu perkara yang boleh dipersoalkan dalam kempen pilihan raya atau di mana-mana jua. Di dalam perlembagaan kita itu ada syarat-syarat yang menentukan cara-cara bagaimana dapat dibuat pindaan, tetapi pindaan-pindaan telah dibuat cuma mengenai dengan pentadbiran dan keselamatan negara di mana-mana yang difikirkan perlu.

Sekiranya kita hendak mencegah daripada berulangnya peristiwa 13 Mei, maka undang-undang pilihan raya mestilah dipinda bagi mengadakan syarat-syarat bahawa perkara-perkara di dalam perlembagaan itu tidaklah boleh ditimbulkan di dalam pilihan raya, dan jika mana-mana parti atau orang-orang perseorangan melakukan kesalahan melanggar undang-undang ini maka mereka akan dihukum. Dengan cara ini sahajalah dapat kita menjamin bahawa demokrasi boleh berjalan di negara ini.

Peristiwa 13 Mei memberikan peringatan berkekalan kepada kita semua tentang bahaya yang akan timbul jika perlembagaan diketepikan dan soal-soal yang menyentuh perasaan, adat resam dan adat istiadat pelbagai  kaum dipermainkan.

Pada 13 Mei 1969,  negara kita terletak di ambang keruntuhan, dan sebab boleh berlaku kejadian itu ialah kerana kita tidak mengakui pada diri kita sendiri kedudukan dan hakikat yang sebenar. Oleh yang demikian marilah kita berazam untuk bersungguh-sungguh mengelakkan daripada berlaku lagi kelalaian dan kecuaian yang seperti itu. Marilah kita berazam untuk mempertahankan demokrasi dan cara hidup yang kita cintai.

Maka saya berdoa ke hadrat Allah Subhanallah Wata’ala untuk memohon limpah rahmat-Nya bagi mengembalikan buat selama-lamanya muhibah, keharmonian, keamanan dan persahabatan antara kaum di negara kita sebagaimana sebelum 13 Mei 1969.


(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)






Pengenalan
BAB 1 : Ilham Dari Hospital
BAB 2 : Bayangan Masa Lampau
BAB 3 : Pilihan Raya Umum
BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina
BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen
BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah
BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah”
BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi
BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan
BAB 10 : Mabuk Kemenangan
BAB 11 : Api Menyala Malam
BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian
BAB 13 - Keadaan Darurat
BAB 14 : Putih Kembali
BAB 15 : Sepucuk Surat
BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO
BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak
BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?
BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan
BAB 20 : Falsafah Hidup
BAB 21 : Peranan Akhbar Dan Rusuhan
BAB 22 : Pengajaran Dari Baling
BAB 23 : Mimpi Dan Alamat

1 comment:

  1. Saya ibu hayati ingin berbagi cerita kepada anda semua bahwa saya yg dulunya cuma seorang TKW di HONGKONG jadi pembantu rumah tangga yg gajinya tidak mencukupi keluarga dikampun,jadi TKW itu sangat menderita dan disuatu hari saya duduk2 buka internet dan tidak disengaja saya melihat komentar orang tentan MBAH KABOIRENG dan katanya bisa membantu orang untuk memberikan nomor yg betul betul tembus dan kebetulan juga saya sering pasan nomor di HONGKONG,akhirnya saya coba untuk menhubungi MBAH KABOIRENG dan ALHAMDULILLAH beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor,dan nomor yg diberikan MBAH KABOIRENG meman betul2 terbukti tembus dan saya sangat bersyukur berkat bantuan MBAH KABOIRENG kini saya bisa pulang ke INDONESIA untuk buka usaha sendiri,,munkin saya tidak bisa membalas budi baik MBAH KABOIRENG sekali lagi makasih yaa MBAH dan bagi teman2 yg menjadi TKW atau TKI seperti saya,bila butuh bantuan hubungi saja MBAH KABOIRENG DI 085-260-482-111 insya ALLAH beliau akan membantu anda.Ini benar benar kisah nyata dari saya seorang TKW.. KLIK GHOB 2D 3D 4D 6D DISINI















    Saya ibu hayati ingin berbagi cerita kepada anda semua bahwa saya yg dulunya cuma seorang TKW di HONGKONG jadi pembantu rumah tangga yg gajinya tidak mencukupi keluarga dikampun,jadi TKW itu sangat menderita dan disuatu hari saya duduk2 buka internet dan tidak disengaja saya melihat komentar orang tentan MBAH KABOIRENG dan katanya bisa membantu orang untuk memberikan nomor yg betul betul tembus dan kebetulan juga saya sering pasan nomor di HONGKONG,akhirnya saya coba untuk menhubungi MBAH KABOIRENG dan ALHAMDULILLAH beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor,dan nomor yg diberikan MBAH KABOIRENG meman betul2 terbukti tembus dan saya sangat bersyukur berkat bantuan MBAH KABOIRENG kini saya bisa pulang ke INDONESIA untuk buka usaha sendiri,,munkin saya tidak bisa membalas budi baik MBAH KABOIRENG sekali lagi makasih yaa MBAH dan bagi teman2 yg menjadi TKW atau TKI seperti saya,bila butuh bantuan hubungi saja MBAH KABOIRENG DI 085-260-482-111 insya ALLAH beliau akan membantu anda.Ini benar benar kisah nyata dari saya seorang TKW.. KLIK GHOB 2D 3D 4D 6D DISINI

    ReplyDelete

Popular Posts

Recent Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP