Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Thursday, September 12, 2013

13 Mei 1969 - Sebelum dan Selepas (BAB 22 : Pengajaran Dari Baling)


KEJADIAN-KEJADIAN yang berlaku semasa pilihan raya 1969, rusuhan pada 13 Mei dan perkara-perkara yang berlaku kemudian daripadanya sebagaimana yang telah saya ceritakan adalah saling berkaitan. Ucapan-ucapan mencela, perbuatan  provokasi dan kelakuan yang tidak bertanggungjawab,  kesemuanya ditimbulkan dengan teratur, satu demi satu.

Siapakah yang mengatur semua kejadian-kejadian ini? Siapakah sebenarnya yang mesti dipersalahkan?

Jika kita perhatikan kepada keseluruhan gambaran peristiwa yang menyedihkan itu, dan kepada usaha yang masih diteruskan untuk merosakkan keselamatan Malaysia (yang masih lagi dilakukan semasa buku ini ditulis), maka kita akan mendapat satu kesimpulan sahaja iaitu perbuatan-perbuatan itu dirancang oleh Komunis Cina.

Sebagaimana yang telah saya sebutkan dalam permulaan buku ini, ada orang yang memikirkan bahawa saya dirasuk oleh momok Komunis, dan fikiran saya terkongkong dengan sejenis perasaan takut kepada Komunis. 

Wartawan-wartawan asing nampaknya bersetuju. Memanglah menjadi kerja mereka untuk membuat laporan dan memberi pandangan di atas kejadian-kejadian yang berlaku dari sehari ke sehari, tetapi mereka tidak dapat menunjukkan kebolehan untuk membuat perhitungan yang betul kerana mereka tidak memberi perhatian kepada karenah-karenah yang telah timbul pada  masa lalu yang ada pertaliannya.

Seorang pendita Inggeris telah berkata satu kurun dahulu: “Sejarah ialah politik yang berlaku di masa lepas, dan politik ialah sejarah yang sedang ditempa.” Wartawan-wartawan asing tidak hirau apa yang berlaku pada masa lepas, mereka cuma suka ambil tahu apa yang sedang berlaku sahaja.

Sesiapa yang hidup sejak Perang Dunia Kedua di Malaysia atau di Singapura atau mengikuti segala peristiwa yang berlaku dalam sejarah kedua-kedua negara ini dalam masa 24 tahun yang lepas dan terbabit sendiri dalam kejadian-kejadian itu, tentulah dapat menyedari bahawa Komunis Cina, penyokong-penyokong yang dibawah telunjuk mereka, anasir-anasir yang tidak berdosa yang terdiri daripada parti-parti politik, orang-orang atau belia yang diperalatkan oleh Komunis, sentiasa menimbulkan kekacauan.

Mereka tidak pernah lalai, bahkan sentiasa menunggu kesempatan untuk mencetuskan huru-hara sama ada kecil atau besar, pada bila-bila masa dan di mana-mana jua yang mereka fikirkan munasabah untuk tujuan mereka. Saya tidak dapat mengerti bagaimana orang boleh tuli, pekak dan buta kepada karenah-karenah ini. Sesungguhnya sehingga hari ini tidak ada sebuah negara pun di Asia Tenggara yang tidak tersentuh dengan apa-apa jua cara daripada gerakan Komunis bercorak Cina itu. Jadi bagaimanakah Malaysia boleh terlepas dari angkara Komunis itu?


Sesungguhnya kita tidak pernah bebas dengan sepenuhnya daripada tipu daya Komunis, tetapi oleh kerana kita tidak dapat mengelak dari menghadapi ancaman itu, maka kita sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada. Bezanya ialah di Malaysia ini, kita adalah salah sebuah negara yang mula-mula sekali menentang cubaan rampasan kuasa oleh Cina Komunis, dan oleh kerana kita telah berjaya mematahkan percubaan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam masa darurat yang memakan masa 12 tahun, maka Komunis tidak sekali-kali akan memaafkan kita.

PKM selalu mengemukakan bangkangan terhadap pilihan raya bercorak demokrasi. Mereka menyifatkan demokrasi berparlimen itu sebagai satu ajaran imperialis, yang tidak sesuai dengan semangat kebangsaan orang-orang Asia, dan tidak secocok dengan ideologi Mao Tze Tung. Jadi mereka mesti membinasakan pilihan raya jika tidak dapat mencegahnya. Sekurang-kurangnya mereka akan bersungguh-sungguh menyusahkan Kerajaan dengan apa jua cara yang boleh, sekali pun mereka gagal dalam rancangan mereka.


Perhubungan pertama saya dengan PKM ialah apabila saya berjumpa dengan Chin Peng, di Pekan Baling negeri Kedah pada 1955. Dalam pertemuan itu saya telah mendapat satu pengajaran besar mengenai fahaman Komunis dari Chin Peng.

Beliau telah dapat menyedarkan saya dengan beberapa patah perkataan sahaja tentang corak pernentangan yang akan saya terima daripada Komunis Cina. Beliau berkata: "Saya seorang Komunis dan tuan tidak, jadi antara parti saya dan parti tuan tidak akan sekali-kali tercapai sebarang persetujuan. Mustahil bagi Komunis dapat hidup bersama dengan orang yang bukan Komunis.”

Beberapa perkataan yang mudah difahami ini telah tersemat di dalam hati saya.   Segala dakyah yang dikeluarkan oleh pihak Inggeris mengenai fahaman Komunis pada masa itu dan juga mengenai dengan tujuan-tujuan Komunis, tidak dapat memberi kesan ke atas saya.

Dengan secara tidak langsung Chin Peng sendirilah yang telah memberi ingatan kepada saya mengenai bahaya fahaman Komunis. Oleh itu saya bukannya takut kepada ‘momok’, bahkan saya telah mendapat ajaran daripada mulut Komunis sendiri tentang bahaya yang akan ditimbulkan.

Tidak berfaedah kita berpura-pura seolah-olah kita telah dapat menghalang PKM . Sekalipun darurat tamat pada 1960, saya tidak pernah mempercayai bahawa kita tidak lagi akan berhadapan dengan ancaman Komunis. Saya selalu berkata bahawa sekali pun Komunis telah dapat dikalahkan pada waktu itu, tetapi kita tidak dapat menghalang sepenuhnya, kerana mereka akan cuba muncul kembali pada bila-bila masa yang boleh.


Empat belas tahun telah berlalu sejak saya bertemu dengan Chin Peng dalam perundingan yang bersejarah di Baling, tetapi kata-kata Chin Peng pada ketika itu kepada saya sentiasalah tersemat di dalam ingatan saya kerana setiap kali saya memikirkan sebarang perbuatan atau perkataan Komunis maka saya sentiasa terkenang kepada peristiwa Baling.

Di Malaysia hari ini cuma orang-orang yang pertengahan umur sahaja yang masih ingat peristiwa Baling itu, tetapi bagi orang-orang muda Baling cuma merupakan nama sebuah pekan sahaja. Oleh yang demikian saya fikir amatlah berguna sekiranya saya menyebut di dalam buku ini pertemuan saya yang tidak dapat dilupakan dengan Chin Peng yang pada ketika itu menjadi pemimpin PKM sehingga hari ini.

Pada 9 September 1955, saya sebagai Ketua Menteri dengan hati yang berat telah mempersetujui perisytiharan Kerajaan Inggeris hendak memberi pengampunan beramai-ramai kepada Komunis. Sebagai menyambut tawaran pengampuan ini, surat-surat telah diterima oleh saya sebagai Ketua Menteri dan juga orang-orang yang dikatakan dikirim oleh Jawatankuasa pusat PKM. Surat-surat ini telah mengkritik syarat-syarat pengampunan dengan mengatakan ‘bahawa syarat-syarat itu tidak patut dan tidak dapat diamalkan”. Mereka mengemukakan cadangan hendak menghantar wakil-wakil ke Ibu Pejabat Perikatan di Kuala Lumpur untuk merundingkan butir-butir yang lanjut untuk pertemuan antara saya dan Chin Peng. Sebenarnya surat itu merupakan satu tawaran yang tidak langsung kepada Kerajaan untuk merundingkan soal menamatkan darurat.

Kerajaan dengan tegas telah menolak tawaran ini, tetapi pada 29 September satu kenyataan Kerajaan telah dikeluarkan yang menyebut kesanggupan saya untuk bertemu dengan Chin Peng dengan tujuan hendak menjelaskan kepadanya syarat-syarat pengampunan. Kenyataan itu juga selanjutnya menyatakan bahawa satu pertemuan dapat diadakan di satu tempat yang munasabah di Utara Malaya, dan seorang pegawai yang Chin Peng kenal akan dilantik sebagai pegawai pemandu. Pegawai ini diperintahkan bersedia pada bila-bila masa untuk menemui Chin Peng di satu tempat dalam sebuah kawasan yang akan dijadikan kawasan gencatan senjata. Jika Chin Peng bersedia hendak menghadiri pertemuan yang seperti itu, maka bolehlah dia menghantar sepucuk surat bersendirian kepada saya dengan menyatakan di dalamnya tempat, masa dan tarikh bagi pegawai pemandu itu berjumpa dengannya dan membawanya ke tempat mesyuarat.

Saya telah menerima jawapan pada 14 Oktober. Satu perkara yang menarik perhatian ialah jawapan ini bertarikh dua hari selepas daripada kenyataan saya itu. Pada 17 Oktober satu pertemuan telah berlangsung di Klian Intan antara dua orang wakil Kerajaan dan seorang wakil Komunis sebagaimana yang telah diaturkan di dalam surat Chin Peng kepada saya itu. Chin Peng sendiri tidak hadir tetapi telah diwakili oleh Chen Tian. Namun begitu Chen Tian tidak ada kuasa untuk membuat sebarang keputusan, tetapi beliau akan menyampaikan kepada Chin Peng rancangan-rancangan Kerajaan bagi mengadakan satu pertemuan. Satu pertemuan lagi dengan Chen Tian perlu diadakan dan persiapan untuk pertemuan itu juga hendaklah diberitahu kepada saya dengan surat daripada Chin Peng sebagaimana yang dibuat dahulu.

Pertemuan yang kedua juga diadakan di Klian Intan pada 19 November. Chen Tian telah tiba di tempat itu dengan tidak memberitahu terlebih dahulu tentang ketibaannya, dan mengambil kesempatan itu untuk mengeluarkan satu kenyataan bertulis kepada akhbar dan mengadakan temu ramah dengan wartawan untuk tujuan propaganda. Saya telah memberi amaran kepada Chin Peng sekiranya perbuatan kurang ajar ini dibuat lagi, maka saya akan membatalkan pertemuan yang dicadangkan itu.

Kemudian saya membuat satu kenyataan bahawa saya bersama-sama dengan David Marshall yang menjadi Ketua Menteri Singapura pada masa itu sanggup berjumpa dengan Chin Peng pada akhir bulan Disember. Komunis telah menerima cadangan ini dan persiapan telah dibuat untuk mengadakan pertemuan itu di Baling pada 28 Disember. Dalam satu pertemuan akhir di Kroh, pada 13 Disember untuk mengaturkan persiapan, pihak Komunis telah diberitahu bahawa pertemuan itu hendaklah diadakan di Baling pada 28 Disember atau dibatalkan terus. Kesemua perkara mengenai pertemuan itu telah diputuskan, tetapi mestilah terlebih dahulu menunggu surat daripada Chin Peng untuk pengesahan.

Surat ini telah diterima pada 23 Disember, tetapi Chin Peng telah meminta supaya diadakan satu pertemuan dengan wakil-wakil Kerajaan pada 24 Disember, dan juga meminta supaya saya mengumumkan menerusi radio satu jaminan di atas keselamatan perwakilan Komunis. Pertemuan yang akhir ini telah berlangsung pada tarikh yang diminta oleh Chin Peng itu, dan pada hari itu juga saya telah mengumumkan satu jaminan untuk keselamatan mereka.


Duduk L-R : David Marshall, Tunku & Tun Tan Cheng Lok
Setelah itu perundingan Baling berjalan sebagaimana yang dirancangkan, iaitu pada 28 dan 29 Disember. Tiga pertemuan telah diadakan dalam masa dua hari. Saya telah mengetuai pihak Kerajaan yang mengandungi wakil-wakil yang terdiri daripada Mr. David Marshall dan Tun Tan Cheng Lok. Chin Peng mengetuai pihak Komunis yang terdiri daripada Chen Tian dan Rashid Maidin.

Hasil perundingan ini, Chin Peng telah bersetuju sebagaimana yang berikut:

“Setelah sahaja Kerajaan Persekutuan yang dipilih mendapat kekuasaan penuh dalam segi keselamatan dalam negeri dan pasukan-pasukan bersenjata tempatan maka kami akan menamatkan keganasan, meletakkan senjata dan membubarkan pasukan-pasukan kami. Ini tidaklah bererti bahawa kami menerima syarat-syarat pengampunan yang ada sekarang.”

Begitulah tamatnya rundingan Baling. Sekalipun Chin Peng telah membuat perjanjian, saya telah meninggalkan Baling tanpa sebarang harapan kerana saya terkenang kepada perkataan-perkataan Chin Peng bahawa Komunis mustahil dapat hidup bersama dengan orang-orang yang bukan Komunis.

Saya tidak percaya yang dia akan memenuhi janjinya itu, dan inilah yang sebenarnya telah berlaku. 20 bulan kemudian iaitu pada 31 Ogos 1957 Malaya telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan bebas, dengan mempunyai sebuah Kerajaan pilihan rakyat dan berkuasa ke atas keselamatan dalam negeri dan di atas pasukan-pasukan bersenjata kita, tetapi sekalipun Komunis telah membuat perjanjiannya dengan kita di Baling, mereka terus melancarkan keganasan senjata.

Malaya akhirnya dapat mengisytiharkan tamatnya darurat pada 31 Julai 1960. Chin Peng dan saki-baki Komunis yang telah dikalahkan itu telah bersembunyi di Selatan Thailand dan berada di sana sehingga hari ini selama 14 tahun. Mereka masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara sebagaimana yang terbukti daripada serangan hendap yang dilakukan oleh mereka pada 27 Julai.

Kerajaan tidak lalai serta telah melipatgandakan tindakan keselamatan di sepanjang kawasan sempadan dengan kerjasama rapat kerajaan Thai, kerana kami sedar bahawa kekacauan yang berlaku baru-baru ini dan suasana yang belum dapat dipulihkan di Malaysia ini memberi peluang kepada Chin Peng dan pengikut-pengikutnya untuk melakukan sesuatu jika mereka diberi kesempatan.

Sekarang masih ada beribu-ribu orang lagi Komunis di Malaysia. Kenyataan ini telah terbukti semasa Konfrantasi Indonesia kerana dalam masa itulah kira-kira 2,000  Komunis telah meninggalkan negara ini untuk bersama dengan pasukan tentera Presiden Sukarno melanggar Malaysia.

Komunis bukannya cintakan Sukarno atau sukakan rejimnya, kerana mereka mendapat laporan tentang perbuatan-perbuatan aniaya yang dilakukan ke atas orang-orang Cina di Indonesia dengan perintah Sukarno. Mereka pergi ke Indonesia kerana mereka berpendapat bahawa inilah satu peluang yang amat baik untuk membolehkan mereka muncul balik di Malaysia sebagaimana yang mereka harapkan selama ini. Pada kali ini mereka harap dapat memenuhi cita-cita mereka dengan cara bersatu dengan tentera Sukarno.

Mereka juga berharap bahawa dengan adanya persahabatan antara Sukarno dengan PKM, maka mereka akan diakui balik sebagai satu pertubuhan di Malaysia jika Sukarno berjaya dalam rancangannya itu. Mereka akan menolong Sukarno sampai mendapat peluang mengambil kuasa di Malaysia.

Dalam perarakan mayat 9 Mei itu, sepanduk-sepanduk gambar Mao telah diarak oleh mereka yang mengambil bahagian dalam perarakan itu, yang berpura-pura sebagai orang-orang yang berkabung.

Parti Buroh Malaysia terletak di bawah kawalan Komunis, dan Parti Rakyat pula sentiasa dipengaruhi oleh mereka. Dalam satu tunjuk perasaan yang diadakan oleh anggota-anggota Barisan sosialis pada 1967, Dr. Tan Chee Khoon telah kedengaran berkata: “Ini bukan orang-orang saya.”

Jadi siapakah mereka itu, padahal mereka menggunakan alamat Ibu Pejabat Barisan Sosialis di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di Kuala Lumpur untuk berkumpul.

Dr. Tan Chee Khoon sendiri bukanlah seorang Komunis, tetapi dapatkah beliau dengan sesungguhnya menyatakan bahawa parti beliau terlepas daripada sebarang pengaruh Komunis, seperti juga Lee Kuan Yew semasa beliau meminta pertolongan mereka itu untuk mendapatkan kekuasaan di Singapura? Baliau patutlah ingat kepada kata-kata: “Jika kamu menghirup sup di meja yang syaitan ada bersama-sama, maka mestilah kamu menggunakan sudu yang panjang tangannya.”

Beliau dan semua orang tahu bahawa Cina Komunis sentiasa mengganggu hal ehwal Malaysia sebagaimana yang dapat di dengar menerusi Radio Peking.

Saya rasa munasabah juga untuk memetik satu tulisan yang tersiar di dalam penerbitan mingguan Soviet bernama ‘New Times’ pada 13 Jun. Majalah itu menuduh Peking membangkitkan perasaan benci di kalangan bangsa-bangsa di Asia Tenggara, dan sebagai contohnya menyebut tentang rusuhan yang telah berlaku di Malaysia pada 13 Mei.

Majalah itu selanjutnya mengatakan bahawa pengikut-pengikut Mao telah beberapa kali memperalatkan kaum-kaum Cina yang berada di Asia Tenggara, seperti di Burma dan Cambodia, untuk melakukan perbuatan-perbuatan provokasi yang boleh mendatangkan keuntungan kepada perjuangan mereka. Anasir-anasir Mao telah menanam benih perpecahan di kalangan pertubuhan yang benar-benar bercorak demokrasi di Malaysia, dan telah membahayakan pertubuhan-pertubuhan dengan menggunakan cara-cara ‘Red Guard’.

Majalah itu menamatkan huraiannya dengan mengatakan bahawa inilah satu pelajaran yang dapat diambil oleh pejuang-pejuang kebangsaan dan pengamalh demokrasi di Malaysia.

Kejadian serang hendap ke atas pasukan keselamatan kita di Sintok, Kedah pada 27 Julai membuktikan bahawa masih banyak gerakan pengganas di sepanjang sempadan Thai/Malaysia. Anggota-anggota Komunis yang terlatih di Thailand menyeberangi sempadan dan membuat perhubungan dengan rakan-rakan mereka di Malaysia.

Anggota-anggota perisik telah menumpukan perhatian mereka kepada gerakan Komunis di kawasan itu tetapi mereka tidak dapat mengesan kesemuanya kerana sempadan Malaysia/Thai diliputi oleh hutan rimba yang besar. Pada 17 Jun 1968, 16 orang anggota polis kita telah terbunuh dan 17 lagi cedera di dalam satu serangan hendap yang berlaku di sempadan Kroh/Betong. Inilah perangsang yang ditunggu-tunggu oleh pengikut-pengikut Komunis.

Kebanyakan laporan sulit yang diterima menumpukan hal-hal mengenai gerakan Komunis di Singapura dan sempadan Indonesia/Malaysia Timor. Jelas bahawa PKM  dibantu dari tiga jurusan – iaitu dari Selatan menerusi komunis-komunis yang ada di seberang Tembok Johor yang datang dari Hong Kong melalui Singapura, dari Utara komunis yang berada di Thailand, dan juga dari komunis di sempadan Sarawak-Indonesia.

Hari ini komunis di Malaysia lebih cergas dan lebih ganas daripada komunis di Singapura. Taktik mereka menggunakan sentimen perkauman telah berjaya sehingga menimbulkan ketegangan di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum. Gerakan mereka telah bertambah meluas.

Malangnya mereka telah berjaya memujuk belia dari sekolah-sekolah Cina untuk dijadikan agen bagi melakukan perbuatan-perbuatan memeras dan menakutkan ahli-ahli perniagaan dan sebagainya. Mereka yang enggan menurut kehendak komunis  akan diancam keselamatannya.

Inilah kumpulan yang terdiri daripada mereka yang berpegang teguh kepada perasaan keCinaan, dan juga samseng-samseng yang mengacau keamanan dalam negara ini. Mereka menghasut orang-orang Cina supaya mendesak Kerajaan mengadakan sebuah Universiti Cina menjadikan bahasa Cina dijadikan salah satu bahasa rasmi, dan enggan menerima sebarang perkara kecuali yang bercorak keCinaan.

Dengan tertanamnya perasaan sentimen yang seperti ini di dalam hati mereka, maka tidaklah mudah bagi Kerajaan hendak menarik mereka ke sebelah kita dan sangatlah susah hendak mengasingkan mereka daripada musuh kita, Komunis.

Dalam pilihan raya baru-baru ini kita telah dapat melihat gerakan yang cergas yang telah dilancarkan oleh Komunis. Saya mempunyai alasan yang kuat untuk mempercayai bahawa mereka telah mengadakan wang untuk Pas dalam pilihan raya yang lepas bagi mendapatkan pertolongan parti itu untuk menumbangkan Kerajaan Perikatan.

Komunis Cinalah yang telah mengadakan wang bagi pengacau-pengacau Melayu melalui parti-parti yang ada hubungan rapat dengan orang-orang ini, dan salah satu ialah Parti Komunis Indonesia yang menerima sokongan kewangan daripada Parti Komunis Negeri China.

Dalam masa itu Komunis telah menghasut pensyarah-pensyarah dari parti-parti pembangkang supaya menumpukan ucapan-ucapan mereka di atas perkara-perkara yang disungutkan oleh orang ramai dan meletakkan kesalahan di atas Kerajaan Perikatan, dengan cara memasukkan jarum pengaruhnya dengan halus.


Perarakan mayat pada 9 Mei, sehari sebelum daripada pilihan raya telah digunakan sepenuhnya oleh komunis. Komunislah yang merasa sangat puas hati dengan tunjuk perasaan yang diadakan bersama oleh Gerakan dan DAP pada 12 Mei iaitu satu perbuatan yang menepati dengan kehendak mereka.

Sekarang PKM sedang berusaha dengan cara yang tidak langsung untuk mendesak puak-puak ‘pelampau’ supaya melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan perpecahan di kalangan anggota-anggota UMNO. Kita mempunyai maklumat yang menunjukkan bahawa beberapa beberapa orang yang diketahui menjadi ahli Komunis sedang membuat perhubungan dengan beberapa orang ‘pelampau’ dalam UMNO.

Propaganda yang datangnya daripada Barisan Persatuan Komunis adalah bertujuan hendak menggambarkan bahawa Kerajaan Perikatanlah yang sebenarnya berdosa dalam pertelingkahan kaum itu.

Rancangan mereka sekarang ialah hendak menggunakan dengan sepenuhnya suasana yang terdapat pada hari ini untuk faedah Komunis dengan cara menyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak bertanggungjawab di atas apa yang telah berlaku pada 13Mei; dan hasrat mereka ialah hendak menimbulkan suasana harmoni di kalangan semua kaum. Mereka bukan sahaja cergas di kawasan sempadan Thailand dan di sempadan Sarawak bahkan juga di seluruh negara.

Tujuan mereka ialah hendak memperingati ulang tahun yang ke-21 pemberontakan bersenjata mereka yang jatuh pada 20 Jun dengan cara menunjukkan kekuatan mereka, tetapi kesempatan itu tidak terbuka untuk mereka lakukan sehinggalah sebulan kemudian iaitu pada 27 Julai.

Mereka merayakan peristiwa itu dengan satu serangan hendap ke atas pasukan keselamatan di kawasan sempadan yang menyebabkan enam orang terbunuh dan tujuh lagi tercedera. Kejadian ini dilakukan unutk meninggikan moral mereka dan tentulah akan menambahkan semangat PKM di dalam rangkanya hendak menguatkan semula perjuangan bersenjata mereka.

Berikutan dengan penyebaran surat Dr. Mahathir itu, maka satu taktik baru telah timbul di Malaysia ini, tetapi taktik ini merupakan satu helah yang telah pun lama diamalkan oleh Komunis, kerana mereka telah pun mencubanya di Burma. Helah ini ialah menulis surat-surat yang beracun. Surat-surat ini seolah-olahnya dihantar oleh seorang kepada seorang yang lain, sebagaimana yang telah saya lihat di Terengganu pada 8 Ogos. Seolah-olahnya telah ditulis kepada saya oleh Setiausaha Agung Parti Perikatan, Tan Sri T.H. Tan kerana di kaki surat itu telah ditaip nama beliau sebagai penghantarnya.

Saya belum pernah melihat surat yang seperti ini. Jika setiausaha Parti Perikatan merasa risau di atas satu kejadian, maka tentulah dia tidak menulis surat ini kepada saya bahkan datang berjumpa saya sendiri. Hakikat itu dapat dilihat dengan jelas oleh mana-mana orang yang cerdik, tetapi nampaknya surat beracun yang seperti itu boleh mempengaruhi orang-orang biasa.

Surat ini mengandungi tuduhan-tuduhan terhadap tentera, iaitu tuduhan yang sangat keji dan hina yang boleh mengejutkan orang-orang biasa. Surat itu menuduh askar-askar kita memecahkan rumah, memperkosa perempuan-perempuan Cina, membelah perut mereka dan memotong buah dada mereka. Surat yang seperti itu cuma dapat ditulis oleh seorang yang hilang akal, tetapi ia penuh tanda-tanda yang menunjukkan bahawa surat itu merupakan propaganda Komunis.

Mungkin banyak surat seperti itu dihantar ke rumah-rumah orang-orang Cina. Di dalam sampul surat yang saya sebutkan tadi ada lagi sepucuk surat yang disebarkan bersama-sama dengannya. Surat yang pertama ialah yang saya baru sebutkan di atas; surat yang kedua dalam Bahasa Malaysia menghasut rakyat mengambil kuasa negeri ini untuk orang-orang Melayu. Surat itu bertajuk “Dengan Nama Allah.”

Sesiapa yang telah bertanggungjawab menghantar surat-surat ini telah membuat satu kesilapan yang amat bodoh kerana memasukkan kedua-dua surat di dalam satu sampul. Kedua-dua surat itu menunjukkan bahawa tujuannya ialah hendak menimbulkan perpecahan dan huru-hara dengan melalui dua suara, tetapi kesilapan itu telah menzahirkan bahawa kedua-dua suara itu datangnya dari mulut yang sama.

Semasa saya berada di Alor Setar pada 21 Ogos, saya telah menunjukkan kepada akhbar satu salinan surat Pekeliling Komunis yang bertulis di atas kertas ‘foolscaps’ berwarna merah jambu. Surat yang ditulis dalam tulisan rumi dan jawi ini mempunyai tajuk “Kenangan untuk askar Melayu“. Di atas surat ini tertera lukisan-lukisan kartun yang menunjukkan saya seorang diktator.

Di celah-celah gambar kartun itu tertulis nama-nama Menteri Kesihatan, Tan Sri Sardon; Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Khir Johari; Ketua Polis Negara, Tan Sri Salleh; Bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Syed Nasir; seorang Ahli Parlimen dari Johor, Syed Ja’afar Albar, dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Haji Sulaiman Palastin. Surat-surat itu telah dihantar melalui pos dari Kuala Lumpur kepada seorang penerimanya di Kedah.


Pada pendapat saya sendiri, sekiranya orang-orang Cina yang taat setia kepada negara tidak percaya kepada propaganda Komunis, maka negara ini akan selamat. Sebenarnya tidak ada sebarang sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan antara orang-orang Cina dengan orang-orang Melayu, kerana mereka telah hidup bersama dengan aman. Anasir-anasir Komunislah yang cuba hendak memecahkan perpaduan yang berbahagia ini, dengan disokong oleh anasir-anasir pelampau cauvinis kedua-dua kaum.

Sementara Cina Komunis ialah kuasa di belakang anasir-anasir Cina yang tidak taat setia di Malaysia ini, saya juga tahu bahawa mereka membantu parti-parti Melayu yang menentang UMNO sekali pun anggota-anggota parti ini tidak mengetahuinya. Oleh yang demikian rakyat-rakyat Malaysia yang taat setia sedang dihimpit oleh Komunis dari dua belah pihak – satu pihak terdiri daripada orang-orang Melayu yang terpesong, dan satu pihak lagi dari orang-orang Cina yang tertipu.

Oleh yang demikian jalan yang terbuka bagi rakyat yang taat setia itu ialah menolong Kerajaan dengan apa juga cara yang boleh, dan menolong memperkuatkan segala tenaga yang dapat memperkuatkan kedudukan Kerajaan bagi menghadapi ancaman musuh-musuh kita, Komunis.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)






Pengenalan
BAB 1 : Ilham Dari Hospital
BAB 2 : Bayangan Masa Lampau
BAB 3 : Pilihan Raya Umum
BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina
BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen
BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah
BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah”
BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi
BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan
BAB 10 : Mabuk Kemenangan
BAB 11 : Api Menyala Malam
BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian
BAB 13 - Keadaan Darurat
BAB 14 : Putih Kembali
BAB 15 : Sepucuk Surat
BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO
BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak
BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?
BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan
BAB 20 : Falsafah Hidup
BAB 21 : Peranan Akhbar Dan Rusuhan
BAB 22 : Pengajaran Dari Baling
BAB 23 : Mimpi Dan Alamat

1 comment:

  1. Saya ibu hayati ingin berbagi cerita kepada anda semua bahwa saya yg dulunya cuma seorang TKW di HONGKONG jadi pembantu rumah tangga yg gajinya tidak mencukupi keluarga dikampun,jadi TKW itu sangat menderita dan disuatu hari saya duduk2 buka internet dan tidak disengaja saya melihat komentar orang tentan MBAH KABOIRENG dan katanya bisa membantu orang untuk memberikan nomor yg betul betul tembus dan kebetulan juga saya sering pasan nomor di HONGKONG,akhirnya saya coba untuk menhubungi MBAH KABOIRENG dan ALHAMDULILLAH beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor,dan nomor yg diberikan MBAH KABOIRENG meman betul2 terbukti tembus dan saya sangat bersyukur berkat bantuan MBAH KABOIRENG kini saya bisa pulang ke INDONESIA untuk buka usaha sendiri,,munkin saya tidak bisa membalas budi baik MBAH KABOIRENG sekali lagi makasih yaa MBAH dan bagi teman2 yg menjadi TKW atau TKI seperti saya,bila butuh bantuan hubungi saja MBAH KABOIRENG DI 085-260-482-111 insya ALLAH beliau akan membantu anda.Ini benar benar kisah nyata dari saya seorang TKW.. KLIK GHOB 2D 3D 4D 6D DISINI















    Saya ibu hayati ingin berbagi cerita kepada anda semua bahwa saya yg dulunya cuma seorang TKW di HONGKONG jadi pembantu rumah tangga yg gajinya tidak mencukupi keluarga dikampun,jadi TKW itu sangat menderita dan disuatu hari saya duduk2 buka internet dan tidak disengaja saya melihat komentar orang tentan MBAH KABOIRENG dan katanya bisa membantu orang untuk memberikan nomor yg betul betul tembus dan kebetulan juga saya sering pasan nomor di HONGKONG,akhirnya saya coba untuk menhubungi MBAH KABOIRENG dan ALHAMDULILLAH beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor,dan nomor yg diberikan MBAH KABOIRENG meman betul2 terbukti tembus dan saya sangat bersyukur berkat bantuan MBAH KABOIRENG kini saya bisa pulang ke INDONESIA untuk buka usaha sendiri,,munkin saya tidak bisa membalas budi baik MBAH KABOIRENG sekali lagi makasih yaa MBAH dan bagi teman2 yg menjadi TKW atau TKI seperti saya,bila butuh bantuan hubungi saja MBAH KABOIRENG DI 085-260-482-111 insya ALLAH beliau akan membantu anda.Ini benar benar kisah nyata dari saya seorang TKW.. KLIK GHOB 2D 3D 4D 6D DISINI

    ReplyDelete

Popular Posts

Recent Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP