Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Wednesday, September 18, 2013

13 Mei 1969 - Dr Tan Chee Khoon : Dari Parti Buruh, Fron Sosialis, Gerakan dan Pekemas

Tahukah anda Parti Gerakan sewaktu ditubuhkan pada tahun 1968 dulu telah diasaskan sebagai sebuah parti kiri?

Ikuti wawancara tahun 1980 dengan Dr. Tan Chee Khoon - penganut Christian Methodist - seorang aktivis kiri, pemimpin Parti Buruh, dan salah seorang pengasas Parti Gerakan bercakap tentang pengalamannya bergiat dalam gerakan kiri dari tahun 50'an hingga ke tahun 70'an.

Wawancara ini di ambil dari Majalah Nadi Insan, Bilangan 18, Oktober 1980.

Bagaimanakah Dr. Tan menceburkan diri dalam bidang politik?

Saya datang dari satu keluarga yang miskin. Bapa saya datang dari negeri China dan saya dilahirkan di suatu kampung bernama Cheras, 11 batu dari Kuala Lumpur.

Parti Buruh

Apakah pengalaman Dr. Tan sebagai seorang doktor telah mempengaruhi Dr. Tan melibatkan diri dalam bidang politik?

Di dalam sekolah lagi, saya pernah ada mengambil bahagian dalam perbahasan antara murid-murid. Kemudian semasa di Fakulti Perubatan di Singapura saya telah mengambil bahagian dalam persatuan mahasiswa. Saya adalah pengurus suatu jawatan kuasa yang menyediakan perlembagaan persatuan mahasiswa Universiti Malaya yang ada sekarang. Apabila saya lulus daripada Fakulti Perubatan di Singapura dan saya mula kerja di Hospital Besar di Kuala Lumpur, saya campur dengan pihak progresif. Buat masa itu, di dalam tahun 50an, cuma ada suatu parti mula-mulanya, iaitu Parti Buruh. Kemudiannya ada Partai Rakyat.

Penubuhan Fron Sosialis

Pada penghujung tahun 50an, Parti Buruh telah bergabung dengan Partai Rakyat. Bolehkah Dr. Tan terangkan sedikit tentang perkembangan itu?

Parti Buruh ialah suatu partai yang berbilang kaum dan bukan untuk suatu kaum saja. Tetapi pada masa itu malangnya, ramai anggotanya datang dari kaum Cina dan ada juga dari kaum Melayu dan India. Apabila Partai Rakyat ditubuhkan, kebanyakan anggotanya datang dari kaum Melayu. Pada masa itu hanya ada 2 partai sayap kiri dan kami ingat dengan bekerjasama kita boleh mencapai tujuan kita dengan lebih senang dan lebih cepat.

Pada awal tahun 60an, Fron Sosialis telah menentang penubuhan Malaysia atas sebab-sebab tertentu. Bolehkah Dr. Tan terangkan sebab-sebab itu?

Fron Sosialis menentang penubuhan Malaysia oleh sebab pihak British dan kerajaan Malaysia pada masa itu tidak memberi masa yang mencukupi kepada rakyat di Sabah, Sarawak, Singapura dan juga Brunei — yang akhirnya tidak menganggotai Malaysia — untuk mengkaji cadangan serta implikasi menyertai Malaysia. Kami juga berpendapat bahawa Malaysia ialah cadangan imperialis British untuk terus menjaga kepentingan di rantau ini.

Apakah sikap Dr. Tan terhadap gabungan antara Singapura dengan Semenanjung?

Kita pada masa itu, dan sekarang juga, menerima gabungan antara Singapura dan Malaysia. Tetapi oleh sebab alasan yang diberi oleh saya, kita kata Malaysia tidak boleh berjaya. Dua tahun selepas penubuhan Malaysia, Singapura telah keluar dari Malaysia.

Bolehkah Dr. Tan terangkan sikap Dr. Tan dan rakan-rakan terhadap People's Action Party, (PAP) khususnya terhadap Lee Kuan Yew?

Kami di Fron Sosialis dituduh oleh PAP, khasnya oleh Lee Kuan Yew. Beliau mengatakan kita ialah komunis dan kami mengatakan beliau adalah seorang konco imperialis. Beliau ialah seorang yang bersetuju dengan pertubuhan Malaysia itu dan kami pula menentang. Oleh itu di dalam Dewan Rakyat dan di luar juga, kita menentang satu sama lain.

Penceraian Fron Sosialis

Bolehkah Dr. Tan terangkan sedikit tentang sebab-sebab yang telah mengakibatkan penceraian Fron Sosialis pada pertengahan tahun 1960an?

Pada masa itu kita mesti sedar semua pemimpin-pemimpin Partai Rakyat telah ditahan di Muar, Batu Gajah dan Taiping, dan kebanyakan pemimpin-pemimpin Parti Buruh juga ditahan — Ishak Hj. Mohd dan sebagainya. Ada pemimpin yang tidak ditahan pergi ke London untuk belajar undang-undang. Oleh itu, kedua-dua partai itu tiada pemimpin-pemimpin baik yang ada pengalaman. Timbul pula beberapa masalah, kedua-dua partai tidak dapat bersetuju dan oleh itu, timbullah pergaduhan antara Parti Buruh dan Partai Rakyat. Saya mengatakan lebih baik kalau kita tidak bersetuju tentang beberapa isu yang penting, kita berpisah. Jangan bergaduh. Kita pernah bergaduh dalam Dewan Rakyat.

Beberapa tahun kemudian, Dr. Tan telah tinggalkan Parti Buruh. Bolehkah Dr. terangkan sebab-sebab sebaliknya?

Pertengahan tahun 60an adalah zaman bila ekstremis di dalam Parti Buruh dan Partai Rakyat mempunyai banyak pengaruh. Mereka telah mengambil kuasa dalam kedua-dua parti. Saya tidak bersetuju dengan sikap yang diambil oleh pihak ekstremis di dalam Parti Buruh dan oleh itu mereka telah cuba memecatkan keanggotaan saya dari Parti Buruh. Oleh itu, saya keluar daripada Parti Buruh pada tahun 1968.

Penubuhan Parti Gerakan

Bolehkah Dr. Tan terangkan bagaimana Dr. Tan telah melibatkan diri dalam penubuhan Gerakan Rakyat Malaysia.

Apabila saya keluar dari Parti Buruh, saya ada dua ialan. Saya boleh bersara dari politik atau saya boleh melanjutkan kerja saya. Saya tidak mahu bersara dari politik dan dengan itu saya menubuhkan parti itu. Rakan-rakan saya pada masa itu, Tan Pheck Kin dan V. Veerapen semua dah balik dari London lulus dalam ilmu undang-undang.

Saya bukan seorangan lagi dalam politik kiri dan mereka juga bersetuju supaya kita menubuhkan suatu partai kiri. Pada masa itu, Dr. Lim Chong Eu sendiri ingin menutup UDP dan bersara dari politik. Kami berdua bersetuju kami boleh menubuhkan suatu partai politik. Ada rakan-rakan saya dalam Parti Buruh yang tidak bersetuju. Mereka tidak campurtangan dalam penubuhan Gerakan. Kami kata kami boleh menubuhkan suatu partai kiri jika kami dapati persetujuan daripada kebanyakan pekerja-pekerja seperti pemimpin-pemimpin kesatuan pekerja seperti V. David, Yeoh Teck Chye dan Zainal Rampak. Ada juga sokongan dari kaum intelektual, termasuk pensyarah-pensyarah dalam Universiti seperti Prof. S. Hussein Alatas dan Prof. Wang Gung Wu. Kami menubuhkan Parti Gerakan Rakyat pada tahun 1968.

Bolehkan Dr. Lim Chong Eu, misalnya, dianggap sebagai seorang bersikap kiri yang bersefahaman dengan cita-cita Dr. Tan?

Dr. Lim mula-mula seorang kiri. Dia menubuhkan Parti Radikal di Pulau Pinang. Ada anggota Parti Buruh yang tidak masuki Gerakan kerana tidak setuju dengan Dr. Lim Chong Eu juga. Tetapi buat masa itu, kita kira, kalau seorang seperti Dr. Lim bercampurtangan dengan kita, kita boleh menubuhkan suatu partai yang boleh mendapati sokongan daripada rakyat di Malaysia — suatu partai yang berbilang kaum.

Peristiwa 13 Mei
Bolehkah Dr. Tan mengulas sedikit tentang Peristiwa 13 Mei dan sebab-sebabnya.

Dalam pilihan raya tahun 1969, kita sudah tahu sebelum hari membuang undi, kita akan berjaya dan oleh itu kebanyakan pemimpin-pemimpin kita telah pun ke Pulau Pinang untuk membantu partai kita di Pulau Pinang. Oleh itu kita telah menang — kalau tidak salah — 16 daripada 27 kerusi yang ditanding pada masa itu. Di Selangor kita telah menang selepas hari membuang undi, di dalam Selangor kita telah berjaya dalam pitihanraya Persekutuan dalam kawasan Bukit Bintang dan dalam negeri kita telah menang dalam kawasan Kepong, Pantai, Serendah, Salak, Serdang, dan di Semenanjung Malaysia telah menunjukkan pihak pembangkang telah mendapat sekurang-kurangnya 50%. Kita telah mendapat 40% kerusi dalam Persekutuan. Dalam negeri Perak pihak pembangkang telah dapat 24 kerusi, pihak Gerakan 2 kerusi. Oleh itu, pada pendapat saya, UMNO telah terkejut atas kejayaan kami.

Selepas pilihanraya, saya mengakui, ada beberapa pemimpin pembangkang yang telah melawat kawasan-kawasannya yang didiami oleh kaum Melayu di Kuala Lumpur. Tentang apa yang dikatakan oleh Tengku tentang saya sendiri, saya sebenarnya telah ke kawasan saya untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong kami. Saya seorang saja yang mendapat lesen dari pihak polis untuk melawat ke kawasan-kawasan kami di Jin. Raja Laut, Jin. Tuanku Abdul Rahman dan Kampung Kasipillay. Kami sebenarnya tidak melawat kawasan-kawasan Melayu, seperti yang dikatakan oleh Tengku. Dalam parti Gerakan, ada ramai pemimpin-pemimpin Melayu yang datang melawat saya. Oleh itu takkanIah saya sendiri atau rakan-rakan saya yang mengikuti saya pada 12hb Mei memaki kaum Melayu seperti disebutkan oleh Tengku.

Tetapi sebab yang penting ialah UMNO buat pertama kali telah terkejut sebab mereka tidak sangka Perikatan boleh kalah di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Oleh itu, Gerakan telah mengambil keputusan pada 11hb Mei kita tidak mengambil bahagian untuk menubuhkan satu kerajaan negeri di Perak. Ini bermakna kita tidak mau campurtangan dengan penubuhan kerajaan pembangkang di Perak. Dan di Selangor, kita telah mengambil keputusan seperti itu juga.

Pada pagi 13hb Mei, Goh Hock Guan dari DAP telah melawat saya di rumah saya. Dia bercadang bahawa DAP boleh bekerja dengan Gerakan untuk menubuhkan suatu kerajaan negeri dan beliau mencadangkan saya boleh menjadi Timbalan Mentri Besar. Saya terus terangkan kepadanya bahawa kaum Melayu akan menentang jika saya sebagai seorang China menjadi Timbalan Mentri Besar. Walaupun saya tidak menerima cadangan itu, sebelum itu pembunuhan sudah bermula di Kampung Baru.

Bolehkah Dr. Tan ceritakan sedikit tentang sebab-sebab yang telah mengakibatkan perpecahan Gerakan.

Perpecahan Gerakan sebenarnya tidak menunjukkan pergaduhan antara rakan-rakan Lim Chong Eu dengan rakan-rakan lain. Kebanyakan anggota Gerakan seperti saya sendiri tidak menyokong Lim Chong Eu, atau yang lain. Sebenarnya ada pergaduhan di Pulau Pinang antara Tan Pheck Kin dan V. Veerapen dan penyokong-penyokong Lim Chong Eu. Mereka mengatakan Dr. Lim tidak mengimplementasi manifesto kita dan oleh itu mereka ada cadangan untuk membuang Dr. Lim sebagai Ketua Mentri. Tentulah Dr. Lim tidak bersetuju dengan cadangan itu dan oleh itu muncullah pergaduhan. Dan malangnya Dr. Syed Hussein AIatas dan V. Veerapen telah menulis surat untuk meletakkan jawatan presidennya kepada saya (sebagai Setiausaha Agung). Mereka menyuruh saya mengadakan suatu mesyuarat untuk meletakkan surat itu kepada jawatankuasa. Saya dipaksa oleh Sdr. V. Veerapan dan Dr. Syed Hussein Alatas supaya mengadakan mesyuarat dan serahkan surat mereka kepada jawatankuasa pusat.

Malangnya, apabila Dr. Syed Hussein AIatas dan mendiang sdr. Veerapen mengambil tindakan itu mereka tidak tahu pada masa itu penyokong-penyokong mereka kurang daripada penyokong-penyokong Dr. Lim, oleh itu surat itu diterima oleh mesyuarat jawatankuasa pusat. Saya tidak bersetuju dengan penerimaan surat itu oleh Dr. Lim Chong Eu dan saya pun keluar. Sebelum itu Dr. Lim sudah sedar Dr. Syed Hussein AIatas akan meletakkan jawatannya dan beliau telah cadangkan saya menjadi pengerusi Gerakan. Cadangan itu saya tidak terima. Dr. Lim telah cadangkan Gerakan memasuki Perikatan. Saya dan ramai penyokong-penyokong saya tidak menyetujui ini.

Dr. Tan telah menubuhkan Pekemas kemudian. Mengapa Dr. Syed Hussein Alatas dan rakan-rakannya tidak menyertai parti itu?

Oleh sebab peranan yang diambil oleh saya dalam pergaduhan antara Dr. Alatas dan Dr. Lim itu, malangnya Dr. Alatas sangka saya telah menyokong Dr. Lim. Sebenarnya saya tidak mengambil bahagian langsung, menjadi seorang neutral dalam pergaduhan antara kedua-dua pihak itu. Apabila Pekemas telah ditubuh - bukan oleh saya tetapi oleh rakan-rakan saya yang lebih muda mereka menjemput saya menjadi pengerusi Pekemas. Buat masa itu, saya ingin bersara dari politik sebab 10 tahun sudah mencukupi. Tapi saya dipaksa oleh penyokong-penyokong saya menjadi pengerusi.

Boleh Dr. Tan terangkan bagaimana Ahmad Boestamam dan Parti Marhaennya telah masuk ke dalam Pekemas?

Apabila kita menubuhkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia kita ada sokongan daripada beberapa orang Melayu dan apabila kita keluar dari Gerakan, kita masih juga ada sokongan dari golongan Melayu itu juga. Tetapi oleh sebab sikap saya dan pemimpin-pemimpin Pekemas pada masa itu, kita merasa kita mesti bekerjasama dan mesti mendapat sokongan dari kaum Melayu. Kita ingin cari sokongan pihak sayap kiri untuk membantu Pekemas dan mendiang sdr. V. Veerapen telah berbual dengan Boestamam. Pada masa Itu, beliau adalah setiausaha kepada Ketua Menteri Sarawak kalau tak silap saya, dan beliau telah menjemput Parti Marhaen memasuki Pekemas. Beliau telah memasuki Pekemas pada tahun 1973.

Setelah Dr. Tan diserang penyakit, beberapa orang tokoh Pekemas telah meninggalkan parti itu untuk menyertai parti DAP. Apa pendapat Dr. Tan terhadap perkembangan ini?

Untuk pilihanraya 1974, kita sangka Pekemas boleh kerjasama dengan DAP seperti yang telah berlaku pada tahun 1969. Tapi ini tidak dapat sokongan DAP. DAP ingin menyerap Pekemas dan anggota-anggota kita ke dalam DAP. Itu tidak dapat diterima oleh pemimpin-pepimpin Pekemas. Saya sendiri tidak setuju dengan sikap DAP terhadap beberapa isu. Tapi apabila saya diserang penyakit pada penghujung tahun 1976 dan saya tidak mengambil bahagian lagi dalam politik, Boestamam telah menjadi Presiden dan beberapa pemimpin-pemimpin Pekemas seperti V. David, Zainal Rampak dan lain-lain telah memasuki DAP sebelum pilihanraya tahun 1978.

Saya tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh mereka. Rakan saya Dr. Tan Seng Gian bertanding di kawasan Kepong pada tahun 1978 juga telah dijemput untuk memasuki DAP. Saya tahan beliau jangan masuki DAP masa itu; Tetapi selepas pilihanraya, kalau Pekemas tiada harapan, baru dia patut masuk DAP. Keputusan pilihanraya 1978 kita sudah sedar. Dr. Tan Seng Gian tidak mendapati bilangan undi terbanyak yang didapati oleh DAP. Kebanyakan calun lain telah hilang wang pertaruhan mereka. Selepas pilihanraya Dr. Tan pun telah memasuki DAP.

Apakah ini bermakna bahawa Dr. Tan Chee Khoon sendiri merestui politik yang diperjuangkan oleh DAP sekarang?

Saya tidak bersetuju dengan pendirian DAP tentang beberapa isu dan saya sendiri tidak mau masuki DAP atau apa-apa partai lain. Isu pertama yang paling penting adalah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Buat permulaan DAP dan PAP telah bersetuju dengan Akta itu, tetapi apabila Lim Kit Siang sendiri ditahan, pendirian atau sikap DAP tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri telah ubah. Mereka sekarang menentang Akta itu. Itu menunjukkan sikap mereka tidak jujur. Saya dan rakan-rakan saya di Parti Buruh semua menentang Akta itu dan sekarang juga kita menentang.

Baru-baru ini Dr. Tan telah menerima anugerah PSM dengan gelaran Tan Sri dari pihak pemerintah. Apa maksudnya dari segi pandangan Dr. Tan?

Saya diberitahu bahawa pihak kerajaan ingin menganugerahkan PSM kepada saya oleh kerana peranan saya dalam bidang perubatan. Selepas beberapa hari untuk buat kajian yang mendalam, saya pun terima penganugerahan itu.

Falsafah apakah yang mendorong dan memandu penglihatan Dr. Tan dalam bidang politik?

Seperti saya katakan tadi, saya datang dari suatu keluarga yang miskin. Setelah lulus dari Fakulti Perubatan, saya terus balik ke Kuala Lumpur dan memasuki Parti Buruh Malaya supaya saya boleh bekerja untuk rakyat jelata, khasnya orang-orang miskin. Sebagai seorang doktor, saya boleh membantu pesakit-pesakit yang miskin. Mereka semua boleh mencari saya dan saya boleh buat apa-apa yang saya boleh untuk menolong mereka. Seperti juga dalam bidang politik, saya tidak memasuki politik untuk mencari wang, bukan untuk nama atau mencari gelaran tetapi supaya saya boleh kerja untuk rakyat jelata yang perlu pertolongan saya. Saya berharap generasi politikus, masa sekarang boleh mewarisi sikap itu juga, iaitu bukan untuk mencari wang atau nama besar.


1 comment:

  1. 복수자카지노 복수자카지노 우리카지노 계열사 우리카지노 계열사 William Hill William Hill sm casino sm casino 007카지노 쿠폰 007카지노 쿠폰 온카지노 온카지노 クイーンカジノ クイーンカジノ 우리카지노 우리카지노 합법 도박 사이트 합법 도박 사이트 슬롯 머신 슬롯 머신 442

    ReplyDelete

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP