Rebutan kuasa ini telah bermula dari sejak dua tahun lepas atau pun terdahulu dari itu. Penyokong-penyokong yang taat setia kepada UMNO telah dapat mencegah perbuatan puak ‘pelampau’ itu kerana UMNO ketika itu kuat dan kerana adanya sokongan yang penuh daripada semua ahli, dari atas sampailah ke bawah.
Dengan sebab itu mereka yang memanggil dirinya ‘pelampau’ (ultras) pada keseluruhannya tidak membuat bising sekali pun mereka bergerak cergas dengan menjalankan kempen sulit di kalangan belia yang mengelarkan diri mereka bijak pandai (intellectual). Saya sentiasa menasihatkan penuntut-penuntut yang masih muda itu supaya kita sentiasa mengawasi dan menentang ahli-ahli politik yang seperti ini. Keadaan penuntut-penuntut di negara-negara sebelah Barat adalah berlainan kerana universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi di benua itu telah ditubuhkan beratus-ratus tahun. Mereka boleh mencuba apa jua yang mereka fikir secocok dengan jiwa mereka dengan tidak mendatangkan sebarang bahaya, tetapi bagi kita Malaysia ini kedudukannya sangatlah berlainan.
Negara ini masih muda, universitinya masih muda dan boleh dikatakan bergantung sepenuhnya kepada sokongan kerajaaan. Universiti ini telah berkembang dari sebuah univesiti yang teratur baik dengan mempunyai lebih 6,000 penuntut. Banyak lagi perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk memperelok universiti itu setelah kita mendapat pengalaman dan dapat mengadakan peruntukan yang lebih banyak. Hasrat Kerajaan ialah hendak menegakkan universiti ini dan juga universiti-universiti lain menurut sebagaimana yamg telah kita rancang dan meletakkan kepada satu darjah dan kedudukan yang tidak kurang dari universiti-universiti yang terbaik dalam Komanwel. Misalnya Universiti Pulau Pinang telah dimulakan dengan secara yang kecil tetapi kita mempunyai rancangan untuk masa hadapan universiti itu sebagaimana yang kita telah lakukan untuk lain-lain rancangan kerajaan.
Segala rancangan yang dilancarkan untuk pelajaran tinggi itu adalah bertujuan supaya pada masa hadapan kelak penuntut-penunutut inilah yang akan dapat menolong bagi menyebarkan ilmu pengetahuan dan juga menolong untuk menghapuskan kejahilan dan kemiskinan. Menjadi harapan kita bahawa mereka akan menolong orang-orang Melayu yang ada pada umunya tidak menunjukkan kecenderungan dalam lapangan memperbaiki lagi kehidupan mereka kerana orang-orang Melayu ialah satu bangsa yang suka meneruskan cara hidup yang diwarisi dari zaman ke zaman dengan tidak mempunyai sebarang pandangan dengan cara-cara bagaimana mereka boleh mendapat penghidupan yang lebih baik dalam dunia ini.
Kita juga telah mengharapkan bahawa melalui generasi penuntut-penuntut yang berpelajaran tinggi ini untuk masuk ke pelbagai lapangan, akan dapat memberi nafas dan semangat baru dalam kehidupan orang Melayu. Mereka patutlah belajar dengan tekun semasa berada di universiti, maktab dan pusat-pusat latihan supaya mereka menjadi rakyat yang berguna untuk bangsa mereka sendiri.
Dalam perbualan saya dengan Tun Abdul Razak, kami telah mengkaji setiap rancangan yang telah dilakukan oleh Kerajaan untok menolong rakyat negeri dari sejak tercapainya kemerdekaan. Masjid, surau dan sekolah agama telah dibina di seluruh negara. Banyak orang yang mendapat faedah daripada ranchangan Kerajaan itu telah berpaling tadah menentang Parti Perikatan.
Bagitulah juga pusat-pusat pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh Kerajaan dengan tujuan memberi pelajaran dan ilmu pengetahuan yang boleh mendatangkan kebajkan dan keuntungan kapada mereka keluarga mereka, telah menjadi tempat yang merunsingkan fikiran kami. Tun Abdul Razak berkata: “Nampak-nya semua tidak berjalan dengan betul sebagaimana yang dikehendaki. Tetapi bagaimanakah mereka sampai hati berbuat demikian kapada Tunku pada hal Tunku telah banyak membuat jasa kapada rakyat dan negara. Patik sendiri tidak faham.”
Kita tidak dapat membuat sebarang kesimpulan selain daripada mengatakan bahawa mereka telah dipengaruhi sewaktu umur mereka masih begitu muda untuk mempercayai apa sahaja. Semua perkembangan ini berlaku semasa negara kita baru sahaja berada di ambang pembangunan, kemakmuran baru yang mungkin tidak pernah tercapai dalam sejarah Asia Tenggara sebelum ini.
Jika berlaku apa-apa kepada negara ini sekarang, maka akan timbullah keadaan huru-hara walhal pilihan raya telah pun tamat dan krisis yang timbul daripada rusuhan telah dapat dikawal, begitulah juga segala tindakan di bawah Undang-Undang Darurat telah berjalan dengan jaya. Jika kejadian ini berlaku, maka Malaysia akan mundur ke belakang beberapa tahun, dan segala yang telah dicapai dalam masa 12 tahun kemerdekaan kita, segala kemakmuran dan kejayaan yang kita telah dapati semuanya akan rosak. Kita mestilah tegas supaya kejadian ini tidak akan berulang lagi.
Jika Negara ini mempunyai musuh-musuh di dalam dan luar negara, maka mestilah kita semua menyedari bahawa adalah menjadi satu perkara yang amat sukar bagi mana-mana Kerajaan juga pun hendak memperteguhkan kedudukannya sambil memelilara darjah keamanan dan keselamatan yang telah kita semua nikmati sejak kemerdekaan.
Perebutan kuasa di kalangan UMNO, bukanlah satu perkara yang boleh mendatangkan kebaikan. Banyak ahli yang jujur telah dapat dipesongkan oleh “pelampau” itu, dan dengan itu mereka juga tertarik dengan kemungkinan Perikatan menubuhkan Kabinet tanpa wakil MCA di dalamnya. Semasa Tun Tan Siew Sin membuat kenyataan bahawa MCA patut berundur dan tidak mengambil bahagian dalam pentadbiran Kerajaan, puak pelampau itu (ultras) menyokong secara terang-terangan. Kebanyakan daripada puak pelampau itu merasa senang hati kerana apa yang mereka cita-citakan akan menjadi kenyataan.
Tujuan mereka ialah supaya saya berundur terlebih dahulu dan jika kejadian ini berlaku barulah mereka akan meneruskan ranchangan mereka yang lain. Sebab itulah tuduhan-tuduhan Dr. Mahathir terhadap diri saya telah disebarkan seluas-luasnya.
Puak “pelampau” ini’ telah berusaha dengan cara sulit untuk menarik ahli-ahli UMNO khasnya dan orang Melayu amnya supaya mengikut rancangan mereka itu. Mereka telah berjaya mendapatkan sokongan di kalangan orang-orang muda yang tidak dapat berfikir sendiri, tetapi pada keseluruhannya cita-cita mereka itu telah ditolak kerana ia disifatkan sebagai satu rancangan yang tidak dapat dilaksanakan dalam sebuah negara seperti Malaysia.
Da1am pilihan raya yang 1epas kita telah dapat saksikan bahawa orang-orang Cina pada umumnya tidak berpegang kapada fahaman po1itik yang kuat tentang bagaimana mereka akan membuang undi. Pendirian mereka boleh berubah dari satu parti ke parti yang lain. Misalannya, Dr. Lim Chong Eu yang sekarang ini menjadi Ketua Menteri Pu1au Pinang. Pada satu ketika du1u dia menjadi pemimpin MCA, kemudian meninggalkan parti itu sebelum pilihan raya 1964, tetapi pada ketika itu orang-orang Cina masih menyokong MCA. Tetapi dalam pilihan raya baru-baru ini, orang-orang Cina telah berpusing ke belakang dan menyokong calon-calon parti lain, dan dengan perkembangan ini maka Dr. Lim sebagai pemimpin Parti Gerakan telah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Kita tidak boleh meramalkan apakah sikap pengundi-pengundi Cina dalam pilihan raya akan datang. Mungkinkah mereka ke1uar dan mengundi MCA? Dengan kekalahan MCA, atau pun yang disifatkan sebagai satu kekalahan oleh mereka, maka tidak ada sebab kenapa kita patut berasa terharu atau bimbang tentang masa depan MCA. Malah tidak patut kita menolak seorang sahabat yang telah berdiri bersama-sama dengan kita sekian lama dan menolong kita mencapai kemerdekaan.
Di kalangan ahli-ahli yang setia, terdapat beberapa orang yang berkehendakkan supaya UMNO atau orang Melayu sahaja yang memerintah Negara ini. Cita-cita seperti ini tidak dapat dilaksanakan dalam sebuah negara yang jumlah penduduknya berbilang kaum, tetapi kumpulan “pelampau” berpegang kapada pemikiran seperti ini dengan tujuan hendak mendapat sokongan orang-orang Melayu.
Cadangan “pelampau” supaya orang-orang Melayu sahaja memerintah Negara ini, pada jangka panjang tidak akan berjaya. Sikap ini mengikut taktik PAS dan tidak sekali-kali akan dapat menyelesaikan kesulitan yang kita hadapi. Mungkinkah mereka akan mengadakan satu ikatan yang kekok dengan PAS? Sekiranya ini berlaku, saya percaya ikatan itu akan merupakan satu perkongsian yang lemah. Oleh yang demikian percubaan hendak menukarkan konsep UMNO dari apa yang telah pun terbukti kejayaannya sehingga hari ini, adalah satu perbuatan mencari kehancuran.
Kerjasarna UMNO, MCA dan MIC bukan sahaja telah dapat mendatangkan keamanan dan kemakmuran kepada negara bahkan juga telah dapat menolong Kerajaan mempunyai kewangan yang cukup untuk mengadakan wang yang banyak bagi pembangunan luar bandar.
Dengan demikian, adalah tidak bijak jika polisi itu hendak diubah semata-mata kerana kita telah mengalami sedikit kekalahan di sana sini? Sebenarnya Perikatan tidak boleh dikatakan kalah kerana jika di-pandang daripada keputusan pilihan raya itu pada keseluruhannya, nyata bahawa Perikatan telah menang lebih sekali ganda dalam Parlimen berbanding jumlah kerusi yang dimenangi pembangkang.
Kemenangan bagi sebuah parti untuk memegang kuasa sebegitu lama adalah satu kejayaan yang sangat luar biasa dalam sistem demokrasi. Malangnya kebanyakan orang kita cuma sanggup merayakan kemenangan sahaja, tetapi tidak sanggup menerima kekalahan. Allah telah berfirman dalam Quran bahawa “manusia tidak jemu berdoa memohon kebaikan, tetapi jika dia ditimpa kesusahan, maka dia berputus asa, berputus harapan.”
Sikap yang seumpama itu membuktikan bahawa orang kita tidak mempunyai kekuatan moral dan semangat. Dengan sebab itu pendirian mereka bergoyang dan mereka pun mencari kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.
Sikap “pelampau” ini (yang sekarang ini disokong pula oleh puak cauvinis) berjalan di atas lunas-lunas yang berbahaya yang akan merendahkan darjah politik UMNO, ringkasnya meletakkan taraf pemikiran politik kita serendah yang dipegang oleh PAS.
(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)
Pengenalan
BAB 1 : Ilham Dari Hospital
BAB 2 : Bayangan Masa Lampau
BAB 3 : Pilihan Raya Umum
BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina
BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen
BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah
BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah”
BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi
BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan
BAB 10 : Mabuk Kemenangan
BAB 11 : Api Menyala Malam
BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian
BAB 13 - Keadaan Darurat
BAB 14 : Putih Kembali
BAB 15 : Sepucuk Surat
BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO
BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak
BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?
BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan
BAB 20 : Falsafah Hidup
BAB 21 : Peranan Akhbar Dan Rusuhan
BAB 22 : Pengajaran Dari Baling
BAB 23 : Mimpi Dan Alamat
No comments:
Post a Comment