Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Saturday, September 14, 2013

13 Mei 1969 - Sebelum dan Selepas (BAB 21 : Peranan Akhbar dan Rusuhan)

Majalah Time terbitan 23 Mei 1969
menyiarkan berita yang biased kejadian
13 Mei 1969 yang sebenarnya
KEJADIAN yang berlaku di Malaysia pada Mei 13 dan kemudiannya telah menarik wartawan-wartawan asing ke negara ini seperti besi berani. Mereka berduyun-duyun datang ke mana jua tempat yang berlaku kekacauan besar. Bagi mereka sesuatu peristiwa itu tidak menjadi berita melainkan jika mereka dapat menceritakan kejadian-kejadian ngeri, keganasan atau pertumpahan darah. Pergaduhan besar di Malaysia yang aman! Inilah peluang baik! Mereka pun menggunakan kesempatan ini dengan sepenuhnya, bahkan sesetengah mereka seolah-olah ‘geli hati’ dengan kejadian malang yang menimpa kita itu.

Jarang terdapat mana-mana negara yang terpaksa menanggung beban daripada perbuatan salah gambaran, memutarkan kenyataan sebenar, atau membenarkan cerita perbualan dan khabar angin sebagaimana yang telah dilakukan pada umumnya oleh wartawan-wartawan asing semasa mereka melaporkan peristiwa sedih itu.

Selama menjadi Perdana Menteri, saya sentiasa memberi kemudahan kepada wartawan-wartawan asing berjumpa saya, sama ada mereka wakil akhbar, radio, televisyen atau filem. Pada umumnya bolehlah saya katakan bahawa mereka telah memelihara darjah kewartawanan yang tinggi pada masa yang lalu, dan jarang-jarang saya mempunyai alasan untuk berasa kecewa dengan mereka.

Dahulu saya pernah menyangka bahawa Prince Sihanouk yang menjadi Ketua Negara Kampuchea telah bersikap terlalu keras ke atas wartawan-wartawan asing apabila beliau beberapa kali enggan membenarkan wakil akhbar luar negara melawat ke negaranya. Sekarang barulah saya faham sebabnya. Kerosakan yang telah mereka lakukan dengan membuat laporan yang tidak bertanggungjawab dan cuai itu tidaklah dapat diperbaiki lagi. Sesetengah daripada mereka boleh dikatakan hampir seburuk musuh-musuh kita yang ada dalam negara. Saya tidak pernah terfikir bahawa harinya akan tiba dalam hayat saya ini  waktu di mana “kuasa yang keempat” atau “fourth estate” (gelaran yang diberikan kepada kaum wartawan) sanggup bertindak seolah-olah seperti “sayap kelima”.

Wartawan-wartawan asing itu tentulah memandang kejadian yang berlaku dari kaca mata orang luar, kerana mereka tidak tinggal di sini selamanya. Mereka bukannya rakyat Malaysia dan bukan pula rakyat Singapura. Mereka datang dan pergi bila-bila masa mereka suka. Oleh itu mereka tidak dapat memahami kejadian-kejadian itu seperti yang kita faham. Perhatian mereka semata-mata untuk mendapatkan berita atau menulis rencana yang boleh menggemparkan.

Pelbagai rupa kekacauan telah berlaku dalam dunia; kejadian-kejadian itu berlaku sama ada di jalan-jalan raya atau pun dalam kampus universiti. Jadi apakah peliknya jika kejadian seperti itu berlaku juga di Malaysia? Lagi buruk kejadian yang dilaporkan, maka lebih seronoklah membacanya.

Wartawan-wartawan asing itu telah diberi segala kemudahan semasa berlaku kekacauan itu sebagaimana yang mereka sentiasa peroleh di negara ini, dan dengan adanya alat penghantar kawat yang terbaik di Kuala Lumpur ini, maka cerita-cerita mereka telah tersebar dengan cepat ke seluruh dunia. Cerita-cerita yang mereka tulis atau kirim menerusi telefon tidak ditapis, begitu juga gambar-gambar yang mereka hantar menerusi radio. Dengan ikhlas kita telah memberikan mereka pas untuk membolehkan mereka berjalan dengan bebas dalam masa berkurung, tetapi selepas beberapa hari kemudiannya pas-pas itu telah ditarik balik kerana mereka menyalahgunakan kebebasan yang diberikan.

Setelah saya ketahui perbuatan mereka menghantar berita-berita yang tidak bertanggungjawab, maka saya telah menolak permintaan mereka hendak menemu duga saya. Mereka sudah pun dapat apa yang mereka mahu dari punca-punca yang berat sebelah dengan tidak pula cuba mengesahkan cerita yang telah diberitahu kepada mereka. Kerosakan telah pun dilakukan, dan apa jua yang saya katakan ketika itu tidak dapat memperbaiki kerosakan. Apabila saya ditanya oleh salah seorang daripada mereka apa jaminan yang saya dapat berikan kepada negara-negara Komenwel bahawa demokrasi akan dipulihkan dengan segera, saya jawab kepadanya “go to hell “ (pergi jahanam) .

Tentulah bukan semua berita yang dilaporkan itu tidak bertanggungjawab. Ada wartawan asing yang cuba membuat laporan yang adil dan teliti. Saya hanya membantah atas laporan pada keseluruhannya yang dibuat oleh kebanyakan wartawan asing itu yang memberikan gambaran yang begitu menggerunkan, jauh lebih buruk daripada apa yang sebenarnya berlaku.


Mereka sedikit pun tidak membayangkan pertalian di antara apa yang berlaku sebelum rusuhan itu dengan kejadian yang tercetus pada 13 Mei, iaitu seperti perarakan mayat atau tunjuk perasaan “kemenangan”. Sesuatu rusuhan tidak tercetus dengan begitu sahaja, ia mestilah ada sesuatu sebab. Kedua-duanya mestilah dikaitkan. Kebanyakan pemberita akhbar asing telah menunjukkan sikap berat sebelah. Mereka condong ke sebelah pihak yang menentang kerajaan atau memihak kepada satu kaum.

Akhbar-akhbar di negara mereka juga tidak menunjukkan sikap adil dalam menyiarkan berita-berita itu. Misalnya, akhbar The Age di Melbourne, Australia telah menyiarkan satu berita di bawah tajuk Nation headed for disaster (Negara menuju kehancuran) pada pagi selepas tercetusnya rusuhan, iaitu pada 14 Mei.

Saya suka bertanya dengan ikhlas, adakah tajuk yang seumpama itu adil dan patut? Tajuk yang seperti itu mungkin juga munasabah sekiranya rusuhan itu telah berpanjangan selama beberapa minggu dengan tidak dapat dikawal, dan sekiranya kerajaan telah membuktikan kegagalannya atau tidak cekap dalam menangani masalah yang timbul. Tetapi tentulah tidak adil tajuk itu dibuat pada pagi esoknya selepas kekacauan berlaku semalam! Perbuatan yang mengelirukan dan sikap tidak adil yang seperti inilah yang sangat saya kesalkan.

Untuk memburukkan lagi keadaan, pemberita yang menggunakan tajuk ini telah menulis dalam ceritanya di antara lain “Tiada sebarang berita dari kawasan-kawasan yang terletak di Utara, dan ini membayangkan bahawa keadaan di lain-lain tempat dalam negara ini juga berada dalam keadaan yang buruk.”


Bagaimanakah boleh seseorang pemberita membuat kenyataan seperti itu? Macam mana dia begitu berani membuat anggapan yang seumpama itu? Dia tidak memberitahu kepada pembaca-pembacanya di seberang laut bahawa jarak antara Kuala Lumpur dan Pulai Pinang ialah 250 batu. Dia tidak sedikit pun menyebut tentang adanya 250 batu lagi menghala ke Selatan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, tetapi hal ini tentu tidak penting untuknya. Dia juga tidak menyebut negeri-negeri di Pantai Timur. Di negeri sebelah Selatan dan Pantai Timur itu tidak berlaku sebarang kekacauan.

Cerita-cerita yang tidak berasas seperti ini dan juga kenyataan dan anggapan mereka yang liar itu telah menjadi amalan wartawan-wartawan asing dalam melaporkan rusuhan-rusuhan di Kuala Lumpur. Berita seperti itu telah memburukkan lagi keadaan yang telah pun sedia tegang di negeri ini.

Oleh kerana perasaan saya sangat kesal dan marah dengan perbuatan wartawan asing itu, maka tidak berapa lama dahulu saya telah mengeluarkan perkataan “Mereka bersorak atau bertepuk tangan, tetapi kami mesti menjalankan tugas kami.” Apa yang saya maksudkan ialah bahawa adalah menjadi tanggungan kami untuk menjalankan pentadbiran Kerajaan, dan mengambil tindakan yang segera bagi menghadapi krisis itu. Bukanlah hak bagi seseorang wartawan asing memberitahu kita apa yang kita mesti buat, atau pun membuat perbandingan dengan apa yang berlaku di tempat lain. Kecelakaan boleh berlaku di mana-mana jua pun dan sebagai buktinya ialah peristiwa yang berlaku di Ulster, Ireland.

Seorang pemberita telah memberitahu saya tentang satu perbuatan zalim ke atas orang-orang Cina yang sedang berlindung di Victoria Institution dengan meletakkan Askar Melayu di sekolah itu juga, dan orang pelarian ini telah meminta supaya dipindahkan mereka ke tempat perlindungan yang lain.

Saya dengan serta-merta telah pergi ke Stadium Merdeka yang terletak berhampiran dengan Victoria Institution dengan tujuan hendak melihat sendiri kedudukan yang sebenar di tempat itu. Semasa berada di stadium itu, saya telah diberitahu bahawa semua orang yang berada di situ duduk dengan gembira, dan saya pun bertanya kepada mereka itu sama ada benar bahawa mereka yang diberi perlindungan di Victoria Institution mahu berpindah ke tempat lain. “Tidak”, jawab mereka itu. Mereka berkata “Kami merasa lebih selamat dengan adanya askar-askar itu, dan lebih-lebih lagi kerana kami juga mendapat bekalan makanan percuma daripada mereka.”

Di dalam suasana tegang semasa rusuhan, saya suka menyatakan dengan tegas bahawa kami telah menghukum orang-orang yang melanggar undang-undang dengan tidak memilih kasih, tanpa menghiraukan sama ada mereka itu orang Melayu, orang Cina atau pun orang India. Jika kita tidak mengambil langkah seperti itu, maka tentulah kita tidak dapat mengembalikan keamanan di dalam masa yang begitu singkat di Kuala Lumpur.

Saya kadang kala bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Thoreau “Bertuahlah mereka yang tidak membaca surat khabar, kerana mereka dapat melihat keadaan alam, dan dengan itu dapatlah mereka mengenal Tuhan”. Pada hari ini sesetengah akhbar sangatlah buruk sifatnya, kerana mereka tidak menghiraukan sama ada sesuatu perkara yang mereka siarkan benar atau salah. Mereka Cuma mementingkan tajuk-tajuk berita yang besar, dan lebih hebat tajuk berita itu maka lebih baiklah untuk mereka. Mereka tidak sekali-kali menghiraukan kesan yang timbul daripada berita-berita mereka. Mereka berpura-pura menggambarkan perasaan orang ramai, dan melupakan dosa yang mereka sendiri lakukan. Mereka berselindung di bawah nama kewartawanan untuk berlagak penting dan mendakwa apa yang mereka tuliskan itu merupakan perasaan atau pandangan orang ramai.

Mereka tentulah sedar bahawa mesti ada sebab yang menimbulkan kemarahan orang Melayu. Mereka tidak cuba mengkaji dari segi ini bahkan sebaliknya meletakkan kesalahan semata-mata ke atas bahu orang Melayu.

Untuk memburukkan lagi keadaan, mereka menuduh pasukan keselamatan membunuh rakyat yang tidak berdosa dengan kejam. Kita sangat berbangga dengan keharuman nama pasukan-pasukan keselamatan kita itu. Pemberita-pemberita asing ini nampaknya telah melupakan perkhidmatan yang diberikan oleh kesemua batalion tentera kita semasa berkhidmat di Congo di bawah bendera Bangsa-bangsa Bersatu. Semasa saya bertugas di sana, askar-askar kita itu telah mendapat pujian yang tinggi di atas kecekapan dan kepintaran mereka menghadapi keadaan yang buruk.

Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U Thant telah menghantar wakil istimewanya untuk bertemu dengan saya dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada Malaysia di atas perkhidmatan baik yang telah diberikan oleh tentera kita dan juga di atas sokongan negara kita sehingga mencapai satu penyelesaian yang aman di Congo.

Sejak mencapai kemerdekaan, kita telah terpaksa menghadapi berbagai-bagai keadaan darurat yang telah berlaku disebabkan oleh gerakan bersenjata Komunis, Konfrantasi Indonesia dan tunjuk-tunjuk perasaan. Dalam masa itu pasukan-pasukan keselamatan kita telah menunjukkan taat setia dan kecekapan mereka untuk menunaikan kewajipan mereka dengan cemerlang, setaraf dengan angkatan bersenjata di negara-negara lain.

Adakah pemberita-pemberita asing memikirkan bahawa tentera yang telah berjaya mencapai nama yang harum itu sanggup membunuh dengan kejamnya rakyat yang tidak berdosa? Sepatutnya mereka bersimpati dengan pasukan-pasukan keselamatan yang terpaksa menghadapi dengan berbagai-bagai kesulitan; tetapi mereka lebih gemar mencemarkan nama askar-askar itu dalam surat khabar. Perbuatan ini menunjukkan bagaimana sikap mereka yang berat sebelah. Oleh itu patutkah saya dan rakyat Malaysia yang lain ditempelak jika kami merasa marah dengan isi laporan-laporan yang disiarkan dalam surat khabar asing mengenai rusuhan itu?


Dalam satu ucapan yang telah saya berikan pada satu malam menerusi televisyen, saya telah menarik perhatian kepada satu kelemahan yang terdapat di kalangan pemberita-pemberita ini. Mereka tidak dapat hendak membezakan antara Cina Komunis, Cina samseng dan orang-orang Cina yang patuh kepada undang-undang; mereka sifatkan orang-orang Cina itu semuanya sama. Inilah satu anggapan silap yang dibuat oleh orang-orang asing mengenai dengan orang-orang Cina. Kita boleh maafkan orang biasa di negara-negara luar jika mereka tidak memahami kita, tetapi tidak ada sebarang sebab bagi seseorang wartawan tidak mengetahui mengenai apa yang hendak mereka tulis. Mereka sepatutnya mengetahui kedudukan kaum, adat resam dan adat istiadat di negara-negara yang mereka laporkan. Begitu juga perlembagaan dan unndang-undang negara berkenaan. Jika mereka tidak mengetahui hal-hal ini, maka sepatutnya mereka bertanya dan ambil tahu.

Mereka tentu tahu bagaimana orang-orang Melayu telah hidup dengan tenang dan damai sekali pun ada provokasi yang dihalakan oleh orang lain ke atas mereka, terutama oleh Parti Komunis Malaysia dan konco-konco mereka atau pun oleh pekampau-pelampau Cina dan India. Mereka tahu sikap persahabatan yang telah ditunjukkan oleh Malaysia sebagai anggota Komanwel dan sumbangan yang sentiasa kita berikan kepada cita-cita utama Komenwel. Sekalipun mereka sepatutnya tahu hakikat-hakikat ini, mereka sengaja melupakan anasir-anasir jahat yang mengancam kita dan tidak mengindahkan kejayaan-kejayaan kita memelihara keamanan dan mencapai kemajuan.

Berbanding dengan akhbar asing, akhbar tempatan telah melaporkan dengan baik suasana dalam negara pada keseluruhannya. Sikap wartawan-wartawan tempatan itu memanglah kena pada tempatnya kerana mereka ialah rakyat negara ini, atau pun kalau mereka bukan rakyat, mereka faham cara hidup bangsa kita, dan dengan kerana itu mereka dapat membezakan antara khabar angin, cakap bualan dan kenyataan-kenyataan yang sebenar.

Wartawan-wartawan tempatan terpaksa menghadapi kesulitan sebab mereka itu sama seperti semua rakyat lain, terikat kepada undang-undang, walhal rakan-rakan mereka wartawan-wartawan asing tidak terikat atau tidak menghiraukan undang-undang. Wartawan-wartawan tempatan juga kebanyakannya telah mempunyai pengalaman bagaimana hendak menulis atau membuat laporan dalam masa darurat.

Mereka sentiasa insaf bahawa kepentingan negara sedang terancam, tetapi mereka boleh memberi pandangan yang ikhlas dan membina, selagi ia tidak terkeluar daripada batasan. Malangnya pada permulaan rusuhan itu berlaku, penerbitan akhbar-akhbar tempatan terpaksa ditahan selama dua hari untuk kepentingan awam. Akhbar-akhbar kita segera menarik perhatian Kerajaan di atas kesilapannya itu, dan Kerajaan pun mengubah keputusannya dan membatalkan sekatan.

Malangnya rusuhan-rusuhan itu tercetus semasa pentadbiran negara sedang dalam peralihan kerana pilihan raya  baru sahaja tamat dan sebuah Kerajaan baru belum lagi ditubuhkan. Kejadian secara kebetulan ini telah memberi kesan kepada Kerajaan, akhbar tempatan dan pemberita-pemberita asing.

Dengan tidak semena-mena, kita dapati bahawa kita terpaksa menghadapi krisis dan perintah berkurung terpaksa dikenakan di Kuala Lumpur. Pejabat Perkhidmatan Penerangan boleh dikatakan telah lumpuh, lebih-lebih lagi kerana belum ada menteri baru dilantik. Sungguhpun begitu Bernama, agensi berita kebangsaan telah menjalankan tugas mereka setiap masa semasa kekacauan berlaku, sekalipun pejabat besarnya terletak ditengah-tengah pinggir kawasan tempat kekacauan itu mula berlaku. Stesen-stesen radio dan televisyen telah bertugas terus menerus 24 jam dalam masa darurat itu untuk menyampaikan berita dan perutusan kepada orang ramai.

Akhbar-akhbar tempatan, yang seperti biasa cekap dalam pekerjaannya, telah menerbitkan surat khabar pada dua haripertama tetapi tidak dapat diedarkan dengan luas. Sungguhpun begitu tempoh perolehan dalam susunan Kerajaan itu telah memberi keuntungan kepada pemberita-pemberita asing dan mereka menggunakan kesempatan itu dengan tidak teragak-agak .

Laporan-laporan mengenai dengan rusuhan yang disebarkan di Singapura adalah berlainan, terutama sekali laporan-laporan yang disiarkan melalui radio dan televisyen, dan juga di dalam penerbitan PAP “The Mirror”. Cara laporan-laporan ini ditulis membayangkan bahawa mereka juga mahu orang lain percaya kepada semua laporan-laporan buruk yang dilemparkan ke atas kita di Malaysia. Perbuatan ini sungguh dikesali kerana Singapura sendiri berhadapan dengan masalah-masalah yang sama.

Saya harapkan mereka lebih bersimpati terhadap kecelakaan besar yang telah menimpa kita. Sebaliknya mereka telah menghangatkan lagi cerita-cerita itu sehingga mengakibatkan berlakunya beberapa kejadian di negeri itu yang telah mengorbankan beberapa nyawa orang-orang Melayu. Kejadian ini tidaklah sekali-kali patut berlaku. Bagi pihak kita, kita tidak membesar-besarkan apa yang berlaku di Singapura itu kerana kita bimbang berlakunya tindak balas di negara ini. Mari kita mengharapkan bahawa untuk kepentingan kita bersama, maka Singapura tidak akan mengulangi perbuatan yang sangat dikesalkan itu.


Kita berasa sungguh meradang apabila membaca berpuluh-puluh cabutan akhbar dan majalah asing kerana kita percaya tulisan-tulisan itu dapat mencacatkan nama baik kita. Kita meradang dengan perbuatan-perbuatan akhbar dan majalah-majalah asing itu menyiarkan laporan yang liar, melampaui batas dan berat sebelah, dan juga dengan lidah pengarangnya yang penuh dengan kritikan-kritikan yang ditulis beribu-ribu batu jauhnya dari negara ini berasaskan kepada kecetekan pengetahuan dan kejahilan mereka tentang cara hidup dan hal ehwal orang-orang Malaysia.

Pertama sekali biarlah saya turunkan di sini satu tulisan yang telah tersiar di dalam majalah Time edisi 23 Mei 1969:

“Seorang lelaki telah cuba menyelamatkan dirinya daripada kereta yang sedang terbakar, tetapi telah ditolak masuk balik ke dalam keretanya itu oleh perusuh-perusuh dan mati.

Setelah peperangan kaum dan kekacauan awam itu berjalan selama empat hari, maka rumah mayat di Hospital Besar Kuala Lumpur  telah penuh dengan mayat sehingga terpaksalah mayat-mayat itu dimasukkan ke dalam plastik dan digantung pada penyangkut-penyangkut siling.

 Pegawai-pegawai Kerajaan yang cuba hendak mengecilkan kejadian itu, telah mengatakan bahawa bilangan orang-orang yang mati ialah cuma 104 sahaja. Punca-punca diplomat Barat menganggarkan hampir 600 orang mati dan kebanyakan mangsa ialah orang Cina”.

Sekarang mari kita lihat fakta yang benar. Rumah mayat di Hospital Besar  Umum biasanya boleh memuatkan enam mayat sahaja. Tiada penyangkut yang dipasang di siling rumah mayat, dan tidak pernah ada bag plastik disediakan untuk mayat. Rumah mayat itu mempunyai kelengkapan moden, dan bukan seperti  bilik sejuk yang terdapat di kedai-kedai menjual daging! Pihak yang berkuasa perubatan di negara kita ini menjaga mayat dengan penuh hormat sebagaimana. Mayat-mayat dibalut dengan kain putih oleh penjaga-penjaga mayat yang mendapat latihan.

Oleh kerana banyak mayat yang telah dihantar ke Hospital Besar, maka pihak berkuasa telah membuat persediaan khas untuk mayat-mayat yang tidak dapat diletakkan di dalam rumah mayat. Mayat-mayat itu telah dimasukkan ke dalam ambulans dan dihantar ke rumah-rumah mayat lain di Hospital Lady Templer, Hospital Assunta, Hospital Batuk Kering dan Hospital Universiti untuk diselenggarakan mengikut cara yang biasa dibuat.

Mengenai dakwaan kononnya pegawai-pegawai Kerajaan cuba hendak mengecilkan kejadian itu, apakah faedahnya perbuatan-perbuatan yang seperti itu? Dari manakah lboleh didapati angka-angka yang betul jika tidak dari sumber kerajaan? Dengan tujuan bukan hendak menghina “diplomat negara-negara Barat” yang mendakwa bilangan orang yang terbunuh hampir 600 ratus orang, saya suka mengatakan bahawa angka yang keterlaluan itu merupakan anggaran mereka sendiri sahaja.

Saya telah mendapat angka rasmi daipada ibu pejabat polis pada pada 15  Ogos, iaitu tiga bulan dua hari selepas rusuhan. Angka kematian ialah 184 orang, 356 orang cedera, 753 kejadian membakar bangunan dan 211 buah kenderaan yang terbakar atau musnah.

Laporan yang mengelirukan dalam media asing dalam minggu yang pertama selepas rusuhan sangatlah buruk, tetapi apa yang tidak dapat dimaafkan sama sekali ialah pandangan dan rencana yang dikarang berminggu-minggu kemudian, iaitu apabila Kuala Lumpur telah hampir pulih seperti sediakala, dan perintah berkurung dikurangkan menjadi empat jam dari 1.00 pagi hingga 4.00 pagi.

Sebagai contohnya, saya suka merujuk kepada satu karangan dua muka penuh yang diterbitkan oleh majalah “Life” bertarikh 21 Julai, lebih sembilan minggu selepas 13 Mei. Rencana itu bertajuk “A Quiet Coup in KL”  (Rampasan kuasa secara senyap di KL).

Saya peturunkan cabutan daripada rencana yang menakjubkan itu:

“Menurut satu cerita yang disahkan oleh beberapa sumber punca, lima buah lori askar telah tiba di Pusat Orang-orang Sakit Kusta di Sungai Buluh, yang terletak di luar Kuala Lumpur, dengan membawa askar-askar yang mabuk dan mayat-mayat yang dicat hitam supaya susah hendak dikenali kaum orang0orang yang mati itu.

 Askar-askar itu telah memanggil pesakit-pesakit kusta, memberikan mereka brandy dan kemudiannya memerintahkan supaya mereka menggali sebuah lubang yang besar.  Pusat kusta itu telah dipilih kerana askar-askar itu sendiri malas hendak menanam mayat-mayat yang tersebut, dan mereka fikir tiada siapa yang akan pergi bercakap dengan pesakit-pesakit kusta. Bukti-bukti menunjukkan bahawa ada lagi kubur beramai-ramai selain daripada ini.”

Sekarang mari kita lihat fakta sebenar. Sejumlah 102 mayat telah ditanam ditanah perkuburan Pusat Kusta Sungai Buluh yang telah diangkut dengan kereta-kereta Polis selama lima hari mulai dari 18 Mei.

Sebenarnya pertolongan secara sukarela yang telah diberikan oleh pesakit-pesakit kusta yang telah sembuh itu untuk menanam mayat-mayat yang tersebut adalah dengan persetujuan pihak yang berkuasa Pusat Penyakit Kusta itu sendiri. Tidak ada ‘brandy’ ditempat itu kerana pesakit-pesakit kusta ditegah meminum arak. Kerja menanam mayat itu telah dijalankan oleh pihak yang berkuasa Rumah Sakit dengan pertolongan polis dan bukannya tentera. Tidak ada satu mayat pun yang dicat hitam, tetapi ada juga mayat-mayat yang telah hangus dan tidak dapat dikenali.

Setiap mayat itu telah dibalut dengan kain putih, dan telah ditanam dalam kubur yang berasingan; satu mayat dalam satu liang. Polis telah mengambil gambar setiap mayat, dan memberikan bilangan, dan bilangan inilah juga yang telah ditulis di atas kubur masing-masing. Ini telah dilakukan supaya mayat-mayat yang masih boleh dikenali dapat dituntut oleh keluarga mereka.

Selain yang ditanam di Sungai Buluh itu, 11 lagi mayat orang Islam telah dibawa ke tanah perkuburan Gombak, Kuala Lumpur untuk dikebumikan. Akhirnya saya suka menyatakan bahawa tidak ada liang kubur beramai-ramai di Kuala Lumpur untuk nenanam mayat mangsa rusuhan itu.


Salah satu sebab saya menulis buku ini ialah untuk membetulkan segala kesilapan dengan memberi kenyataan yang sebenar.

Hal inilah yang kebanyakan wartawan asing tidak mengambil perhitungan. Mereka tidak membuat penyiasatan yang bersungguh-sungguh untuk mengetahui punca kekacauan itu berlaku dengan tiba-tiba. Mereka mesti menghantar laporan pada waktu yang ditentukan, dan mereka berlumba-lumba sesama sendiri untuk menyiarkan berita lebih  dahulu daripada rakan-rakan mereka. lnilah yang mereka pentingkan.

Sekiranya pemberita-pemberita asing itu pada keseluruhannya terdiri dari orang-orang yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan yang luas tentang Malaysia, maka saya percaya tidak ada sebarantg sebab jua pun untuk saya membuat tuduhan-tuduhan ke atas mereka. Malangnya wartawan-wartawan asing itu terlampau singkat masa perkhidmatannya di sini kerana mereka datang dan pergi.  Jadi tentulah mereka mudah membuat kesilapan yang besar dalam pertimbangan dan penilaian mereka.

Tatkala saya memikirkan sikap dan perbuatan wartawan-wartawan asing sebagaimana yang tertulis dalam bab yang menyedihkan ini, cerita-cerita yang mustahil yang kita baca dari tulisan-tulisan mereka, maka terlintas dihati saya untuk mengikuti jejak Iangkah yang telah diambil oleh Putra Sihanouk dan pemimpin-pemimpin Asia yang lain yang nama baik negara-negara mereka telah dicermarkan oleh laporan-laporan yang tidak bertanggungjawab media Barat. Sungguhpun begitu saya tidak akan mengambil langkah seperti itu sekalipun keinginan untuk berbuat demikian sangatlah kuat.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)






Pengenalan
BAB 1 : Ilham Dari Hospital
BAB 2 : Bayangan Masa Lampau
BAB 3 : Pilihan Raya Umum
BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina
BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen
BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah
BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah”
BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi
BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan
BAB 10 : Mabuk Kemenangan
BAB 11 : Api Menyala Malam
BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian
BAB 13 - Keadaan Darurat
BAB 14 : Putih Kembali
BAB 15 : Sepucuk Surat
BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO
BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak
BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?
BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan
BAB 20 : Falsafah Hidup
BAB 21 : Peranan Akhbar Dan Rusuhan
BAB 22 : Pengajaran Dari Baling
BAB 23 : Mimpi Dan Alamat

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP