Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Tuesday, August 9, 2011

Mahkamah Tinggi benarkan Anwar menemubual Najib, Rosmah bagi bicara LIWAT 2.0 dengan SYARAT......


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin 8 Ogos 2011 membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemu bual 15 saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, bagi perbicaraan kes liwat dengan syarat mereka bersetuju.

Selain Najib dan Rosmah, Anwar juga mohon temubual pemilik kondo dimana insiden liwat didakwa berlaku,Hasanuddin Abd Hamid , bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Ketua Pembangkang itu juga mahu menemu bual 10 saksi alibi sebelum beliau memberikan keterangan.

Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan Anwar.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwa untuk memastikan bahawa semua saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwa ditemu bual oleh peguam tertuduh.

"Selepas mengkaji semua kes undang-undang yang diketengahkan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua pihak memandangkan di bawah undang-undang pihak pembelaan berhak menemu bual semua saksi pembelaan yang ditawarkan kepada mereka," menurut Mohamad Zabidin.

Dalam permohonan pertama pada 26 Julai, Anwar memohon perintah mahkamah bagi mengarah pihak pendakwa memastikan kehadiran saksi-saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwa di penghujung kes mereka kepada mahkamah, untuk ditemu bual oleh pihak pembela.

Pada 16 Mei 2011, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat itu, adalah saksi yang bercakap benar dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.-8/8/2011-

OLEH : NOOR HASILAH ISMAIL



Klik : www.mobtv.my

Bila MM menonton video ini di mana Karpal Singh membuat statement yang Najib, Rosmah dll. tidak boleh tidak MESTI hadir untuk ditemubual sebagai bakal saksi pembela Anwar, dan jika tidak hadir boleh dikeluarkan Warrant of Arrest terhadap mereka amatlah melucukan MM.

Tindakan yang lebih baik ialah untuk Anwar memohon kepada mahkamah supaya saphoena dikeluarkan to compel Najib, Rosmah dll. itu hadir dalam perbicaraan proper.

Niat Anwar hanyalah satu saja, iaitu memalukan sesiapa saja yang pada pandangannya menghalang atau menyekat aktiviti moralnya yang rendah itu.

Selasa Ogos 9, 2011
Kes Liwat: Temu Bual Dengan Bekas KPN Dibatalkan Kerana Kehadiran Anwar
KUALA LUMPUR: Temu bual terhadap dua saksi bagi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan, dibatalkan selepas kedua-dua mereka membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu.

Peguam S.N.Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi berkata anak guamnya berhak untuk hadir semasa temu bual dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, yang diadakan di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini Selasa.

Beliau berkata memandangkan kedua-dua saksi membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan esok untuk bertemu pasukan pendakwaan dan pembelaan.

Ditanya sama ada pihak pendakwaan telah mengatur untuk menemu bual saksi yang lain, Nair berkata pendakwaan belum memberi maklumat mengenainya kepada pembelaan setakat ini.

Kepada soalan sama ada Musa dan Rodwan datang ke mahkamah bersama peguam mereka, Nair menjawab "tidak".

Pada Isnin, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Sri Rosmah Mansor, Musa, Rodwan dan 11 orang lagi.

Hakim turut menetapkan 15 hingga 26 Ogos bagi kes pembelaan. Pada mulanya mahkamah menetapkan 8 hingga 26 Ogos dengan Anwar dijadual sebagai saksi pertama memberi keterangan.

Di akhir kes mereka, pendakwaan menawarkan 71 saksi, termasuk Najib dan Rosmah. Pihak pembelaan memilih untuk menemu bual hanya 25 orang dan setakat ini, hanya lima orang yang telah pun ditemu bual.

Mereka ialah bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, Dr Mohd Osman Abd Hamid, yang sebelum ini bertugas di Pusrawi, adik perempuan bongsu Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang hanya dikenali sebagai Dr Daniel, dan Khairil Anaz Yusof, pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes itu, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, atas tuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun yang sama.
- BERNAMA

Peguam Muda : Apa Muslihat Anwar Kacau Temu Bual Saksi

“Kenapa Datuk Seri Anwar perlu hadir semasa sesi temu bual saksi-saksi, sedangkan urusan itu boleh diwakilkan kepada para peguamnya ?”, soal peguam muda, Mohd Khairul Azam Abd. Aziz ketika dihubungi AIDCNews.

“Kenapa Anwar perlu sangat-sangat untuk hadir, seolah-olah ada muslihat tertentu dan cukup terdesak”, katanya lagi ketika mengulas pembatalan sesi temu bual dua saksi bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof semalam.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden ketika dihubungi media menyatakan pihaknya membantah sesi temu bual itu kerana kehadiran tertuduh, yakni Anwar Ibrahim.

Sementara itu, peguam bela, Sankara Nair memaklumkan bahawa, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah akan mendengar bantahan tersebut di kamar beliau pagi ini dengan kehadiran kedua-dua pihak.

“Hakim telah buat keputusan saksi-saksi boleh beri keterangan atau tidak bergantung kepada persetujuan mereka.

“Kedua-dua saksi telah beri kerjasama. Mereka dengan ikhlas datang dan luangkan masa mereka untuk bantu mahkamah, tetapi kenapa pula Anwar perlu hadir bersama, sedang dia merupakan tertuduh dalam kes ini”, katanya.

Menurutnya walaupun undang-undang tidak ada peruntukan khusus dalam proses temu bual, namun kaedah universal perundangan adalah seorang saksi itu perlu berada dalam keadaan selesa (bebas bercakap) untuk memudahkan saksi-saksi itu memberi keterangan tanpa ganguan daripada tertuduh.

Katanya analogi temu bual saksi itu diibaratkan seperti proses meminang dalam adat Melayu yang kebiasaannya diwakilkan kepada pihak lain untuk mewakili dirinya.

“Anwar mempunyai ramai peguam yang handal-handal yang boleh mewakili dirinya, jika sekadar untuk mendapatkan maklumat dalam proses temu bual itu.

“Atau Anwar sendiri sudah tidak percayakan kehandalan peguamnya, terutamanya Karpal Singh yang mempercayai Anwar seorang peliwat satu ketika dahulu dan pernah menggesa Anwar bertaubat ?”, soalnya.

Mohd Khairul Azam yang juga merupakan peguam peribadi kepada Ummi Hafilda berkata sepatutnya Anwar tidak hadir dalam proses temu bual itu, kerana kehadirannya dianggap seperti ‘pengacau’ yang berniat mahu bertengkar dengan saksi-saksi tersebut.

Menurutnya perdebatan dan pertengkaran itu sepatutnya diadakan dalam prosiding mahkamah dan bukannya dalam sesi temu bual yang belum tentu lagi saksi-saksi itu akan dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak Anwar.

“Apakah perkara yang sama juga akan dilakukan kepada Datuk Seri Najib dan Rosmah ?.

“Jika ini sikap Anwar, mungkin saksi-saksi yang lain juga tidak akan beri kerjasama, kerana mereka melihat Ketua Umum itu cukup terdesak dan mempunyai muslihat tertentu”, katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP