Keputusan Zaid menarik diri ketika baru satu pertiga cabang PKR selesai mengadakan pemilihan tentu mengecewakan penyokongnya. Tindakannya itu pasti memberi laluan mudah kepada Azmin Ali untuk mengenepikan cabaran Mustafa Kamil Ayub sebagai pesaing merebut jawatan nombor dua dalam parti itu.
Zaid ternyata kecewa kerana pucuk pimpinan PKR seolah-olah membenarkan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti, sedangkan isu itu telah dibangkitkan berulang kali.
Siapa tidak merajuk hati misalnya beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan Zaid mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.
Jika demikian cara pemilihan dilakukan, apa makna sistem demokrasi PKR yang memberi hak mengundi kepada setiap ahlinya - 'satu ahli, satu undi.' Dakwaan bahawa parti itu telus dan adil adalah temberang kerana cara pemilihan PKR secara jelas menunjukkan Anwar Ibrahim cuba mengekalkan kroni-kroninya dalam parti.
Hakikatnya, PKR hanya parti tunggangan Anwar untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Anwar mengamalkan sikap 'nepotisme' bagi memastikan orang yang dikehendakinya menang. Inilah imej sebenar demokrasi acuan PKR.
Sememangnya Zaid telah tersilap memilih parti yang boleh mengembangkan budaya politik berprinsip untuknya dapat membangunkan demokrasi dan tadbir urus yang baik di negara ini. Untuk tujuan murni itu, bukan prinsip PKR.PKR sendiri dibelenggu masalah perebutan kuasa di kalangan pemimpinnya serta tidak mempunyai hala tuju jelas dalam perjuangan politiknya sejak ditubuhkan dahulu.
Walaupun Zaid belum bersedia untuk keluar daripada PKR, tetapi mengikut rekod sejarah mereka yang menarik diri dan keluar daripada parti itu, faktor terlalu banyak kelemahan mendorong mereka 'berhijrah.' Bukan mengejutkan kalau seorang lagi pemimpin besar PKR meninggalkan parti itu.
PKR sebenarnya tiada idealisme perjuangan yang berlandaskan kepada kepentingan bangsa, agama dan negara, jadi tidak menghairankan kalau cita-cita parti itu hanya untuk mendapat kuasa semata-mata. Kepada Zaid, jangan salahkan ahli-ahli PKR jika semasa kemasukannya dalam parti itu disambut sebagai wira dan kini dicaci dengan gelaran 'pengacau.'
Zaid menegaskan beliau tidak akan meninggalkan pembangkang dan akan terus bercakap serta memperjuangkan isu rakyat bagi memastikan masyarakat mendapat kerajaan yang lebih baik. Pihak pembangkang mana yang hendak mendengar cakap Zaid jika dia tidak punya apa-apa jawatan dalam politik.
PKR bukanlah parti perjuangan, sebaliknya parti yang sentiasa bergolak yang akhirnya pemimpin terpaksa mencari jalan keluar. Apakah Zaid akan keluar daripada PKR sebagaimana pemimpin terdahulu? Kita tunggu pengumumannya!
No comments:
Post a Comment