Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim - Rahimi Osman - mendakwa dia dipaksa untuk menandatangani dua akuan bersumpah berhubung tuduhan yang Anwar telah meliwat seorang lagi bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Menurut laporan polis Rahimi hari ini, akuan bersumpah pertama ditandatangani pada 28 Jun 2008 di Hotel Quality, Shah Alam dan yang kedua ditandatangani beberapa hari kemudiannya di Petaling Jaya.
Pada hari itu, Anwar dan para penyokongnya berkumpul di Hotel Quality, beberapa jam selepas Saiful membuat laporan polis, mendakwa dia diliwat oleh Anwar.
Rahimi mendakwa akuan bersumpah kedua telah dipinda kandungannya untuk memalit dan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat tersebut.
"Kandungan kedua-dua akuan bersumpah itu adalah tidak benar sama sekali. Dan saya dipaksa untuk menandatanganinya. Saya juga tidak diberikan sebarang salinan kedua-kedua akuan bersumpah tersebut.
"Disebabkan akuan bersumpah itu tidak benar, saya sekarang ingin menceritakan perkara yang sebenarnya, maka saya telah membuat satu akuan bersumpah yang baru hari ini yang mengandungi cerita benar," laporan polis Rahimi dipetik.
Menurut Rahimi, dia telah mengemukakan akuan bersumpah tersebut bersama laporan polisnya.
Bimbangkan keselamatan
Dakwanya, dia terpaksa menurunkan tandatangan pada akuan bersumpah tersebut kerana risaukan keselamatan dirinya, memandangkan ketika itu "ratusan penyokong dan orang kanan Anwar berada di keliling hotel".
Menurutnya, dua peguam Anwar - Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli - menahannya di hotel tersebut selama beberapa hari bersama seorang rakan.
Dalam laporan itu lagi, Rahimi mendakwa mereka telah memintanya menandatangani akuan bersumpah itu walaupun "saya tidak langsung bersetuju dengan kandungannya".
Menurut laporan itu lagi, Rahimi mendakwa dia telah dihubungi oleh Latheefa beberapa bulan yang lalu melalui telefon untuk menandatangani satu lagi akuan bersumpah.
"Dia mengatakan bahawa akuan bersumpah yang telah saya tandatangani sebelum ini telah hilang. Namun saya tidak melayan mereka dan cuba sedaya upaya menjauhkan diri dari mereka."
Dalam laporan polisnya, Rahimi juga meminta perlindungan kerana bimbangkan keselamatan dirinya dan keluarganya.
Ketika dihubungi, Latheefa berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara itu. Beliau adalah ketua penerangan PKR.
Sementara itu, Saiful Izham, ketika dihubungi, menyatakan rasa terperanjatnya terhadap dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, beliau perlu melihat kenyataan Rahimi terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang ulasan.
Saya merupakan bekas Pegawai Khas kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (‘DSAI’). Saya berkhidmat dengan DSAI pada tahun 2007 hingga pertengahan 2008. Saya bertanggungjawab menyelenggara semua program DSAI semasa kempen Pilihanraya Umum ke 12 (‘PRU 12’).
Semasa berkempen di Kelana Jaya, saya terserempak dengan rakan sekolah saya, Mohd Saiful Bukhari bin Mohd Azlan (‘Saiful’).
Kami bertanya khabar dan saya tanya kepada dia apa yang dia lakukan di sini (Kelana Jaya), saya dengar dia menyokong BN di Facebook. Dia menjawab,”"aku dah fed-up dengan side sana”.
Gembira kerana dia ingin membantu dan menyokong Parti Keadilan Rakyat (‘PKR’), saya kemudiannya keluar minum teh dan berbual-bual dengan Saiful pada malam itu.
Sebelum ini semasa di sekolah Saiful memang penyokong kuat DSAI. Dia bersama arwah emaknya selalu berdemonstrasi di jalanraya pada tahun 1998.
Esoknya, saya menjemput dia ke pejabat DSAI di Seksyen 16.
Kami berbual di dalam bilik mesyuarat di Pejabat tersebut. Kemudiannya DSAI masuk dan saya kenalkan dia kepada Saiful. Dia berborak sebentar dengan Saiful dan kemudiannya kami terus berbincang mengenai kempen-kempen PRU 12.
Semasa PRU 12, Saiful ditugaskan untuk membantu saya. Dia membantu saya untuk memasukkan jadual yang saya sudah buat ke dalam komputer dan menghantar kepada petugas-petugas PRU 12 yang berkenaan.
Hari-hari terakhir PRU 12, DSAI memberikan RM4000 kepada saya dan menyuruh saya memberikan RM2000 kepada Shafiq (salah seorang pembantu sukarela) dan RM2000 kepada Saiful. Saya serba salah, Shafiq telah membantu selama 3 bulan tanpa sebarang bayaran, tetapi Saiful cuma baru membantu selama beberapa hari sahaja.
Selesai PRU 12, Saiful cuma datang ke pejabat sekali sekala mengikut waktunya sendiri kerana dia menganggap bahawa dia cuma staff separuh masa atau sukarelawan sahaja di pejabat itu. Saya menguruskan semua jadual DSAI seorang diri.
DSAI meminta dan menekan saya untuk memanggil Saiful semula ke pejabat sebagai staff tetap. Saya buat sepertimana yang disuruh.
Saya berjumpa dengan Saiful dan memintanya datang ke pejabat untuk bekerja sepenuh masa. Saiful beritahu saya, dia serba salah kerana dia pernah kenal rapat dengan Khairil Anas, Pegawai Khas Dato’ Seri Najib.
Khairil Anas membantu Saiful dengan memberikan surat sokongan untuk Saiful meminta biasiswa sekolah penerbangan.
Saiful takut dia akan dilabel sebagai agen dan perisik memandangkan ada beberapa orang rakan lama Saiful yang berkhidmat secara sukarelawan dalam PKR tidak senang melihat Saiful rapat dengan pejabat DSAI.
Malam tersebut, dalam perjalanan ke KLIA untuk menghantar DSAI ke luar negara, saya telah menceritakan masalah Saiful kepada DSAI, termasuk berkenaan hubungan rapat Saiful dengan salah seorang staff Dato’ Seri Najib.
Saiful turut sama dalam perjalanan tersebut tetapi menaiki kereta yang lain. DSAI nampaknya langsung tidak kisah dengan cerita dan keadaan Saiful. Sampai di KLIA beliau cuma bergurau dengan Saiful dengan berkata, “you baik-baik nanti boleh kena bom.”
DSAI terus meminta Saiful berkhidmat di pejabat seperti biasa dan Saiful bersetuju. Semasa dalam pejabat, DSAI sering memanggil Saiful masuk ke dalam biliknya untuk berbual-bual. Saya pelik kerana jarang staff-staff yang lain mendapat layanan yang begitu mesra daripada DSAI.
Walaupun baru sahaja kenal, DSAI nampaknya sangat akrab dengan Saiful.
Kami bekerja seperti biasa dan hampir setiap hari selepas habis pejabat, kami akan melepak di kedai mamak sehingga larut malam.
Saiful sering menerima panggilan telefon dan apabila menjawab panggilan tersebut, Saiful akan lari jauh dari meja kami.
Saya pelik kerana kalau biasanya teman wanita Saiful yang telefon, dia akan jawab depan-depan sahaja. Perbualan telefon itu biasanya berlaku dalam masa setengah jam, diikuti dengan sms berpanjangan.
Satu hari, saya cuba menilik caller ID, saya amat terkejut apabila melihat panggilan dan sms tersebut adalah daripada DSAI.
Saiful kemudiannya diberikan satu tugas yang membuatkan hampir semua staff senior di pejabat terkejut, iaitu mengaturkan segala mesyuarat dan pertemuan dengan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang kononnya ingin melompat parti pada ketika itu.
Saya berasa hairan kerana Saiful yang cuma dikenali DSAI kurang sebulan diberi kepercayaan untuk membawa satu tugas yang sangat penting dan sangat sulit. Tambahan pula ada kisah mengenai rapatnya Saiful dengan pegawai khas Dato’ Seri Najib.
Saiful selepas itu mula sibuk terbang ke Sabah, Singapura, Bangkok dan Hong Kong. Boleh dikatakan, tiada satu pun staff di pejabat tahu atau mempunyai maklumat tentang pertemuan-pertemuan itu.
Tugas saya cuma mengosongkan jadual DSAI pada hari-hari tertentu untuk ‘mesyuarat sulit’.
Tidak berapa lama selepas itu, saya mengambil keputusan untuk berhenti dari pejabat DSAI memandangkan keadaan pejabat mula stabil dan saya menyerahkan tugas-tugas saya kepada Ibrahim Yaacob, Ketua Staff dan dibantu oleh Saiful sendiri.
Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerana ingin menumpukan kepada perniagaan saya yang telah tinggalkan semenjak aktif dalam kerja-kerja politik.
Saya memandang bahawa perniagaan saya adalah jaminan masa depan jangka panjang daripada terus bekerja dalam politik.
Selepas berhenti, saya masih juga datang ke pejabat di waktu lapang untuk membantu dan saya juga sering berjumpa dengan Saiful. Dalam masa yang sama, Saiful sering mengadu bahawa dia berasa tertekan tetapi tidak memberitahu saya apa sebabnya dia tertekan. Bila ditanya mengapa, Saiful akan terus beralih topik.
Pada satu hari, Ibrahim Yaacob menelefon saya untuk mencari di mana Saiful. Menurut Ibrahim, Saiful tidak datang ke pejabat dan tidak dapat dihubungi ketika itu.
Katanya Saiful juga sudah mula menunjukkan tidak minat untuk bekerja dan tidak berdisplin. Saya kemudiannya menelefon Saiful tetapi tidak dapat untuk dihubungi. Saya mengambil keputusan untuk pergi ke rumahnya.
Sesampai di rumah Saiful, saya memanggil dan menunggu selama 20 minit sebelum adiknya, Tati keluar dan mengatakan Saiful sedang tidur. Tati menjemput saya masuk dan memanggil Saiful. Saya mulanya menegur Saiful kerana tindakannya memonteng kerja, Saiful cuma diam dan kemudian memberitahu saya bahawa ada perkara penting yang nak dibincangkannya.
Saiful teragak-agak dan nampak serba salah, kemudian dia menceritakan kepada saya bahawa selama ini dia telah diliwat oleh DSAI. Saya berasa amat terkejut dan cuma berdiam diri. Saya masih dalam keadaan tidak percaya tetapi Saiful nampaknya jujur.
Dia memberitahu saya bahawa sudah banyak kali dia diliwat oleh DSAI. Itulah sebenarnya ‘mesyuarat-mesyuarat sulit selama ini’.
Kami berpakat untuk berjumpa kembali di sebelah malam, saya inginkan cerita yang lebih lanjut mengenai perkara itu.
Malam itu, Saiful menceritakan kepada saya segala insiden yang telah berlaku di mana dia diliwat, bagaimana dia diliwat sehingga saya tidak sanggup untuk mendengarnya. Saiful juga serba salah dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa.
Kami cuba mencari penyelesaian untuk perkara tersebut. Kami tidak tahu kepada siapa untuk dirujuk, kalau rujuk dekat Ibrahim Yaacob, sudah pasti Ibrahim akan ceritakan kepada DSAI.
Saya kemudiannya berjumpa dengan Dato’ Mumtaz Jaafar. Saya dan Saiful sendiri mengenali Dato’ Mumtaz dengan rapat pada ketika itu, kerana anak-anak Dato’ Mumtaz adalah rakan-rakan sekolah kami. Dato’ Mumtaz juga merupakan jurulatih kepada adik Saiful dalam acara sukan.
Saya berjumpa dengan Dato’ Mumtaz untuk meminta nasihat dan pandangan sebagai seorang yang lebih berumur.
Dato’ Mumtaz telah membawa saya ke rumah Dato’ Seri Najib dan berjumpa dengan Datin Seri Rosmah. Datin Seri Rosmah sangat terkejut dengan apa yang saya ceritakan. Tidak lama selepas itu, Dato’ Seri Najib pulang dan saya bertemu dengan beliau.
Sehari sebelum itu, Saiful ada berjumpa dengan Dato’ Seri Najib mengadu mengenai apa yang berlaku. Mereka nampaknya seperti ragu-ragu dengan Saiful, namun saya telah menceritakan dengan lebih terperinci.
Walau bagaimanapun, Saiful telah berjumpa dengan Dato’ Seri Najib selepas dia menceritakan kepada saya bahawa dia telah diliwat.
Jadinya, saya amat pasti bahawa tiada konspirasi politik oleh mana-mana pihak dalam kes ini.
Pada 25 Jun 2008, Saiful telah menelefon saya dan berjumpa dengan saya pada waktu tengahari. Dia mengatakan bahawa DSAI meminta beliau untuk pergi ke kondo sekarang.
Saiful amat pasti bahawa DSAI ingin meliwatnya lagi sebab itu kebiasaannya apa yang berlaku. Saiful mula rasa takut dan tidak tentu hala. Setelah berborak dan berbincang, Saiful mengambil keputusan untuk pergi sahaja ke kondo tersebut, kerana jika dia tidak pergi DSAI akan mula mengesyaki sesuatu. Atas dasar keselamatan diri. Saiful nekad pergi ke kondo tersebut.
Malam tersebut, Saiful berjumpa saya dan menceritakan bahawa ada kesan air mani DSAI di dalam badannya. Dia mahukan satu jalan untuk bertindak kerana bukti masih ada.
Saya cuba untuk mencari jalan yang terbaik dan meminta pandangan ketiga. Keesokannya, saya membawa Saiful berjumpa dengan Sdr Ezam Md Noor.
Saiful pada ketika itu masih tidak mandi dan tidak membuang air besar kerana mahu menyimpan apa-apa bukti yang boleh didapati di badannya.
Sdr Ezam menasihati Saiful untuk membuat pemeriksaan kesihatan dahulu untuk mendapatkan repot kukuh bukti yang ada di badan. Kemudiannya berjumpa dengan alim ulama untuk mendapatkan nasihat.
Keesokan harinya, Saiful telah pergi ke Pusrawi untuk membuat pemeriksaan. Oleh kerana Pusrawi tidak dapat menjalankan pemeriksaan lengkap, Saiful terpaksa pergi ke Hospital Kuala Lumpur.
Sejak dari itu, saya gagal menghubungi Saiful sehingga tiba-tiba kami mendengar khabar satu laporan polis telah dibuat oleh Saiful.
Saya dan Sdr Ezam sendiri terkejut mengenai perkara tersebut.
Hanya beberapa jam selepas itu saya dapat menghubungi Pakcik Saiful, Uncle Tuah. Uncle Tuah memberitahu saya bahawa Saiful masih ada di dalam bilik pemeriksaan. Saya bergegas ke HKL untuk berjumpa dengan Uncle Tuah dan Saiful.
Setelah berjumpa dengan Saiful dan berborak seketika, saya mengambil keputusan untuk pulang dan biarkan Saiful berehat.
Saya menerima panggilan telefon bertalu-talu ketika itu tetapi saya enggan menjawab mana-mana panggilan. Saya hanya menjawab panggilan dari Ibrahim Yaacob mengatakan DSAI ingin berjumpa dengan saya di Quality Hotel.
Saya pulang ke rumah berjumpa dengan bapa saya, bapa saya menasihati saya untuk berjumpa sahaja dengan DSAI di Quality Hotel.
Lewat malam 26 Jun 2008, saya tiba di Quality Hotel. Terdapat ratusan penyokong PKR dan juga orang-orang kanan DSAI. Saya naik ke tingkat 10, dibawa oleh Badrul Hisham dan terus berjumpa dengan DSAI.
DSAI kemudian menarik saya di sebuah bilik dan menanyakan saya apa yang telah Saiful beritahu saya. Saya secara ringkas memberitahu DSAI bahawa Saiful telah beritahu saya awal lagi bahawa DSAI telah meliwatnya, termasuk lokasi kejadian seperti kondominium, Hong Kong, Bangkok dan Singapura.
DSAI nampak sangat cemas pada ketika itu dan beliau menyuruh saya untuk tidak memberitahu sesiapa meskipun pihak polis bahawa Saiful telah menceritakan semuanya kepada saya.
DSAI kemudiannya terus mengarahkan peguam Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli untuk menguruskan saya.
Peguam tersebut sedang menyiapkan satu Akuan Bersumpah untuk saya tandatangani. Dalam masa yang sama, saya minta untuk pulang tetapi mereka tidak mengizinkan. Mereka mengarahkan saya untuk tidur di Quality Hotel bersama seorang lagi rakan bernama Rashid.
Saya cuma dibenarkan pulang di bawah pengawasan Pengawal Keselamatan DSAI untuk mengambil barang-barang keperluan.
Tiba semula di hotel, peguam-peguam tadi telah menyiapkan Akuan Bersumpah untuk saya tandatangani. Akuan Bersumpah tersebut tidak dikarang sendiri oleh saya.
Namun, atas dasar keselamatan diri saya menurunkan tandatangan saya pada akuan bersumpah berikut. Hotel tersebut menjadi kubu bagi ratusan penyokong dan orang-orang kanan DSAI. Saya risau apa-apa terjadi kepada saya jika saya enggan memberikan kerjasama.
Saya ditahan di Hotel Quality untuk beberapa hari, malam tersebut juga telefon bimbit saya telah diambil oleh YB Yusmadi dan cuma dipulangkan pada keesokannya harinya.
Dalam tempoh mereka menahan saya, saya tidak dibenarkan pulang ke rumah atau ke mana-mana. Saya dikawal rapi oleh beberapa orang dipercayai penyokong kuat DSAI.
Peguam yang sama juga membuat beberapa pindaan kepada Akuan Bersumpah yang telah saya tandatangani, kali ini tambahan cerita untuk memalitkan nama Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dalam hal ini.
Cerita palsu telah direka untuk memfitnah Dato’ Seri Najib dan isteri. Pada ketika itu baru saya tahu betapa kotornya permainan politik DSAI dan rasa menyesal untuk menyumbang tenaga selama ini kepada beliau.
Mereka juga telah menyuruh saya membuat rakaman video yang kandungannya palsu belaka dan dikarang oleh mereka sendiri.
Saya kemudiannya dibawa ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di Old Town Petaling Jaya untuk menandatangani Akuan Bersumpah yang terakhir. Selepas itu saya dibenarkan pulang, tetapi masih dalam pengawasan ketat mereka.
Segala pergerakan saya dipantau dan masa ke semasa mereka kerap menelefon saya. Kemudian mereka meminta saya tidur di rumah DSAI di bawah pengawasan beberapa orang.
Ketika polis menahan DSAI, saya dan Rashid telah dibawa lari oleh orang-orang DSAI ke Tropicana, Hotel Armada dan sebuah pondok agama di Kajang. Saya tidak tahan dan tertekan dengan keadaan ini. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi dilayan seperti pelarian.
Saya mula memberontak dan tidak mahu mendengar kata-kata mereka. Saya mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah. Akhirnya mereka menurut kehendak saya, tetapi masih memantau segala pergerakan saya.
Selepas beberapa bulan, saya masih lagi berhubung dengan mereka. Saya takut untuk melakukan apa-apa tindakan sendiri. Harapan saya cuma DSAI berjaya untuk mengugurkan kes ini. Supaya saya tidak perlu menjadi saksi dan berbohong di mahkamah.
Tetapi keadaan sebaliknya berlaku, saya tidak sanggup untuk menipu dan berbohong. Lama kelamaan, saya nekad untuk menjauhkan diri dari mereka dan mula mencari jalan terbaik untuk saya memperbetulkan kesalahan saya.
Apabila kes liwat bermula di mahkamah dan nama saya telah disebut oleh Saiful, Latheefa Koya telah menelefon saya untuk berjumpa. Saya pergi berjumpa dengan Latheefa untuk mengetahui apa yang mereka mahu, tetapi agak risau jika mereka mula menahan saya kembali.
Saya telah berpesan kepada isteri saya, jika saya tidak kembali dalam masa 4 jam dan tidak dapat dihubungi, terus buat laporan polis. Latheefa cuma meminta saya untuk menandatangani satu lagi akuan bersumpah kerana akuan bersumpah yang telah saya tandatangani dulu sudah hilang katanya.
Saya pura-pura setuju, dia akan menyiapkan akuan bersumpah itu dalam masa beberapa hari dan akan menelefon saya untuk saya tandatangan.
Itulah kali terakhir saya berhubung dengan mereka, saya telah menukar nombor telefon dan berpindah rumah.
Semasa kes bersambung semula dan semakin hangat, Latheefa sekali lagi menelefon saya untuk berjumpa dengan dia dan Peguam Karpal Singh.
Namun saya tidak melayan permintaan mereka sehinggakan DSAI menelefon bapa saya untuk menyuruh saya pergi berjumpa dengan peguam-peguam beliau.
Saya amat sakit hati kerana DSAI beberapa kali menelefon dan menganggu bapa saya untuk memaksa saya. Saya cuma memberitahu bapa saya yang merupakan penyokong kuat DSAI bahawa DSAI ini adalah kaki penipu dan tidak harus dipercayai.
Perbuatan DSAI ini juga telah menyebabkan saya bergaduh dengan bapa saya. DSAI sanggup melakukan apa sahaja termasuk memecah belahkan keluarga saya untuk menyelamatkan dirinya.
Konspirasi Dalang Paksa Rahimi Tandatangan Akuan Bersumpah - Wee
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mendakwa wujudnya konspirasi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung akuan bersumpah yang ditandatangani Muhamad Rahimi Osman, 26, bagi memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata, niat jahat berkenaan disedarinya apabila mengetahui bahawa ada 'pihak tertentu' yang tidak berpuas hati dengan akuan bersumpah pertama yang ditandatangani bekas Setiausaha Sulit Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Jelas beliau, menerusi akuan bersumpah pertama yang ditandatangani Muhamad Rahimi, tidak langsung mengaitkan mana-mana pihak berhubung kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
"Saya boleh katakan 100 peratus dalam akuan bersumpah pertama yang dikatakan oleh pihak tertentu telah hilang, kandungannya tidak menuduh sesiapa terlibat dalam laporan polis Mohd Saiful.
"Ia hanya mengenai perasaan takut (Rahimi) mengenai keselamatannya, hanya tentang itu. Sebab itu saya terkejut, mengapa dalam akuan bersumpah kedua ada menyatakan Perdana Menteri terlibat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.
Wee berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya yang mendedahkan bahawa beliau terlibat semasa Muhamad Rahimi menandatangai akuan bersumpahnya.
Tambah Wee yang juga seorang peguam, beliau hanya terlibat dalam akuan bersumpah pertama sebagai Pesuruhjaya Sumpah.
"Saya amat kecewa apabila Latheefa libatkan saya. Dari awal lagi saya tak mahu campur tangan dalam skandal ini sebab saya tahu bahawa (motif) akuan bersumpah kedua ini merupakan skandal dan konspirasi untuk mencemarkan imej pihak tertentu.
"Ia hanya untuk tujuan politik, Latheefa ini saya anggap seperti seorang budak politik tak matang, dia mungkin dalam keadaan terdesak untuk membebaskan diri sendiri daripada kemungkinan didakwa oleh polis mengenai akuan bersumpah (kedua) yang didakwa Muhamad Rahimi sebagai palsu," katanya.
Menceritakan mengenai situasi pada malam 28 Jun 2008 semasa beliau hadir di Hotel Quality Shah Alam, Muhamad Rahimi dibawa masuk ke salah satu bilik di hotel berkenaan dengan diiringi beberapa orang individu.
Menurut Wee, beliau kemudiannya dibawa bertemu dengan Anwar bagi mengadakan perbincangan di dalam bilik lain selama lebih kurang satu jam.
"Apabila Muhamad Rahimi keluar, beliau diminta menandatangani satu akuan bersumpah dalam bahasa Malaysia. Masa itu lebih kurang pukul 2 atau 3 pagi pada 29 Jun.
"Ketika itu saya nampak Muhamad Rahimi dalam keadaan gementar dan tertekan," katanya.
Minggu lalu Muhamad Rahimi membuat laporan polis mendakwa dia dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008 berhubung kes liwat Anwar,
Satu lagi akuan bersumpah yang dipaksa ditandatangani adalah melibatkan kes fitnah terhadap Perdana Menteri dan isteri.
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
Seorang lagi bekas pembantu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat laporan di balai polis Shah Alam, mendakwa akuan bersumpah yang ditandatanganinya pada 2008 dibuat secara paksaan.
Rasid Rosdi berkata beliau menurunkan tandatangannya kerana risaukan keselamatan diri dan keluarganya.
"Saya hanya dibenarkan pulang selepas saya disuruh oleh Latheefa Koya (sekarang ini ketua penerangan PKR) menurunkan tandatangan ke atas satu akuan bersumpah yang disediakan oleh dia sendiri. Saya tidak pernah mengarang atau membuat akuan bersumpah tersebut.
"Saya juga tidak bersetuju dengan apa kandungan akuan bersumpah itu. Latheefa (kanan) tidak pernah menceritakan kepada saya mengenai akuan bersumpah tersebut dan saya tidak memahaminya seratus-peratus,” katanya dalam laporan polisnya.
Menurut Rasid, dia mengenali Anwar sejak mereka berada di penjara dan kemudiannya diambil oleh bekas timbalan perdana menteri itu sebagai pembantu am di kediaman dan kemudiannya di pejabatnya.
"Pada malam 28 Jun 2008 setelah Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis terhadap Anwar Ibrahim, saya telah diminta untuk ke Quality Hotel. Di situ saya ditahan selepas beberapa hari dan dikawal 24 jam, ditahan bersama saya adalah Rahimi Osman,” katanya.
Rasid berkata Latheefa juga gagal menceritakan kepadanya apa yang sebenarnya kandungan akuan bersumpah itu dan dia merasakan dirinya itu ditipu.
Bekas banduan
"Latheefa sendiri harus tahu bahawa saya adalah bekas banduan dan tidak mempunyai pelajaran yang tinggi. Saya merasakan Latheefa seharusnya sebagai seorang peguam, tidak harus melakukan perbuatan sebegini kepada saya kerana walaupun saya mempunyai rekod buruk atas kesilapan saya dahulu, saya tetap seorang rakyat Malaysia."
Dakwa Rasid, setelah dikawal rapi selama 24 jam, serta beberapa insiden buruk di Quality Hotel, dia terpaksa akur kepada apa jua permintaan mereka.
"Selama hampir tiga tahun saya menanggung perasaan takut dan rasa tidak tenteram kerana memikirkan akuan bersumpah tersebut. Saya sangat berasa tertekan dengan keadaan ini dan terpaksa menerima kaunseling. Selepas beberapa sesi kaunseling, saya semakin tenteram dan cuba meyakinkan diri saya untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.
"Akhirnya apabila melihat rakan saya, Rahimi Osman tampil untuk memperbetulkan kesilapan, maka timbul rasa berani dan yakin dalam diri saya untuk turut sama memperbetulkan perkara tersebut," katanya.
Menurut Rasid, beliau juga hari ini membuat satu akuan bersumpah yang baru bagi menceritakan perkara yang sebenar.
"Namun saya tidak boleh mendedahkannya kerana saya juga risau jika ia boleh mengganggu perbicaraan mana-mana kes di mahkamah,” katanya.
Pada 6 Oktober lalu, Rahimi membuat kejutan dengan cerita yang hampir sama tetapi mendakwa akuan bersumpah 'palsu' yang dibuatnya juga memalit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Rahimi juga mendakwa ditipu oleh Latheefa dan berkata kandungan akuan bersumpah itu tidak boleh didedahkan kerana akan mengganggu kes liwat perbicaraan Anwar yang sedang berlangsung.
Ketika dihubungi, Latheefa berkata beliau sedang menyemak beberapa fakta sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Siapa sebenarnya Rasid Rosdi yang tiba-tiba muncul pada Rabu dan buat laporan polis mendakwa dipaksa menandatangani satu akuan sumpah oleh peguam-peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau sendiri tidak setuju dengan kandungannya hampir tiga tahun lalu.
Mungkin ramai tidak tahu siapa sebenarnya pemuda ini tetapi kemunculannya telah membuka babak baru dalam isu yang menyelubungi Ketua Umum PKR itu kebelakangan ini.
Ingat lagi kisah panggilan telefon cemas Datuk Seri Wan Azizah Ismail kepada Ezam Mohd Noor dari Washington apabila diberitahu oleh bekas Ketua Pemuda Keadilan itu padanya ada ‘seorang lelaki’ di rumah mereka (waktu itu) di Bukit Damansara.
Apapun Presiden PKR itu kemudiannya menafikan pernah meminta Ezam mengawasi Anwar yang berada di rumah itu dengan lelaki berkenaan sehingga Ezam mencabarnya bersumpah depan ulama.
Panggilan telefon itu yang kata Ezam spark off beliau mula ragu mengenai perangai Anwar dan kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan PKR.
Agendadaily difahamkan lelaki berkenaan ialah Rasid.
Sebelum inipun sudah ada blog mendakwa wujud hubungan Anwar dengan Rasid yang bermula di Penjara Sungai Buloh ketika mereka kebetulan sama-sama menjalani hukuman di situ dahulu.
Teka teki sama ada apa dilaporkan itu betul atak tidak terjawab dengan kenyataan akhbar Rasid Rabu serta satu laporan polisnya mengakui mengenali Anwar sejak di penjara.
Menariknya, ketika mendedahkan mengenai akuan sumpah yang ditandatangani secara paksa itu, Rasid membuat satu akuan sumpah baru dan laporan polis menceritakan secara terperinci hubungan mereka.
Difahamkan ada beberapa ‘cerita panas’ didedahkan oleh Rasid dalam laporan polisnya termasuk menghantar ‘suatu barang’ ke kondo di Damansara yang menjadi tempat kes dakwaan kejadian liwat Saiful Bukhari Azlan.
Jika benar ini antara kandungan laporan polis dan akuan sumpah terbaru Rasid di ibu pejabat polis Shah Alam hari ini, ia pasti akan membuka mata ramai terhadap cubaan untuk mendakwa wujudnya konspirasi mengaitkan Perdana Menteri dan isterinya dalam kes liwatnya.
Pengakuan Rahimi Osman,seorang lagi bekas pembantunya baru-baru ini hingga timbul insiden beberapa aktivis PKR ganggu sidang akhbarnya di sebuah restoran di Klang baru-baru ini dan Rasid pasti mengundang banyak tandatanya pada kes liwat Saiful yang sedang dibicarakan di mahkamah sekarang.
Cuma soalnya bagaimana Anwar nak “bersilat’ menghadapi dua orang bekas pembantunya yang tampil ‘ buka cerita’ ini.
Respons awal Anwar ketika ditanya Agendadaily selepas sidang akhbar di pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen petang Rabu mengenai laporan polis Rasid, beliau kelihatan terkejut dan bertanya bila (Rasid buat laporan).
Anwar enggan komen, katanya “tanya peguam”.
No comments:
Post a Comment