Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Tuesday, January 24, 2012

Anwar meliwat Qazaf Enakmen Syariah, Wang Zakat dan Rumah Menteri jadi sasaran





Keratan bahan fitnah dari kumpulan Anwar Ibrahim
1.    Isu Wang Zakat : Ini Semua Sebab Saya Lawan Dengan Anwar - Jamil Khir


Raut wajah, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom nampak tenang saja di ruang mesyuarat pejabatnya Tingkat 9 Bangunan JAKIM, Putrajaya pada Rabu.

Beliau ditemani Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha, Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, CEO Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr Muhammad Yamin Ismail bersama pegawai-pegawai lain, siap melayani kami – wartawan, blogger, facebooker dalam majlis pertemuan petang itu.

Ada banyak isu yang mahu dibualkan dengan bekas Mejar Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini, tetapi yang paling panas dan ramai hendak tahu adalah soal penggunaan wang zakat MAIWP membayar kos guaman satu perbicaraan membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isu tersebut jika diteliti secara fakta, tidak besar mana, tetapi ia menjadi kontroversi sebab pembangkang, terutamanya PKR membangkitkannya secara konsisten dan berkala hingga membentuk persepsi seolah-olah Menteri Malaysia guna duit zakat bayar kos guaman.

Kisah sebenarnya mudah, Anwar saman kerajaan (menterinya Datuk Seri Jamil Khir), Pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua jabatan pendakwaan JAWI, Shamsuddin Hussain sebab tidak mahu dakwa pengadu kes liwat Mohd Saiful Azlan Bukhari dengan dakwaan qazaf (tuduh zina tanpa empat saksi).

Jadi sebagaimana biasanya, kerajaan dan agensi-agensinya perlu mempertahankan diri dan melantik peguam. Kebiasaannya Peguam Persekutuan, Jabatan Peguam Negara akan mewakili jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan atau Negeri serta pegawai-pegawai itu atas nama jawatannya (bukan sebagai individu), tetapi oleh kerana kes ini melibatkan perkara khusus kepada agama Islam, maka peguam swasta yang arif dalam bidang itu dilantik mewakili jabatan/pegawainya.

Ini bukan soal peribadi Anwar lawan Jamil Khir, tapi soal Anwar lawan Jabatan Agama yang kebetulan menteri yang dipertanggung -jawabkan adalah Jamil Khir.

Dan Anwar kalah. Pusingan pertama.


Apabila lantik peguam perlu kos, sudah sebab ini saman kerajaan, sudah tentu kerajaan yang bayar, bukan individu. Maka MAIWP sebagai agensi bertanggungjawab perlu bayar kos guaman sebanyak RM63,650.

Bukan untuk Jamil Khir seorang, tetapi juga untuk Datuk Che Mat Che Ali dan Shamsuddin Hussain yang disaman Anwar. RM63,650 kongsi tiga. Itu sahaja kisahnya.

Masalah timbul apabila pembangkang bawa isu penggunaan wang zakat bayar kos guaman tersebut, dan pembangkang secara konsisten bawa isu tersebut sebab ia berkaitan dengan Anwar.

Satu demi satu dirungkai, dokumen demi dokumen dipamerkan termasuklah baucar pembayaran (ada tanda-tanda pembabitan orang dalam).

Ketika berhadapan dengan 12 orang semalam, Jamil Khir sedia di'grill', soalan terbuka untuk kami tanya, dia bersedia untuk tell the truth.

“Jika yang dihina itu diri saya, saya boleh maafkan, tapi yang dihina itu Islam, Jabatan Agama Islam, saya tidak boleh berdiam diri,” katanya memperjelaskan maksud pertemuan.

Menurut beliau, sebagai Pengerusi MAIWP, jawatan yang disandangkan bukan jawatan eksekutif.

“Urusan harian, soal pembayaran dan pentadbiran bukan saya kendalikan, tapi sebagai bos, saya kena bertanggungjawab, mereka serang saya tak mengapa, tapi mereka serang MAIWP, saya kena tampil jawab,” katanya lagi.

Menurut beliau, soal pembayaran kos guaman menggunakan duit zakat itu tidak timbul sebab beliau tahu wujud geran tahunan kerajaan kepada MAIWP setiap tahun bagi tujuan tersebut.

“Saya beranggapan begitu, walaupun baru-baru ini Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) dalam mesyuarat khas pada 3 September 2009 bagi membincangkan anggaran Belanjawan MAIWP 2010, telah meluluskan sebanyak RM205,000,00 untuk perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah,” kata beliau.

Jamil Khir membacakan satu kenyataan media oleh Mufti Wilayah kepada kami dan menerangkannya satu persatu.

Antara yang ditulis oleh Mufti Wilayah tersebut adalah JPHSWP menerima pakai pendapat ulama yang mentafsirkan asnaf fisabillah dengan tafsiran yang lebih luas dari perbelanjaan untuk perang jihad semata-mata. Antara mereka adalah Imam Fakhrul Razi dalam kitab tafsirnya dan Sheikh Rasyid Rida dalam tafsir Al-Manar.

Menurut Rahyid Rida, "pendapat yang benar mengenai maksud fisabillah di sini ialah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan,".

Sudahpun ada kenyataan Mufti tersebut, bagi Jamil Khir, beliau beranggapan bahawa duit yang digunakan untuk bayar kos guaman tersebut adalah dari geran kerajaan sebanyak RM700,000,00 setahun yang memang digunakan untuk kes-kes perundangan yang dihadapi oleh jabatan agama.

“Saya tetap kata yang duit peguam itu dari dana kerajaan, tapi Mufti sendiri kata, jika pakai duit zakat pun boleh berdasarkan mesyuarat tahun 2009, lulus sebanyak dua ratus ribu lebih untuk tujuan perundangan, saya terima kasihlah…” katanya tegas mempertahankan integritinya.

Untuk rekod Pengarah Jawi Datuk Che Mat yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam satu laporan Bernama pada Khamis berkata dana daripada kerajaan memang dimasukkan di dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat, cuma dimasukkan sementara tetapi akaun banknya adalah sama.

"Kalau kita nak ambil duit itu (dana kerajaan) bagi digunakan untuk pembayaran kos guaman pun boleh, tak ambil pun boleh dan jika nak ambil duit zakat pun tidak mengapa, asalkan untuk memartabat kredibiliti dan kehormatan MAIWP dalam menguruskan hal ehwal dan warga Islam di Wilayah Persekutuan," katanya.

Beliau berkata geran kerajaan sebanyak RM700,000 yang diterima MAIWP tahun lepas bagi tujuan pembayaran untuk kes tertentu seperti mempertahankan kredibiliti pengurusan hal ehwal undang-undang yang bersabit dengan MAIWP apabila majlis itu disaman dan sebagainya memang dimasukkan ke dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat dan pengeluaran untuk pembayaran kos guaman untuk situasi seperti didakwa adalah dibolehkan.

"Tetapi hari ini saya nak jelaskan kita bayar duit guaman itu guna dana kerajaan, kita tak ambil duit zakat walaupun kita boleh juga ambil duit zakat seperti yang dijelaskan Mufti Wilayah Persekutuan," kata Che Mat.

Sebagai bekas Mejar Jeneral dalam tentera, Jamil Khir sudah biasa dengan tekanan dan ujian, beliau nampak tegas dan bersemangat menerangkan letak duduk perkara tersebut.

Ada beberapa perkara yang off record kerana sebab-sebab tertentu.

“Ini semua sebab saya lawan dengan Anwar Ibrahim saja, dia saman saya dan dua yang lain dalam kes qazaf, bila bawa ke mahkamah, kami menang, dan dia merayu, rayuan dia akan dengar pada 30 Januari ini,” jelasnya.

Bagi yang biasa dengan gaya pembangkang mencipta isu salah satu caranya adalah dengan 'kompang' bagi kuat supaya persepsi terbentuk. Macam kes liwat Anwar di mahkamah baru-baru inilah, sebelum keputusan riuh kata konspirasi dan segala macam lagi. Lepas keputusan terus senyap sunyi.

Sebagai orang baru dalam politik, Jamil Khir yang dilantik sebagai Senator dan sekaligus Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik PM merombak Kabinet pada April 2009.

Orangnya mudah mesra dan rendah diri. Beliau disenangi banyak pihak dan barangkali menimbulkan cemburu kepada musuh-musuh politiknya (pembangkang).

Kebetulan ada isu yang boleh ‘dilambung’ maka puak-puak ini berseronok jadikan satu tarikan untuk menjual ‘minyak angin’ mereka.

Sebelum ini Datuk Seri Jamil Khir diserang dalam soal rumah yang konon macam istana.

Beliau ada terangkan juga dalam pertemuan lebih sejam tersebut. Ceritanya memang bersahaja habis.

2.    Mufti Wilayah Persekutuan jawab tuduhan pembangkang terhadap Jamil Khir mengenai isu wang zakat



Ketika pembangkang berusaha terus menerus nak 'mandikan' Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dengan isu wang zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Khamis tampil dengan satu kenyataan menjelaskan kedudukan sebenar.

Dalam kenyataan itu Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata bahawa penggunaan wang zakat untuk kos guaman dalam kes yang berkaitan dengannya adalah mengikut hukum syarak dan selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) dalam mesyuarat yang diadakan pada 3 Sept 2009 bagi membincangkan anggaran belanjawan MAIWP 2010 telah meluluskan sebanyak RM205,000 bagi perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah.

"Peruntukan ini perlu diwujudkan kerana Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 55) dalam Bahagian II Perkara 5 (2) menyatakan, majlis boleh mendakwa dan didakwa dengan nama perbadanannya.

"Selain itu, dalam melaksanakan tanggungjawab terdapat keadaan di mana Majlis itu terpaksa mendapat keputusan mahkamah seperti dalam kes tuntutan jenazah mualaf yang dituntut keluarga yang bukan Islam," katanya.

Beliau membuat kenyataan tersebut ekoran beberapa laporan media baru-baru ini yang menyebut mengenai penyalahgunaan wang zakat oleh MAIWP.

Wan Zahidi berkata: "Mengenai peletakan perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah, JPHSWP menerima pakai pendapat ulama yang mentafsirkan asnaf fisabilillah dengan tafsiran yang lebih luas daripada perbelanjaan jihad semata-mata.

"Antara mereka ialah Imam Al-Fakhrul Razi dalam kitab tafsirnya dan Sheikh Rasyid Rida dalam tafsir Al-Manar, dan menurut Sheikh Rasyid pendapat yang benar mengenai maksud fisabilillah di sini ialah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan.



3.    Jamil Khir jawab fitnah pembangkang bayar kos guaman kes qazaf guna duit zakat...


Jangan main tuduh-tuduh tanpa bukti, sebab kita bukan sahaja hendak hidup atas dunia, tapi kena menjawab di akhirat sana, itu mesej jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang hari ini menafikan laporan mendakwa beliau terbabit penyelewengan wang zakat.

Beliau berkata wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," kata.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf itu.

Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan kejam, Jamil Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik terlebih dahulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan.

Beliau berpendapat laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan.

"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya sampai di akhirat," katanya.

Menurutnya pembangkang banyak memainkan isu melibatkan kerajaan Barisan Nasional untuk dipolitikkan supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf.

Mengulas mengenai isu rumahnya, Jamil Khir berkata pihak berkenaan boleh membuat semakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menjelaskan rumahnya itu dibeli sejak tahun 1994 sebelum beliau dilantik sebagai menteri dan pembayaran bulanan juga masih dibuat sehingga kini.

"Biasalah kalau ada sedikit penambahbaikan pada rumah itu. Saya dulu mejar jeneral, dua bintang dalam pegawai kerajaan...ada pencen penuh dan tak peliklah saya layak buat pinjaman (perumahan)," katanya.


Beliau juga berkata penjelasan beliau berkaitan dakwaan itu adalah muktamad dan berharap semua pihak memahami keadaan sebenar.

4.    Beli rumah lelong pada tahun 1994, Jamil Khir akui buat ‘renovation’ setiap hari…





Sesuatu yang pelik tentang mentaliti pembangkang di Malaysia ini adalah, mereka gemar membuat dakwaan terpilih, contohnya dalam bab rumah, rumah menteri UMNO digambarkan besar dan mewah, tapi pemimpin mereka dengan rumah yang lebih mewah tidak pulak berbangkit…




Ambil saja kisah rumah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut, banglo itu dibeli dan diubahsuai semasa beliau bebas dari penjara tahun 2004 dengan harga RM7 juta, siap kolam renang dalam rumah.

Hiasan dalaman belum tahu lagi berapa…namun puak pembangkang relaks buat buta dan pekak.

Begitu juga rumah Azmin yang bernilai lebih dari RM5 juta yang diperolehinya semasa beliau menjadi Setiausaha kepada Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada masa itu lagi.

Isu rumah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ini bukan baru, ia heboh apabila ada pemimpin PKR yang buat bising dan ada yang jadi ‘pengendap’ pergi ambil gambar ‘curi-curi’ semasa rumah yang terletak di Kampung Batu Muda, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu diubahsuai.

Kawasan tersebut memang terkenal sebagai kawasan rizab Melayu, sejak dulu ramai pegawai tinggi kerajaan beli tanah lot untuk buat rumah, sama ada banglo atau Semi-D.

Ini kerana tanah rizab Melayu biasanya harga lebih murah sebab bangsa lain tidak boleh beli, jadi kalau kita berkereta di kawasan Kampung Batu Muda dan yang berhampiran dengannya, kita akan lihat deretan rumah banglo atau Semi-D macam-macam bentuk.


Bagi Jamil Khir tuduhan pembangkang berkenaan rumah beliau itu amat mendukacitakan dan lebih kepada ‘pembunuhan karakter’.

“Tentang rumah ini, saya perlu jelaskan juga, sebab kalau (pembangkang) ada bukti, sila tunjukkan, duit rasuah mana yang saya guna..,” katanya.

Tuduhan liar pembangkang ini mudah difahami adalah untuk menjatuhkan kredibiliti dan intergriti pemimpin-pemimpin UMNO saja. Bukan hanya Jamil Khir banyak lagi yang menjadi mangsa fitnah sebegini.

Dalam kes Jamil Khir, faktanya; beliau membeli rumah itu dari lelongan bank pada tahun 1994 semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera dan berpangkat Mejar.

Kedua, rumah banglo tersebut dibeli dengan harga RM110,000,00 selepas tidak ada pembida lain dan sehingga kini beliau masih membayar pinjaman perumahan kerajaan yang diambilnya.

“Saya beli masa Mejar (1994),
saya berhenti tentera Mejar Jeneral, dia bukan dari Mejar terus naik pangkat Mejar Jeneral dari Mejar naik jadi Leftenan Kolonel, kemudian Kolonel, kemudian Brigadier Jeneral kemudian baru Mejar Jeneral, banyak tahun melalui proses…,” katanya.

Sebelum ini ada ‘orang PKR’ yang persoalkan macam mana beliau dalam masa tiga tahun jadi menteri boleh duduk rumah sebesar itu.

Bukan saja persoalkan bahkan ‘jaja’ dalam blog-blog pro pembangkang untuk bina persepsi negatif terhadap Jamil Khir.


Menurutnya, beliau buat renovation (penggubahsuaian) rumah setiap hari, dari hari pertama beli lagi.

“Beli rumah tidak siap memanglah begitu, dan saya ni jenis yang tak suka berhutang, jadi ada duit sikit, buat sikit, ada dua orang Indonesia yang saya upah untuk buat rumah itu.

“Tapi cara saya begini, mereka buat tambahan, tak ganggu rumah yang asal, siap baru ketuk dinding, jadi tak messylah.

“Tidak menganggu saya dan keluarga.

“Itu rezeki tuhan bagi. Saya beli murah, orang lain beli rumah harga awal saja RM300 ribu, saya bayar pinjaman perumahan kerajaan sebulan RM600 sahaja. Sampai sekarang,” katanya.

Rumah tersebut diduduki 12 orang, selain beliau dan isteri ada juga ibu dan bapanya yang sakit, anak-anak, saudara dan orang gaji.

“Bila saja jadi Menteri, bulan tiga tahun lepas, ayah saya kena strok sebelah, mak saya pula kena serangan darah tinggi, terus koma.

“Bawa ke hospital, duduk lama juga, doktor kata tak boleh buat apa dah, saya bincang dengan ayah, bawa emak dan ayah saya ke rumah saya, tinggal dengan saya.

“Jadi orang sakit, penjagaan kena rapi, sebagai anak saya bagi bilik saya, bilik bawah, yang besar sedikit untuk mereka, bilik-bilik lain di atas.

"Masa tak ada bilik itulah saya tambah bilik atas itu, (gambar yang dijaja dalam blog-blog pembangkang) tak kan lah menteri nak tidur di kaki lima kot.

“Saya redhalah jika sebab saya pelihara orang tua, saya diuji begini…” jelasnya.

Gambar-gambar yang dicanang dalam blog-blog pembangkang itu adalah semasa ubahsuai tambah bilik, dan bahagian atas buat surau.

“Senang kami keluarga nak berjemaah dan juga kemudahan untuk tetamu yang datang….Sejarah saya buat rumah dari tahun 1994 tidak diceritakan, tiba-tiba kata saya sejak jadi menteri buat rumah besar,” katanya.

Oleh : HELME HANAFI

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP