Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Monday, February 14, 2011

Menjawab fitnah Nik Aziz terhadap Tun Dr. Mahathir

Tulisan ini adalah menjawab komen Nik Aziz di dalam Harakah "Tun Dr. Mahathir Mudah Lupa'

Oleh : LUKMAN MOIDIN

Saya tertarik mengulas jawapan balas Mursidul Am PAS, Datuk Nik Aziz di dalam akhbar Harakah bil 1612 tentang Isu Nasionalisme: Jawapan saya untuk Tun Dr. Mahathir.

Jawapan balas dan persoalan ini saya kemukakan bagi penilaian kita atau sesiapa sahaja yang masih mahu berfikir secara rasional berasaskan fakta.

Seperti biasa Nik Aziz begitu ‘berdendam’ dan banyak mempersoalkan ‘keIslaman’ UMNO dan Tun Dr. Mahathir. Antara ayat yang mungkin menarik perhatian ialah beliau (Nik Aziz) telah ‘bertanggungjawab’ ‘menyebarkan Islam’ melalui PAS dan menganggap di hari kebangkitan beliau akan ‘berasa selamat’ di hadapan Allah SWT dengan mengatakan tugas tarbiah terhadap UMNO dan Mahahir telah beliau laksanakan dan akhirnya UMNO dan Tun Dr. Mahathir tetap menolak Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau lupa bahawa parti yang beliau ‘anuti’ itu ditubuhkan pada tahun 1951 melalui ‘kelulusan’ kerajaan kafir nasrani British. Tentunya ketika UMNO sudah wujud sebagai parti penyatu umat Islam Melayu, golongan yahudi dan nasrani yang mempelopori sistem demokrasi mencari kaedah paling halus dan licik untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam dan senjata kafir ini adalah membenarkan PAS ditubuhkan.

Apakah benar Islam itu PAS, dan PAS itu Islam ? Persoalan ini perlu difikirkan oleh kita kerana ketika Nik Aziz menjadi ahli PAS, datuk atau mungkin ayah beliau masih tidak mengenali atau menganut fahaman PAS. Apakah pula jawapan Nik Aziz di hari kebangkitan jika kaum keluarga Nik Aziz juga tidak menganuti fahaman PAS ?

Malah ramai dari kita khususnya yang bukan dilahirkan di Kelantan, belajar dan faham agama dari sekolah-sekolah yang diasaskan oleh UMNO/BN. Ramai dari kita hanya sedar kewujudan PAS apabila DSAI dipecat. Ketika itu berduyun-duyun orang Islam mulai mendapat ‘hidayah’ dan menyokong PAS termasuklah penulis. Apakah nasib kami yang pernah menyokong PAS dan akhirnya ‘keluar’ atau ‘murtad’ dari menyokong PAS di hari kiamat?. Bagaimana pula hukuman Nik Aziz terhadap Ketua Umum PKR dan kepimpinan PKR yang tidak menyertai PAS ?

Saya tidak menganggap UMNO itu betul 100% kerana ia adalah parti ciptaan manusia dan diuruskan oleh manusia. Seperti mana dakwaan Nik Aziz bahawa ‘banyak kepincangan’ di lakukan oleh UMNO (sebenarnya pemimpin UMNO). Begitu juga yang dilihat berlaku dalam PAS. Seperti mana PAS juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang ‘kecewa dan marah’ pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong PAS juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan. Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa PAS pula tidak boleh? Maksum sangatkah PAS hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.

Besar sangatkah dosa UMNO dan besar sangatkah jasa Nik Aziz kepada Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir? Jika Nik Aziz mengatakan Tun Tun Dr. Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam, maka izinkan saya memetik kuliah mingguan beliau di Kota Baharu yang mengatakan kebanggaan beliau terhadap sistem kewangan Islam. Memetik kata-kata beliau seperti yang dilaporkan “Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai”.

Merupakan fakta yang terlalu jelas (buta kayu kalau tak nampak lagi), usaha mewujudkan sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, sistem takaful, pajak gadai Islam, pinjaman Islam dan sebagainya adalah idea dan kehendak Tun Dr Tun Dr. Mahathir yang juga Presiden UMNO ketika itu (1982) untuk membawa perubahan dan kejayaan ekonomi kepada negara kita. Tun Dr. Mahathir melihat keperluan ini kerana tahu bahawa hanya negara yang 'kaya' dan 'kuat kuasa ekonominya' sahaja akan digeruni oleh lawan. Paling hampir yang terkesan dengan apa yang kita lakukan ialah Singapura (talibarut yahudi di rantau ini). Kerana itu mereka ‘mendekati’ Nik Aziz dan menggunakan DAP bagi memusnahkan sistem kewangan ini apabila peluang ini diperolehi kelak.

Janganlah Nik Aziz lupa bahawa sistem kewangan Islam yang diasaskan oleh pimpinan UMNO inilah yang menyelamatkan ekonomi negara serta dijadikan model oleh negara barat hari ini seperti yang DIAKUI oleh Nik Aziz. Justeru kita patut bertanya, besar mana sumbangan idea Nik Aziz dalam sistem kewangan Islam sejak beliau mentadbir Kelantan ?

Siapakah pula yang telah membuka idea penggunaan Dinar Emas
yang tidak pernah difikir atau dibahaskan oleh mana-mana pemimpin negara Islam tetapi akhirnya mula membuka mata masyarakat dunia kalau bukan Tun Tun Dr. Mahathir. Kebimbangan yahudi dan nasrani terhadap idea untuk mengantikan penggunaan wang kertas dengan Dinar Emas pasti akan menruntuhkan ekonomi mereka dan boleh menyebabkan negara-negara kafir ini menjadi peminta sedekah kepada negara Islam jika idea Tun Tun Dr. Mahathir ini direalisasikan. Lucunya sempat pula Nik Aziz ‘menceduk’ idea ‘syiling emas’ untuk mendapatkan ‘laba’ politik tanpa merancang penggunaanya dengan bijaksana.

Besar sungguh jasa Nik Aziz yang menyebabkan penghijrahan rakyat Kelantan ke merata tempat seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan negeri ditadbir BN untuk mencari rezeki yang halal. Tentu Nik Aziz mendapat ‘pahala’ kerana disebabkan ‘ideanya’ anak-anak Kelantan terpaksa berhijrah dan membawa pulang rezeki untuk ibu bapa, menyempurnakan hajat menunaikan haji, membayar zakat serta sedekah bagi mendapat keberkatan.

Manakah tangan yang memberi dan manakah tangan yang menerima ? Adakah kerajaan PAS Kelantan mampu mengatakan peluang pekerjaan dan kemakmurkan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada bumi bertuah ini datang dari perahan idea dan 'tafakur' Nik Aziz selama 20 tahun memikirkan permasalahan rakyat?. Bodoh sangatkah kita untuk melihat jutaan pendatang asing yang turut masuk secara sah atau haram mencari rezeki di negara ini atas kebijaksanaan pentadbiran UMNO dan BN ketika era Tun Tun Dr. Mahathir ?

Nik Aziz juga sempat meminta Tun Tun Dr. Mahathir menyatakan ‘kesalahan’ beliau sebagai MB Kelantan jika ada. Tanpa perlu Tun Tun Dr. Mahathir membuang masa biar penulis sebutkan di sini beberapa perkara yang boleh dinilaikan. Banyak manakah ‘berhala besar’ yang lebih tinggi dan besar dari menara masjid atau kubah didirikan sepanjang Nik Aziz menjadi Menteri Besar. Tidak malukah Nik Aziz mengistihar Kelantan sebagai ‘Serambi Mekah’ sedangkan ketika Nabi Ibrahim dipilih oleh Allah SWT sebagai Rasul, baginda telah memecahkan patung berhala di sekitar Kaabah. Peliknya, Nik Aziz pula adalah ulama yang membenarkan patung-patung berhala yang lebih cantik dan lebih besar didirikan di ‘Serambi Mekah’. Banyak manakah pula masjid yang telah PAS Kelantan berjaya dirikan sepanjang pentadbiran Nik Aziz? Bolehkah fakta ini dikemukakan kepada kita? Jika Nik Aziz mempertikaikan kesungguhan UMNO/BN mendirikan masjid kita mahu pula mahu tahu dan melihat kesungguhan PAS dalam isu pembinaan masjid baru selama 20 tahun memegang kuasa.

Pengalaman berkunjung ke Kelantan pada Disember 2010 selama tiga hari membukti kepada penulis tentang ‘tong kosong’ yang dipalu oleh PAS Kelantan. Sudah terang lagi bersuluh, KEBERSIHAN yang menjadi ASAS KEIMANAN pun tidak mampu dijaga oleh Nik Aziz sebagai pemimpin Islam, maka usahkan bercerita perkara lebih besar dari itu seperti hudud yang entah hilang laungannya. Kita selalu digembar-gemburkan tentang bertapa imarahnya dan 'penuhnya' masjid dan pusat pemgajian agama di sana. Justeru semasa di berada di Kota Baharu, penulis berkempatan solat suboh, jumaat, mahgrib dan isyak di beberapa masjid. Hakikatnya adalah sebaliknya dan ianya adalah hampir sama atau lebih kurang sahaja jemaaah di masjid-masjid di negeri yang ditadbir BN. Malah semasa solat Jumaat di Masjid Muhammadi, masih ramai yang merokok dan berbual hingga ketika solat hendak didirikan, pandangan serupa ditempat lain dalam negara kita.

Penulis juga turut ‘melawat’ setiap tandas masjid yang hampir kesemuanya cukup jijik dan kotor. Malah di sebuah masjid yang terserengam indah di Kubang Kerian, tandasnya juga amat kotor dan tidak terurus. Terbukti dan fakta yang diakui oleh Nik Aziz dalam kuliah mingguannya bahawa beliau kesal dengan tahap kebersihan tandas masjid di Kelantan yang gagal diuruskan olehnya. Besar sangatkah jasa Nik Aziz hingga tonggak dan asas keimanan tentang kebersihan ini pun tidak mampu diserapkan kepada rakyat dibawah kepimpinan ulamak selama 20 tahun. Itu belum lagi berbagai ‘kes-kes pelik’ dan kes luarbiasa dilakukan oleh rakyat yang dipimpin oleh Nik Aziz. Mungkin para pembaca boleh menyelak akhbar untuk mendapatkan banyak kisah-kisah sensasi berlaku sepanjang Nik Aziz mentadbir seperti perkahwinan antara ‘perempuan’ dengan perempuan dan lain-lain.

Mungkin segelintir kita tidak memahami dan dapat membaca pemikiran Islam Tun Dr Tun Dr. Mahathir kerana ‘kesilapan’ beliau yang belajar dalam ‘bidang kedoktoran’ dan bukannya ‘bidang keagamaan’, juga Tun tidak memakai kupiah atau jubah dan tidak bercakap isu hudud sepanjang mentadbir negara. Jika itulah yang ‘dikosmetik’ kepada penampilan Tun maka sudah tentu perpespi penyokong PAS pasti berbeza.

Memang benar seperti kata Tun Tun Dr. Mahathir bahawa jasa yang paling besar yang patut dikenang terhadap Nik Aziz ialah perpecahan yang telah beliau lakukan. Sabda Nabi SAW “Sesiapa yang datang kepada kamu mengajak menderhakai pemimpin dan hendak memecah-belahkan kesatuan umat Islam, sedangkan ketika itu kamu sedang mentaati pemimpin kamu itu, maka hendaklah kamu perangi dia”. (riwayat Muslim).

Hadis di atas menyorot kembali penubuhan PAS pada 1951 yang telah menimbulkan bibit-bibit perpecahan umat Islam. Malah PAS sentiasa berusaha dalam sistem demokrasi untuk bertapak di negeri-negeri BN bagi menyemai dasarnya dan memecahkan kesatuan umat Islam dan menggalakkan kita membenci UMNO/BN seperti di dalam ceramah dan akhbar suci mereka Harakah. Doktrin British yang melihat kaedah ini dahulu kini benar-benar berjaya kerana mereka tidak perlu berada di sini untuk menghancurkan kesatuan kita.

Kepada penyokong PAS, tepuk dada tanya iman benarkah Islam itu disebarkan melalui PAS di negara Malaysia ? Lupakah kita banyak penyelewengan dalam agama di lakukan oleh orang-orang agama dan ditutupi oleh bayangan keilmuannya yang menyebabkan kita semua terpesona. Kepada penyokong dan penganut ‘fahaman PAS’, hakikatnya hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui dan memberikan ‘hidayah sebenar’ kepada kita. Kalau itu yang kita inginkan lakukan solat Istiqarah minta petunjuk dari Yang Maha Esa,, adakah Nik Aziz dan PAS mewarisi pejuangan yang dibawa oleh junjungan Nabi SAW ? Adakah akhlak dan tutur kata pemimpin PAS selama ini cukup mulia dalam berbicara sesuai dengan cara Rasullullah SAW. Sejauh mana jasa Nik Aziz dan Kelantan jika sambutan Maulidur Rasul pun tidak menjadi keutamaan dan dipandang sepi, sedangkan kerana Baginda Nabi SAW, manusia seluruh dunia menerima Islam yang sumul dan mengiktiraf sumbangan besar junjungan baginda Nabi SAW. Sedangkan Micheal J Hart pun mengakui kehebatan Rasullulah apalah susah dan berat untuk kerajaan yang mengangkat moto 'Membangun Bersama Islam' dan 'Negeri Serambi Mekah' untuk mengadakan sambutan dan mengingati kelahiran manusia paling agung di dunia.

Al Fatihah untuk Nabi SAW yang menyinari cahaya Islam kepada kita. Selamat Menyambut Maulidur Rasul


Lukman Moidin
Penulis ialah Perceramah & Aktivis Belia
Email : manjbp70@hotmail.com



Isu Nasionalisme : Jawapan Nik Aziz Untuk Tun Mahathir

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan." – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)" (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?

Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!


Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP