Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Monday, May 2, 2011

Dakwaan UMNO ‘pujuk’ DAP masuk BN adalah provokasi Harakah

Dakwaan bahawa UMNO sedang mendekati DAP atas agenda membawa masuk parti itu ke dalam Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai kenyataan tidak masuk akal dan hanya bertujuan mencipta provokasi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan lidah rasmi Pas, Harakah berbuat demikian hanya bertujuan mahu melariskan akhbar.

“Ia satu kenyataan bersifat populis yang langsung tidak berasas serta tidak bertanggungjawab. Saya selaku Naib Presiden UMNO tidak tahu-menahu tentang dakwaan mengarut ini. Kami tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan muka hadapan Harakah hari ini bertajuk UMNO Pujuk DAP yang antara kandungannya melaporkan kononnya UMNO sedang mendekati DAP atas agenda membawa masuk parti itu ke dalam BN selepas mendapati pengaruh DAP semakin kuat khasnya selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 baru-baru ini.

Menurut lidah rasmi Pas itu, usaha itu diperhebatkan lagi ekoran kemarahan UMNO terhadap MCA yang mengajak masyarakat memboikot Utusan Malaysia dan beranggapan langkah menjemput DAP adalah mesej UMNO kepada MCA.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi pula berkata, kerjasama di antara UMNO dan DAP seperti ‘jauh panggang dari api’ kerana perjuangan kedua-dua parti sangat berbeza dan saling bertentangan.

“DAP dengan perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ yang mahu menjadikan negara ini sebuah republik seperti Singapura dan UMNO pula dengan perjuangan mempertahankan hak orang Melayu dan kesultanan Melayu. Manakan logik kedua-dua parti ini bekerjasama dalam BN,” katanya.

Menurutnya, DAP yang terkenal dengan sikap mementingkan diri sendiri dan tamakkan kuasa tidak boleh duduk sebumbung dengan parti-parti lain yang jujur dan ikhlas terhadap perjuangan mereka.

Katanya, pihak pembangkang sememangnya gemar memainkan isu sebegitu bagi mewujudkan provokasi yang akhirnya menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat.

“Kalau dengan Pas, ya, kami ada niat untuk berbaik-baik. Justeru saya menasihati pemimpin-pemimpin Pas supaya memandang ke hadapan dan membuka ruang kerjasama bersama UMNO,” katanya lagi.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, laporan Harakah itu amat jelas tersasar daripada hakikat sebenar politik kedua-dua parti.

“Ia umpama mimpi ngeri rakyat negara ini untuk melihat kedua-dua parti tersebut bekerjasama. Saya harap perkara ini dinilai secara waras oleh semua pihak supaya tidak terpedaya dengan fitnah yang keterlaluan ini,” katanya.


Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP