1. Ceramah Timbalan Presiden Parti Islam se-Malaysia (PAS), Mohamad Sabu (Mat Sabu) minggu lalu di Pulau Pinang menjadi satu isu kontroversi apabila beliau mendakwa Mat Indera yang memimpin pasukan Komunis menyerang balai Polis Bukit kepong sebagai wira.
2. Beliau juga mendakwa polis-polis Melayu yang diserang oleh Mat Indera adalah alat penjajah British. Jauh lebih daripada itu Mat Sabu juga mendakwa Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman yang dianggap pejuang kemerdekaan sebenarnya pegawai British.
3. Mat Sabu juga mendakwa sejarah negara adalah pembohongan. Katanya, sejarah negara kita menganggap Tok Janggut dan Datuk Burhanuddin sebagai pengkhianat. Saya berharap Mat Sabu dapat membuktikan di mana sejarah Malaysia yang menyatakan Datuk Burhanuddin al-Helmy dan Tok Janggut sebagai pengkhianat negara.
4. Sejarah Malaysia mengangkat semua para penentang British, Portugis dan Jepun sebagai Pahlawan Negara. Sejak awal sejarah Tanah Melayu dan Borneo, nama-nama mereka yang menentang penjajah dianggap wira tanah air. Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Maharajalela dan Sipuntum (yang membunuh J.w.w. Birch), Rosli Dhoby, Mat Salleh dan ramai lagi para penentang British terus dianggap pahlawan watan kepada tanah air dan termaktub dalam sejarah negara. Justeru adalah satu pembohongan untuk Mat Sabu mendakwa mereka ini dianggap sebagai pengkhianat negara oleh Sejarah Malaysia.
5. Namun sejarah negara tidak menerima komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara kerana asas perjuangan mereka bukan untuk kemerdekaan atau mempertahankan anak watan Tanah Melayu daripada British atau mana-mana penjajah. Parti Komunis Malaya ditubuhkan untuk menyebarkan ideologi komunis, membentuk negara komunis di Tanah Melayu dan menjaga kepentingan kaum Cina. Sebab itu, majoriti orang Melayu di Kepulauan Melayu (Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia) menolak Komunis.
6. Malahan yang menubuhkan Parti Komunis Malaya (PKM) pun bukan anak watan tanah air. Justeru mengatakan PKM pejuang kemerdekaan, sementara Polis Melayu dan pemimpin Melayu seperti Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman alat British, menunjukkan Mat Sabu tidak mengenali sejarah negara dengan jelas.
FALASI PERTAMA MAT SABU:
POLIS MELAYU, DATO ONN, TUNKU ABDUL RAHMAN PEGAWAI PENJAJAH; PKM MENENTANG PENJAJAH
7. PKM juga sebenarnya alat British semasa penjajahan Jepun. PKM menubuhkan Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) kerana permusuhan antara kerajaan Komunis China dan Jepun serta bertujuan melindungi kaum Cina di Tanah Melayu yang paling teruk menjadi mangsa kezaliman Jepun. Selepas British kembali menduduki Tanah Melayu, PKM masih bekerjasama dengan British. Namum British tidak mahu mengiktiraf ideologi komunis dan ini menimbulkan penentangan PKM terhadap British.
8. Sebaliknya, British memilih untuk berunding dengan Sultan-sultan Melayu dan nasionalis Melayu bagi proses memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Apabila Sultan dan pemimpin Melayu menolak Malayan Union, British mengubah beberapa perkara dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948. Ini secara jelas menunjukkan British sedang ke arah memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara demokrasi dan Raja Berpelembagaan.
9. Justeru secara faktanya sejak 1948 lagi telah wujud kerajaan campuran antara British, wakil Sultan dan wakil orang Melayu bagi pemerintahan Tanah Melayu dan juga proses ke arah kemerdekaan.
10. Polis-polis Melayu yang dilantik dalam pentadbiran ini merupakan anggota yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan penduduk Tanah Melayu dan juga mempertahankan kerajaan campuran yang dalam proses kemerdekaan. Justeru bagaimana mereka dianggap pegawai atau tali barut penjajah jika terdapat wakil orang Melayu dan wakil sultan dalam pentadbiran Persekutuan 1948?
FALASI KEDUA MAT SABU:
MAT INDERA WIRA MELAYU KERANA MENGETUAI KOMUNIS SERANG BALAI POLIS BUKIT KEPONG
11. Mat Sabu akan menggunakan beberapa butiran sejarah yang mendakwa Mat Indera ialah pahlawan Melayu. Memang benar pada suatu ketika Mat Indera ialah wira kerana keberanian dan kehebatan beliau mempertahankan keamanan dan keselamatan orang Melayu pada zaman kezaliman penjajah Jepun. Jika Mat Sabu menganggap Mat Indera wira kerana itu, kita tidak harus mempertikaikannya.
12. Malangnya, beliau menganggap Mat Indera wira kerana menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang mengorbankan pegawai polis Melayu, yang kononnya menurut Mat Sabu ialah alat penjajah British.
14. Mat Indera kemungkinan besar bukan pejuang ideologi komunis. Beliau mungkin terpengaruh dengan dakyah pemimpin PKM bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan. Justeru menyerang balai Polis Bukit Kepong pada kaca mata Mat Indera ketika itu ialah tindakan perjuangan kemerdekaan. Namun ia tidak menjadikan Mat Indera pejuang kemerdekaan dan pegawai polis yang terkorban sebagai tali barut penjajah. Faktanya berlainan sekali.
15. Faktanya, Parti Komunis Malaya yang menjadi platfom Mat Indera bukan berteraskan perjuangan kemerdekaan anak watan. PKM hanya berjuang untuk penubuhan negara Komunis. Justeru untuk mengatakan Mat Indera pejuang kemerdekaan kerana menyerang polis-polis Melayu yang kononnya pegawai British satu kesimpulan yang tidak tepat.
16. Kita mesti ingat bahawa ucapan Mat Sabu jelas sekali mengangkat Mat Indera sebagai wira kerana menyerang balai Polis Bukit Kepong yang mengorbankan para pegawai polis Melayu yang berkhidmat untik kerajaan campuran. Justeru apa sahaja fakta sejarah atau buku yang beliau bawa untuk mempertahankan kenyataan beliau bahawa Mat Indera seorang wira Melayu kemudiannya merupakan "afterthought defence"
17. Apakah mereka yang dibunuh oleh Komunis di Bukit Kepong bukan wira negara sedangkan mereka menjaga keselamatan orang ramai, keamanan Tanah Melayu dan keutuhan proses kemerdekaan negara? Mereka bukan menjadi alat mempertahankan pemerintahan British seperti sebelum 1942. Sebaliknya, mereka pejuang-pejuang keamanan dan kemerdekaan negara yang kerana mengambil bahagian dalam kerajaan transisi sebagai satu bentuk latihan pemerintahan sendiri. Ini tidak dapat difahami oleh ahli politik seperti Mat Sabu yang hanya setiap hari cuba mencipta kebencian terhadap UMNO walaupun terpaksa menukar fakta sejarah.
FALASI KETIGA MAT SABU:
KOMUNIS MAHU MEMERDEKAKAN NEGARA
18. Jika para pejuang kemerdekaan menyebelahi komunis seperti mana Mat Sabu, nescaya hari ini Pas pun tidak akan wujud kerana tiada parti politik dalam sistem pemerintahan komunis. Pas juga tidak akan wujud kerana komunis menganggap agama adalah candu masyarakat.
19. Islam juga tidak akan menjadi agama rasmi Persekutuan jika Komunis memerintah. Tiada juga kedudukan orang Melayu dan raja-raja Melayu jika Komunis memerintah negara ini.
20. Justeru sungguhpun Mat Sabu begitu akrab dengan pemimpin seperti Lim Guan Eng, ia bukan bermakna beliau harus menghalalkan perjuangan komunis yang nyata bertentangan dengan ajaran Islam yang Pas perjuangkan.
21. Bukan semua perlu dipolitikkan apatah lagi pengorbanan ramai anggota keselamatan kita dari pelbagai kaum mempertahankan tanah air daripada ideologi komunis. Bukan sedikit rakyat menjadi mangsa kekejaman Komunis semasa sebelum dan selepas hari merdeka. Apakah hanya kerana politik Mat Sabu sanggup menutup semua ini dan mengangkat Komunis sebagai pejuang kemerdekaan?
22. Tiada satu saat pun dalam perjuangan Komunis yang berhasrat memerdekakan rakyat dan Tanah Melayu serta mengembalikan hak pemerintahan Tanah Melayu kepada orang Melayu. Justeru untuk Mat Sabu mengangkat perjuangan komunis sebagai pejuang kemerdekaan sangat melucukan dan bersifat politik membenci UMNO.
23. Sebenarnya tiada kemerdekaan dalam ideologi komunis kerana rakyat tidak mempunyai hak dan kebebasan bercakap, memilih kerajaan dan memerintah. Apakah hidup dalam sistem komunis di anggap satu kemerdekaan? Jika Tanah Melayu diperintah oleh Komunis selepas British, ia ibarat lari mulut buaya masuk mulut harimau kerana kedua-duanya tiada kebebasan yang menjadi asas kemerdekaan.
24. Justeru di mana analisis Mat Sabu bahawa Komunis adalah pejuang kemerdekaan? Jangan jadi manusia yang berperangai habis madu sepah dibuang terhadap pasukan keselamatan kita yang mempertahankan tanah air ini dari keganasan komunis.
Oleh : Dr Mohamad Khir Toyo
No comments:
Post a Comment