Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Monday, September 23, 2013

13 Mei 1969 - Sebelum dan Selepas (BAB 15 : Sepucuk Surat)

SAMPAI di sini perlulah saya berbalik ke belakang sedikit untuk menghuraikan niat yang terpendam di sesetengah kalangan sejak beberapa lama, dan niat itu telah mereka kemukakan ke hadapan selepas rusuhan pada 13 Mei 1969.

Saya telah menyebut sebelum ini bahawa selepas keluar dari hospital pada l6 Jun, satu peristiwa yang telah berlaku pada ketika itu amatlah menyedihkan saya. Saya telah menerima sepucuk surat yang kasar dari Dr. Mahathir bin Muhamad, seorang calon Parlimen UMNO yang kalah dalam pilihan raya di kawasan Kota Star Selatan, di negeri Kedah. Beliau juga adalah salah seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Surat seumpama tidak pernah saya lihat sepanjang menceburkan diri dalam politik. Saya tidak pernah sekali-kali menjangka bahawa surat seperti itu boleh ditulis oleh seorang yang sentiasa menggembar-gemburkan dirinya seorang penyokong kuat parti, sekalipun dia tidak bersetuju dengan beberapa polisi yang dijalankan oleh parti.

Surat itu ditaip atas empat helai kertas dalam Bahasa Melayu bertarikh l7 Jun dan telah dihantar dari alamat rumahnya sendiri di Alor Star di mana dia menjadi doktor yang mempunyai kliniknya sendiri. Bagi seorang penyokong parti, lebih-lebih lagi sebagai seorang Ahli Parlimen selama lima tahun dan anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO selama 12 bulan, perbuatan menulis surat seperti itu kepada Perdana Menterinya sendiri yang juga menjadi pemimpin partinya, merupakan satu perbuatan yang tidak patut.

Sungguhpun begitu, beliau masih tidak berpuas hati. Beliau telah menghantar salinan-salinan surat itu kepada kawan-kawannya. Surat-surat ini kemudiannya telah disalin beribu-ibu naskah dan telah disebarkan di kalangan pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam, penuntut-penuntut Melayu di Institusi Pelajaran Tinggi dan juga kapada orang-orang Melayu di kampung.

Sekalipun jika Dr. Mahathir tidak bertanggungjawab melakukan sendiri penyebaran suratnya itu, tetapi tidak pula ia menahan kejadian itu daripada berlaku.

Tun Dr. Ismail juga telah menerima satu salinan surat itu daripada Dr. Mahathir. Saya telah menyuruh satu salinan dihantar kepada Tun Abdul Razak yang menjadi Timbalan Pengerusi UMNO. Tun Abdul Razak kemudiannya telah memanggil satu Persidangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk membincangkan perkara surat itu. Persidangan itu telah diadakan di rumahnya, Seri Taman, Kuala Lumpur pada 12 Julai. Saya tidak hadir di persidangan itu tetapi Dr. Mahathir telah menghadirinya.

Persidangan itu telah diadakan secara tertutup dan cuma anggota-anggota Majlis Kerja Tertinggi sahaja dibenarkan hadir. Sungguhpun begitu, wartawan-wartawan telah menunggu di luar pintu masuk ke Seri Taman kerana mereka dapat mengagak sesuatu yang penting mungkin berlaku. Satu kawalan keselamatan yang ketat telah diatur di sekeliling kawasan itu dan pintu-pintu masuk dan keluar telah dijaga oleh polis yang bersenjata.

Persidangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berjalan selama tiga jam. Pada pukul 4.05 petang, Menteri Penerangan dan Penyiaran, Hamzah Dato’ Abu Samah telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar 17 baris. Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agong UMNO, Senu Abdul Rahman. Kenyataan itu berbunyi:-

“Satu Persidangan Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah diadakan pagi ini untuk menimbangkan tindakan yang patut diambil mengenai dengan penyebaran yang luas salinan surat di antara Dr. Mahathir, seorang Anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO dengan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua UMNO.

"Surat itu mengandungi perkara-perkara dan keterangan parti yang amat penting yang sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO memandangkan kepada suasana yang terdapat dalam negara pada masa sekarang.

“Persidangan itu mengambil keputusan bahawa perbuatan Dr. Mahathir itu merupakan satu kesalahan berat melanggar disiplin dan peraturan parti. Jika perbuatan itu tidak dicegah maka ia akan merosakkan perpaduan di dalam parti dan juga Kerajaan yang didukung oleh parti.

“Majlis Kerja Tertinggi yang dihadiri oleh sernua Menteri Kabinet dan Menteri Besar yang menjadi Anggota Majlis itu, telah mengambil keputusan bahawa Dr. Mahathir tidak lagi menjadi Anggota Majlis itu mulai dari hari ini. Tunku tidak hadir dalam persidangan itu.”

Saya tidak dapat menyiarkan sepenuhnya kandungan surat Dr. Mahathir pada masa ini, tetapi saya perlu merujuk kapada surat itu di dalarn buku ini. Sekiranya saya tidak berbuat demikian, maka tentulah saya dapat dituduh tidak memberi berita yang sepenuhnya.

Sungguhpun begitu, oleh kerana surat itu terlampau berbahaya maka Menteri Hal Ehwal Dalamn Negeri, Tun Dr. Ismail, telah rnengambil tindakan dua hari kemudian iaitu pada 14 Julai untuk mengeluarkan perintah di bawah Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri 1960 bagi mencegah sesiapa jua daripada menyiar, menyebar atau memiliki salinan surat ini. Dalam perintah itu juga tegahan yang sama telah dikenakan ke atas beberapa surat lain dalam Bahasa Malaysia dan tindakan ini telah diambil untuk kepentingan keselamatan negara.

Siapakah Dr. Mahathir dan apakah pendirian-nya dalam UMNO? Jawapannya ialah ada sekumpulan orang yang selalu disebut sebagai ‘pelampau’ (ultras), atau pun ‘bijak pandai’ (intellectual) yang telah dapat menembus masuk dan mencari kedudukan dalam UMNO. Sesetengah daripada mereka duduk di Kuala Lumpur dan tidak seorang pun daripada mereka mempunyai banyak hubungan dengan orang ramai terutama di kawasan luar bandar.

Mereka tidak sesekali boleh mengharapkan sokongan orang ramai dengan tenaga mereka sendiri, tetapi mereka boleh buat bermacam-macam angkara, dan inilah yang mereka lakukan bersungguh-sungguh sekarang. Di belakang segala penentangan yang ditimbulkan dalam UMNO ini mesti ada seorang yang tahu bagaimana hendak merancang dan bagaimana hendak mendapatkan orang lain melaksanakannya. Adakah orang itu Dr. Mahathir sendiri atau pun ada orang lain?

Orang mungkin bertanya apakah tujuan mereka. Melalui orang lain saya telah cuba bertanya kapada beberapa orang daripada puak “pelampau” (ultras) itu apakah jawapan kapada soalan itu. Dan setakat yang saya tahu mereka mahu mengadakan satu “order” baru dalam UMNO dan dalam negara ini. Misalnya mereka berpendapat bahawa cara pemikiran politik kita telah lapuk dan tidak selaras dengan dasar Afro-Asia. Antara cita-cita yang terpendam dalam hati mereka mungkin untuk menyingkirkan raja berperlembagaan dan menegakkan Malaysia sebagai sebuah negara republik. Saya agak selepas Malaysia diisytiharkan sebagai republik, maka mereka akan ubah dasar luar kita untuk membawa kita lebih hampir kapada kumpulan Afro-Asia.

Menurut satu maklumat yang diterima, meskipun Sukarno telah digulingkan oleh rakyat Indonesia, tetapi ajarannya, wang ringgitnya, pengikut-pengikut yang rapat dengannya dan pendukung faham Karno masih ada bertaburan di seluruh Asia dan dasarnya itu masih diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh.

Semasa pemerintahannya, orang-orang Sukarno sama ada yang berkhidmat dalam Kerajaan atau pun dalam swasta mempunyai hubungan secara langsung dengan pertubuhan, pemimpin-pemimpin parti berhaluan kiri dan orang-orang perseorangan di Malaysia, dan pakatan-pakatan telah dirancang untuk menumbangkan Kerajaan Malaysia.

“Banyak pemimpin yang kononnya mendakwa sebagai pemimpin Melayu telah dipesongkan fikiran mereka dan telah dijadikan alat yang berguna untuk melaksanakan rancangan ini. Di antara rancangan ini ialah pembentukan Pasukan Tentera Gerakan Bumiputra di sepanjang Pantai Timur dan Barat Malaysia dan di sepanjang sempadan Thailand. Pemimpin-pemimpin mereka itu mempunyai hubungan langsung dengan mereka yang bertanggungjawab mengendalikan rancangan ini.

“Menurut rancangan mereka, alat-alat senjata dan peluru akan dibekalkan menerusi jalan laut. Sebagai langkah permulaan, kempen yang kotor dan fitnah yang jahat mestilah dilancarkan sebelum tindakan lanjut diambil. Cara yang telah digunakan .ialah dengan menyebarkan “risalah beracun” untuk menjatuhkan maruah pemimpin-pemimpin UMNO yang terkemuka, terutama Tunku Abdul Rahman yang mesti digulingkan dengan apa cara sekalipun.

“Buat saya, saya fikir fahaman Afro-Asia hari ini terutama selepas kejatuhan Soekarno di Indonesia dan Nkrumah di Ghana, sangat selari dengan pemikiran kita; tetapi sama ada ahli-ahli UMNO dalam kumpulan tersebut sedar tentang hakikat ini atau pun tidak, tidaklah diketahui.

Jelaslah bahawa apa yang dikehendaki oleh “pelampau-pelampau” ini ialah supaya UMNO sahaja yang memegang seluruh pentadbiran Kerajaan sebagai sebuah parti. Saya telah berulang kali menyatakan bahawa kehendak ini adalah bertentangan dengan dasar saya. Sebenarnya saya telah pernah berkata bahwa sakalipun cuma tiga orang ahli MCA sahaja yang menang dalam pilihan raya, maka Perikatan akan terus terpelihara, dengan tiga buah parti yang berikat -UMNO, MCA dan MIC- bekerjasama sebagai wakil orang Melayu, orang Cina dan orang India Malaysia.

Puak “pelampau” ini tidak mengetahui berapa kali Lee Kuan Yew telah cuba memujuk saya supaya mengambil PAP masuk campur dengan kita, tetapi percubaannya itu tidak berjaya.

Mereka yang menentang pimpinan saya sentiasa menjalankan taktik menyerang peribadi saya dengan tujuan hendak melemahkan UMNO kerana saya disifatkan sabagai imej parti itu. Mereka terpaksa menjalankan taktik itu kerana mereka itu telah gagal hendak memecahkan perpaduan UMNO dengan cara lama. Jadi mereka melancarkan kempen membusukkan peribadi saya supaya jatuh maruah saya di mata orang ramai. Tetapi usaha mereka itu tidak mendatangkan kesan sahinggalah baru-baru ini. Sungguhpun bagitu, apakala surat Dr. Mahathir kapada saya itu telah disebarkan luas, maka golongan yang menentang saya itu tidak lengah lagi mengambil kesempatan itu untuk mengeruhkan lagi suasana.

Sekarang telah ternyata bahawa golongan ini telah menggunakan penuntut-penuntut di institusi pelajaran tinggi untuk menjalankan kerja mereka yang kotor. Apa yang mereka telah gagal mencapai dengan perlawanan yang terbuka, mereka sekarang berharap akan dapat sedikit kejayaan dengan menimbulkan kekacauan di kalangan ahli-ahli parti. Gerakan Dr. Mahathir itu tidak syak lagi telah membantu anasir-anasir yang memusuhi saya bagi menimbulkan kemarahan orang terhadap saya sebagaimana yang telah terbukti daripada kejadjan-kejadian yang berlaku kemudian.

Pada 17 Julai pukul 7.00 pagi, sehelai kain cogan kata telah dijumpai terikat di pagar hadapan masjid Universiti Malaya; sebuah masjid yang saya telah bina untuk penuntut-penuntut universiti itu. Di atas kain itu tertulis slogan berbunyi:- “Rejim Tunku Imperialis dan Feudalis” dan “Tunku, Berhentilah.”

Slogan yang samna saperti ini telah digunakan dan masih lagi digunakan oleh Parti Rakayat, sebuah parti yang kuat menentang Kerajaan, Parti inilah juga yang telah menyokong polisi Sukarno “Ganyang Malaysia”.

Pada hari itu penuntut-penuntut telah membawa sepanduk-sepanduk yang tertulis di atasnya perkataan-perkataan yang dapat menunjukkan dengan jelas pandangan politik mereka. Salah satu berbunyi: “Kami mahu seorang pemimpin dinamik”. Pemimpin yang mereka mahu ialah seorang yang sanggup membakar sumbu dinamit untok meletupkan negara dan masyarakat kita hingga berkecai. Sepanduk yang satu lagi pula berbunyi “Singkirkan kaki poker dan kaki kuda” dan yang satu lagi berbunyi “Tunku, bersaralah”.

Sepanduk seumpama itu dan banyak lagi yang lain dapat menunjukkan apakah tujuan mereka. Slogan seperti inilah yang telah biasa digunakan o1eh kumpulan perpaduan Afro- Asia dan pertubuhan lain yang anti-kerajaan.

Penuntut-penunut Melayu Univeriti Ma1aya yang mengadakan tunjuk perasaan itu telah bermesyuarat kemudiannya dengan penuntut-penunut Maktab Teknologi MARA dan menentang pemecatan Dr. Mahathir daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Kesan daripada pertemuan itu, maka ramailah penuntut MARA yang telah mengambil bahagain dalam satu tunjuk perasaan yang diadakan pada hari itu di kawasan maktab mereka untok membantah langkah yang diambil oleh UMNO ke atas Dr. Mahathir. Mereka mengecap saya sebagai pengkhianat bangsa saya. Mereka telah membuat ucapan yang berapi-api menuntut supaya saya disingkir daripada jawatan Perdana Menteri.

Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Abdul Ghaffar Baba, iaitu menteri yang bertanggungjawab di atas Maktab MARA, telah bercakap dengan pemimpin penuntut-penuntut itu. Beliau telah bertanya kepada mereka apa kena rnengena pemecatan Dr. Mahathir daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu dengan mereka, dan adakah mereka menjadi ahli UMNO? Mereka jawab tidak, tetapi menegaskan bahawa mereka berhak bercakap dalam perkara ini kerana mereka orang Melayu. Beliau kemudiannya bertanya sama ada mereka bersetuju dengan UMNO sebagai parti politik mereka, dan mereka jawab “Tidak”.

Ghaffar sangat terperanjat apabila mereka menceritakan satu persatu apa yang telah berlaku dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dirahsiakan itu. Apabila beliau bertanya siapakah yang telah memberitahu mereka, mereka tergamam dan tidak tahu apa yang hendak dikatakan.

Kesemua ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah mengangkat sumpah tidak boleh membocorkan sabarang perkara yang dirunding dalam mesyuarat, dan dengan sebab itu tentulah menimbulkan teka-teki bagaimana maklumat berkenaan dibocorkan.

Kejadian ini menunjukkan bahawa sangatlah mudah hendak mempengaruhi fikiran orang muda. Mereka akan percaya “apa sahaja jika perkara itu berulang-kali dicakapkan kepada mereka. Sesetengah kakitangan dan pegawai juga bertanggungjawab di atas kejadian ini. Beberapa orang daripada mereka telah sanggup berdiri di atas pentas politik untuk berkempen menentang Perikatan dalam pilihan raya baru-baru ini. Mereka tidak berjaya menjatuhkan Perikatan dengan cara berperlembagaan, dan dengan kerana itu mereka itu sibuk menjalankan usaha untuk menggulingkan Perikatan dengan cara lain.

Bagitulah juga halnya dengan penuntut-penuntut Universiti Malaya. Naib Canselor Universiti Malaya, Professor Engku Aziz telah bercakap kapada penuntut dalam kawasan universiti dan telah mendapat jawapan yang hampir sama daripada mereka.

Aliran politik telah menjadi begitu berbahaya pada masa ini!. Menggunakan penuntut-penuntut untuk menjalankan kerja yang kotor ini samalah dengan cara yang telah dibuat oleh Parti Komunis di Indonesia dan Kumpulan Perpaduan Afro-Asia di Burma sebagai yang dilaporkan oleh Aleksandr Kaznacheev dalam bukunya bertajuk “Inside A Soviet Embassy” (Di Dalam Sebuah Kedutaan Soviet) yang telah diterbitkan pada tahun 1962. Kaznacheev telah lari dari Kedutaan Soviet di Rangoon untuk mencari perlindongan di Kedutaan Amerika.

Dengan memetik buku ini tidaklah bererti bahawa saya membuat sebarang tuduhan atau sindiran terhadap Russia, kerana saya yakin bahawa mereka tidak melakukan apa jua pun dalam pilihan raya baru-baru ini, dan tidak pula mereka terbabit dalam peristiwa 13 Mei atau pun kemudian daripada itu.

Sungguhpun begitu buku ini menceritakan kejadian-kejadian yang telah berlaku semasa Komunis China dan Komunis Russia masih menjadi sahabat baik. Adalah menjadi satu taktik kapada semua Komunis untuk menggunakan penuntut bagi mencapai tujuan mereka, dan salah satu daripada senjata yang mereka gunakan ialah Kumpulan Perpaduan Afro-Asia.

Kaznacheev yang menjadi seorang pakar dalam kumpulan agen penyeludup Russia menyebut Kumpulan Perpaduan Afro-Asia itu sebagai “sebuah pertubuhan belia Komunis yang handal”. Dia telah menceritakan satu temuramah yang telah diadakan di Rangoon dengan seorang pemimpin belia yang dia sifatkan sebagai “seorang peguam terkenal yang rnempunyai perhubungan yang luas di kalangan Kerajaan Burma dan parti-parti politik yang besar. Beliau juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam Barisan Bersatu Komunis Kebangsaan (Communist National United Front), dan juga menjadi salah seorang daripada pemimpin pertubuhan belia Komunis yang dipanggil Kumpulan Perpaduan Afro-Asia.

Menurut Kaznacheez, pemimpin Burma itu telah berkata sebagaimana berikut mengenai pengambilan belia:-

"Belia ini adalah bahan yang terbaik untuk kami. Sekalipun pemikiran mereka di segi politik tidak masak, tetapi otak mereka penuh dengan idealisme dan semangat yang berkobar-kobar; buah Komunis yang ditegah itu lebih manis kepada mereka daripada fahaman politik Burma sendiri. Penuntut-penuntut kita lebih suka menghadiri perjumpaan yang riuh rendah dan tunjuk perasaan mengibar bendera daripada tekun dalam pelajaran mereka. Sikap ini adalah lebeh baik untuk kami (bererti untuk tujuan Komunis). Mereka memuja kejayaan Komunis dan tidak dapat melihat selain dari itu. Mereka gemarkan slogan yang memerangsangkan, suka memasuki pakatan sulit, dan inginkan pimpinan yang keras. Jadi kerja kami ialah mengadakan perkara yang mereka sukai. Dan sebagaimana yang diketahui, belia yang berpelajaran ini amatlah penting untuk masa hadapan negara Burma; satu hari kelak mereka akan meninggalkan bangku pelajaran mereka dan memegang jawatan yang penting dalam Kerajaan, perusahaan dan pasukan bersenjata, Sesetengah daripada mereka akhirnya tentulah hilang minat terhadap gerakan kita itu, tetapi yang lain akan terus bersama kita".

“Mereka suka mendengar sesiapa yang boleh bercakap panjang dan kuat, jadi kita pun berbuat begitu dan tidak ada siapa pun di sini yang menentang kata-kata kita itu! "

“Rancangan perjuangan kita adalah mudah dan ini adalah satu cara perjuangan Lenin yang telah memberi kesan. Kita mendesak kerajaan bourgeois untuk memberikan kita kebebasan dan demokrasi yang penuh dan tidak berhad supaya dapat kita memikat orang ramai menyebelahi kita, dan dengan itu dapatlah kita kebebasan untuk menguatkan kedudukan kita dan melemah serta menjatuhkan moral musuh-musuh kita. Kita menyeludup masuk ke dalam parti-parti politik lain secara beramai-ramai, terutama parti yang memerintah dan meletakkan orang-orang kita memegang kedudukan yang penting dalam jabatn Kerajaan dan tentera. Dengan perlahan-lahan dan dengan senyap bahkan dengan tidak disedari kita akan mengambil kuasa di seluruh negara. Ketika itu biarlah satu gerakan yang pantas dan gagah dilancharkan untuk menumbangkan Kerajaan bourgeois itu dan merampas kuasa dengan sepenuhnya. Sesungguhnya kita sedar bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat menjayakan rancangan kita ini dengan tidak mendapat pertolongan China".

“Kita mestilah ingat bahawa semua keadaan yang terdapat dalam negara ini adalah mewajarkan kita mengambilalih kuasa di negara ini, dan setelah kuasa itu ada di tangan kita, kita akan meletakkan Burma di jalan yang betul! Ketika itu tidaklah lagi kita memerlukan kebebasan dan demokrasi bercorak bourgeois yang buruk itu. Gantinya kita akan menubuhkan sebuah Kerajaan Komunis. Kita akan menunjukkan apakah demokrasi yang sebenar-benarnya dan ketika itu tidak ada siapa pun yang akan berani menentang kita. Burma memerlukan satu kuasa yang kuat untuk memerintahnya”.

lnilah pengajaran yang telah kita dapat ambil daripada apa yang telah berlaku di.negara-negara jiran kita. Dan kita juga telah dapat melihat bagaimana negara-negara itu menghadapi kesulitan akibat daripada perbuatan Komunis China itu. Tanda-tanda telah menunjukkan bahawa cara dan taktik yang serupa sedang dilakukan oleh mereka dalam Negara kita sendiri dan kiranya rancangan mereka itu dibiarkan, maka hadapilah akibatnya.

Apa yang berlaku di Burma turut berlaku di Negara-negara lain. Puak “pelampau” sedar bahawa dengan perbuatan mereka menghasut pelajar-pelajar muda itu, terutama di kalangan pemuda Melayu yang mempunyai semangat kebangsaan, maka mereka bermain dengan api. Nyatalah ini yang menjadi tujuan mereka kerana mereka melihat bahawa di negara lain kekacauan oleh penuntut sentiasa berlaku dalam masa beberapa tahun yang lepas kecuali di Malaysia.

Apakah sebabnya belia Melayu ini dengan tidak semena-mena menimbulkan tuduhan ke atas Kerajaan kerana tidak menolong orang-orang Melayu, terutama sekali kerana tidak memberi peluang perniagaan kapada mereka? Menurut mereka. orang Melayu telah menjadi mangsa kapada kaum “kapitalis”, dan tinggallah orang Melayu sebagai kaum yang miskin. Mereka memejamkan mata mereka terhadap segala usaha yang kerajaan laksanakan untuk menolong orang Melayu dalam perniagaan dan perusahaan. Kolej MARA sendiri. Adalah satu bukti yang jelas betapa besar hasrat Kerajaan untuk memberi mereka pelajaran yang sesuai dengan kehidupan di Negara ini dan mengadakan latihan dalam lapangan perniagaan.

Di universiti pula, tempat-tempat telah dikhaskan untok penuntut-penuntut Melayu sehingga menimbulkan kemarahan dan kecurigaan kaum lain. Sungguhpun begitu nampaknya mereka belum berpuas hati. Setengah daripada penuntut yang termakan hasutan puak pelampau itu tidak lagi dapat bersabar bahkan rnendesak supaya perniagaan asing dirampas sama seperti yang telah di-lakukan oleh Sukarno di Indonesia

Apa yang berlaku seterusnya di Indonesia di bawah pemerintahan Sukarno yang telah tunduk kepada golongan pelampau ini? Oleh kerana mereka tidak mempunyai kebolehan dan pengalaman dan tidak tahu cara-cara perniagaan, maka ekonomi Indonesia telah terjerumus ke dalam jurang kebinasaan. Modal asing telah ditarik keluar dari negara itu, kilang-kilang perusahaan telah ditutup, pemodal baru enggan datang, hutang negara telah meningkat berganda-ganda banyaknya, dan nilai rupiah telah jatuh.

Sekarang di bawah pemerintahan Prcsiden Suharto, seorang pernimpin yang luas fikirannya, maka barulah Indonesia mula menunjukkan tanda-tanda untuk pulih kembali daripada kebinasaan yang telah dilakukan oleh Sukarno yang dipengaruhi oleh pelarnpau.

Setelah rnelihat sendiri kejadian yang telah berlaku di negara lain, maka adakah bijak untuk kita mengikut jejak langkah mereka. Apa yang diperlukan ialah ketekunan, keazaman dan rancangan yang teratur. Jika Sukarno tidak menyedari syarat-syarat ini, maka mestikah kita buta saperti beliau setelah kita mencapai segala kemajuan dan kemakmuran yang telah kita peroleh sejak kemerdekaan, dengan pimpinan yang tersusun dan teratur dalam perniagaan yang bebas?

Pada 24 Ogos, semasa saya berada di Alor Star dalam rangka lawatan ke seluruh negara, saya telah memuka tembelang mengenai satu kempen sulit yang dilancarkan untuk mendapatkan sokongan dengan berselindung di sebalik ajaran Islam. Kempen itu telah diberitahu kapada saya oleh Menteri Besar Perlis, Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohamed Hashim yang telah datang dari Kangar.

Tan Sri Sheikh Ahmad mendapat tahu berkenaan kempen ini semasa beliau membuka dan berucap pada persidangan tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Is1am Malaysia cawangan Perlis pada 22 Ogos.

“Kira-kira 100 orang hadir dalam mesyuarat itu dan kebanyakan mereka kelihatan saperti orang kampung biasa. Sebelum saya berucap dalam majlis itu, tiga orang pemuda datang dan duduk di depan saya. Mereka berkelakuan tidak sopan sambil menanggalkan kot mereka. Saya terkejut melihat belakang kemeja pemuda-pemuda itu tertulis “Revolusi”.

“Selepas saya berucap, Naib Presiden Persatuan itu dari Kuala Lumpur bernama Mansor bin Abdul Rahman mengambil alat pembesar suara. Saya terkejut apabila dia mengecam Perdana Menteri kerana mengambil bahagian cergas dalam Majlis Gerakan Negara dan menyeru para hadirin jangan percaya kapada majlis itu. Ia juga mengecham rancangan Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Muhibah yang dianggapnya tidak berguna kerana jawatankuasa itu ditubuhkan selepas berlaku kekacauan.

"Banyak lagi perkara yang tidak akan disebut oleh sebarang rakyat yang taat setia telah kedengaran dilaungkan dalam perjumpaan itu. Malah.dia menyeru .mereka yang hadir dalam mesyuarat itu supaya jangan peduli kalau Kerajaan cuba menghalang persatuan itu daripada mencapai cita-citanya.”

Kejadian di Universiti Malaya pada 28 Ogos dapat membuktikan lagi bagaimana fikiran penuntut-penuntut Melayu itu telah dipengaruhi dan dipesongkan. Pada waktu itu universiti tersebut menjadi tempat pcrhimpunan antarabangsa terdiri daripada pakar-pakar muzik, penari dan pelakon dari pelbagai negara Asia Tenggara untuk membincangkan dan menunjukkan tarian dan lakonan drama tradisional rantau ini. Langkah pengelola memilih Malaysia dan Universiti Malaya sebagai tempat persidangan kebudayaan ini merupakan satu penghurmatan yang sangat besar. Kira-kira 200 penuntut Mel.ayu telah mengambil keputusan untuk mengadakan tunjuk perasaan menentang saya, dan dengan sengaja memilih masa ketika tetamu-tetamu asing dari Asia Tenggara berada di sini. Sekalipun Naib Canselor, Prof. Ungku Abdul. Aziz telah memberi amaran kapada penuntut-penuntut itu, mereka tetap berdegil mengadakan tunjuk perasaan.

Mereka melakukan tunjuk perasaan menentang saya di Dewan Tunku Canselor, sebuah bangunan yang mengambil sempena nama saya untuk mengenang jasa saya sebagai Canselor Universiti itu. Kelakuan mereka telah menjatuhkan maruah dan memalukan bangsa dan negara kita. Saya tidak pernah terfikir bahawa perkara yang seperti ini boleh berlaku.

Selama 17 tahun saya telah menjadi pemimpin yang dihormati dan disanjung tinggi berdasarkan kepada apa yang telah saya buat untuk bangsa dan negara. Sekarang dengan adanya satu fitnah yang jahat maka saya terus dicap sebagai seorang pengkhianat dan musuh bangsa dan dengan itu saya mesti disingkirkan. Adakah mereka sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya bukanlah menentang diri saya seorang sahaja bahkan menentang Kerajaan negara ini yang telah ditubuhkan dengan sah dan saya menjadi ketua-nya? Saya telah dipilih memegang kedudukan itu dengan kehendak rakyat melalui pilihan raya.

Kebanyakan orang telah sedia maklum bahawa saya memang bercadang hendak bersara. Saya telah berulang kali melahirkan hasrat ini sebelum diadakan pilihan raya umum 1969. Segala langkah yang telah saya ambil bagi mengatur persaraan saya itu dapat dijadikan bukti tentang hasrat saya hendak bersara. Saya telah memimpin Tun Abdul Razak untuk bersedia menerima jawatan yang berat itu, dan langkah saya ini bukanlah menjadi satu rahsia lagi kerana saya telah berulang kali mengisytiharkan hasrat saya itu. Saya juga telah membeli sekeping tanah dengan bantuan wang dari sahabat-sahabat saya supaya dapatlah saya membena sebuah rumah bagi orang susah (Home for the Distressed), dan mengendalikan sendiri rumah itu supaya dapatlah saya berkhidmat selepas bersara kapada mereka yang benar-benar perlukan pertolongan. Jadi kenapakah dcngan tidak semena-mena timbul penentangan terhadap diri saya, dan kepimpinan saya dipersoalkan? Mereka melaung-laungkan kempen “Malukan Tunku dan tumbangkan Kerajaan.”

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)






Pengenalan
BAB 1 : Ilham Dari Hospital
BAB 2 : Bayangan Masa Lampau
BAB 3 : Pilihan Raya Umum
BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina
BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen
BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah
BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah”
BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi
BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan
BAB 10 : Mabuk Kemenangan
BAB 11 : Api Menyala Malam
BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian
BAB 13 - Keadaan Darurat
BAB 14 : Putih Kembali
BAB 15 : Sepucuk Surat
BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO
BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak
BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?
BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan
BAB 20 : Falsafah Hidup
BAB 21 : Peranan Akhbar Dan Rusuhan
BAB 22 : Pengajaran Dari Baling
BAB 23 : Mimpi Dan Alamat

Wednesday, September 18, 2013

13 Mei 1969 - Sebelum dan Selepas (BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO)

Tidakklah dapat dinafikan lagi tentang adanya perebutan kuasa didalam UMNO sendiri antara mereka yang telah menegakkan parti ini dan yang telah berkorban untuk kemerdekaan kita dengan anasir-anasir baru yang digelarkan ‘pelampau’ (ultras).

Rebutan kuasa ini telah bermula dari sejak dua tahun lepas atau pun terdahulu dari itu. Penyokong-penyokong yang taat setia kepada UMNO telah dapat mencegah perbuatan puak ‘pelampau’ itu kerana UMNO ketika itu kuat dan kerana adanya sokongan yang penuh daripada semua ahli, dari atas sampailah ke bawah.

Dengan sebab itu mereka yang memanggil dirinya ‘pelampau’ (ultras) pada keseluruhannya tidak membuat bising sekali pun mereka bergerak cergas dengan menjalankan kempen sulit di kalangan belia yang mengelarkan diri mereka bijak pandai (intellectual). Saya sentiasa menasihatkan penuntut-penuntut yang masih muda itu supaya kita sentiasa mengawasi dan menentang ahli-ahli politik yang seperti ini. Keadaan penuntut-penuntut di negara-negara sebelah Barat adalah berlainan kerana universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi di benua itu telah ditubuhkan beratus-ratus tahun. Mereka boleh mencuba apa jua yang mereka fikir secocok dengan jiwa mereka dengan tidak mendatangkan sebarang bahaya, tetapi bagi kita Malaysia ini kedudukannya sangatlah berlainan.

Negara ini masih muda, universitinya masih muda dan boleh dikatakan bergantung sepenuhnya kepada sokongan kerajaaan. Universiti ini telah berkembang dari sebuah univesiti yang teratur baik dengan mempunyai lebih 6,000 penuntut. Banyak lagi perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk memperelok universiti itu setelah kita mendapat pengalaman dan dapat mengadakan peruntukan yang lebih banyak. Hasrat Kerajaan ialah hendak menegakkan universiti ini dan juga universiti-universiti lain menurut sebagaimana yamg telah kita rancang dan meletakkan kepada satu darjah dan kedudukan yang tidak kurang dari universiti-universiti yang terbaik dalam Komanwel. Misalnya Universiti Pulau Pinang telah dimulakan dengan secara yang kecil tetapi kita mempunyai rancangan untuk masa hadapan universiti itu sebagaimana yang kita telah lakukan untuk lain-lain rancangan kerajaan.
Tidak lama lagi sebuah Universiti Kebangsaan akan ditubuhkan untuk memberi peluang kepada mereka yang tiada kesempatan melanjutkan pelajaran tinggi di dalam bahasa-bahasa yang lain dari Melayu supaya dapatlah mereka juga peluang bekerja sebagaimana orang-orang lain yang berkelulusan universiti. Langkah permulaan telah pun dibuat dengan membuka Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Inilah juga tujuanya bagi Maktab Latihan Mara di mana penuntut-penuntutnya diberi pelajaran dan latihan untuk mendapatkan pengetahuan yang perlu bagi membolehkan mereka menjalankan pekerjaan masing-masing kelak, terutamanya untuk menolong mereka memperbaiki kehidupan orang-orang kita yang berselerak di merata ceruk rantau dan kawasan-kwasan luar bandar sehingga ke perbatasan hutan rimba.

Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan unuk memperkaya dan memperbaiki lagi Bahasa Melayu sehingga taraf kedudukannya telah dapat ditinggikan lagi dan dengan itu Bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa kebangsaaan – Bahasa Malaysia.

Segala rancangan yang dilancarkan untuk pelajaran tinggi itu adalah bertujuan supaya pada masa hadapan kelak penuntut-penunutut inilah yang akan dapat menolong bagi menyebarkan ilmu pengetahuan dan juga menolong untuk menghapuskan kejahilan dan kemiskinan. Menjadi harapan kita bahawa mereka akan menolong orang-orang Melayu yang ada pada umunya tidak menunjukkan kecenderungan dalam lapangan memperbaiki lagi kehidupan mereka kerana orang-orang Melayu ialah satu bangsa yang suka meneruskan cara hidup yang diwarisi dari zaman ke zaman dengan tidak mempunyai sebarang pandangan dengan cara-cara bagaimana mereka boleh mendapat penghidupan yang lebih baik dalam dunia ini.

Kita juga telah mengharapkan bahawa melalui generasi penuntut-penuntut yang berpelajaran tinggi ini untuk masuk ke pelbagai lapangan, akan dapat memberi nafas dan semangat baru dalam kehidupan orang Melayu. Mereka patutlah belajar dengan tekun semasa berada di universiti, maktab dan pusat-pusat latihan supaya mereka menjadi rakyat yang berguna untuk bangsa mereka sendiri.


Perkara yang sangat mendukacitakan ialah golongan yang memanggil diri mereka “pelampau” dan “bjjak pandai” menggunakan pusat-pusat pengajian tinggi ini untuk mengganggu pelajaran penuntut dengan memasukkan jarum politik mereka. Adalah menjadi satu perkara yang sangat dikesali bahawa apa yang Kerajaan telah buat untok kebaikan mereka telah menimbulkan kesan yang bertentangan dengan tujuan Kerajaan, dan menjadi satu masalah yang terpaksa kita hadapi.

Dalam perbualan saya dengan Tun Abdul Razak, kami telah mengkaji setiap rancangan  yang telah dilakukan oleh Kerajaan untok menolong rakyat negeri dari sejak tercapainya kemerdekaan. Masjid, surau dan sekolah agama telah dibina di seluruh negara. Banyak orang yang mendapat faedah daripada ranchangan Kerajaan itu telah berpaling tadah menentang Parti Perikatan.

Bagitulah juga pusat-pusat pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh Kerajaan dengan tujuan memberi pelajaran dan ilmu pengetahuan yang boleh mendatangkan kebajkan dan keuntungan kapada mereka keluarga mereka, telah menjadi tempat yang merunsingkan fikiran kami. Tun Abdul Razak berkata: “Nampak-nya semua tidak berjalan dengan betul sebagaimana yang dikehendaki. Tetapi bagaimanakah mereka sampai hati berbuat demikian kapada Tunku pada hal Tunku telah banyak membuat jasa kapada rakyat dan negara. Patik sendiri tidak faham.”

Kita tidak dapat membuat sebarang kesimpulan selain daripada mengatakan bahawa mereka telah dipengaruhi sewaktu umur mereka masih begitu muda untuk mempercayai apa sahaja. Semua perkembangan ini berlaku semasa negara kita baru sahaja berada di ambang pembangunan, kemakmuran baru yang mungkin tidak pernah tercapai dalam sejarah Asia Tenggara sebelum ini.

Jika berlaku apa-apa kepada negara ini sekarang, maka akan timbullah keadaan huru-hara walhal pilihan raya telah pun tamat dan krisis yang timbul daripada rusuhan telah dapat dikawal, begitulah juga segala tindakan di bawah Undang-Undang Darurat telah berjalan dengan jaya. Jika kejadian ini berlaku, maka Malaysia akan mundur ke belakang beberapa tahun, dan segala yang telah dicapai dalam masa 12 tahun kemerdekaan kita, segala kemakmuran dan kejayaan yang kita telah dapati semuanya akan rosak. Kita mestilah tegas supaya kejadian ini tidak akan berulang lagi.

Puak pembangkang dan musuh-musuh parti yang memerintah tentulah segera akan mengambil kesempatan dalam suasana yang seperti itu, dan sebenarnya inilah peluang yang mereka tunggu. Tujuan mereka ialah hendak menjahanamkan Perikatan, dan dengan menjahanamkan Perikatan dapatlah mereka menjahanamkan bangsa dan negara yang telah dibina oleh Perikatan.

Jika Negara ini mempunyai musuh-musuh di  dalam dan luar negara, maka mestilah kita semua menyedari bahawa adalah menjadi satu perkara yang amat sukar bagi mana-mana Kerajaan juga pun hendak memperteguhkan kedudukannya sambil memelilara darjah keamanan dan keselamatan yang telah kita semua nikmati sejak kemerdekaan.

Perebutan kuasa di kalangan UMNO, bukanlah satu perkara yang boleh mendatangkan kebaikan. Banyak ahli yang jujur telah dapat dipesongkan oleh “pelampau” itu, dan dengan itu mereka juga tertarik dengan kemungkinan Perikatan menubuhkan Kabinet tanpa wakil MCA di dalamnya. Semasa Tun Tan Siew Sin membuat kenyataan bahawa MCA patut berundur dan tidak mengambil bahagian dalam pentadbiran Kerajaan, puak pelampau itu (ultras) menyokong secara terang-terangan. Kebanyakan daripada puak pelampau itu merasa senang hati kerana apa yang mereka cita-citakan  akan menjadi kenyataan.

Tujuan mereka ialah supaya saya berundur terlebih dahulu dan jika kejadian ini berlaku barulah mereka akan meneruskan ranchangan mereka yang lain. Sebab itulah tuduhan-tuduhan Dr. Mahathir terhadap diri saya telah disebarkan seluas-luasnya.

Puak “pelampau” ini’ telah berusaha dengan cara sulit untuk menarik ahli-ahli UMNO khasnya dan orang Melayu amnya supaya mengikut rancangan mereka itu. Mereka telah berjaya mendapatkan sokongan  di kalangan orang-orang muda yang tidak dapat berfikir sendiri, tetapi pada keseluruhannya cita-cita mereka itu telah ditolak kerana ia disifatkan sebagai satu rancangan yang tidak dapat dilaksanakan dalam sebuah negara seperti Malaysia.

Da1am pilihan raya yang 1epas kita telah dapat saksikan bahawa orang-orang Cina pada umumnya tidak berpegang kapada fahaman po1itik yang kuat tentang bagaimana mereka akan membuang undi. Pendirian mereka boleh berubah dari satu parti ke parti yang lain. Misalannya,  Dr. Lim Chong Eu yang sekarang ini menjadi Ketua Menteri Pu1au Pinang. Pada satu ketika du1u dia menjadi pemimpin MCA, kemudian meninggalkan parti itu sebelum pilihan raya 1964, tetapi pada ketika itu orang-orang Cina masih menyokong MCA. Tetapi dalam pilihan raya  baru-baru ini, orang-orang Cina telah berpusing ke belakang dan menyokong calon-calon parti lain,  dan dengan perkembangan ini maka Dr. Lim sebagai pemimpin Parti Gerakan telah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kita tidak boleh meramalkan apakah sikap pengundi-pengundi Cina dalam pilihan raya akan datang. Mungkinkah mereka ke1uar dan mengundi MCA? Dengan kekalahan MCA, atau pun yang disifatkan sebagai satu kekalahan oleh mereka, maka tidak ada sebab kenapa kita patut berasa terharu atau bimbang tentang masa depan MCA. Malah tidak patut kita menolak seorang sahabat yang telah berdiri bersama-sama dengan kita sekian lama dan menolong kita mencapai kemerdekaan.

Di kalangan ahli-ahli yang setia, terdapat beberapa orang yang berkehendakkan supaya UMNO atau orang Melayu sahaja yang memerintah Negara ini. Cita-cita seperti ini tidak dapat dilaksanakan dalam sebuah negara yang jumlah penduduknya berbilang kaum, tetapi kumpulan “pelampau” berpegang kapada pemikiran seperti ini dengan tujuan hendak mendapat sokongan orang-orang Melayu.

Cadangan “pelampau” supaya orang-orang Melayu sahaja memerintah Negara ini, pada jangka panjang tidak akan berjaya. Sikap ini mengikut taktik PAS dan tidak sekali-kali akan dapat menyelesaikan kesulitan yang kita hadapi. Mungkinkah mereka akan mengadakan satu ikatan yang kekok dengan PAS? Sekiranya ini berlaku, saya percaya ikatan itu akan merupakan satu perkongsian yang lemah. Oleh yang demikian percubaan hendak menukarkan konsep UMNO dari apa yang telah pun terbukti kejayaannya sehingga hari ini,  adalah satu perbuatan mencari kehancuran.

Kerjasarna UMNO, MCA dan MIC bukan sahaja telah dapat mendatangkan keamanan dan kemakmuran kepada negara bahkan juga telah dapat menolong Kerajaan mempunyai kewangan yang cukup untuk mengadakan wang yang banyak bagi pembangunan luar bandar.

Dengan demikian, adalah tidak bijak jika polisi itu hendak diubah semata-mata kerana kita telah mengalami sedikit kekalahan di sana sini? Sebenarnya Perikatan tidak boleh dikatakan kalah kerana jika di-pandang daripada keputusan pilihan raya itu pada keseluruhannya, nyata  bahawa Perikatan telah menang lebih sekali ganda dalam Parlimen berbanding jumlah kerusi  yang dimenangi pembangkang.

Kemenangan bagi sebuah parti untuk memegang kuasa sebegitu lama adalah satu kejayaan yang sangat luar biasa dalam sistem demokrasi. Malangnya kebanyakan orang kita cuma sanggup merayakan kemenangan sahaja, tetapi tidak sanggup menerima kekalahan. Allah telah berfirman dalam Quran bahawa “manusia tidak jemu berdoa memohon kebaikan, tetapi jika dia ditimpa kesusahan, maka dia berputus asa, berputus harapan.”

Sikap yang seumpama itu membuktikan bahawa orang kita tidak mempunyai kekuatan moral dan semangat. Dengan sebab itu pendirian mereka bergoyang dan mereka pun mencari  kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

Sikap “pelampau” ini (yang sekarang ini disokong pula oleh puak cauvinis) berjalan di atas lunas-lunas yang berbahaya yang akan merendahkan darjah politik UMNO, ringkasnya meletakkan taraf pemikiran politik kita serendah yang dipegang oleh PAS.


(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)






Pengenalan
BAB 1 : Ilham Dari Hospital
BAB 2 : Bayangan Masa Lampau
BAB 3 : Pilihan Raya Umum
BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina
BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen
BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah
BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah”
BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi
BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan
BAB 10 : Mabuk Kemenangan
BAB 11 : Api Menyala Malam
BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian
BAB 13 - Keadaan Darurat
BAB 14 : Putih Kembali
BAB 15 : Sepucuk Surat
BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO
BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak
BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?
BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan
BAB 20 : Falsafah Hidup
BAB 21 : Peranan Akhbar Dan Rusuhan
BAB 22 : Pengajaran Dari Baling
BAB 23 : Mimpi Dan Alamat

13 Mei 1969 - Dr Tan Chee Khoon : Dari Parti Buruh, Fron Sosialis, Gerakan dan Pekemas

Tahukah anda Parti Gerakan sewaktu ditubuhkan pada tahun 1968 dulu telah diasaskan sebagai sebuah parti kiri?

Ikuti wawancara tahun 1980 dengan Dr. Tan Chee Khoon - penganut Christian Methodist - seorang aktivis kiri, pemimpin Parti Buruh, dan salah seorang pengasas Parti Gerakan bercakap tentang pengalamannya bergiat dalam gerakan kiri dari tahun 50'an hingga ke tahun 70'an.

Wawancara ini di ambil dari Majalah Nadi Insan, Bilangan 18, Oktober 1980.

Bagaimanakah Dr. Tan menceburkan diri dalam bidang politik?

Saya datang dari satu keluarga yang miskin. Bapa saya datang dari negeri China dan saya dilahirkan di suatu kampung bernama Cheras, 11 batu dari Kuala Lumpur.

Parti Buruh

Apakah pengalaman Dr. Tan sebagai seorang doktor telah mempengaruhi Dr. Tan melibatkan diri dalam bidang politik?

Di dalam sekolah lagi, saya pernah ada mengambil bahagian dalam perbahasan antara murid-murid. Kemudian semasa di Fakulti Perubatan di Singapura saya telah mengambil bahagian dalam persatuan mahasiswa. Saya adalah pengurus suatu jawatan kuasa yang menyediakan perlembagaan persatuan mahasiswa Universiti Malaya yang ada sekarang. Apabila saya lulus daripada Fakulti Perubatan di Singapura dan saya mula kerja di Hospital Besar di Kuala Lumpur, saya campur dengan pihak progresif. Buat masa itu, di dalam tahun 50an, cuma ada suatu parti mula-mulanya, iaitu Parti Buruh. Kemudiannya ada Partai Rakyat.

Penubuhan Fron Sosialis

Pada penghujung tahun 50an, Parti Buruh telah bergabung dengan Partai Rakyat. Bolehkah Dr. Tan terangkan sedikit tentang perkembangan itu?

Parti Buruh ialah suatu partai yang berbilang kaum dan bukan untuk suatu kaum saja. Tetapi pada masa itu malangnya, ramai anggotanya datang dari kaum Cina dan ada juga dari kaum Melayu dan India. Apabila Partai Rakyat ditubuhkan, kebanyakan anggotanya datang dari kaum Melayu. Pada masa itu hanya ada 2 partai sayap kiri dan kami ingat dengan bekerjasama kita boleh mencapai tujuan kita dengan lebih senang dan lebih cepat.

Pada awal tahun 60an, Fron Sosialis telah menentang penubuhan Malaysia atas sebab-sebab tertentu. Bolehkah Dr. Tan terangkan sebab-sebab itu?

Fron Sosialis menentang penubuhan Malaysia oleh sebab pihak British dan kerajaan Malaysia pada masa itu tidak memberi masa yang mencukupi kepada rakyat di Sabah, Sarawak, Singapura dan juga Brunei — yang akhirnya tidak menganggotai Malaysia — untuk mengkaji cadangan serta implikasi menyertai Malaysia. Kami juga berpendapat bahawa Malaysia ialah cadangan imperialis British untuk terus menjaga kepentingan di rantau ini.

Apakah sikap Dr. Tan terhadap gabungan antara Singapura dengan Semenanjung?

Kita pada masa itu, dan sekarang juga, menerima gabungan antara Singapura dan Malaysia. Tetapi oleh sebab alasan yang diberi oleh saya, kita kata Malaysia tidak boleh berjaya. Dua tahun selepas penubuhan Malaysia, Singapura telah keluar dari Malaysia.

Bolehkah Dr. Tan terangkan sikap Dr. Tan dan rakan-rakan terhadap People's Action Party, (PAP) khususnya terhadap Lee Kuan Yew?

Kami di Fron Sosialis dituduh oleh PAP, khasnya oleh Lee Kuan Yew. Beliau mengatakan kita ialah komunis dan kami mengatakan beliau adalah seorang konco imperialis. Beliau ialah seorang yang bersetuju dengan pertubuhan Malaysia itu dan kami pula menentang. Oleh itu di dalam Dewan Rakyat dan di luar juga, kita menentang satu sama lain.

Penceraian Fron Sosialis

Bolehkah Dr. Tan terangkan sedikit tentang sebab-sebab yang telah mengakibatkan penceraian Fron Sosialis pada pertengahan tahun 1960an?

Pada masa itu kita mesti sedar semua pemimpin-pemimpin Partai Rakyat telah ditahan di Muar, Batu Gajah dan Taiping, dan kebanyakan pemimpin-pemimpin Parti Buruh juga ditahan — Ishak Hj. Mohd dan sebagainya. Ada pemimpin yang tidak ditahan pergi ke London untuk belajar undang-undang. Oleh itu, kedua-dua partai itu tiada pemimpin-pemimpin baik yang ada pengalaman. Timbul pula beberapa masalah, kedua-dua partai tidak dapat bersetuju dan oleh itu, timbullah pergaduhan antara Parti Buruh dan Partai Rakyat. Saya mengatakan lebih baik kalau kita tidak bersetuju tentang beberapa isu yang penting, kita berpisah. Jangan bergaduh. Kita pernah bergaduh dalam Dewan Rakyat.

Beberapa tahun kemudian, Dr. Tan telah tinggalkan Parti Buruh. Bolehkah Dr. terangkan sebab-sebab sebaliknya?

Pertengahan tahun 60an adalah zaman bila ekstremis di dalam Parti Buruh dan Partai Rakyat mempunyai banyak pengaruh. Mereka telah mengambil kuasa dalam kedua-dua parti. Saya tidak bersetuju dengan sikap yang diambil oleh pihak ekstremis di dalam Parti Buruh dan oleh itu mereka telah cuba memecatkan keanggotaan saya dari Parti Buruh. Oleh itu, saya keluar daripada Parti Buruh pada tahun 1968.

Penubuhan Parti Gerakan

Bolehkah Dr. Tan terangkan bagaimana Dr. Tan telah melibatkan diri dalam penubuhan Gerakan Rakyat Malaysia.

Apabila saya keluar dari Parti Buruh, saya ada dua ialan. Saya boleh bersara dari politik atau saya boleh melanjutkan kerja saya. Saya tidak mahu bersara dari politik dan dengan itu saya menubuhkan parti itu. Rakan-rakan saya pada masa itu, Tan Pheck Kin dan V. Veerapen semua dah balik dari London lulus dalam ilmu undang-undang.

Saya bukan seorangan lagi dalam politik kiri dan mereka juga bersetuju supaya kita menubuhkan suatu partai kiri. Pada masa itu, Dr. Lim Chong Eu sendiri ingin menutup UDP dan bersara dari politik. Kami berdua bersetuju kami boleh menubuhkan suatu partai politik. Ada rakan-rakan saya dalam Parti Buruh yang tidak bersetuju. Mereka tidak campurtangan dalam penubuhan Gerakan. Kami kata kami boleh menubuhkan suatu partai kiri jika kami dapati persetujuan daripada kebanyakan pekerja-pekerja seperti pemimpin-pemimpin kesatuan pekerja seperti V. David, Yeoh Teck Chye dan Zainal Rampak. Ada juga sokongan dari kaum intelektual, termasuk pensyarah-pensyarah dalam Universiti seperti Prof. S. Hussein Alatas dan Prof. Wang Gung Wu. Kami menubuhkan Parti Gerakan Rakyat pada tahun 1968.

Bolehkan Dr. Lim Chong Eu, misalnya, dianggap sebagai seorang bersikap kiri yang bersefahaman dengan cita-cita Dr. Tan?

Dr. Lim mula-mula seorang kiri. Dia menubuhkan Parti Radikal di Pulau Pinang. Ada anggota Parti Buruh yang tidak masuki Gerakan kerana tidak setuju dengan Dr. Lim Chong Eu juga. Tetapi buat masa itu, kita kira, kalau seorang seperti Dr. Lim bercampurtangan dengan kita, kita boleh menubuhkan suatu partai yang boleh mendapati sokongan daripada rakyat di Malaysia — suatu partai yang berbilang kaum.

Peristiwa 13 Mei
Bolehkah Dr. Tan mengulas sedikit tentang Peristiwa 13 Mei dan sebab-sebabnya.

Dalam pilihan raya tahun 1969, kita sudah tahu sebelum hari membuang undi, kita akan berjaya dan oleh itu kebanyakan pemimpin-pemimpin kita telah pun ke Pulau Pinang untuk membantu partai kita di Pulau Pinang. Oleh itu kita telah menang — kalau tidak salah — 16 daripada 27 kerusi yang ditanding pada masa itu. Di Selangor kita telah menang selepas hari membuang undi, di dalam Selangor kita telah berjaya dalam pitihanraya Persekutuan dalam kawasan Bukit Bintang dan dalam negeri kita telah menang dalam kawasan Kepong, Pantai, Serendah, Salak, Serdang, dan di Semenanjung Malaysia telah menunjukkan pihak pembangkang telah mendapat sekurang-kurangnya 50%. Kita telah mendapat 40% kerusi dalam Persekutuan. Dalam negeri Perak pihak pembangkang telah dapat 24 kerusi, pihak Gerakan 2 kerusi. Oleh itu, pada pendapat saya, UMNO telah terkejut atas kejayaan kami.

Selepas pilihanraya, saya mengakui, ada beberapa pemimpin pembangkang yang telah melawat kawasan-kawasannya yang didiami oleh kaum Melayu di Kuala Lumpur. Tentang apa yang dikatakan oleh Tengku tentang saya sendiri, saya sebenarnya telah ke kawasan saya untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong kami. Saya seorang saja yang mendapat lesen dari pihak polis untuk melawat ke kawasan-kawasan kami di Jin. Raja Laut, Jin. Tuanku Abdul Rahman dan Kampung Kasipillay. Kami sebenarnya tidak melawat kawasan-kawasan Melayu, seperti yang dikatakan oleh Tengku. Dalam parti Gerakan, ada ramai pemimpin-pemimpin Melayu yang datang melawat saya. Oleh itu takkanIah saya sendiri atau rakan-rakan saya yang mengikuti saya pada 12hb Mei memaki kaum Melayu seperti disebutkan oleh Tengku.

Tetapi sebab yang penting ialah UMNO buat pertama kali telah terkejut sebab mereka tidak sangka Perikatan boleh kalah di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Oleh itu, Gerakan telah mengambil keputusan pada 11hb Mei kita tidak mengambil bahagian untuk menubuhkan satu kerajaan negeri di Perak. Ini bermakna kita tidak mau campurtangan dengan penubuhan kerajaan pembangkang di Perak. Dan di Selangor, kita telah mengambil keputusan seperti itu juga.

Pada pagi 13hb Mei, Goh Hock Guan dari DAP telah melawat saya di rumah saya. Dia bercadang bahawa DAP boleh bekerja dengan Gerakan untuk menubuhkan suatu kerajaan negeri dan beliau mencadangkan saya boleh menjadi Timbalan Mentri Besar. Saya terus terangkan kepadanya bahawa kaum Melayu akan menentang jika saya sebagai seorang China menjadi Timbalan Mentri Besar. Walaupun saya tidak menerima cadangan itu, sebelum itu pembunuhan sudah bermula di Kampung Baru.

Bolehkah Dr. Tan ceritakan sedikit tentang sebab-sebab yang telah mengakibatkan perpecahan Gerakan.

Perpecahan Gerakan sebenarnya tidak menunjukkan pergaduhan antara rakan-rakan Lim Chong Eu dengan rakan-rakan lain. Kebanyakan anggota Gerakan seperti saya sendiri tidak menyokong Lim Chong Eu, atau yang lain. Sebenarnya ada pergaduhan di Pulau Pinang antara Tan Pheck Kin dan V. Veerapen dan penyokong-penyokong Lim Chong Eu. Mereka mengatakan Dr. Lim tidak mengimplementasi manifesto kita dan oleh itu mereka ada cadangan untuk membuang Dr. Lim sebagai Ketua Mentri. Tentulah Dr. Lim tidak bersetuju dengan cadangan itu dan oleh itu muncullah pergaduhan. Dan malangnya Dr. Syed Hussein AIatas dan V. Veerapen telah menulis surat untuk meletakkan jawatan presidennya kepada saya (sebagai Setiausaha Agung). Mereka menyuruh saya mengadakan suatu mesyuarat untuk meletakkan surat itu kepada jawatankuasa. Saya dipaksa oleh Sdr. V. Veerapan dan Dr. Syed Hussein Alatas supaya mengadakan mesyuarat dan serahkan surat mereka kepada jawatankuasa pusat.

Malangnya, apabila Dr. Syed Hussein AIatas dan mendiang sdr. Veerapen mengambil tindakan itu mereka tidak tahu pada masa itu penyokong-penyokong mereka kurang daripada penyokong-penyokong Dr. Lim, oleh itu surat itu diterima oleh mesyuarat jawatankuasa pusat. Saya tidak bersetuju dengan penerimaan surat itu oleh Dr. Lim Chong Eu dan saya pun keluar. Sebelum itu Dr. Lim sudah sedar Dr. Syed Hussein AIatas akan meletakkan jawatannya dan beliau telah cadangkan saya menjadi pengerusi Gerakan. Cadangan itu saya tidak terima. Dr. Lim telah cadangkan Gerakan memasuki Perikatan. Saya dan ramai penyokong-penyokong saya tidak menyetujui ini.

Dr. Tan telah menubuhkan Pekemas kemudian. Mengapa Dr. Syed Hussein Alatas dan rakan-rakannya tidak menyertai parti itu?

Oleh sebab peranan yang diambil oleh saya dalam pergaduhan antara Dr. Alatas dan Dr. Lim itu, malangnya Dr. Alatas sangka saya telah menyokong Dr. Lim. Sebenarnya saya tidak mengambil bahagian langsung, menjadi seorang neutral dalam pergaduhan antara kedua-dua pihak itu. Apabila Pekemas telah ditubuh - bukan oleh saya tetapi oleh rakan-rakan saya yang lebih muda mereka menjemput saya menjadi pengerusi Pekemas. Buat masa itu, saya ingin bersara dari politik sebab 10 tahun sudah mencukupi. Tapi saya dipaksa oleh penyokong-penyokong saya menjadi pengerusi.

Boleh Dr. Tan terangkan bagaimana Ahmad Boestamam dan Parti Marhaennya telah masuk ke dalam Pekemas?

Apabila kita menubuhkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia kita ada sokongan daripada beberapa orang Melayu dan apabila kita keluar dari Gerakan, kita masih juga ada sokongan dari golongan Melayu itu juga. Tetapi oleh sebab sikap saya dan pemimpin-pemimpin Pekemas pada masa itu, kita merasa kita mesti bekerjasama dan mesti mendapat sokongan dari kaum Melayu. Kita ingin cari sokongan pihak sayap kiri untuk membantu Pekemas dan mendiang sdr. V. Veerapen telah berbual dengan Boestamam. Pada masa Itu, beliau adalah setiausaha kepada Ketua Menteri Sarawak kalau tak silap saya, dan beliau telah menjemput Parti Marhaen memasuki Pekemas. Beliau telah memasuki Pekemas pada tahun 1973.

Setelah Dr. Tan diserang penyakit, beberapa orang tokoh Pekemas telah meninggalkan parti itu untuk menyertai parti DAP. Apa pendapat Dr. Tan terhadap perkembangan ini?

Untuk pilihanraya 1974, kita sangka Pekemas boleh kerjasama dengan DAP seperti yang telah berlaku pada tahun 1969. Tapi ini tidak dapat sokongan DAP. DAP ingin menyerap Pekemas dan anggota-anggota kita ke dalam DAP. Itu tidak dapat diterima oleh pemimpin-pepimpin Pekemas. Saya sendiri tidak setuju dengan sikap DAP terhadap beberapa isu. Tapi apabila saya diserang penyakit pada penghujung tahun 1976 dan saya tidak mengambil bahagian lagi dalam politik, Boestamam telah menjadi Presiden dan beberapa pemimpin-pemimpin Pekemas seperti V. David, Zainal Rampak dan lain-lain telah memasuki DAP sebelum pilihanraya tahun 1978.

Saya tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh mereka. Rakan saya Dr. Tan Seng Gian bertanding di kawasan Kepong pada tahun 1978 juga telah dijemput untuk memasuki DAP. Saya tahan beliau jangan masuki DAP masa itu; Tetapi selepas pilihanraya, kalau Pekemas tiada harapan, baru dia patut masuk DAP. Keputusan pilihanraya 1978 kita sudah sedar. Dr. Tan Seng Gian tidak mendapati bilangan undi terbanyak yang didapati oleh DAP. Kebanyakan calun lain telah hilang wang pertaruhan mereka. Selepas pilihanraya Dr. Tan pun telah memasuki DAP.

Apakah ini bermakna bahawa Dr. Tan Chee Khoon sendiri merestui politik yang diperjuangkan oleh DAP sekarang?

Saya tidak bersetuju dengan pendirian DAP tentang beberapa isu dan saya sendiri tidak mau masuki DAP atau apa-apa partai lain. Isu pertama yang paling penting adalah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Buat permulaan DAP dan PAP telah bersetuju dengan Akta itu, tetapi apabila Lim Kit Siang sendiri ditahan, pendirian atau sikap DAP tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri telah ubah. Mereka sekarang menentang Akta itu. Itu menunjukkan sikap mereka tidak jujur. Saya dan rakan-rakan saya di Parti Buruh semua menentang Akta itu dan sekarang juga kita menentang.

Baru-baru ini Dr. Tan telah menerima anugerah PSM dengan gelaran Tan Sri dari pihak pemerintah. Apa maksudnya dari segi pandangan Dr. Tan?

Saya diberitahu bahawa pihak kerajaan ingin menganugerahkan PSM kepada saya oleh kerana peranan saya dalam bidang perubatan. Selepas beberapa hari untuk buat kajian yang mendalam, saya pun terima penganugerahan itu.

Falsafah apakah yang mendorong dan memandu penglihatan Dr. Tan dalam bidang politik?

Seperti saya katakan tadi, saya datang dari suatu keluarga yang miskin. Setelah lulus dari Fakulti Perubatan, saya terus balik ke Kuala Lumpur dan memasuki Parti Buruh Malaya supaya saya boleh bekerja untuk rakyat jelata, khasnya orang-orang miskin. Sebagai seorang doktor, saya boleh membantu pesakit-pesakit yang miskin. Mereka semua boleh mencari saya dan saya boleh buat apa-apa yang saya boleh untuk menolong mereka. Seperti juga dalam bidang politik, saya tidak memasuki politik untuk mencari wang, bukan untuk nama atau mencari gelaran tetapi supaya saya boleh kerja untuk rakyat jelata yang perlu pertolongan saya. Saya berharap generasi politikus, masa sekarang boleh mewarisi sikap itu juga, iaitu bukan untuk mencari wang atau nama besar.


Monday, September 16, 2013

13 Mei 1969 - Sebelum dan Selepas (BAB 17 : Perlembagaan dan Hak)

MENURUT “pelampau-pelampau” yang telah dapat memujuk golongan muda, negara ini adalah kepunyaan orang Melayu sahaja dan orang-orang lain tidak berhak ke atasnya. Tidak ada siapa pun yang dapat menafikan bahawa pada asalnya negara ini ialah sebuah negara orang Melayu, dan merekalah yang menjadi bumiputeranya. Dengan sebab itulah Perlembagaan mesti mengadakan syarat-syarat khas mengenai adat istiadat dan hak orang-orang Melayu.

Syarat-syarat ini terkandung dalam Perlembagaan kita. Mestilah diingat bahawa Perlembagaan negara kita telah digubal setelah mendapat kata sepakat daripada semua kaum kerana mereka memahami dan menyedari kedudukan istimewa orang Melayu. Oleh kerana orong Melayu sentiasa cenderung kepada pemerintahan beraja, maka Perlembagaan telah menentukan bahawa negara ini mestilah diperintah oleh Raja bergelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih dari kalangan Sultan.
Sambil itu Perlembagaan juga mengawal dan menghormati kedudukan dan hak kedaulatan Raja-Raja  Melayu, seperti perkara-perkara mengenai agama dan adat istiadat orang Melayu. Perlembagaan itu juga mensyaratkan bahawa agama Islam hendaklah menjadi agama rasmi bagi negara dan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Ringkasnya, Perlembagaan mempertahankan dah mengkanunkan hak-hak  orang Melayu buat selama-lamanya.

Bahkan Perlembagaan juga telah menentukan perkara-perkara yang lain untuk orang Melayu. Ia mengakui hakikat bahawa semasa Perlembagaan itu digubal dengan persetujuan semua pihak, setiap orang telah sedar dan menerima hakikat bahawa kedudukan ekonomi orang Melayu telah tertinggal daripada  kaum-kaum lain. Hakikat ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Oleh itu satu syarat khas telah dimasukkan untuk mengatasi kemunduran ekonomi orang Melayu.

Sesungguhnya, laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menyatakan, “bahawa sebagai basil daripada perjanjian-perjanjian yang asal dengan Negeri-Negeri Melayu yang ditegaskan dari masa ke semasa, maka kedudukan istimewa orang Melayu itu sentiasa diperakui, dan perakuan ini telah dinyatakan sekali lagi -dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.”

Selanjutnya suruhanjaya itu menyatakan bahawa pada ketika itu ada empat perkara mengenai dengan kedudukan istimewa orang Melayu yang diakui dan diberi perlindungan. Perkara-perkara itu ialah tanah simpanan orang Melayu di negeri-negeri; peruntukan khas (kuota) jawatan Kerajaan; peruntukan khas mengenai pengeluaran permit dan lesen perniagaan seperti lesen lori dan kereta sewa; dan akhirnya pelbagai peringkat biasiswa, sama ada yang merupakan bantuan penuh atau sebahagian, dan berbagai-bagai-bagai lagi bantuan untuk tujuan pelajaran yang diberikan kepada orang Melayu.

Suruhanjaya itu menyatakan bahawa “orang Melayu akan menghadapi satu kedudukan yang sangat lemah berbanding dengan kaum-kaum lain kiranya syarat-syarat istimewa ini ditarik balik dengan tiba-tiba.” Mereka membuat perakuan supaya kedudukan yang terdapat  pada waktu itu patutlah diteruskan  untuk satu masa yang panjang.

Dengan lain-lain perkataan, ahli-ahli Suruhanjaya itu telah menyatakan bahawa keutamaan ekonomi bagi orang Melayu sangatlah perlu. Mereka mencadangkan supaya perkara ini dikaji ba1ik seIepas 15 tahun. Kesemua pandangan ini telah dimasukkan dalam Perlembagaan itu.

Sejak kemerdekaan, kerajaan Perikatan yang telah memegang kuasa telah mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan ini dan menjalankan polisinya untuk menentukan supaya cita-cita hendak memajukan ekonomi orang Melayu itu pada keseluruhannya dapat dicapai. Dengan sebab itulah Kerajaan telah menjalankan dan melaksanakan rancangan pembangunan luar bandar, sehingga dapatlah dikatakan bahawa bermacam-macam perkara telah dibuat untuk faedah orang Melayu daripada mereka dalam rahim sehinggalah ke pintu kubur.


Salah satu daripada rancangan  kerajaan ialah penubuhan Mara yang bertujuan untuk melatih orang Melayu dalam pelbagai jenis pekerjaan yang mereka tidak pernah mendapat peluang menjalankannya pada masa yang lepas. Tujuannya ialah supaya mereka mendapat tempat yang hak  dalam seluruh masyarakat bangsa kita. Tempat-tempat dikhaskan untuk orang Melayu di Universiti Malaya dan di maktab-maktab teknik. Pelajaran permulaan diberikan dalam Bahasa Kebangsaan di semua sekolah tidak kira untuk mana-mana kaum. Tidak lama lagi sebuah universiti lagi akan ditubuhkan untuk membuka peluang baru bagi orang Melayu. Dan selagi kerajaan Perikatan masih memegang kuasa, maka banyaklah lagi rancangan yang akan dilaksanakan bagi faedah orang Melayu.

Segala usaha sedang ditumpukan kepada kerja yang boleh mendatangkan faedah bagi ekonomi orang Melayu. Meskipun begitu, banyak lagi yang perlu dibuat. Sebarang kajian semula mengenai soal ini tidaklah sekali-kali akan mencacatkan hak-hak orang Melayu sebagaimana yang tercatatt dalam Perlembagaan.

Sementara itu, tidaklah boleh kita lupakan kepentingan lain-lain kaum sebagaimana yang disyaratkan dalam Perlembagaan. Kita mestilah ingat bahawa kesemua kaum lain ini telah bersama-sama dengan orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan negeri ini.

Jangan-lah kita mengetepikan hakikat bahawa sebelum kita menjadi sebuah negara yang merdeka kita cuma sebuah tanah jajahan Inggeris yang dipecah-pecahkan. Kiranya semua kaum tidak bersatu untuk kemerdekaan, negara kita tentulah masih lagi menjadi Tanah Jajahan British sehingga hari ini. Setelah perjuangan kemerdekaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan disokong oleh kaum-kaum lain dilancarkan, maka timbullah semangat hendak menghalau dan menamatkan penjajahan di negara ini, dan dengan kemerdekaan itu dapatlah kita mengambil tempat kita yang hak sebagai sebuah negara yang berdaulat. Kita mestilah  menyedari bahawa perubahan yang seperti inilah juga yang telah membawa negara-negara lain di Afrika menjadi bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Tidak siapa pun yang membangkang usaha Kerajaan hendak menolong orang Melayu kerana semua orang yang siuman insaf bahawa dari zaman berzaman orang Melayu telah terbiar di negara mereka sendiri. Dasar Kerajaan ialah menggalakkan supaya mereka yang tidak berada dan anak-anak mereka itu supaya maju ke hadapan, dan memberi kepada mereka segala kemudahan untuk perbaikan masa hadapan mereka.

Seorang pegawai asing telah menyatakan kepada saya bahawa kemajuan yang dibuat oleh orang Melayu dalam masa 10 tahun kemerdekaan sangatlah menakjubkan. Saya menjawab bahawa kiranya kita mendapat peluang, dan dengan adanya keamanan yang berkekalan dalam negara, maka banyak lagi yang akan dapat kita lakukan.

Apabila Undang-Undang Bahasa Kebangsaan diluluskan, maka puak “pelampau” dalam UMNO tidak bersetuju dengan beberapa fasal yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong membenarkan penggunaan bahasa Inggeris bagi maksud-maksud rasmi yang difikirkan mustahak.

Mereka juga tidak bersetuju diberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan atau mana-mana  Kerajaan Negeri menggunakan sebarang terjemahan bagi surat atau perutusan dalam bahasa kaum lain untuk maksud yang difikirkan perlu bagi kepentingan awam.

“Pelampau2″ itu mendakwa bahawa kita menggalakkan kaum lain menggunakan bahasa mereka sendiri. Mereka mahu supaya Bahasa Kebangsaan diamalkan sepenuhnya dan dengan serta-merta tanpa memberi peluang kepada orang lain membiasakan diri mereka dengan Bahasa Kebangsaan secara berberansur-ansur.

Mereka tidak sedar bahawa negara-negara baru lain telah cuba dari semenjak beberapa tahun yang lepas hendak mengadakan satu bahasa kebangsaan, tetapi tidak berjaya dan banyak lagi dari negara yang masih menghadapi kesulitan untuk menyelesaikan masalah ini. Mereka juga tidak sedar bahawa India yang mempunyai satu bangsa daripada berbagai-bagai suku belum lagi dapat melaksanakan satu Bahasa Kebangsaan. Jadi sikap tidak sabar yang ditunjukkan  oleh “pelampau-pelampau″ itu tidaklah wajar.

Saya berpendapat penerimaan Undang-Undang Bahasa Kebangsaan oleh semua pihak merupakan satu kejayaan dan saya suka memberi masa kepada kaum lain mengamalkan bahasa itu sepenuhnya. Langkah memaksa orang lain menerima setiap perkara yang hendak dibuat adalah satu polisi yang salah dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Kelas-kelas dan kursus Bahasa Kebangsaan telah mendapat sambutan. Keadaan ini mendorongkan kita semua menaruh harapan bahawa tidak lama lagi bahasa itu akan diletakkan di tempat yang sepatutnya dalam Malaysia yang merdeka.

Kita boleh tengok sikap penuntut di sekolah Cina yang berpaling ke negara China untuk menumpahkan taat setia mereka. Mereka menentang Bahasa Kebangsaan sebagai satu dasar dan dengan sebab itu mereka mengutuk rakan kita MCA yang telah mempersetujuinya. lnilah salah satu sebab kenapa MCA hilang sokongan orang China dalam pilihan raya lalu. Oleh itu jelaslah bahawa pelaksanaan penuh Bahasa Kebangsaan itu memerlukan masa.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa negara ini ialah sebuah negara Melayu, tetapi terpulanglah kepada orang Melayu sendiri memainkan peranan yang cergas untuk merebut peluang pada masa hadapan. Sambil itu mereka mestilah sentiasa ingat bahawa Perlembagaanlah yang dapat menjamin keselamatan dan kemajuan kita semua.  Jika “pelampau” Melayu mahu menunggangbalikkan Perlembagaan, maka mereka akan  membuta tuli terjerumus ke jurang kemunduran dan terperangkap dalam keadaan kacau-bilau.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)






Pengenalan
BAB 1 : Ilham Dari Hospital
BAB 2 : Bayangan Masa Lampau
BAB 3 : Pilihan Raya Umum
BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina
BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen
BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah
BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah”
BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi
BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan
BAB 10 : Mabuk Kemenangan
BAB 11 : Api Menyala Malam
BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian
BAB 13 - Keadaan Darurat
BAB 14 : Putih Kembali
BAB 15 : Sepucuk Surat
BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO
BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak
BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?
BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan
BAB 20 : Falsafah Hidup
BAB 21 : Peranan Akhbar Dan Rusuhan
BAB 22 : Pengajaran Dari Baling
BAB 23 : Mimpi Dan Alamat

13 Mei 1969 - Sebelum dan Selepas (BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?)

Janganlah kita silap untuk memahami tujuan puak “pelampau”. Mereka tidak puas hati dengan Malaysia yang kita kenali. Malaysia yang kita telah bina. Mereka mahu meruntuhkan seluruh binaan dan membinanya semula kemudian kelak. Menurut apa yang saya dengar, mereka berazam hendak menghapuskan pemerintahan beraja dan menubuhkan sebuah republik.

Menurut “pelampau-pelampau” itu, perbelanjaan bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja adalah membazirkan wang. Dan dengan kerana itu mereka mahu jawatan Sultan di semua negeri dihapuskan. Mereka mendakwa bahawa kebanyakan negara lain telah membuang pemerintahan beraja, dan menyatakan bahawa wang yang dibelanjakan untuk menegakkan kebesaran dan  kedaulatan Raja-Raja itu membazir semata-mata.

Saya suka mengingatkan bahawa dalam negara yang telah menegakkan pemerintahan republik bagi menggantikan pemerintahan beraja, wang yang telah diselamatkan itu telah diboroskan dengan cara lain. Sesunggohnya banyak negara yang telah melakukan perubahan sistem pemerintahan dan kemudian mendapati diri mereka menghadapi kekurangan wang sekalipun mereka tidak payah lagi membuat peruntukan bagi perbelanjaan diraja.

Sebenarnya negara-negara itu juga tidak boleh menyelamatkan wang negara sekalipun mereka tidak perlu lagi mengadakan peruntukan diraja kerana jika negara itu tidak ada Raja dan bercorak republik ia mesti mempunyai seorang Presiden, dan  taraf serta kedudukan Presiden itu perlu dipelihara sama seperti Raja itu juga.

Di zaman pemerintahan penjajah dulu, negara-negara itu dapat menyimpan wang dari hasil mahsulnya sekalipun mereka kena mengadakan peruntukan bagi Raja-Raja, dan memberi sumbangan mereka kepada khazanah Kerajaan penjajah yang memerintah mereka. Sekarang mereka menjadi miskin sekalipun mereka tidak ada Raja dan penjajah. Ke manakah segala kekayaan itu ghaib?

Lihat sahaja sekeliling dunia. Kenapa negara-negara yang mempunyai raja berperlembagaan pada umumnya kaya dan makmur. Kita boleh misalkan sesebuah negara itu sebagai rumah bagi penduduknya, sama seperti sebuah rumah itu sebagai tempat duduk bagi seseorang. Jika orang itu berbangga dengan tempat kediamannya, maka tentulah dia akan mencurahkan wangnya untuk menghias rumah itu supaya dapat menikmati keselesaan dan keindahan.

Begitu jugalah rakyat sesebuah negara boleh berbangga bukan sahaja dengan cara ia ditadbir, bahkan juga cara bagaimana dapat mempertahankan adat-resam dan istiadat. Mereka berbangga dengan cara pemerintahan beraja yang mereka pusaka kerana Raja menjadi simbol kebanggaan mereka.

Di Eropah, Britain, tiga buah negeri dalam gabungan Scandinavia, Belanda, Belgium dan  Greece semuanya mempunyai pemerintahan beraja. Di Timor Tengah dan Afrika,  Saudi Arabia, Iran, Jordan. Morocco dan Habshah ialah negara-negara beraja. Di Timor Jauh,  Jepun, Thailand, Laos dan Malaysia juga beraja. Dan di Kampuchea mereka mempunyai pemerintahan beraja cara mereka sendiri.

Dalam kebanyakan negara tersebut,  perubahan yang penting telah dilakukan. Maharaja atau Raja tidak lagi mempunyai kuasa mutlak. Mereka menjadi simbol adat dan kebesaran sesebuah negara. Di Malaysia, orang Melayu sentiasa taat kepada dalam sepanjang sejarah kita, kerana kita sentiasa mengakui Sultan sebagai ketua negeri. Orang Melayu yang tidak pernah mendapat kesempatan mempunyai sebuah negara itu telah hidup dalam Semenanjung yang  terbahagi kepada beberapa buah negeri, setiap negeri  mengamalkan satu corak pemerintahan yang serupa iaitu kesemuanya mempunyai Raja.

Keadaan  telah berubah dalam zaman moden ini. Malaysia sekarang telah menjadi satu negara yang berupa Persekutuan Negeri-Negeri. Dalam sesebuah Persekutuan sebagaimana di Amerika Syarikat atau Kanada; sesebuah negeri itu mempunyai seorang gabenor dan ada perlembagaannya sendiri yang berlainan daripada Perlembagaan Persekutuan. Dan mana-mana Perlembagaan jua pun berkehendakkan supaya ada seorang Ketua Negeri, yang nama dan tandatangannya menjadi meteri kekuasaan yang mutlak bagi undang-undang dan kerajaan.

Apa yang telah kita lakukan di Malaysia ialah mencantumkan sistem yang lama dan yang baru. Daripada 13 negeri dalam Persekutuan, sembilan mempunyai Raja dan empat mempunyai Gabenor sekalipun gelarannya berlainan

Mereka yang dipanggil “pelampau” itu kesemuanya terdiri daripada orang Melayu, iaitu satu kaum yang sentiasa mempunyai adat-resam beraja. Kehormatan yang diberikan oleh orang Melayu kepada Raja mereka telah menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka. Oleh yang demikian payah hendak difahami kenapa “pelampau-pelampau” ini mahu menghapuskan adat yang telah menjadi darah daging orang Melayu. Sebilangan pelampau ini telah menuntut di England dan berkahwin dengan perempuan Eropah. Saya tidak dapat memahami kenapa orang yang telah mendapat ilmu pengetahuan di England tidak membuka mata mereka semasa berada di sana untuk memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Semasa saya tinggal di England selama 12 tahun, saya sangat tertarik hati dengan cara orang  Inggeris menumpahkan taat  setia mereka kepada Raja dan Ratu mereka. Sebenarnya orang Inggeris sentiasa membentuk cara hidup mereka menurut zaman pemerintahan Raja-Raja mereka. Misalnya  mereka merujuk kepada mana-mana generasi dengan menyebut zaman pemerintahan seseorang Raja.

Sebagaimana yang dunia ketahui, orang Inggeris adalah bangsa yang terpe1ajar; tetapi mereka juga tahu apa yang baik untuk masyarakat mereka. Dengan kerana itu pemerintahan beraja tidak pernah luput daripada sejarah mereka. Pada zaman ini mereka tidak lagi menyifatkan Raja sebagai pelindung mereka seperti zaman  silam, atau pun mencari perlindungan untuk keselamatan di bawah naungan Raja itu. Mereka cuma menerima Raja sebagai simbol kemegahan mereka di masa lampau dan untuk memenuhi kehendak perlembagaan.

Tidakkah “pelampau-pelampau” yang berdarah muda ini dan yang menggelar diri mereka “bijak pandai” dapat melihat semua itu semasa mereka berada di sana? Apabila  saya bertanya apakah yang mereka akan buat bagi menggantikan Raja supaya orang Melayu sentiasa merasai diri mereka anak watan, terjamin dan ada perlindungan, mereka menjawab bahawa mereka akan memikirkan hal itu apabila  sampai masanya. Saya tidak dapat memahami apakah tujuan jawapan mereka itu.

Memanglah benar bahawa politik yang dijalankan atas asas-asas demokrasi tidak dapat menjamin seseorang ahli politik itu terpilih lagi dalam pilihan raya yang akan datang, atau pun parti itu juga yang akan dipilih memegang kuasa. Ahli-ahli politik dan parti politik naik dan turun, tetapi Raja tetap di atas takhta masing-masing.

Raja dapat menimbulkan rasa kepercayaan di sisi semua orang dan dapat mengadakan pemerintahan yang berturun-temurun dalam sejarah sesebuah negara. Bagi orang Melayu pula, Raja dapat menimbulkan rasa keperibadian mereka. Sesungguhnya perasaan keperibadian orang Melayu yang bertali dengan Raja mereka menjadi sebab kenapa parti-parti pembangkang bukan Melayu telah bertubi-tubi  melancarkan kemnpen pilihan raya menentang hak-hak orang Melayu. Adakah “pelampau” ini mahu memainkan politik yang sama dengan pembangkang bukan Melayu itu?

Mengenai dengan wang yang dibelanjakan kerana memelihara kedudukan Sultan, saya sendiri berpendapat bahawa wang itu telah dibelanjakan dengan mendatangkan faedah kepada negara kerana pada hari ini kita menjadi salah sebuah negara yang termakmur. Di Asia. Dan Raja-Raja telah memainkan peranan dengan cergas menurut Perlembagaan.

Sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen, dan melakukan upacara pembukaan penggal baru bagi persidangan Parlimen dengan memberi titah ucapan yang mengandungi dasar yang Kerajaan akan laksanakan. Bagindalah yang menjadi puncak kehormatan negara dan tunggak keadilan Baginda bertindak dengan nasihat Perdana Menteri. Persetujuan Baginda mestilah diperoleh terlebih dahulu untuk melantik Perdana Menteri dan menubuhkan Kabinet. Ringkasnya, Yang di-Pertuan Agong adalah sumber yang menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Rakyat Malaysia telah mempersetujui sebuah Perlembagaan dan dalam Perkara 7  Perlembagaan  tertulis bahawa “Persekutuan hendaklah menjamin hak Rara-Raja setiap negeri  menaiki takhta Kerajaan Negeri itu dan haknya memegang, memakai dan menjalankan hak dan kelebihannya sebagai Raja Negerinya menurut Perlembagaan Negeri itu. Pertelingkahan berkenaan dengan hak menaiki takhta kerajaan sesuatu negeri itu hendaklah diputuskan semata-mata oleh pihak yang tertentu dan dengan cara yang ditentukan oleh Perlembagaan Negeri itu.”

Perlembagaan mengatasi segalanya dan mestilah dipatuhi oleh semua orang, daripada Yang di-Pertuan Agong hinggalah  kepada rakyat jelata. Jika sebarang pindaan hendak dilakukan dalam Perlembagaan, maka pindaan itu cuma boleh dibuat atas syarat-syarat mengenai pentadbiran harian. Bencana yang besar akan menimpa sesebuah negeri kiranya dilakukan sebarang percubaan hendak membuat pindaan yang besar ke atas Perlembagaan.

Oleh yang demikian Perlembagaan yang diletakkan di bawah perlindungan Yang di-Pertuan Agong itu adalah menjadi satu jaminan yang kekal bagi meneruskan pentadbiran yang teguh.

“Pelampau-pelampau” yang terdiri daripada orang muda ini tidak menghiraukan tentang keteguhan yang Malaysia nikmati sejak merdeka. Mereka seolah-olah tidak memahami apa ertinya keteguhan itu dan pentingnya  untuk kemajuan dan  pembangunan yang orang Melayu mendapat faedah daripadanya. Mereka menuntut supaya diadakan perubahan tanpa menghiraukan sebarang akibat yang akan timbul. Tidak ada salahnya hendak mengadakan perubahan dengan syarat perubahan itu akan menghasilkan keadaan yang lebih baik kepada kita semua, tetapi jika perubahan itu semata-mata  kerana sesuatu muslihat dan untuk kepentingan sesuatu pihak sahaja, maka tidaklah ia mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara. Perubahan yang seumpama itu tentu-lah akan merosakkan corak penghidupan kita. Jika “pelampau-pelampau” itu berkeras hendak mengadakan perubahan yang besar itu, maka mestilah mereka sanggup bertanggungjawab di atas bencana yang akan menimpa negara. .

Saya nasihatkan “pelampau-pelampau” ini supaya jangan menghambat bayang-bayang. Marilah kita semua berpuas hati dengan apa yang kita telah capai sehingga hari ini kerana seluruh dunia memandang tinggi dan memuji di atas apa yang telah kita capai. Marilah kita bersyukurr dengan segala rahmat Tuhan.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)






Pengenalan
BAB 1 : Ilham Dari Hospital
BAB 2 : Bayangan Masa Lampau
BAB 3 : Pilihan Raya Umum
BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina
BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen
BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah
BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah”
BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi
BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan
BAB 10 : Mabuk Kemenangan
BAB 11 : Api Menyala Malam
BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian
BAB 13 - Keadaan Darurat
BAB 14 : Putih Kembali
BAB 15 : Sepucuk Surat
BAB 16 : Rebutan Kuasa Dalam UMNO
BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak
BAB 18 : Pemerintahan Beraja atau Republik?
BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan
BAB 20 : Falsafah Hidup
BAB 21 : Peranan Akhbar Dan Rusuhan
BAB 22 : Pengajaran Dari Baling
BAB 23 : Mimpi Dan Alamat

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP