Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Monday, March 7, 2011

Pas seru ahli-ahlinya menyerang UMNO.....


Seorang bekas penyokong fanatik Pas, Rashid Wahab, hari ini tampil mendedahkan bahawa parti itu bukan sahaja memperalatkan agama bagi mengkafirkan ahli UMNO malah menyeru ahlinya supaya mengangkat senjata menentang UMNO.

Rashid yang 22 tahun mengabdikan diri kepada Pas berkata, kerana taksub dengan amanah Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau terpaksa meringkuk dalam penjara apabila ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak tiga kali.

"Saya pernah ditahan di bawah ISA sebanyak tiga kali kerana membawa senjata.

"Kononnya berjuang untuk Islam tetapi saya bersyukur kerana akhirnya telah diberi hidayah daripada terus ditipu oleh Pas," katanya seperti dipetik dari portal, http://umno-online.com, hari ini.

Pendedahan itu sekali gus mengesahkan mengenai kewujudan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang dikaitkan dengan Pas, sehingga menyaksikan anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Adli dan puluhan ahli Pas ditahan di bawah ISA.

Menurutnya, kerana amanah Abdul Hadi itu juga, beliau dan rakan-rakannya bukan sahaja mengkafirkan ahli UMNO malah, tergamak mengkafirkan bapa sendiri hanya kerana insan yang membesarkan mereka itu tidak menyokong perjuangan Pas.

Pada masa sama, beliau juga mendedahkan bahawa pucuk pimpinan Pas tidak pernah ikhlas untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini sebaliknya ia dijadikan perkakas dan modal politik bagi memancing sokongan orang Melayu.

Katanya, hakikat itu terbukti apabila para pemimpin Pas berdolak-dalik setiap kali ditanya mengenai hukum hudud dan penubuhan negara Islam, sedangkan dahulu mereka berjanji sebaik sahaja memegang kuasa, Pas akan melaksanakan perundangan Islam di negara ini.

"Apabila didesak mengenai kes hudud kenapa tidak dilaksanakan selepas menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah, jawapan yang diberi oleh pucuk pimpinan Pas adalah hudud ini hanya satu per dua ribu sahaja dalam Islam, maknanya mereka berbohong," jelasnya.

Dedah Rashid lagi, Pas juga pernah mengeluarkan 'fatwa' bahawa solat di masjid-masjid yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah tidak sah dan ahli parti itu diharamkan daripada beribadah di masjid terbabit kerana perjuangan nasional tidak selari dengan Islam.

Bagaimanapun jelas beliau, sebaik sahaja Pas berjaya menawan Terengganu pada 1999, segalanya berubah dan Abdul Hadi yang menjadi Menteri Besar pada ketika itu, membenarkan masjid yang dahulunya haram digunakan oleh ahli Pas bagi tujuan ibadah.

"Pas menggunakan agama. Dalam usrah dan ceramahnya, Pas sering mengelirukan pengikutnya dengan cerita-cerita keislaman pada zaman Rasulullah SAW. Jadi pengikut Pas terasa dengan menyokong Pas mereka berjuang untuk Islam tetapi mereka sebenarnya keliru.

"Mereka tidak dapat membezakan yang mana satu parti dan yang mana satu agama. Selama menyertai Pas selama 22 tahun, sekarang barulah saya sedar, Pas dan Islam adalah berbeza. Islam itu adalah agama dan Pas hanyalah sebuah parti," terangnya.

Oleh: MOHD. ASRON MUSTAPHA

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP