Hukuman di dunia terhadap terhadap peminum arak tidak disebut dalam al-Quran, tetapi hanya disebut dalam hadis.
PENEMUAN PERKATAAN 'ARAK' / 'KHAMAR' ATAU PERKATAAN 'MABUK' DALAM AL-QURAN:-
AN NAHL (LEBAH) 016:67 (Makiyyah)
- Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.
AL BAQARAH (LEMBU BETINA) 002:219 (Madaniyyah) [Ayat 281 – di Mina]
- Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
AN NISAA (WANITA) 004:043 (Madaniyyah)
– Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
AL MAA-IDAH (HIDANGAN) 005:090-091 (Madaniyyah)
- Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
– Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
MUHAMMAD (NABI MUHAMMAD S.A.W.) 047:015 (Madaniyyah)
– Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!
(Hanya 6 ayat al-Quran di atas sahaja dijumpai, mungkin ada lebih lagi? Minta bantuan)
HUKUMAN TERHADAP PEMINUM ARAK:-
Daripada 6 ayat al-Quran dinyatakan di atas tiada pula hukuman ke atas peminum arak. Tetapi terdapat masalah hukuman yang diberikan kepada orang yang meminum arak dalam hadis-hadis. Sebagai tambahan penjelasan, berikut hadis-hadisnyanya:-
“Bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah mendera orang yang meminum minuman keras dengan dua pelepah tamar 40 kali” (HR Muslim)
“Pada zaman Rasulullah s.a.w. hukuman meminum khamar dipukul 40 kali dengan dua selipar, maka pada zaman ‘Umar beliau menggunakan cemeti sebagai ganti tiap-tiap satu selipar” (HR Ahmad)
Dan banyak lagi hadis-hadis yang mengenainya, tetapi daripada bacaan saya didapati terdapat JUGA hadis-hadis yang bercanggah di antara satu sama lain hukuman ke atas peminum arak. Ada hadis yang menyatakan apa yang dilakukan bukan oleh Nabi Muhamad s.a.w. tetapi oleh Khalifah Abu Bakar dan lain-lain khalifah selepasnya.
Hukuman di dunia terhadap peminum arak yang disebut dalam hadis itu pula tidak konsisten dan bercanggah pula antara satu sama lain.
Berdasar kepada cerita yang terkandung dalam banyak hadis, hukuman terhadap peminum arak yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w. berbeza daripada seorang pesalah kepada seorang pesalah yang lain.
Malah ada hadis-hadis yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah melaksanakan sendiri hukuman itu, tetapi dilaksanakan oleh para sahabat baginda saja selepas baginda wafat.
Ini bermaksud Rasulullah tidak pernah mengambil tindakan ke atas peminum arak.
Di bawah ini diperturunkan pengertian beberapa hadis itu.
Dalam sebuah hadis yang terkandung dalam kitab Sahih al-Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengarah sahabat-sahabatnya memukul seorang yang minum arak dengan kasut dan pelepah kurma.
Tetapi dalam sebuah hadis lain yang terkandung dalam kitab Sahih Muslim yang meriwayatkan bahawa Rasulullah sendiri memukul peminum arak dengan dua pelepah kira-kira 40 kali. Dalam menghurai hadis berkenaan, Imam Muslim menyebut bahawa Abu Bakar memukul peminum arak sebanyak 40 kali dan Omar ibn al-Khatab pula membuat sebatan 80 kali.
Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Malik, Al-Laits, keluarga Rasul dan satu pendapat lain dari As-Shafi’e menetapkan bahawa hukuman ke atas peminum khamar ialah 80 sebatan. Mereka mengatakan bahawa hukuman 80 sebatan ini telah diijma’ oleh para sahabat berdasarkan hadis Anas r.a. :
”Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. seorang peminum khamar, maka Rasulullah memukulnya dengan sandalnya (selipar) sebanyak lebih kurang empat puluh kali. Kemudian Abu Bakar dibawa kepada peminum khamar, maka beliau berbuat seperti itu juga. Kemudian dibawa peminum khamar kepada Omar, lalu beliau bermesyuarat mengenai hukum hudud ini. Ibn Auf (Abdul Rahman) berkata: Sekurang-kurangnya hukum Hudud ialah 80 kali sebatan. Maka Omar memukul peminum tadi 80 kali sebatan”(HR Ahmad, Muslim, Abu daud dan At-Tarmizi)
Kerana tidak wujud hukuman terhadap pesalah minum arak dalam al-Quran (tidak seperti hukuman terhadap pencuri, penzina, penuduh (qazaf) dll.) serta berlaku pula perbezaan dan percanggahan dalam hadis-hadis di atas menyebabkan sesetengah ulamak menganggap hukuman terhadap pesalah minum arak bukan terjatuh dalam hukuman Hudud, sebaliknya ia hukuman takzir, iaitu hukuman ringan atau hukuman kecil yang kadarnya tidak ditetapkan oleh al-Quran dan hadis, tetapi ditetapkan oleh hakim atau mahkamah secara berijtihad.
Di bawah undang-undang yang digunapakai kepada rakyat Malaysia (tanpa mengira agama) adalah tidak menjadi apa-apa kesalahan jika meminum arak. Walau bagaimanapun ia menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang atas akibat minum arak. Sebagai contoh kesalahannya memandu kenderaan di bawah pengaruh arak atau bertatakelakuan buruk (termasuk merosakkan harta benda) di khalayak awam akibat pengaruh arak. ‘Mabuk akibat arak’ juga bukannya boleh dijadikan satu asas pembelaan diri dalam mahkamah.
Di bawah Seksyen 510 Penal Code – Misconduct in public by a drunken person
“Whoever, in a state of intoxication, appears in any public place, or in any place which it is a trespass in him to enter, and there conducts himself in such a manner as to cause annoyance to any person, shall be punished with imprisonment for a term which may extend to ten days, or with fine which may extend to twenty ringgit, or with both”
Bagi rakyat Malaysia pemegang MyKad yang tertera Islam dalamnya, berikut adalah hukuman berkaitan arak yang digunapakai oleh kebanyakan negeri-negeri berlandaskan kepada Akta/Enakmen Jenayah Syariah Islam mengikut wilayah / negeri masing-masing, melainkan negeri-negeri dinyatakan di bawah secara khusus:-
(a) Sabitan kesalahan meminum arak (apa-apa minuman yang memabukkan) di kedai (atau di tempat awam) dengan sukarela (bukan dengan paksaan atau dipujuk rayu untuk meminumnya) boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. [Nota : Tiada sebatan]
(b) Sabitan kesalahan membuat, menjual, menawarkan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan ataupun membeli arak (apa-apa minuman yang memabukkan) boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya. [Nota : Tiada sebatan]
Walau bagaimanapun bagi negeri-negeri Pahang dan Kelantan hukuman bagi pesalah Muslim yang membuat, menjual, mengedar, menyimpan atau meminum minuman yang memabukkan adalah sama sahaja hukumannya, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun dan disebat tidak melebihi 6 sebatan, manakala negeri-negeri Islam lain tidak mengenakan hukuman sebatan. Maknanya sebatan adalah hukuman wajib bagi pesalah kesalahan arak bagi kedua-dua negeri itu, tidak bagi negeri-negeri lain.
Ini pula adalah hukum dan hukuman yang ditetapkan dalam Enakmen Hudud oleh Hadi Awang semasa beliau menjadi Menteri Besar Terengganu dulu terhadap peminum arak. Orang Muslim yang membuat, mengedar atau menjual arak TIDAK DIKENAKAN HUKUMAN kerana menafsirkan orang Muslim itu sebagai tidak berdosa
Di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud) Negeri Terengganu 2002
5. Syurb.
(1) Syurb adalah kesalahan meminum arak atau sebarang minuman yang sifatnya memabukkan, sama ada orang yang meminumnya mabuk atau tidak, dan tanpa mengira kuantiti yang diminumnya.
(2) Sesiapa yang melakukan kesalahan syurb hendaklah dihukum dengan hukuman seperti berikut:
(a) bagi kesalahan pertama atau kedua dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan;
(b) bagi kesalahan ketiga dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan dan tidak lebih daripada lapan puluh sebatan; dan
(c) bagi kesalahan keempat dan seterusnya dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan dan tidak lebih daripada lapan puluh sebatan, dan boleh juga dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
Ini bagi negeri Kedah:-
Seksyen 25. Minuman yang memabukkan.
(1) Mana-mana orang yang minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menghadiah, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Hukuman terhadap kesalahan meminum lebih berat daripada membuat, mengedar ataupun menjual arak, dan tiada hukuman sebatan.
Mengapa berlainan dan tidak seragam hukumannya? Kerana fahaman yang berbeza tentang tafsiran ajaran agama Islam oleh masyarakat Melayu Islam di Malaysia.
Sila juga rujuk di sini untuk menambahkan pengetahuan
No comments:
Post a Comment