PRK P212 Bandar Sibu menyaksikan pertembungan 3 penjuru!
Selepas hanya calon Barisan Nasional (BN); Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Wong Ho Leng dan calon Bebas, Narawi Haron mengemukakan borang pencalonan masing-masing apabila tempoh pencalonan berakhir jam 10 pagi tadi.
DAP bukan hanya akan berdepan dgn Barisan Nasional malah PKR juga. Hanya jentera PAS yg akan membantu DAP berkempen manakala PKR entah kemana..
Undi Bumiputera jadi penentu di Sibu
Sebaik selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu tengah hari semalam, jentera kempen Barisan Nasional (BN) dan DAP terus bergerak menemui sebanyak mungkin pengundi. Tumpuan awal ialah ke kawasan majoriti pengundi Bumiputera di pinggir Bandar perdagangan ini.
Calon BN, Robert Lau Junior, misalnya terus berkunjung ke penempatan orang Melayu / Melanau di Kampung Hilir dan Kampung Nangka — dua kawasan padat pinggiran bandar yang seakan-akan Kampung Baru di Kuala Lumpur, manakala beberapa menteri Kabinet Persekutuan dan negeri ke penempatan majoriti pengundi Bumiputera seperti Iban di luar bandar, diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Petang semalam, Muhyiddin melawat Kampung Bahagia Jaya dan Kampung Baru Sibu, manakala Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Jariah — semuanya di penempatan Melayu / Melanau.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula ke rumah panjang Iban di Tanjung Penasu di pedalaman. Kelmarin, Shafie turut berkunjung ke beberapa penempatan Melayu dan Iban di sepanjang Sungai Rajang seperti di Tutus.
Pakatan pembangkang tidak ketinggalan apabila calon mereka dari DAP, Wong Ho Leng turut melawat kawasan penempatan Iban di Penasu. Sekutunya, Pas yang langsung tidak mempunyai cawangan di Sibu dikerah menggempur kawasan perkampungan Melayu di Kampung Dato, Kampung Hilir, Kampung Baru dan Kampung Nangka dalam tempoh beberapa hari akan dating dengan harapan mengajak pengundi memilih calon DAP.
Semuanya berebut untuk menambat hati pengundi Bumiputera. Bayangkan, daripada 54,695 pengundi, 34 peratus atau 17,124 pengundi adalah Bumiputera terdiri daripada Melayu/Melanau (8,866 pengundi) serta Iban (7,823) dan yang lainnya, Bidayuh dan Orang Hulu. Tambahan pula pengundi Cina dikatakan terbahagi dua antara BN dan DAP, sekali gus menjadikan undi masyarakat Bumiputera sebagai penentu.
“Masalahnya sekarang ialah Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang berdepan masalah dalaman agak perit di Sibu. Keadaan ini boleh memecahkan undi,” kata seorang pemimpin kanan negeri ketika ditemui di pusat penamaan calon, semalam.
“Kalau kita (BN) boleh menang separuh undi Cina, majoriti BN adalah besar bersandarkan sokongan padu pengundi Melayu / Melanau dan Iban,” katanya yang juga seorang Menteri Kabinet Sarawak.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba di bandar Sibu petang semalam terus mengadakan ceramah di beberapa penempatan Cina di Rajang Esplande dan Lai Lai Cafe sebelum ke penempatan Melayu/Melanau di Taman Indah, Teku.
Pagi ini, Anwar bersarapan pagi di bilik gerakan Pas di Kampung Hilir (Melayu) sebelum ke Bawang Assan (Iban) pada sebelah tengah hari dan sekali lagi ke kampung orang Melayu di Kampung Baru malam ini, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
BN perlu menjejaki balik kawasan yang dilawati Anwar ini jika tidak mahu pengundi di situ beralih kepada DAP, kerana umum mengetahui Anwar petah berpidato.
Dalam pada itu ramalan awal Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa kelebihan berpihak kepada BN pada tahap 60-40, pemimpin BN menganggap ia sebagai perangkap dan perang psikologi pembangkang. Kenyataan seperti itu juga dikeluarkannya pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini yang mengakui pembangkang menghadapi kesukaran untuk menang.
Begitu pun, kenyataan itu tidak seharusnya melekakan jentera BN yang perlu bekerja keras, lebih-lebih lagi dengan kehadiran calon ketiga, Narawi Haron, 60, yang boleh 'mencuri' beberapa pengundi Melayu/Melanau. Yang dikhuatiri ialah Narawi mungkin mendapat undi protes bagi mereka yang tidak sukakan kedua-dua BN dan DAP.
Kit Siang juga mengakui pertandingan kali ini agak sengit dan sukar diramal, kerana sentimen politik di Sarawak berbeza dengan di Semenanjung. Malah, calon DAP sudah memulakan kempen dari rumah ke rumah.
BN perlu melakukan sesuatu yang lebih ajaib kerana selain membantu menyelesaikan masalah prasarana di kawasan penempatan Iban dan Melayu/Melanau, ia juga perlu melihat keperluan masyarakat Cina di tengah bandar Sibu seperti isu sistem perparitan hingga menyebabkan bandar ini kerap dilanda banjir kilat serta isu pendidikan.
BN harus mengambil kesempatan bahawa masyarakat Cina di sini berbeza dengan di Semenanjung, yang tidak mudah terpengaruh dengan isu nasional seperti yang kerap dibangkitkan. Antaranya mengenal pasti masalah sebenar mereka dan menyelesaikannya sebaik mungkin tanpa perlu beretorik yang berapi-api.
Namun, jika benar pengundi Cina terbahagi dua, seramai 17,124 pengundi Bumiputera yang bakal menjadi faktor penentu perlu diberi perhatian. Berdasarkan persaingan hebat di Hulu Selangor, BN dan pakatan pembangkang tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk meraih hati pengundi Sibu. — Berita Minggu
No comments:
Post a Comment