Gambar hiasan - Menutup 'aurat' dan 'perhiasan' dan bertudung rambut | Menutup 'aurat' dan 'perhiasan' dan bertudung muka dan rambut dengan 'burqa' | Menutup 'aurat' dan 'perhiasan' dan bertudung muka dan rambut dengan 'purdah' |
KEBANGKITAN agama yang terjadi ekoran meletusnya revolusi Syiah di Iran pada tahun 1979 telah membawa beberapa perubahan dalam kehidupan agama masyarakat Islam di seluruh dunia.
Salah satu perubahan itu ialah sebilangan besar kaum wanita Islam kembali kepada amalan memakai tudung atau hijab.
Bagaimanapun, isu ini sukar dibincangkan secara ilmu terutama pada waktu sekarang dan sesiapa yang cuba menggeledahnya boleh dituduh macam-macam termasuk dicap menentang hukum Allah.
Bukan tiada ulama pragmatis yang mengetahui tentang kedudukan sebenar mengenai tudung ini, tetapi mereka tidak mahu bercakap tentang perkara tersebut.
Ketika ulama dogmatis menjadikan hukum memakai tudung sebagai kewajipan yang tidak boleh bertolak ansur dan sesetengah pergerakan agama menjadikannya sebagai agenda perjuangan, ulama pragmatis pula memandangnya sebagai kecil dan remeh.
Pada pandangan ulama golongan kedua ini, perkara seperti itu tidak ada faedah dan tidak patut diberi perhatian, tetapi yang patut diberi perhatian ialah soalan pembangunan umat yang menyeluruh termasuk pendidikan, politik, ekonomi dan lain-lain.
Sepintas lalu agak logik juga mendengar ulama pragmatis di negara-negara Arab berhujah pada tahun 80-an.
Bagaimanapun, jika diteliti betul-betul perkara kecil dan remeh inilah yang membawa banyak masalah kepada orang ramai jika ulama tidak sanggup memberi penjelasan dengan sebaik-baiknya.
Ini kerana perkara kecil dan remeh ini boleh menjadi perkara besar yang berbahaya.
Dalam kehidupan harian kita terdapat banyak perkara kecil dan remeh yang boleh mengganggu dan mengancam kita.
Sebagai contoh sebiji atau beberapa biji pasir yang termasuk dalam kasut kita dianggap perkara terlalu remeh dan kecil, tetapi ia boleh menyebabkan kita kehilangan imbangan, apatah lagi jika kita berada dalam keadaan tidak boleh menanggalkan kasut untuk membuang pasir itu.
Hasil daripada kehilangan imbangan itu mencetuskan perkara yang lebih berbahaya iaitu kemarahan. Jika kemarahan itu pula melanda diri kita, mungkin kita tidak akan berlaku adil terhadap diri sendiri dan orang lain.
Dalam kehidupan kita di rumah, di tempat kerja dan di sekeliling kita selalu ada masalah seperti ada sebiji atau beberapa biji pasir dalam kasut ini.
Sesetengah orang mungkin lebih sakit dan menderita apabila berhadapan dengan perkara-perkara kecil kerana tidak pandai mencari jalan keluar daripada masalah itu. Tetapi sebenarnya manusia yang hilang pertimbangan tidak dapat membezakan antara masalah kecil dan masalah besar. Pada manusia seperti ini masalah kecil adalah masalah besar.
Dengan itu tidak wajar membiarkan perkara remeh dan kecil itu menjadi masalah besar dan dalam kes tudung ini jika dibiarkan tanpa penjelasan sebaik-baiknya ia boleh menyebabkan orang mengecap wanita yang tidak bertudung sebagai kurang Islam ataupun terus mengecapnya tidak Islam dan kafir.
Penulis pernah membincangkan isu yang dianggap remeh dan kecil tetapi berbahaya ini dalam ruangan ini dan ruangan E-mel Daripada Pembaca, tetapi terpaksa dihentikan kerana isu yang berat perlu didedahkan secara bertahap-tahap.
Pendekatan ini menjadi pilihan penulis kerana penulis tetap dengan kehendak dakwah Islam yang menyuruh orang berilmu menyampaikan ilmu mereka mengikut kadar kemampuan berfikir masyarakat serta menggunakan hikmah kebijaksanaan dan cara yang lemah lembut.
Tindakan menghentikan perbincangan mengenai tudung itu juga bertujuan untuk memberi peluang kepada sesetengah pembaca yang belum bersedia dari segi pengetahuan agama supaya lebih banyak membaca atau bertanya kepada orang yang lebih tahu dalam agama.
Bagaimanapun, kini penulis percaya sudah tiba masanya untuk menulis beberapa bahagian lagi mengenai tudung dan berharap ia dapat memberi faedah dalam pencambahan minda.
Sebenarnya tudung bukan perkara yang baru muncul bersama kemunculan Islam. Sebaliknya kemunculannya mendahului Islam kerana ia wujud dalam semua agama langit dan kebanyakan agama budaya.
Malah ia wujud juga dalam kebudayaan Arab Jahiliah, kebudayaan Roman, kebudayaan Parsi dan lain-lain.
Dr. Abdul Wadud Shalabi dalam Fi Mahkamatittarikh menulis, orang bukan Islam memerli kita dengan tudung padahal ia diakui dalam semua syariah dan agama.
Apa yang termaktub dalam kitab Perjanjian Lama (Old Testament) dan Perjanjian Baru (New Testament) menjadi bukti yang menolak semua pembohongan terhadap Islam.
Dalam al-Ishah 14 daripada Sefr at-Takwin ada menyebut: Dan Ishak keluar untuk melihat ladang yang didatangi air... dia mengangkat pandangannya dan melihat... seekor unta sedang mara ke arahnya... Refqa (Rebecca) mengangkat pandangan dan melihat Ishak... dia turun dari unta sambil menyoal hambanya: ``Siapakah lelaki yang berjalan dalam ladang dan mara ke arah kita?'' Hamba itu menjawab: ``Dia adalah tuanku.'' Lantas Refqa pun mencapai purdah dan menutup mukanya.
Dalam al-Ishah 3 daripada Sefr Ashi'ia ada menyebut: Allah akan menghukum anak-anak gadis Zion yang tidak bertudung dan berbangga dengan bunyi gelang kaki mereka.
Terdapat sejenis tudung dipanggil wimple dipakai oleh wanita Kristian di atas kepala dan di sekitar leher, pipi dan dagu. Ia biasanya diperbuat daripada linen putih atau sutera yang bagus. Ia digunakan dengan membingkaikan muka dan menudung leher dan bahagian dada.
Sekurang-kurang pada penghujung abad ke-12 sehingga permulaan abad ke-14, pemakaian tudung begitu ketara di seluruh Eropah pada zaman pertengahan. Kini pakaian itu masih kelihatan dipakai semula oleh sesetengah wanita Barat yang kuat beragama di selatan Eropah dan pulau-pulau di Laut Mediterranean. Begitu juga ada sejenis fesyen tudung digunakan di kalangan wanita Kristian kini dikenali sebagai hajab iaitu hijab atau tudung.
Dikatakan pakaian itu diterima oleh wanita Barat pada zaman pertengahan dulu dengan meniru pakaian wanita Islam di Asia Barat. Para pejuang Kristian yang melancarkan perang Salib dulu yang membawa fesyen itu ke Barat.
Dalam Injil pula disebut (1st Corinthians 11:5 E6): ``Tetapi tiap-tiap perempuan yang berdoa atau sembahyang dengan kepala yang tidak bertudung, menghina kepalanya, sebab ia sama dengan perempuan yang dicukur rambutnya. Sebab jika perempuan tidak mahu menudung kepalanya, maka haruslah ia juga menggunting rambutnya. Tetapi jika bagi perempuan adalah penghinaan kalau rambutnya digunting atau dicukur, maka haruslah ia menudung kepalanya.''
Jika merujuk kepada zaman Roman, kita juga boleh mendapati tudung menjadi pakaian wanita di kalangan orang Roman.
Mohammad Ali El-Zahiri dalam Huquq al-Mar'ah Wa Ghairiha menulis: ``Kaum wanita Roman bekerja di rumah. Sedangkan para suami dan bapa mereka pula ikut serta dalam peperangan. Selain kerja dalam rumah, kaum wanita Roman juga melaksanakan kerja menenun... mereka sangat keterlaluan dalam mengenakan pakaian tudung.''
Sebagai contoh seorang bidan tidak akan keluar dari rumah kecuali menutup lingkup dirinya dan tidak kelihatan kecuali muka yang berpurdah tebal. Sedangkan pakaiannya pula labuh sehingga mencecah buku lali. Di atas pakaian itu pula terdapat jubah (menutupi badan) dan tidak boleh ternampak sedikit pun bentuk liuk tubuhnya.
Di kalangan penganut Hindu pula terdapat juga amalan memakai tudung. Sejenis tudung wanita Hindu dikenali sebagai parda dan ia adalah purdah yang dipakai wanita Islam di Asia Barat. Bagaimanapun, pakaian tradisi wanita India secara keseluruhannya adalah hampir sama dengan pakaian wanita Islam. Ini barangkali disebabkan India pada masa lalu pernah diperintah oleh beberapa kerajaan Islam.
Banyak lagi agama dan budaya lain yang mewajibkan atau sekurang-kurangnya menggalakkan kaum wanita memakai tudung. Tetapi penulis percaya apa yang telah dibincangkan di atas adalah mencukupi untuk menjadi hujah bahawa tudung merupakan fenomena agama dan budaya sedunia kerana ia wujud dalam kebanyakan agama dan budaya.
Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.
ReplyDeleteKami di Unit Media Permatang Pauh selama ini hanya berpeluang membaca dan juga memberi komen ke blog Tuan. Blog Tuan telah banyak memberi info dan juga penerangan berguna buat kami terutamanya tentang putarbelit pembangkang.
Hari ini, Unit Media Permatang Pauh telah menyahut seruan DS Najib untuk memperkuatkan lagi serangan terhadap pembangkang didalam ruang maya. Dan kami dengan rendah dirinya mohon ingin bersama Tuan serta para bloggers pro kerajaan lainnya berrganding bahu didalam usaha ini.
Kami telah linkkan blog Tuan ke list kami dan kami harap Tuan sudi linkkan blog picisan kami ini ke list tuan juga. Diharap, kami yang masih baru ini akan mendapat tunjuk ajar dari pihak Tuan. Semoga perjuangan kita diberkati.
Jutaan terima kasih dari Unit Media Permatang Pauh.