Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Sunday, June 20, 2010

Siapa berbohong dan siapa bakal pengganti Nik Aziz sebagai Mursyidul Am Pas?

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim terus berdepan dengan isu apakah beliau berbohong lagi.

Terbaru, Anwar gagal memberikan penjelasan menyakinkan terhadap dakwaan bahawa beliau pernah mengaku memiliki dan menonton video lucah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Skandal seks ADUN tersebut pernah menggemparkan negara tidak lama dulu selepas ia terdedah menerusi pengedaran video sebagaimana skandal bekas Menteri Kesihatan, Chua Soi Lek.

Bezanya, Wong terus menyandang jawatan sebagai exco kerajaan negeri Selangor sementara Soi Lek mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan.

Berdasarkan pendedahan beberapa bekas Ahli Parlimen PKR termasuk Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) baru-baru ini, Anwar pernah membuat pengakuan memiliki dan menonton video adegan seks ADUN berkenaan.

Malah beliau ketika itu mahu Wong dipecat daripada jawatan Exco.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan tersebut. Dalam reaksi balasnya, Zahrain menyatakan beliau tidak terkejut dengan penafian Anwar ‘kerana itu kepakarannya’.

Menurut beliau lagi: ‘‘Saya sanggup bersumpah bahawa Anwar pernah memberitahu kami dalam satu taklimat yang beliau pernah melihat gambar dan video seks Elizabeth Wong.” Persoalannya siapakah yang berbohong?

Selepas Anwar dikritik hebat oleh pelbagai pihak ekoran isu pembohongan 16 September 2008 dan menyalahgunakan nama Yang di-Pertuan Agong serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tidak sukar sebenarnya untuk membuat rumusan dalam hal ini.

Awang turut tertarik dengan pendedahan bekas sahabat Anwar, S.Nallakaruppan bahawa ketua pembangkang itu adalah ‘penyokong’ syarikat perjudian Magnum Corporation Berhad (Magnum) terutama semasa berada dalam Kabinet.

Nallakaruppan yang juga bekas Pengarah Eksekutif Magnum berkata, Anwar selalu berusaha untuk mendapatkan bantuan Magnum termasuk menggunakan pesawat milik syarikat perjudian itu untuk ke luar negara. Banyak lagi perihal Anwar yang rahsianya dalam genggaman Nallakaruppan.

Sebab itu beliau dan ramai lagi pemimpin PKR yang telah meninggalkan parti melabelkan Anwar sebagai putar alam. Isu moral termasuk kes liwat kali kedua, isu pengkhianatannya terhadap kepentingan agama dan bangsa serta cubaan berterusan mendapatkan campur tangan asing, menyebabkan imej beliau merudum.

Dalam pada itu, Awang tergamam apabila Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat menyatakan bahawa Anwar lebih layak untuk menggantikan tempat beliau.

‘‘Kalau saya diberi peluang, saya mahu beri jawatan ini (Mursyidul Am Pas) kepada Anwar kerana beliau telah melalui pelbagai cabaran,” katanya. Mursyidul Am adalah jawatan bukan eksekutif yang tertinggi, berfungsi sebagai penasihat kepada semua perjalanan dan keputusan yang diambil oleh parti itu.

Apakah serendah itu tanda aras yang ditetapkan oleh seorang tok guru dan mendakwa dirinya ulama bagi mencari penggantinya?

Awang dapat tahu kenyataan Nik Aziz mengundang reaksi kurang senang di kalangan ramai pemimpin dan ahli Pas. Ia seolah-olah menampakkan tiada pemimpin Pas yang layak untuk jawatan tersebut sedangkan parti itu tidak ketandusan pemimpin pelapis yang berkebolehan. Lebih mengganggu fikiran mereka ialah Nik Aziz terlalu mengangkat Anwar.

Pada mereka, mengaitkan pemimpin PKR itu ke jawatan Mursyidul Am umpama suatu penghinaan kepada Pas. Apakah motif Nik Aziz? Berdasarkan perbualan Awang dengan beberapa aktivis dan pemimpin negeri di bawah Pas, Menteri Besar Kelantan itu mungkin mahu ‘menghidupkan semula’ pengaruh kumpulan Erdogan (pro Anwar) dalam parti itu yang beliau adalah pendokongnya.

Ada pula berpandangan, Nik Aziz mahu membuka laluan awal kepada Anwar untuk menyertai Pas memandangkan PKR makin lemah dan dijangka berkubur tidak lama lagi.

Anwar perlukan landasan politik baru dan dikatakan akan lebih selamat berada dalam nakhoda Pas berbanding DAP. Tidak kurang juga yang membaca kenyataan itu sebagai tanda kurang yakin Tok Guru kepada pemimpin Pas khususnya Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa yang dilihat bukan orangnya.

Pelbagai analisis berlegar. Apa pun, suara perwakilan muktamar tahunan Pas yang mahu parti itu lebih dominan dalam pakatan pembangkang dan tidak dibayangi parti lain iaitu DAP dan PKR nampaknya tidak dihiraukan oleh Nik Aziz. Jika impian beliau menempatkan Anwar sebagai Mursyidul Am tercapai, Pas akan menjadi parti yang ‘berjaya’ membantu menyelamatkan karier Anwar. Buat pertama kalinya nanti Mursyidul Am Pas disandang oleh pemimpin yang diwarnai isu moral, integriti, pengkhianatan dan pembohongan. Pas akan berubah menjadi parti yang serba boleh.

Awang Selamat

1 comment:

  1. TGNA x bleh dah nak memerintah negeri, beliau patut jadi ulamak sahaja. belaui sepatutnya rsign dan memberikan laluan [ada yang lain. Saya sayang TGNA dan saya amat hormati beliau, ttp dari segi kepimpinan terkini beliau sudah jatuh hukum wajib untuk bersara dan melepasakan jawatan..

    ReplyDelete

Popular Posts

Recent Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP