Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Friday, December 10, 2010

Anwar Ibrahim dan Khalid Ibrahim vs SYABAS - Satu Pertembungan Agenda Politik !!!

AIDCNews – 3/12/2010
SIRI PERTAMA
Ketika pengurusan air yang dikendalikan oleh SYABAS beroperasi dengan lancar, tiba-tiba Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi Selangor membangkitkan isu tersebut. Dibangkitkan di parlimen, malah disusuli dengan ceramah-ceramah di seluruh Selangor.

Malah lebih mengejutkan, pada Ahad ini, dijangkakan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengetuai perarakan ke Istana Negara menyerahkan bantahan kepada Yang Dipertuan Agong untuk menghalang kenaikan tarif air.

Semua ini seakan dirancang, apa agenda Anwar sebenarnya ?

Untuk merungkai persoalan ini AIDCNews bertanyakan Abdul Halem Mat Som, Pengarah Eksekutif, Bahagian Korporat SYABAS.

AIDCNews : Mungkinkah semua ini ada kaitan dengan pemberian air percuma ?

Abdul Halem : Mereka telah berjanji dalam manifesto pilihanraya untuk memberikan air percuma sekiranya mereka menang. Waktu itu sekadar manifesto, tetapi tanpa disedari mereka telah pun memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan. Sudah tentu janji mereka ditagih rakyat. Jadi air percuma telah dimulakan selepas April 2008.

Kerajaan negeri minta kepada SYABAS, 20 meter padu air percuma yang bersamaan RM11.40 sen. 20 meter padu disubsidi kerajaan negeri yang selebihnya dibayar sendiri oleh pengguna.

AIDCNews : Bagaimana dengan pelaksanaannya ?

Abdul Halem : Pada saya, pemberian air percuma satu langkah yang baik. Tetapi pelaksanaannya tidak dibuat kajian yang menyeluruh.

Kerajaan negeri terpaksa membelanjakan RM11 juta sebulan kerana menunaikan janji air percuma itu. Disebut dalam Selangorkini (portal milik kerajaan negeri), kerajaan negeri ‘kehilangan RM11 juta sebulan’ kerana memberi air percuma kepada rakyat.

Dan pemberian air percuma ini mesti ditulis dalam bil pelanggan yang ditanggung oleh kerajaan negeri sebanyak RM11.40 sedangkan kerajaan pusat tidak buat begitu ketika memberi subsidi beras, gula, minyak dan sebagainya.

Pemberian air percuma pula merangkumi semua rakyat Selangor tanpa mengira golongan kaya atau miskin. Jadi golongan yang kaya yang ada rumah mewah, rumah banglo, kolam renang pun dapat air percuma. Golongan sederhana kaya pun dapat air percuma. Golongan miskin pun dapat.

Golongan yang dapat itu hanyalah yang memiliki meter individu sahaja. Mereka yang tidak guna meter individu, contohnya rumah pangsa kos rendah, rata-rata mereka golongan mereka berpendapatan rendah yang menggunakan meter pukal tidak dapat menikmati sepenuhnya pemberian subsidi air ini jika dibandingkan dengan yang memiliki meter sendiri.

Bayangkan subsidi Rm11.40 untuk 400 unit rumah pangsa kos rendah, sedangkan golongan yang kaya juga mendapat subsidi RM11.40 untuk sebuah banglo mereka. Jadi berlaku ketidakadilan.

Kemudian ada golongan miskin di kampung, golongan miskin di bandar, setinggan dan sebagainya, kebanyakan anak mereka ramai, jadi untuk mereka menggunakan air di bawah 20 meter padu ini agak mustahil. Kebanyakan mereka guna lebih daripada 20 meter padu, sampai 40 meter dan sebagainya. Jadi mereka hanya menikmati subsidi RM11.40 sen, yang selebihnya mereka tetap kena bayar sendiri.

AIDCNews : Kenapa SYABAS wujudkan Tabung Budi ?

Abdul Halem :Ada di kalangan golongan miskin tersebut tak mampu nak bayar bil. Bila tak mampu bayar, dalam sistem bil, nama mereka akan tersenarai sebagai bil tertunggak. Pegawai yang memotong bekalan air ini akan berpandukan kepada senarai tertunggak tersebut.

Kebetulan yang kena potong bekalan ini adalah orang yang susah. Jadi, bila kita semak dan siasat kenapa golongan ini tidak membayar bil, rupanya mereka ini golongan yang daif, anak ramai, pendapatan rendah.

Berdasarkan kepada siasatan itu, SYABAS mengambil inisiatif di kalangan orang yang mampu bersepakat menyerahkan kelayakan subsidi air kepada golongan yang betul-betul memerlukan. Maknanya, kita dapat air percuma RM11.40 sebulan. Jadi, RM11.40 ini kalau dikumpul sepuluh orang, kita akan dapat RM114.00, kalau dua puluh orang kita dapat RM228.00.

Ada sampai peringkat kita tolong jelaskan bil-bil tunggakan golongan susah itu, baiki paip-paip yang sudah lama dan pada masa yang sama kita biayai air mereka secara percuma selama 6 bulan. Bukan sekadar 20 meter padu tapi mengikut yang mereka pakai.

SYABAS hanya pemudahcara untuk mewujudkan Tabung Budi. Untuk mengkordinasi di kalangan penyumbang ini, kita mulakan dengan kakitangan. Kakitangan Pengurusan Kanan seramai 100 orang, kita serahkan hak kita (subsidi percuma) yang sudah diterima setahun lepas sebanyak RM138.00. Jadi, kita dapat sebanyak RM13,800.00 dan diserahkan kepada golongan yang sepatutnya. Mereka sangat terharu dan berterima kasih kerana masih ada orang yang sudi menyelesaikan masalah mereka.

Apabila usaha yang dibuat ini mendapat publisiti, maka semakin ramai orang berhajat untuk memberikan sumbangan ini. Kita tidak menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai seperti sumbangan kepada tabung-tabung lain. Konsepnya adalah anda serahkan kelayakan mendapat bekalan air percuma kepada tabung ini.

AIDCNews: Bagaimana prosesnya ?

Abdul Halem : Kita dah tolak siap-siap bil air kita sebanyak RM11.40, yang kita bayar adalah baki selebihnya. Kita dah jimat di situ. Kita terima bil seperti biasa. Pemberian air percuma itu sudah ditolak.

Contohnya, kalau bil air anda RM51.40. Kemudian ditolak RM11.40, jadi baki yang perlu dibayar ialah RM40.00. Sepatutnya kita kena bayar RM51.40. Cuma perlu bayar RM40.00. Jadi kita sudah jimat sebanyak RM11.40. Penjimatan itulah yang kita serah kepada tabung ini.

Ini bermakna, kita tidak pulangkan kepada kerajaan tapi kita beri kepada Tabung Budi untuk disalurkan kepada orang yang benar-benar memerlukan. Sebab itulah kita wujudkan tabung ini untuk memudahkan mereka yang hendak menyerahkan hak ini seolah-olah menderma air percuma ini kepada orang yang benar-benar memerlukan.

Tabung ini mula mendapat sambutan dan kesedaran daripada orang ramai. Kita ada jawatankuasa yang menilai siapa yang layak menerima sumbangan ini. Kelayakan ini dinilai berdasarkan pendapatan isi rumah, keadaan rumah dan sebagainya.

Ini bukan pembiayaian oleh SYABAS tapi oleh orang yang mendermakan hak kelayakan air percuma mereka. Sebab itulah diwujudkan Tabung Budi yang dibuka kepada orang ramai seperti yang dilakukan oleh kakitangan SYABAS dan Puncak Niaga.

AIDCNews : Adakah wujud suara-suara tidak puas hati tentang Tabung Budi ?

Abdul Halem : Tabung Budi ini mungkin menjadi satu tamparan kepada kerajaan negeri yang mengatakan ini merupakan satu tindakan yang jauh lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Mungkin ada pihak-pihak yang menidakkan kewajaran Tabung Budi ini dengan memberi notis supaya menutup tabung ini kerana melanggar syarat-syarat perjanjian penswastaan.

Kalau syarikat-syarikat luar negara, boleh mewujudkan CSR melalui program-program kebajikan, kenapa usaha yang dibuat oleh SYABAS ini harus dipertikaikan. Sedangkan SYABAS bertindak sebagai pemudah cara dalam pengagihan sumbangan ini.

Ini konsep ‘Dari Rakyat kepada Rakyat’. Bukan dari “SYABAS kepada Rakyat” atau “Dari Kerajaan Kepada Rakyat”. Ini berbeza sama sekali.

Oleh kerana ketidakfahaman konsep inilah, maka ada pihak yang mempertikaikan kewajaran Tabung Budi ini kerana dianggap sebagai satu tamparan dalam mengstrukturkan semula siapa yang patut diberi air percuma ini.

Kalau dilihat dari sudut positif, kita sebenarnya melengkapkan pemberian air percuma oleh kerajaan negeri. Kalau kerajaan negeri tidak memberi air percuma, Tabung Budi ini tidak akan wujud.

Kalaulah Tabung Budi ini dibatalkan, akan memberi implikasi kepada dua pihak. Kedua pihak itu tidak ada kena mengena dengan SYABAS. Pertama, pihak yang menerima dan kedua pihak yang menyumbang.

Ada juga tuduhan yang mengatakan Tabung Budi ini untuk membiayai operasi SYABAS dan sebagainya. Kalaulah dalam Tabung Budi ini ada RM50 juta atau RM100 juta dan sebagainya, logiknya duit ini akan digunakan untuk membayar gaji pekerja dan kos operasi, sedangkan ini duit rakyat. Logik, kalau ada pemikiran begitu walaupun benda itu tidak berlaku.

Setakat ini, kutipan tabung ini hanyalah ada RM200,00.00. Dari RM200,00 inilah diagih-agihkan kepada rakyat yang layak menikmatinya. kemudian, tidak ada, kos-kos pengurusan pun. Kalau RM100,000 kita kutip, RM100,000 itulah yang kita agih-agihkan. Tidak ada kos kakitangan yang urus tabung tersebut atau kos sewa premis. Tidak ada.

Sebab itu tidak ada kewajaran untuk membatalkan tersebut. SYABAS mempertahankan tabung ini untuk kebajikan rakyat.

AIDCNews: Setakat ini macam mana keberkesanan Tabung Budi membantu rakyat ?

Abdul Halem : Bantuan kepada orang ramai ini bergantung kepada sumbangan. Contohnya, semasa tabung ini mula-mula ditubuhkan, kita hanya ada RM13,000.00 sahaja. Jadi, kita agihkan mengikut kapasiti RM13,000.00.

Sewaktu dilancarkan pada September lepas, 14 keluarga yang layak mendapat sumbangan ini. Selepas ini, kita akan buat penyerahan tiap-tiap minggu. Contohnya, kita telah serahkan sumbangan ini kepada tiga keluarga yang dikategorikan sebagai miskin bandar.

Saya anggap kita sebagai pemudahcara. Contohnya, kalau kita mahu menderma kepada sesebuah masjid. Mestilah ada tabung untuk memudahkan kita. Begitu jugalah dengan peranan yang dimainkan oleh SYABAS. Kita sediakan kemudahan itu.

AIDCNews : Benarkan SYABAS secara semborono menaikkan tarif air ?

Abdul Halem : Tarif air ini tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya macam kita menjual cendol. Ia mestilah diwartakan oleh Kerajaan Negeri. Ia mesti dipersetujui oleh semua pihak. Mesti dipersetujui tiga pihak iaitu SYABAS, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

SYABAS telah ada perjanjian dengan kerajaan negeri berkenaan terma-terma tarif air serta KPI ditetapkan untuk kenaikan tarif air tersebut. Setelah dua tahun pertama beroperasi, SYABAS lulus KPI yang ditetapkan oleh kerajaan negeri itu. Itupun dikira lambat setahun daripada yang sepatutnya. Tetapi, kerajaan negeri waktu itu gentleman, seperti dalam perjanjian, kalau tak dapat naik tarif, mereka akan bagi pampasan. Dan pampasan itu diberikan.

AIDCNews : Sesetengah negeri pengurusan air bermasalah, bagaimana dengan Selangor ?

Abdul Halem : Tiap-tiap negeri ada pengurusan air mereka sendiri. Sebelum ini, tiap-tiap negeri berada di bawah Jabatan Bekalan Air yang dipecahkan daripada Jabatan Kerjaraya.

Kebanyakan industri air ini menghadapi masalah. Masalah yang asas. Pertama sekali, dari segi tarif air. Memang di mana-mana pun tarif air itu rendah. Kebanyakan tak dapat menampung kos pengurusan. Mungkin pengurusan biasa itu cukup. Tapi untuk peningkatan kualiti dan sebagainya ini tidak cukup.

Misalnya, paip-paip lama perlu diganti. Paip-paip lama ini menyumbang kepada kualiti air. Masalah paip pecah, kebocoran dan sebagainya. Apabila berlaku paip pecah, pengguna juga akan menghadapi masalah.

Keduanya, pihak pembekal juga akan menghadapi masalah dari segi kehilangan air tanpa hasil. Sewaktu SYABAS ambil alih dulu, kadar kehilangan air tanpa hasil sebanyak 42 peratus. Maknanya air hilang, tidak sampai kepada pengguna. Misalnya, jika 100 peratus pengeluaran air, hanya 48 peratus sahaja yang sampai kepada pengguna, yang selebihnya hilang. Jadi, air yang tidak dibilkan sama ada kerana paip bocor, kecurian air dan sebagainya

Maknanya, yang boleh disalurkan kepada pengguna ini, hanya 48% sahaja, sebab 42% hilang disebabkan paip pecah, bocor dan sebagainya. Ini akan menyumbang masalah-masalah kepada syarikat bekalan air ataupun jabatan-jabatan bekalan air. Jadi, untuk mengelakkan masalah-masalah ini, memerlukan kos yang tinggi termasuklah penggantian paip.

Polisi dan tarif air setiap negeri berbeza-beza. Beberapa negeri masih ditadbir oleh Jabatan Bekalan Air melainkan beberapa negeri yang diperbadankan. Contohnya di Pulau Pinang. Selangor juga diperbadankan pada satu ketika dahulu, dan di Johor telah diswastakan kepada Syarikat Bekalan Air Johor. Kemudiannya Selangor mengikuti langkah Johor diswastakan untuk memberikan kecekapan kepada pentadbiran air tersebut.

AIDCNews : Sejarah penswastaan air di Selangor ?

Abdul Halem : Mula diswastakan pada tahun 1996 dimulai dengan loji-loji rawatan. Dari segi edaran, Jabatan Air Selangor telah diperbadankan menjadi Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS). Tapi masih berhadapan dengan masalah-masalah asas yang saya sebut tadi, PUAS berhutang sebanyak 4.2 bilion dengan syarikat-syarikat pembekal air seperti Puncak Niaga, SYABAS Konsortium dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Berhad (SPLASH).

Hutang ini melibatkan lebih 2 bilion, kemudian ditambah pula dengan hutang-hutang yang tidak dapat dijelaskan kepada kontraktor-kontraktor. Kontraktor ini bekerja setiap hari di mana ada paip pecah di situ lah mereka bekerja. Ini sahaja menelan kos lebih kurang RM500 juta.

Kemudian, hutang Kerajaan Negeri Selangor masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM700 juta kerana hendak menyelamatkan PUAS ketika itu.

Disebabkan masalah-masalah ini, SYABAS ditawarkan untuk mengambil alih tadbir urus air di Selangor melalui penswastaan.

Sebagai anak Selangor yang rasa bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan yang baik, memulihkan industri bekalan air Selangor, YBhg Tan Sri Razali sanggup mengambil tanggungjawab tersebut.

Seolah-olah, mengambil alih sebuah banglo yang buruk, lama dan usang, sedangkan banglo tersebut mempunyai hutang yang banyak di bank. Setelah diambil alih, SYABAS strukturkan semula sistem penyelesaian masalah hutang tersebut. Kemudian dibaiki menjadi lebih elok dan akhirnya, banglo itu menjadi cantik.

AIDCNews : Ketidakcekapan pengurusan pentadbiran akan membantutkan pengurusan air kepada pengguna ?

Abdul Halem : Perkara utama menambahkan kecekapan sistem pungutan hutang. Hutang-hutang ini sekiranya tidak dijelaskan, empat organisasi mungkin akan berhadapan masalah.

Pada masa dulu, PUAS mengalami masalah kewangan. Kemudian tiga syarikat yang membekalkan air (Puncak Niaga, SYABAS dan SPLESH) juga tidak mendapat pembayaran. Bila tidak mendapat bayaran, syarikat ini juga menghadapi masalah untuk membayar gaji kakitangan mereka.

Ini untuk kos-kos operasi dan baik pulih. Di Selangor dan Kuala Lumpur, ada 23, 000 km paip. Jadi, nak ganti paip-paip lama ini kepada paip-paip baru untuk memastikan bekalan air bersih, berkualiti, tidak berkarat dan tidak pecah, semua ini memerlukan kos yang tinggi.

Jadi, waktu itu, industri ini tidak dapat mengeluarkan dana untuk menampung kos tersebut. Malahan, kakitangan pun tidak mencukupi. Macamana nak tambah kakitangan kalau dana pun tidak mencukupi. Sedangkan 7 juta orang pengguna, berbanding dengan 1,500 orang kakitangan.

Dengan penswastaan ini, struktur tersebut dapat disusun semula. Dari segi hutang, pusat perkhidmatan pelanggan (PUSPEL), dan rancangan penggantian paip-paip lama untuk mengelakkan kehilangan air tanpa hasil.Kita sudah kenalpasti, lebih kurang 6000 paip jenis mudah pecah perlu diganti. Ini semua melibatkan kos.

SYABAS juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada kontraktor-kontraktor. Malah, memberi peluang pekerjaan kepada 1,500 orang anak-anak Selangor.

Hari ini, rata-rata mengatakan perkhidmatan SYABAS jauh lebih baik daripada sebelum ini. Seperti konsep rumah banglo yang saya katakana sebelum ini, kenapa rumah yang cantik ini harus diberikan kepada orang lain?

Kenapa industri air ini diswastakan kepada SYABAS ? Jadi, ramai yang tak tahu. Segala perbelanjaan untuk peningkatan kualiti telah dibiayai. Untuk memastikan semua ini beroperasi dengan baik, kita pinjam duit bank, pinjaman mudah dengan pihak kerajaan dan lain-lain.

Dalam perjanjian ini, sudah tentulah ada syarat-syaratnya. Maknanya, kalau berdasarkan tarif yang sedia ada, mungkin kita tak dapat buat semua ini. Boleh kita buat pinjaman bank, tapi macam mana nak membayarnya kembali ?.


Transkrip selanjutnya selepas ini, benarkah kerajaan negeri berusaha mengambil alih semula pengurusan air di Selangor ? Benarkah kerajaan negeri serius atau sekadar mempolitikkan isu air ?

AIDCNews difahamkan terdapat grand design besar yang sedang disusun oleh Penasihat Ekonomi Selangor dalam mengekploitasi isu air di Selangor. Apakah grand design itu ?

1. Adakah Penasihat Ekonomi mahu mencari alasan untuk memberhentikan pemberian subsidi air yang melibatkan kerugian kerajaan negeri sebanyak 11 juta sebulan ?

2. Adakah Penasihat Ekonomi mahu mencari justifikasi untuk mengambil alih pengurusan air dengan menukar CEO sekarang yang diterajui Melayu kepada CEO berbangsa lain seperti mana yang pernah dilakukan terhadap PKNS ?

AIDCNews – 4/12/2010
SIRI KEDUA DAN TERAKHIR

Wawancara AIDCNews siri pertama di atas dengan Pengarah Eksekutif, Bahagian Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som merungkai banyak persoalan tentang agenda sebenar Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan perang ke atas syarikat pengurusan air negeri itu.

Apa sebenarnya yang mahu diperangi Anwar ? Adakah mahu memecat Pengerusi SYABAS, Tan Sri Rozali Ismail dan diganti dengan CEO baru berbangsa Cina ? Adakah mahu mengambil alih semula pengurusan air Selangor ? Adakah sebagai strategi politik untuk menarik semula sokongan rakyat Selangor dengan mempolitikkan isu air ?

Laporan Selangorkini (portal rasmi Kerajaan Negeri Selangor), berkenaan kerajaan negeri ‘kehilangan RM11 juta sebulan’ kerana memberi air percuma kepada rakyat juga wajar diteliti.

Apakah semua strategi perang ke atas syarikat air Selangor itu bertujuan sebagai mencari alasan untuk memberhentikan pembiayaan RM11 juta sebulan, setelah menyedari janji sebelum PRU 12 dulu silap ?

Untuk mencari jawapan-jawapan di atas, sekarang mari kita ikuti wawancara selanjutnya dengan Abdul Halem Mat Som, Pengarah Eksekutif, Bahagian Korporat SYABAS.

AIDCNews : SYABAS menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri yang terdahulu (BN). Sekarang kerajaan negeri diterajui oleh PR. Adakah kerajaan negeri PR boleh membatalkan perjanjian yang dibuat sebelum ini ?

Abdul Halem : Kita kena ingat, SYABAS tandatangani perjanjian itu dengan pihak kerajaan negeri dan bukannya dengan individu. Sebab itu, yang menandatangani perjanjian tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri.

Contoh, kita membuat pinjaman di bank ABC. Tiba-tiba bank ABC ini diambil alih oleh bank lain. Adakah secara automatik perjanjian kita dengan bank ABC yang dibuat dahulu terbatal? Tidak terbatal. Kita masih tetap kena bayar, cuma bezanya, pembayaran tersebut harus dibuat di bank yang mengambil alih bank ABC tersebut.

Jadi, tidak timbul soal polisi berubah selepas kerajaan negeri bertukar.

Di dalam SYABAS terdapat tiga kompenan yang besar. Pertama, Syarikat Puncak Niaga Holdings Berhad yang merupakan pembayar saham utama iaitu memegang 70 peratus saham. Tan Sri Rozali merupakan individu yang memegang saham terbesar dalam Syarikat Puncak Niaga itu. Kedua, pemegang saham minoriti yang terdiri daripada orang awam yang membeli saham SYABAS dan ketiganya, Kerajaan Negeri Selangor sendiri.

Kerajaan Negeri Selangor memegang saham sebanyak 30 peratus. Kerajaan Selangor diwakili oleh dua anak syarikatnya, iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) memegang saham 15 peratus dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad juga 15 peratus. Manakala Kerajaan Persekutuan pula juga mempunyai satu saham emas yang bertindak sebagai kata pemutus.

Semua wakil pemegang saham ini dilantik menganggotai Ahli Lembaga Pengarah SYABAS. Ada wakil dari Puncak Niaga, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan pula diwakili oleh orang nombor dua pentadbiran kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Perbandaran.

Sebarang keputusan yang mahu dilaksanakan mesti dicapai secara bersama. Jadi, kalau ada yang tidak bersetuju misalnya Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju dengan beberapa polisi, kenapa dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah mereka tidak bangkitkan?

Kita tidak boleh membuat sebarang keputusan seperti family business. Kita kena ingat, Ketua Setiausaha Perbandaran juga adalah Ahli Lembaga Pengarah SYABAS. Sepatutnya semua ini berjalan lancar dan teratur serta mampu membawa pulangan keuntungan.

Dari sudut lain, kalau SYABAS mengalami kerugian, Kerajaan Negeri Selangor juga akan turut rugi kerana mereka ada memegang saham. Kalau SYABAS untung, Kerajaan Negeri Selangor juga akan mendapat keuntungan.

Dalam soal penswastaan, faktor kewangan ini diambilkira. SYABAS hanya boleh mencapai keuntungan selepas 10 tahun beroperasi.

Seperti kita berniaga, takkanlah tahun pertama itu sudah mendapat keuntungan. Tan Sri Rozali sendiri, sudah bertahun-tahun berniaga sehinggalah apa yang kita lihat kejayaannya hari ini.

Begitu jugalah dengan SYABAS, baru 5 tahun. Itupun sudah menunjukkan pelbagai kejayaan yang dicapai. Misalnya, mendapat anugerah perkhidmatan pusat pelanggan terbaik, pengurusan sumber manusia terbaik, anugerah emas dan sebagainya.

AIDCNews : Setakat ini Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah PR beri kerjasama baik kepada SYABAS ?

Abdul Halem : Oleh kerana penstrukturan semula ini, SYABAS telah diarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk membekukan kerja-kerja capital expenditures (CAPEX) atau perbelanjaan modal. Arahan SPAN berasaskan perbincangan yang belum selesai di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor.

Maknanya, Perbelanjaan modal SYABAS dibekukan sementara menunggu persetujuan semua pihak. Kita sendiri pun tidak tahu bilakah persetujuanitu akan selesai.

Apabila perbelanjaan modal SYABAS dibekukan dalam tempoh yang lama tanpa ada sebarang persetujuan, seolah-olah tangan kita diikat. Bila tangan diikat, kita tidak boleh mengeluarkan modal. Kerja-kerja penggantian paip lama pun tidak boleh dijalankan.

Sebab itulah, paip lama yang kesemuanya berjumlah 6000 km (tetapi) hanya 800 km yang dapat dibaiki. Bukan setakat penggantian paip lama tergendala, malah juga melibatkan penggantian meter, komunikasi paip, pemasangan penyaluran dan lain-lain. Yang menanggung akibat ini adalah rakyat Selangor. Dalam masa sama, SYABAS akan dilihat tidak dapat memberikan perkhidmatan yang efektif akibat dari sekatan ini.

Sekarang ini, Kerajaan Negeri Selangor menuduh SYABAS tidak berjaya melaksanakan peningkatan perkhidmatan air. Persoalannya kenapa? Kerana mereka mengikat kita.

Kalau mereka ikhlas, lepaskan SYABAS untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Jangan diikat dari segi perbelanjaan modal dan sebagainya. Sedangkan perbelanjaan modal adalah dari duit SYABAS.

Kononnya, SYABAS ini akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri. Jadi, jangan lakukan apa-apa perbelanjaan dahulu. Sampai sekarang, SYABAS ditahan daripada melakukan perbelanjaan modal.

Kemudian dikaitkan pula dengan penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor. Sebenarnya projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor ini merupakan projek Kerajaan Pusat melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA). Sedangkan isu perstrukturan itu di antara SYABAS dengan Kerajaan Negeri Selangor.

Jadi sekarang ini, Kerajaan Negeri Selangor mahu ikat Kerajaan Pusat supaya bersetuju dengan pengambilalihan SYABAS dengan cara tersebut. Dengan ertikata lain, mereka (Kerajaan Negeri Selangor) tidak mahu memberi kelulusan tanah untuk penyaluran air, selagi penstrukturan ini tidak selesai dan akan memaksa SYABAS berada dalam tekanan.

AIDCNews: Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mengambil alih semula urusan pengurusan air ? Bolehkah Kerajaan Negeri berbuat demikian ?

Abdul Halem : Sebenarnya memang boleh. Kalau Kerajaan Negeri Selangor hendak ambil alih SYABAS pun boleh. Perjanjian ini adalah buatan manusia. Tetapi kita sentiasa ikut kepada perjanjian ini.

Dalam konteks ini, kalau Kerajaan Negeri nak ambil alih konsep willing-buyer (persetujuan pembeli) dan willing-seller (persetujuan penjual) mesti ada. Kalau anda berhajat nak beli, tetapi kita tak mahu jual, jadi tidak boleh buat kerana ada willing-buyer tetapi tidak ada willing-seller. Ada yang hendak beli tapi tak ada yang hendak jual. Lainlah kalau kedua-dua pihak bersetuju untuk membeli dan menjual. Jadi, harga boleh dibincang.

Secara logiknya, SYABAS bukanlah mahukan harga yang tinggi dengan membebankan Kerajaan Negeri Selangor. Tidak sama sekali. Isunya sekarang ini, kalau kita sudah keluarkan modal yang besar untuk mengambil alih hutang, membaik pulih, membuat pinjaman dan sebagainya, perkara-perkara ini harus diambil kira sebelum proses pengambilalihan.

Jadi, penentuan harga yang ditawarkan mestilah dapat menampung perkara-perkara tadi dan juga faktor pemegang saham sama ada pemegang majoriti atau minoriti (orang awam). Ini kerana, kalau kita jual dengan harga yang lebih rendah, saham itu merundum, kita pula terpaksa menjawab dengan pemegang-pemegang saham. Semua yang kita buat ini mengikut peraturan dan undang-undang.

Isunya sekarang, kita perlu buat perbincangan secara teratur dan rapi sama ada duduk berbincang atau sebagainya. Kalau perbincangan itu pun tidak serius, susahlah untuk saya katakan.

AIDCNews: Sudah adakah perbincangan yang serius?

Abdul Halem : Perbincangan setakat ini hanya ada di peringkat pegawai-pegawai. Tidak ada titik pertemuan. Jalan selari tetapi mencapah, makin lama makin jauh. Jadi, memang tidak akan jumpa titik pertemuan itu.

AIDCNews: Kenapa Kerajaan Negeri Selangor berminat untuk mengambil alih SYABAS ? Adakah ada agenda lain?

Abdul Halem : Susah untuk saya katakan kerana ini adalah agenda masing-masing.

Kalau kita lihat dari konteks ekonomi, SYABAS boleh mencapai keuntungan selepas 10 tahun beroperasi. Kalau dari sudut itu pun kita boleh tengok. SYABAS sudah 5 tahun beroperasi dan hanya tinggal 5 tahun lagi untuk mencapai keuntungan. Sebab semua sudah boleh diambil alih dari segi sistem dan sebagainya.

Maknanya, kalau sudah diambil alih, mungkin selepas itu boleh dapat keuntungan melalui tarif. Mereka nampak dari sudut itu. Mungkin juga boleh memberi peluang pekerjaan kepada kroni-kroni yang menyokong mereka selama ini.

Mungkin juga boleh diletakkan di posisi Pengerusi atau Pengarah. Ini saya tak mahu tuduh sesiapalah. Kita tak perlu sebut sesiapa tapi kita tahulah. ‘Orang-orang’ inilah yang bising tentang industri air, buat ceramah di sana sini tentang hendak ambil alih hak rakyat dan sebagainya.

Sebenarnya untuk kepentingan sendiri kalau dapat SYABAS. Di situlah siapa yang layak dapat Chairman atau Director.

Tapi dari segi politik pula, tentu ada kepentingannya di situ. Dengan memainkan isu air ini, mereka beranggapan akan mendapat sokongan rakyat dan terus menang pada pilihanraya akan datang.

Sama ada mereka serius atau tidak, saya sendiri masih lagi tertanya-tanya.

Kita sendiri tidak boleh nak bertanyakan dari mana wang yang akan digunakan untuk penstrukturan semula ini. Betulkah ada pelabur yang akan membantu membuat pembayaran pengambil alihan ini, siapa pelabur tersebut, adakah mereka dari golongan yang boleh dipercayai ?

Sekiranya pelabur dari luar negara, kita khuatir jika industri air akan dipindah milik kepada syarikat luar, sedangkan syarikat tempatan boleh mengurus dan keluarkan dana. Kenapa perlu diberi kepada syarikat antarabangsa? Tidakkah nanti syarikat tersebut akan membuat pindahan milik?

Kita tidak mahu semua ini berlaku kerana air adalah keperluan rakyat.

Jangan nanti yang menguruskan air ini bukan di kalangan kita sendiri. Oleh kerana tidak mampu untuk membayar hutang, akhirnya menjadi pindah milik.

Ataupun, ini mungkin satu permainan, tidak serius pun nak ambil alih. Atau sekadar nak memberitahu rakyat bahawa Kerajaan Negeri serius untuk ambil alih kerana hendak terus memberi air percuma kepada rakyat. Jadi, kalau tak dapat ambil alih selepas ini, mereka terpaksa hentikan pemberian air percuma ini.

Pihak yang akan dipersalahkan nanti, sudah tentulah SYABAS serta mereka yang menyokong SYABAS sama ada Kerajaan Persekutuan atau sebagainya.

AIDCNews : SYABAS didakwa kroni politik tertentu ?

Abdul Halem : Bila dikaitkan SYABAS dengan orang-orang tertentu sebagai kroni, dakwaan ini disangkal. Kita kena ambil kira kakitangan SYABAS seramai 3000 orang yang majoritinya rakyat Selangor. Janganlah dipolitikkan isu ini dengan mengaitkan dengan kroni.

Tidak semua kakitangan SYABAS ini menyokong satu parti. Masing-masing ada parti yang mereka sokong. Walaupun kita berlainan ideologi politik, tetapi di SYABAS kita masih boleh bersatu. Itu tidak menjadi masalah besar.

Dari segi hubungan tokoh korporat dengan orang politik. Ini sudah wujud sejak berzaman lagi. Mereka tak boleh kata tokoh ini kroni dengan orang politik ini. Kalau anda sebut siapa pun tokoh korporat di negara ini, mereka mesti ada hubungan yang baik dengan pemimpin. Kalau tak ada hubungan yang baik dengan pemimpin, macam mana mereka nak berniaga.

Dalam sebuah negara itu, mesti ada hubungan antara pihak korporat dengan kerajaan. Hubungan ini perlu. Dalam pentadbiran SYABAS sendiri, kita menerima bos kita adalah Kerajaan Persekutuan. Begitu juga kalau di negeri, kita menerima Kerajaan Negeri yang ada sekarang. Kita terima hakikat itu dan sedia bekerjasama pada bila-bila masa.

Kita tidak beranggapan mereka tidak sama parti dengan kita maka tidak boleh bekerjasama, jadi tidak boleh begitu. Kerana Kerajaan Negeri yang sekarang adalah kerajaan yang mentadbir, kerajaan yang sedia ada. Manakala Kerajaan Pusat yang ada sekarang adalah kerajaan yang lain. Jadi, dua-dua kerajaan ini adalah bos kita.

Saya sendiri tidak faham kenapa SYABAS sentiasa dimusuhi. Kalau kita nak berbaik dengan seseorang, macam-macam usaha kita lakukan tapi orang tersebut tidak mahu berbaik sebaliknya memusuhi kita, jadi apa lagi yang boleh kita buat?

AIDCNews : Adakah Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk melantik kroninya menjadi Pengerusi SYABAS ?

Abdul Halem : Dalam entiti swasta ini, sama ada syarikat atau korporat, yang mempunyai kuasa adalah yang memegang saham majoriti. Kalau pemegang saham itu adalah Puncak Niaga, maka wakil Puncak Niaga yang akan menjadi Pengerusinya.

Sebagai seorang bekas korporat dan ahli politik, saya tidak fikir, Menteri Besar Selangor mengambil tindakan-tindakan yang tidak selari dengan apa yang sepatutnya di dalam pengetahuannya.

AIDCNews: Adakah Tabung Budi ditolak oleh kesemua Wakil Rakyat PR ?

Abdul Halem : Inilah yang menariknya tentang Tabung Budi. Kita telah pun menghantar surat kepada semua Ahli Parliman dan ADUN Negeri Selangor untuk memberitahu kewujudan Tabung Budi. Jadi, mana-mana pihak yang ingin menyumbang, boleh menyumbang. Kita juga memberitahu mereka bahawa Tabung Budi ini adalah untuk membantu golongan yang susah dan miskin.

Jadi, kalau terdapat golongan ini di kawasan mereka, kenalpasti dan berikan nama kepada SYABAS untuk diberi bantuan. Tidak kiralah ADUN dari parti mana sekali pun. Kita beri sama rata.

Semasa pelancaran Tabung Budi peringkat umum baru-baru ini, kita jemput semua Wakil Rakyat kerana kita hendak maklumkan tentang tabung ini. Kita faham Wakil Rakyat ini sibuk. Jadi, tidak semuanya yang hadir. Yang hadir itu pula ada di kalangan Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kedua-dua parti ini ada.

Tetapi, apa yang dibesarkan adalah kenapa Tabung Budi ini diwujudkan seperti hendak melawan kuasa Kerajaan Negeri. Tambahan pula ada Wakil Rakyat BN yang datang. Tapi mereka terlupa bahawa yang datang ke majlis itu pun ada juga Wakil Rakyat PKR.

Lebih menarik lagi, kita ada terima surat daripada Exco Kerajaan Negeri yang meminta supaya SYABAS menyalurkan Tabung Budi ini kepada penduduk miskin di kawasan mereka. Kita sudah pun menyemak dan siasat siapa yang layak dan kita bagi.

Hari ini, bila kita bagi, tangan sebelah kanan terima tapi tangan sebelah kiri pula tampar kita. Jadi tak kenalah.

AIDCNews: Benarkah Exco tersebut ialah Dr Xavier Jayakumar ?

Abdul Halem : Ya. Itu saya boleh sahkan.

AIDCNews : Benarkah ada dakwaan yang mengatakan SYABAS memaksa kakitangannya supaya menyumbang kepada Tabung Budi dan benarkah Tan Sri Rozali Ismail selaku CEO, tidak menyumbang mengikut perolehan pendapatannya ?

Abdul Halem : Yang pertama sekali, pihak yang menuduh ini perlu membuktikan di mana kita memaksa kakitangan supaya menyumbang kepada Tabung Budi. Kena buktikan. Perkara ini seringkali disebut dalam perhimpunan mingguan kakitangan, sekiranya ada yang ingin menyumbang dialu-alukan tanpa ada sebarang paksaan.

Malahan, kalau yang sudah menyumbang jika mereka ingin menarik balik sumbangan tersebut pun dibenarkan. Tiada siapa yang memaksa, mengarah atau sebagainya. Ini bergantung kerelaan individu.

Kalau ada yang kata mereka dipaksa untuk menabung, tunjukkan bukti atau dokumen. Sedangkan mereka yang menabung ini ada yang mengisi borang supaya dipotong daripada gaji bulanan sebanyak RM11.40 untuk didermakan kepada golongan yang layak. Mereka sendiri ada Akujanji berkaitan sumbangan ini. Pemotongan ini dilakukan oleh pihak bank dan terus disalurkan kepada tabung ini.

Yang keduanya, berkaitan Tan Sri Rozali Ismail (CEO) dikatakan tidak menyumbang keuntungan seperti mana diharapkan. Konsep kita adalah berdasarkan akaun.

Contohnya, kalau saya ada rumah dan penama itu adalah saya. Tiap-tiap bulan saya dapat RM11.40. Jadi, RM11.40 itulah yang saya beri. Kalaulah saya ada 10 buah rumah pula, maka RM114.00 yang saya beri.

Kalau dilihat dari segi sumbangan beliau membantu Pusat Zakat Selangor (PZS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan golongan-golongan yang memerlukan, saya rasa beliau lakukan lebih daripada yang sepatutnya.

Jadi, tidak timbul kenapa kakitangan SYABAS sama ada yang bergaji RM3000 ke bawah atau Pegawai Kanan bergaji RM10,000 perlu membayar RM11.40. Kerana itulah kita kena kembali kepada konsep pemberian air percuma. Jika golongan kaya menerima RM11.40, maka golongan miskin pun menerima jumlah yang sama juga. Hasil dari pengumpulan tabung tersebut, maka kita akan beri kepada golongan yang miskin ini.

Sebab itu, saya boleh katakan, mereka yang membuat tuduhan ini tidak faham konsep. Kalau tak faham, beginilah jadinya. Kata orang, kalau tak faham, seeloknya cuba untuk memahaminya dulu. Kita tak ada masalah untuk memberi penerangan kepada pihak yang mahukan penjelasan. Tapi, ada pihak yang tidak mahu penjelasan tetapi menghentam kita sesuka hati.

Soalan saya, menjadi kesalahankah kalau orang hendak buat kebajikan?

AIDCNews: Difahamkan pada Ahad ini (5 Disember), satu memorandum akan dihantar kepada Yang DiPertuan. Adakah ini menggambarkan krisis air di Selangor sangat teruk hinggakan perlu campur tangan daripada Yang DiPertuan Agong ? Kenapa hingga sampai ke peringkat ini ?


Abdul Halem : Kita anggap Kerajaan Negeri Selangor adalah bos kita. Bila bos ada masalah dengan pekerja, apa salahnya kalau berbincang. Bukannya dengan cara menghentam, fitnah dan kempen di sana sini. Apa pula perasaan pekerja tadi? Kenapa perlu gunakan orang lain. Saya tidak nampak kewajaran dan kecerdikan dalam menangani isu ini.

Sokongan-sokongan rakyat ini datang dari konsep sedemikian seperti berhimpun, berarak dan sebagainya. Apabila insiden berarak dan berhimpun ini semakin lesu, jadi untuk mengembalikan nostalgia berhimpun, perlu ada isu untuk dimainkan. Isu yang hangat sekarang adalah isu air. Dan digunakan sepenuhnya. Sedangkan bagi rakyat atau orang awam yang berfikiran waras, mereka akan terfikir kenapa isu ini diperbesarkan ?

Kita tidak rasa tertekan langsung. Di SYABAS kita tidak boleh mengikut rentak orang lain, kalau orang lain buat ini, kita tidak semestinya perlu ikut. Ini kerana, kita memberi perkhidmatan kepada pengguna sama ada mereka menentang atau menyokong. Mereka adalah pengguna yang membayar bil air kepada kita.

Kalau SYABAS ‘merajuk’ disebabkan tekanan ini, semua loji air ditutup dan pengguna di Selangor tidak dapat bekalan air. Apa akan jadi?

Contohnya di KLIA sahaja, mesti perjalanan operasi mereka akan tergendala atau ditutup. Sebab itulah bila berlaku krisis air di Sepang iaitu 3 paip pecah kerana aktiviti mengorek pasir.

Paip ini, asalnya berada di dalam tanah. Tetapi apabila ada aktiviti korek pasir, paip ini akan menjadi tergantung kerana tiada yang menampungnya. Inilah mengakibatkan paip tersebut patah. Paling kritikal adalah KLIA.

Kakitangan SYABAS terpaksa bekerja 24 jam untuk memastikan kawasan-kawasan kritikal tersebut ada air dan kod kecemasan iaitu kod merah perlu diaktifkan. KLIA yang paling kritikal kerana pada waktu itu ada pertandingan lumba kereta di Sepang. Kakitangan SYABAS bertungkus-lumus memenuhkan tangki air KLIA dengan berlori-lori air.

Bayangkan kalau SYABAS ‘merajuk’?

AIDCNews : Adakah isu air ini sengaja dimanipulasi sebagai isu politik ?

Abdul Halem : Ada kemungkinan, tapi saya tidak boleh mengatakan ya atau tidak kerana mereka ada strategi masing-masing untuk memenangi hati rakyat, memenangi pilihanraya.

Tapi kita kena lihat dari segi kewajarannya. Air sekarang ini dikatakan sebagai ‘emas biru’ iaitu sangat bernilai. Di mana-mana negara sekalipun, isu mendapatkan air bersih ini menjadi topik utama. Kita sepatutnya bersyukur dengan kualiti air yang dinikmati di negara kita.

Walaupun menerima pelbagai tekanan, SYABAS tetap bersikap profesional. Apa yang saya nak tekankan adalah, Selangor merupakan negeri yang mempunyai kualiti air terbaik di Malaysia.

Kebanyakan syarikat pembekal air di Malaysia, datang ke SYABAS untuk belajar pengurusan air, perkhidmatan pelanggan dan sebagainya.

AIDCNews: Termasuk dari negeri yang diperintah oleh PR ?

Abdul Halem : Ya. Contohnya Pulau Pinang sudah beberapa kali datang ke SYABAS.

AIDCNews: Ini bermakna mereka mengiktiraf SYABAS. Tetapi kenapa pula Kerajaan Negeri sendiri tidak mengiktiraf?

Abdul Halem : Sebenarnya mereka juga mengiktiraf cuma tidak mahu mengakuinya. Sebab mereka tidak mahu mengakuinya kerana akan menjadi semakin sukar untuk mengelirukan pemikiran rakyat jika diiktiraf. Jauh di lubuk hati, SYABAS boleh dikatakan bagus jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Kita sedia membantu negeri-negeri tersebut sekiranya mereka memerlukan bantuan. Kita pernah hantar berlori-lori tangki air dan kakitangan ke Pahang, Johor , Kelantan dan Kedah.

Semua ini bersandarkan kepada motif. Saya sendiri tak tahu apa motif mereka sebenarnya.

AIDCNews: Apakah implikasinya kepada rakyat Selangor dengan penangguhan Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) ini ?

Abdul Halem : Kita kena ingat, krisis air ini pernah berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun 1998. Krisis ini berlaku bukan kerana tidak ada air tetapi disebabkan tiada kemudahan yang cukup untuk merawat air. Selepas krisis air 1998 ini, diwujudkan Loji Rawatan Air Selangor Fasa 1, 2 dan 3.

Ada orang bertanya, hujan selalu turun, jadi takkanlah tiada air?

Kita kena lihat kawasan tadahan hujan sudah banyak dijadikan sebagai kawasan pembangunan. Kalau hujan di Shah Alam, Petaling Jaya atau Klang, tempat ini bukan kawasan tadahan hujan. Air hujan tersebut mengalir ke Sungai Klang dan terus ke laut. Sungai-sungai yang ada sekarang ini pun banyak yang tercemar. Kemudian banyak pembangunan, pengguna air semakin ramai dan permintaan air semakin meningkat.

Apabila SYABAS menguruskan air, tanggungjawab kita adalah membekalkan air kepada pengguna dan memaklumkan serta memberi cadangan-cadangan kepada kerajaan tentang masalah dan memastikan bekalan air mencukupi. SYABAS telah menjalankan peranan ini dengan membuat kajian, memberi laporan kepada kerajaan yang telah disemak oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu pakar dalam industri air.

Kita telah buat kajian iaitu pada tahun 2014, itupun sekiranya tiada alternatif penyaluran air mentah dilakukan, maka akan berlaku kekurangan bekalan air. Kawasan yang banyak air di bahagian Utara Selangor, bagaimana pula dengan bahagian Selatan dan Lembah Klang ? Bukannya ada paip besar yang boleh disalurkan ke kawasan yang kekurangan air. Masalah-masalah inilah yang tidak diketahui.

Kita juga hairan bagaimana Kerajaan negeri boleh mengatakan bahawa berdasarkan pakar yang dilantik oleh mereka, mengatakan air cukup sehingga tahun 2019. Tanpa perlu menyegerakan PPAMPS.

AIDCNews: Kenyataan pihak mana yang lebih tepat. Kerajaan Negeri atau SYABAS ?

Abdul Halem : Kalau berdasarkan rujukan SYABAS, Kerajaaan Pusat dan EPU adalah pada tahun 2012. SYABAS ada jadual pengeluaran air yang telah dibuat. Mereka cuma mengikut kajian yang dibuat oleh pakar-pakar yang mengatakan cukup sehingga 2019. Kita pun tak tahu siapa pakar yang disebutkan itu. Katakanlah pakar dari luar negara. Pakar ini pun tidak mendalami apa sebenarnya isu yang dihadapi.

Apa bezanya antara tahun 2014 dengan 2019. Hanya beza 5 tahun. Sebagai kerajaan yang berwawasan, sepatutnya kita buat persiapan lebih awal sebelum kejadian tersebut berlaku.

Implikasinya juga terhadap kos. Kos bagi 4 tahun sudah berbeza. Mungkin dari 4 bilion kepada 8 bilion atau lebih daripada itu. Jadi, siapa yang akan tanggung kos ini?

Kalau berlaku krisis air 2012 atau 2014 tanpa adanya persiapan-persiapan ini, siapa yang hendak dipertanggungjawabkan nanti?

Saya bimbang jika krisis ini benar-benar berlaku tanpa ada persiapan yang rapi, mungkin ada pihak yang akan cuci tangan dan saling menyalahi di antara satu sama lain. Yang merananya adalah rakyat kerana tiada air. Akibatnya air terpaksa dicatu.

Kita sepatutnya mengambil contoh wawasan Tun Dr. Mahathir. Beliau memperkenalkan Wawasan 2020. Sedangkan pada tahun itu, beliau sendiri belum tentu lagi akan ada. Tapi beliau buat ini untuk kepentingan dan masa depan rakyat.

Jadi, kita sepatutnya mengambil konsep tersebut untuk kebaikan rakyat. Apa kewajarannya jika dilengah-lengahkan. Apa bezanya antara tahun 2012 dengan 2014. Kalaulah kajian mereka itu benar, salahkah kalau dibuat persiapan awal ini?

Kalau berlaku krisis air pada 2014, kerajaan sedia untuk bertanggungjawab, baguslah. Kita boleh beli air dari Kerajaan Negeri Perak atau sebagainya. Tapi tidak ada.

Kita sepatutnya berpijak di bumi yang nyata. Janganlah mempolitikkan isu ini. Yang menanggung kesannya adalah rakyat.

Bagi saya, projek ini harus dilaksanakan kerana ini adalah projek Kerajaan Persekutuan dan bukannya projek Kerajaan Negeri.

AIDCNews: Bagaimana pula dengan statistik penggunaan air di Selangor ?

Abdul Halem : Pengguna air di Malaysia, khususnya di Selangor adalah yang paling tertinggi dari segi penggunaannya. Purata penggunaan air di Selangor adalah sebanyak 260 liter sehari untuk seorang pengguna. Sedangkan mengikut United Nations (UN), penggunaan normal sepatutnya 165 liter sehari.

AIDCNews: Adakah kerana peningkatan penggunaan air ini yang menyebabkan PPAMPS perlu dilaksanakan ?

Abdul Halem : PPAMPS adalah projek Kerajaan Persekutuan. Ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan prihatin. Ini kerana Selangor merupakan transit bagi semua aktiviti pelaburan dan sebagainya. Bagaimana kalau di Selangor tidak ada air?

Sebab itulah dalam perkhidmatan pelanggan kita ada Unit YAKIN (Unit Kerjasama Informasi Pelanggan) yang berurusan dengan persatuan-persatuan pengguna utama, JKK dan sebagainya.

Kita juga ada Unit ICU (Industrial Customer Unit) iaitu sekiranya ada berlaku gangguan, unit ini akan bertindak menghubungi hotel dengan segera supaya menampung tangki air dengan banyak dan sebagainya. Ini yang dibuat oleh SYABAS dan nampaknya seperti tidak dihargai. SYABAS bukanlah badan politik yang perlu menghebohkan apa yang telah dibuat.

Perkara-perkara seperti inilah yang tidak diketahui dan ada pula pihak lain yang melemparkan tomahan berdasarkan agenda politik. Bagi saya, SYABAS tidak sepatutnya terkena tomahan ini kerana kita bukannya badan politik

Air ini merupakan komoditi penting. Ada orang kata, air ini adalah anugerah Tuhan, kenapa perlu dikomersialkan dan dibayar. Kalau hendak air percuma yang dikatakan anugerah Tuhan ini, boleh. Tidak ada sesiapa melarang. Kalau anda menadah air hujan di depan rumah sekalipun, tak ada penguatkuasa tempatan datang untuk mengutip cukai. Ataupun ambil air dari sungai, juga tidak ada sesiapa melarang.

Air yang dirawat juga adalah anugerah Tuhan. Kalau lihat zaman dahulu, air sungai atau perigi boleh diminum terus tanpa dimasak. Itu kerana tiada pencemaran. Tapi hari ini, kebanyakan sungai sudah tercemar.

Contohnya di Singapura. Air yang dirawat itu bukan air dari sungai tapi air kumbahan. Sebab itulah kosnya tinggi berbanding dengan kita. Sistem rawatan yang kita lakukan sekarang ini ialah merawat air sungai dan bukannya merawat air kumbahan.

Jadi, tidak adillah kalau hendak dibandingkan dengan Singapura.

Kalau hendak juga air percuma, mungkin boleh diambil di Gunung Ledang. Kos yang perlu dikeluarkan seperti bayaran pemandu lori, tol dan minyak. Saya ingat kosnya lebih tinggi daripada buka pili paip di rumah.

Jadi, tak bolehlah kata air ini anugerah Tuhan seperti ‘orang itu’ yang dikatakan anugerah Tuhan.

AIDCNews: Bagaimana pula peranan yang dimainkan oleh Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu krisis air ini?

Abdul Halem : Beliau langsung tidak tahu tentang ekonomi. Buktinya, semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau cuba memujuk Perdana Menteri supaya membuat pinjaman dengan IMF. Disebabkan faktor beliau tidak tahu ekonomi, maka beliau dipecat.

Keduanya, beliau tidak dibayar setimpal dengan jawatan yang dipegang. Dengan gaji RM1, apa yang beliau boleh lakukan. Mungkin juga Kerajaan Negeri Selangor melihat beliau bukanlah pakar ekonomi. Sebab itulah dibayar RM1.

AIDCNews: Apakah strategi perang ke atas SYABAS ini didalangi oleh Penasihat Ekonomi Selangor ?

Abdul Halem : Saya sendiri tertanya, apa masalahnya yang sebenarnya? Kalau dilihat dari segi luaran dan dalaman, SYABAS tidak bermasalah.

Saya selalu berpesan kepada kakitangan, walaupun kita diasak, kita tetap teruskan kerja dan jangan dengar tomahan-tomahan tersebut, kerana ini akan melemahkan semangat kita.

Kalau mereka mogok, bukan kita sahaja yang susah tapi seluruh Malaysia.

anwaraidc

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP