Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Sunday, December 5, 2010

Majlis Fatwa mahu bukan Islam henti peralat ayat al-Quran

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebulat suara mahu perbuatan orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran secara sewenang-wenangnya dihentikan bagi mengelak timbul keresahan dan perpecahan dalam masyarakat.

Dalam satu muzakarah khas, jawatankuasa tersebut memberikan nasihat dan teguran kepada seluruh masyarakat termasuk bukan Islam bahawa teks suci al-Quran tidak boleh digunakan untuk kepentingan tertentu termasuk bagi tujuan peribadi dan politik.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, meskipun ulama tidak melarang orang bukan Islam membaca al-Quran, namun situasi semasa membabitkan tindakan beberapa pemimpin bukan Islam parti pembangkang menghuraikan teks kitab suci itu telah menimbulkan kekeliruan dan merenggangkan hubungan di kalangan umat Islam sendiri.

''Semua mufti melahirkan rasa tidak setuju dengan situasi yang berlaku sekarang dan perkara yang berlaku sejak 2009 termasuk isu orang bukan Islam memasuki rumah ibadat orang Islam dan terbaru tindakan Ahli Dewan Negeri Hutan Melintang, S. Kesavan membaca terjemahan petikan ayat al-Quran secara salah.

''Justeru kita mengambil langkah menggunakan kaedah 'sad zaraik' iaitu mencegah atau mengelakkan keraguan, maka kita rasa elok elakkan menggunakan teks al-Quran di atas pentas politik dengan kepentingan tertentu apatah lagi membaca maksud al-Quran secara tidak tepat.

''Mentafsirkan al-Quran tidak boleh dibuat secara sambil lewa atau spontan di atas pentas ceramah tetapi perlu ada kaedah tertentu yang mesti difahami daripada awal," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas mempengerusi muzakarah khas tersebut di Hotel Pan Pacific Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Sebanyak 10 ahli panel muzakarah tersebut hadir termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang juga Setiausaha Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Muzakarah khas yang berlangsung selama empat jam itu juga meneliti semua rakaman siri ucapan pemimpin bukan Islam yang membaca dan menghuraikan terjemahan teks al- Quran selain reaksi daripada umat Islam tentang perkara itu.

Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan yang salah membabitkan ayat 190 dan 191 dari Surah Ali-Imran ketika sesi perbahasan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2010 baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming juga dilaporkan membaca petikan ayat suci al-Quran ketika berceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak tahun lalu.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP