Anwar juga menuduh Mahathir mengamalkan nepotisme, memperkayakan anak beranaknya dan kaum keluarganya terutama sekali keluarga sebelah isterinya. Malah ada anak-anak Mahathir yang menggunakan alamat Sri Perdana dalam prospektus syarikat masing-masing. Betul. Tapi apakah Anwar tidak mengamalkan nepotisme?
Dia sering berkata dia tidak membenarkan mana-mana pihak, termasuk kerajaan negeri, memberi apa saja projek atau tanah balak dan sebagainya kepada kaum keluarganya. Kononnya dia ingin membuktikan kepada rakyat dia tidak mengamalkan nepotisme. Betul ke?
Ayahnya, Datuk Ibrahim A Rahman, menjadi Pengerusi IOI. Sebelum Anwar menjadi Menteri, sewaktu menjadi mudir Yayasan Anda, nama ayahnya sebagai tokoh korporat tidak timbul. Bila Anwar menjadi menteri, terutama sekali sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri tuah Pak Ibrahim melonjak naik. Kini IOI mempunyai hartatanah yang banyak di berbagai-bagai negeri. Malah di Sabah saja dikatakan hartatanah IOI melebihi 50,000 hektar.
Sewaktu Anwar menikah lari dengan Wan Azizah di Siam, Datuk Wan Ismail hanya seorang pengarah di bidang perang urat saraf di Jabatan Perdana Menteri. Waktu menikah dengan anaknya Anwar bukan seorang menteri. Cuma mudir Yayasan Anda. Pada waktu itu dia dikatakan tidak merestui perkahwinan anaknya yang menikah dengan pejuang Islam nombor wahid!.
Anwar dianggap sebagai musuhnya kerana dianggap sebagai anti kerajaan dan peranan Wan Ismail ialah sebagai anti-kerajaan dan peranan Wan Ismail ialah melumpuhkan golongan-golongan pelajar di kampus yang anti kerajaan.
Tiba-tiba anak gadis sendiri sudah muhabbatkihe dengan pejuang Islam!. Ada semacam filem Hindustan sedikit tema percintaan dan ketegangan antara menantu dengan bapak mertua. Dengan bantuan Dollah Badawi kedua pihak, menantu dengan bapak mertua, kembali berdamai. Bila menantu jadi menteri, tambah-tambah lagi sebagai Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri luka lama hilang serta-merta.
Kini Datuk Wan Ismail dikatakan juga kaya-raya berkat tuah menantu yang pernah dia musuhi di masa lalu. Barangkali dia menjadi kaya raya tanpa minta projek dari menantunya. Cukuplah sebagai bapak mertua pintu rezeki dan peluang terbuka luas. Tidak perlu lagi mencari lampu Aladdin yang ajaib yang ada kuasa jin afrit untuk membantu mereka.
Begitu juga dengan abang-abang dan adik-adik Anwar. Semua menjadi kaya raya walaupun kelayakan akademik tidak seberapa dan pengetahuan perniagaan yang mendalam tidak pernah dimiliki sebelum Anwar menjadi menteri. Boleh jadi juga mereka ini menjadi cerdas dan bijak berniaga hingga menjadi kaya raya setelah Anwar menjadi menteri. Boleh jadi juga mereka ini menjadi cerdas dan bijak berniaga hingga menjadi kaya raya setelah Anwar menjadi menteri. Barangkali inilah kelebihan mereka yang tidak dimiliki oleh rakyat marhaen yang lain. Apakah tangkal azimat yang dipakai mereka?
Sudah pasti mereka tidak menggunakan khidmat nasihat hantu raya, polong atau pun raja toyol. Yang nyata mereka menjadi kaya raya setelah Anwar menjadi menteri. Sebelum itu adik beradiknya ada yang menjadi guru, kerani kapal, pembantu makmal, photographer tapi kini boleh dikatakan semua mereka kaya raya walaupun kononnya Anwar tidak membantu mereka. Hebat, hebat sungguh keluarga Pak Berahim dan Wan Ismail ini!
Kalau dibandingkan kelayakan akademik anak-anak Mahathir mempunyai kelulusan akademik dan profesional yang tinggi. Semua memiliki ijazah antaranya dalam bidang finance dan mendapat pendedahan yang cukup baik dalam dunia korporat. Kalau mereka mengendalikan beberapa syarikat korporat yang besar itu dianggap wajar memandangkan kebolehan dan kemampuan mereka. Kalau mereka mendapat itu juga dianggap wajar. Tentulah tidak wajar mengatakan kedudukan sang ayah sebagai Perdana Menteri tidak membantu anak-anaknya dalam perniagaan dan perusahaan.
Tapi bagaimanakah adik-beradik Anwar yang tidak pernah terdedah dalam dunia korporat sebelum Anwar menjadi menteri tiba-tiba kini menjadi pengerusi berbagai-bagai syarikat yang disenaraikan BSKL dan juga syarikat sendirian berhad yang lain? Barangkali otak dan kemampuan mereka sebagai tokoh-tokoh korporat adalah lebih baik dari anak-anak Mahathir. Sama-sama mengamalkan nepotisme.
Rakyat tidak marah kalau membantu anak buah sedikit sebanyak. Rakyat hanya benci dan marah menyinga kalau nepotisme itu keterlaluan hingga mengancam rezeki dan peluang mereka yang bukan ada pertalian darah dengan kedua-duanya.
Anwar Tak Berani Bersumpah Dengan Al-Quran
Anwar banyak bermain sandiwara mengenai tingkah lakunya sebagai pemimpin. Banyak topeng yang dipakainya hingga setengah orang menjadi keliru dan tidak tahu apakah dia seorang pejuang nombor wahid ataupun seorang homoseks yang menggerunkan rakyat.
Walaupun Perdana Menteri Mahathir telah menyatakan alasan pemecatannya namun Anwar tetap berdegil dan menganggap dirinya bersih lagi bersih, putih lagi putih dari sabun Fab. Dia mengatakan itu semua fitnah, suatu konspirasi yang didalanginya Mahathir kerana Mahathir takut kepadanya. Kononnya dia kini sudah menjadi duri dalam daging kepada Mahathir dan kroni-kroni Mahathir.
Kita faham mengapa Anwar berhempas-pulas menafikan dia seorang homoseks. Dia berhak untuk menafikannya kerana sekiranya benar dia akan tersisih dari arus sejarah dan akan diketepikan oleh orang Melayu dan Islam sebagai pemimpin mereka. Dia tahu sejarah kehancuran kaum Lut dalam al-Quran. Dia juga sedar bahawa orang Melayu tidak akan menerimanya lagi sebagai pemimpin mereka. Malaysia bukan Amerika Syarikat.
Melayu bukannya masyarakat Barat yang menghalalkan homoseksualiti. Anwar juga mempunyai enam orang anak dan seorang isteri yang akan menanggung segala kesengsaraan batin sekiranya dia benar-benar seorang homoseksual. Di manakah dia akan meletakkan mukanya kalau anak-anaknya mengetahui segala rahsia hubungan sejenis itu?
Isterinya yang setia 1000% juga akan menghadapi tekanan jiwa yang parah kalau suami yang tercinta rupa-rupanya mempunyai hubungan sulit dengan berbagai-bagai lelaki seolah-olah dia sebagai isteri dan wanita tidak lagi menimbulkan keghairahan yang melemaskan.
Lalu dia menjerit seluruh alam bahawa itu semuanya fitnah belaka. Kalau itu dianggap fitnah mengapakan dia amat gerun dan bimbang bila hendak dihadapkan ke mahkamah?
Mengapakah dia memperalatkan golongan remaja yang emosional dan tidak matang dalam politik menjadi pendindingnya hingga mencetuskan rusuhan dan demonstrasi liar di ibukota saban minggu? Pemimpin yang berwibawa dan bermaruah sanggup menghadapi cabaran dan sanggup menghadapi siapa saja sebagai kesatria. Dia tidak akan memperalatkan orang lain untuk menjamin kepentingan politik peribadinya seperti mana yang dilakukan Anwar sekarang.
Kalau alasan Mahathir memecatnya dianggap fitnah apakah yang bukan fitnah? Apakah alasan "Mahathir takutkan pengaruh Anwar" dianggap alasan yang super bagus untuk menyakinkan rakyat bahawa Anwar bukan seorang homoseksual?
Mahathir yang memberi peluang kepada Anwar menikmati kuasa sebagai menteri, melindunginya dari berbagai kelemahannya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan kewangan sewaktu menjadi menteri kabinet kini dianggap terlalu takut terhadap Anwar?
Masyaallah! Tanpa Mahathir, Anwar hanya berkokok di luar pagar kuasa dan akan menjerit dan melolong sebagai pemimpin ABIM dan mudir Yayasan Anda. Ini realitinya.
Lalu dia berkata bahawa ada konspirasi dari pucuk pimpinan UMNO dan kerajaan untuk menggagalkan yang berusaha untuk menghapuskan korupsi dan penyelewengan dalam kerajaan yang kononnya melibatkan orang-orang Mahathir!
Ya Tuhan, benarkah orang-orang Mahathir sahaja yang mengamalkan korupsi dan penyelewengan tetapi Anwar dan kroni-kroninya super bersih dari amalan yang mungkar itu? Betulkah dia bersih lagi bersih? Kata dulang paku serpih, kata orang aku yang lebih.
Demikianlah dia melemparkan tuduhan konspirasi untuk menolak dakwaan Mahathir bahawa dia seorang homoseksual - sesuatu yang sukar diterima oleh mereka yang tahu secara mendalam lakonan politik Anwar selama menikmati kekuasaan dan kekayaan dalam kabinet.
Mereka yang arif dalam perundangan Islam berkata mesti ada empat orang saksi yang baik untuk membuktikan kesalahan Anwar tersebut. Saksi-saksi itu pula mestilah terdiri dari mereka yang berakhlak mulia dan barangkali tidak ada rekod buruk langsung. Tapi yang paling penting mata mereka jangan rabun. Apakah ada tukang intip yang melihat perbuatan terkutuk itu?
Ini bukan mainan seks di celah-celah batu atau dalam semak samun, atau di tepi perigi buta atau dalam kebun getah di mana terdapat mereka yang hobinya intip-mengintip cara kampung tidak ada. Bilik apartmen atau kondo dibuat dengan batu. Malah nak masuk ke kondo dan apartmen atau kondo pun terpaksa menemui pengawal.
Tidak ada mata manusia yang lebih dari 20-20 boleh menembusi dinding batu yang pejal untuk melihat berbagai adegan seks yang mengikut tabii atau pun yang luar dari tabii. Barangkali jin, syaitan dan afrit serta malaikat sahaja yang boleh melihat adegan "perjuangan yang super hebat" itu kerana mereka hidup dalam alam ghaib!
Tentulah kita tidak boleh menjadikan jin, syaitan dan malaikat sebagai saksi sebab kita sendiri pun tidak dapat melihat mereka. Lagi pula kita sendiri tidak tahu bagaimanakah hendak berkomunikasi dengan mereka untuk meminta menjadi saksi kerana mereka makhluk lain dari kita.
Manusia yang ada intelek dan bijaksana masih boleh menjamin keadilan dan kesejahteraan untuk ummah. Hari ni pengetahuan teknologi yang super canggih boleh dimanfaatkan untuk membuka rahsia alam dan juga manusia. Orang boleh menggunakan kamera video digital dan alat perakam suara yang juga super canggih dapat merakamkan segala perilaku manusia dalam keadaan yang tersembunyi dari makhluk ramai.
Barangkali Nalla Karuppan tahu menggunakan alat-alat ini sebagai salah seorang pengusaha filem tempatan. Memang Anwar tak tahu mengendalikan gadget ini sebab dia lebih berminat menjadi pelakon di pentas politik tanah air dan antarabangsa. Bayangkan sperma Clinton yang kering kuntang terlekat pada jaket Monica Lewinsky berbulan-bulan itu pun dapat dianalisa dan dipastikan kepunyaan Presiden Amerika inikan pula video dan filem.
Malah menurut kajian forensik pihak pakar dapat menganalisa secara sainstifik dubur yang kena main dan barangkali juga batang yang ganas dalam hubungan homoseksualiti. Inilah hasil dari pengetahuan teknologi manusia yang boleh dimanfaatkan
Banyak orang berpendapat amatlah bahagia dan melegakan perasaan orang ramai yang memuja dan menyanjung tinggi ketokohan Anwar sebagai pejuang Islam yang berakhlak mulia agar dia bersumpah di masjid dengan menjunjung al-Quran di hadapan alim ulama dan para penonton dari berbagai lapisan hidup untuk menjernihkan suasana.
Biarlah kuasa Allah Ta'ala menentukan kebenaran seseorang. Mintalah Allah Ta'ala menunjukkan kebenaran agar seluruh rakyat Malaysia khasnya dan masyarakat Islam sedunia tidak ditimpa malu yang amat sangat akibat pemecatan Abang Anwar (panggilan manja yang sering diucapkan Wan Azizah dalam ceramah-ceramah politiknya).
Dalam isu pemecatan Anwar yang dikatakan terlibat dalam homoseksualiti maka kita menyeru kepada seluruh umat Islam mengadakan sembahyang hajat beramai-ramai dan memohon kepada Allah agar menunjukkan kebenaran dan melindungi negara serta rakyat Malaysia dari bencana kemurkaanNya. Kita tidak membela Mahathir atau pun Anwar dalam sembahyang hajat. Yang kita pohon bersama dengan penuh kusyuk dan tawaduk ialah KEBENARAN. Hanya Allah yang menentukannya.
Petikan buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk "62 Dalil Mengapa Reformasi Anwar Gagal", Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1999.
Senarai kroni Anwar -- Rustam Sani yang hebat mengecam kerajaan juga mendapat projek
KUALA LUMPUR 19 Jun 1998 - Bekas Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Kamaruddin Jaafar, mengetuai senarai kroni Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat habuan projek dan saham yang bernilai berpuluh bilion ringgit.
Mengikut senarai itu, syarikat milik Kamaruddin merupakan pemegang saham utama dalam tiga buah projek iaitu Kuala Lumpur Linear City, KL People-Mover Rapid dan Sabah Shipyard Sdn. Bhd. yang nilai kos keseluruhannya ialah RM11.319 bilion.
Beliau memiliki saham dalam dua syarikat mengendalikan pembinaan pengangkutan di ibu negara ia itu KL Linear City bernilai RM10 bilion dan KL PRT Sdn Bhd. bernilai RM1,298 juta serta projek Sabah Shipyard Sdn. Bhd sebanyak RM21 juta.
Nama Kamaruddin terkandung dalam senarai saham dan pemberian projek kerajaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini - satu tindakan yang bertujuan mendedahkan bagaimana Anwar membahagi-bahagikan kekayaan negara kepada rakan-rakannya.
Dalam senarai saham, bapa dan dua adik Anwar dicatatkan sebagai turut mendapat peruntukan saham bumiputera yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan adik beradiknya, Farizan dan Marzukhi memegang saham berjumlah lebih 7.1 juta unit dalam tiga buah syarikat.
Dr. Rahim Ghouse, seorang lagi penyokong kuat Anwar turut mendapat projek Express Rail Link bernilai RM2.4 bilion.
Penulis dan bekas pensyarah universiti, Rustam Sani, yang hebat mengecam kerajaan selepas Anwar dipecat daripada kerajaan sejak sembilan bulan lalu juga mendapat projek iaitu pembinaan Kompleks Jabatan Imigresen Shah Alam yang kini pada peringkat kelulusan prinsip.
Rustam, 55, adalah pemegang saham utama syarikat yang mendapat kontrak itu, Pasca Baru (M) Sdn. Bhd.
Beliau lantang membela Anwar dan mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, yang didakwanya mengamalkan kronisme dan nepotisme terutama dalam tulisan-tulisannya yang diterbitkan dalam akhbar Harakah dan penerbitan yang pro bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Salah satu dokumen yang dikeluarkan dalam senarai itu bertajuk Pemberian Projek Penswastaan Kepada Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim Melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) (Perjanjian Telah Ditandatangani).
Projek pembangunan kerajaan yang diluluskan kepada kroni Anwar adalah pelbagai daripada penswastaan pembetungan najis, penswastaan perkhidmatan ambulans hinggalah kepada pembangunan hartanah di kawasan Brickfields di Kuala lumpur.
Kementerian Kewangan mengeluarkan lapan dokumen pada Perhimpunan Agung UMNO, dan daripada senarai itu terdapat dua senarai yang mengandungi maklumat berhubung 27 buah projek yang diberikan kepada penyokong-penyokong Anwar.
Hanya 14 daripada 27 projek itu dicatatkan kosnya. Nilai terkumpul 14 projek itu ialah RM33.92 bilion. Dijangkakan, jika kos projek-projek lain diperoleh, nilai keseluruhan akan jauh lebih tinggi.
Selain Kamaruddinnama -nama lain yang mendapat faedah ialah Datuk Dr. Wan Hasni Wan Sulaiman, Datuk Anuar Othman, Datuk Ahmad Fuad Ali, Mohd. Nor Mutalib, Datuk Ahmad Nazri Abdullah, Datuk Khalid Ahmad, Bahrim Ayob dan Datuk Ghazi Ramli.
Dalam satu senarai berasingan, nama bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, juga dicatatkan sebagai menerima kelulusan prinsip projek Pembangunan Semula Kampung Haji Abdullah Hukum di Kuala Lumpur.
Selain beliau, nama penyokong Anwar lain juga disebut dan mereka kebanyakan adalah bekas para pemimpin ABIM dan pemimpin UMNO yang rapat dengan Anwar.
Mereka ialah Datuk Ahmad Ismail, Datuk Iqbal Mohd., Kuppa Pitchai Rawther, Datuk Nasruddin Jalil dan Datuk Ahmad Saad.
Tindakan menyenaraikan nama individu dan syarikat bumiputera yang mendapat saham dan projek itu adalah langkah kali kedua selepas Dr. Mahathir mengejutkan ahli-ahli UMNO dengan senarai yang sama pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.
Senarai tersebut dikeluarkan oleh kerajaan bagi menangkis dakwaan Anwar yang menuduh kerajaan mengamalkan kronisme, nepotisme dan rasuah. Ia dipamerkan untuk diteliti oleh para perwakilan dan ahli-ahli UMNO yang menghadiri perhimpunan agung parti itu di sini.
Kamaruddin, Ketua UMNO bahagian Tumpat, juga tersenarai sebagai pemegang saham utama dalam dua syarikat iaitu Westmont Land (Asia) Berhad dengan saham sebanyak 4,700,592 pada 13 Februari 1996 dan Malaysian Mosaics Berhad (sebanyak 7.5 juta).
Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh, Kamaruddin Mohd. Nor, yang juga bekas Setiausaha Agung ABIM pula memegang saham sebanyak 250,000 unit dalam syarikat Eastern dan Oriental.
Bapa Anwar Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan adik beradiknya, Farizon dan Marzukhi yang memegang saham berjumlah lebih 7.1 juta unit dalam tiga buah syarikat.
Syarikat itu ialah Pengkalen Holdings Berhad (Ibrahim dan Farizon) masing-masing 250,000 saham pada 2 Mei 1998; Nissan Industrial Oxygen Incorporated (Ibrahim) sebanyak 3,790.500 dan Penas Corporation (Marzukhi) sebanyak 2,800,000.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, memiliki sebanyak 6,751,493 saham dalam syarikat Tekala Corporation (TCB).
Menerusi syarikat Pantai Dalam Sdn. Bhd., beliau juga telah mendapat kelulusan prinsip untuk projek pembangunan semula Kampung Haji Abdullah Hukum.
Senarai-senarai pemberian saham dan projek itu dipamerkan di tingkat empat, bertentangan dengan pintu masuk utama ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Senarai pertama melibatkan pemberian 18 projek penswastaan menerusi Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang perjanjiannya telah ditandatangani sehingga 15 Jun lalu.
Para penyokong Anwar yang paling kerap tertera daripada 18 projek itu ialah Mohd Nor Mutalib, Datuk Ahmad Nadzri Abdullah dan Datuk Khalid Ahmad yang memiliki saham utama dalam sembilan projek.
Projek-projek itu ialah projek Kuala Lumpur Central menerusi syarikat Freeway Properties dan bernilai RM713 juta; Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3); perkhidmatan telekomunikasi Satelite Network; projek Lebuh Raya Ipoh-Lumut bernilai RM1,000 juta dan projek perkhidmatan sokongan hospital Redicare Sdn. Bhd bersama Azmi Jaafar.
No comments:
Post a Comment