Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Monday, July 12, 2010

Berakhirkah Kuasa Politik Melayu?

UMNO
PAS
PKR
PADA 1946, UMNO ditubuhkan, ketika itu semua orang Melayu boleh dianggap berada dibawah payung parti berkenaan. Namun penyatuan itu tidak lama apabila terwujud Pas pada tahun 1951 selepas berlaku perpecahan di dalam UMNO, ertinya orang Melayu sudah berpecah kepada dua kumpulan.

Buat seketika pertelingkahan politik di kalangan orang Melayu hanya berkisar kepada dua parti ini sahaja, satu pihak menyokong UMNO dan satu pihak lagi menyokong Pas tetapi hakikatnya Melayu sudah berpecah. Penyatuan antara kedua-dua partinya hanya berlaku seketika pada awal tahun 70-an sebelum Pas sekali lagi membawa diri. Melayu kembali berpecah.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku lagi krisis dalam UMNO. Kali ini ia mewujudkan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46), walaupun tidak lama berada dalam persada politik tanah air namun kehadiran S46 turut memecahkan undi Melayu.

Bagaimanapun keadaan agak tenang seketika apabila S46 dibubarkan dan ramai kembali kepada UMNO tetapi pertarungan politik antara parti itu dengan Pas berterusan.

Ketika UMNO dan Pas masih lagi teraba-raba mencari titik pertemuan, tercetus pula krisis ketiga dalam UMNO yang 'melahirkan' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berbanding perpecahan-perpecahan Melayu sebelum ini, kewujudan PKR ternyata semakin melemahkan kuasa politik Melayu. Orang Melayu yang sudah terbahagi kepada dua puak kini menjadi tiga puak dan ia belum lagi mengambil kira puak keempat iaitu atas pagar.

Akhirnya, walaupun menjadi penduduk majoriti di negara ini, kuasa politik Melayu semakin lemah. Malangnya kelemahan itu tidak menguntungkan UMNO, Pas mahupun PKR, sebaliknya parti-parti bukan Melayu yang lain.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang dan di Perak (selama 11 bulan) seharusnya memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa kuasa politik mereka boleh lenyap bila-bila masa atau kalau pun mempunyai jawatan, mereka perlu mengikut telunjuk orang lain kerana kekurangan jumlah kerusi.

Di Pulau Pinang, walaupun DAP berkongsi kuasa bersama-sama dengan Pas dan PKR tetapi DAP tidak pernah peduli perasaan orang-orang Melayu dalam kedua-dua parti tersebut. Sebab itulah pelbagai tindakan dilakukan termasuk merobohkan kampung-kampung orang Melayu.

Begitu juga di Perak, walaupun sedikit sebanyak orang-orang Melayu di dalam Pas dan PKR membantu kemenangan calon DAP sehingga mereka mampu memiliki kerusi terbanyak di negeri itu, tetapi ketika menjadi kerajaan negeri, DAP tidak pernah mengambil kira pandangan Pas dan PKR. Menteri Besar yang dilantik hanya mengikut sahaja apa yang DAP arahkan.

Sedangkan kalau UMNO dan Pas bekerjasama mewujudkan kerajaan perpaduan, senario 'mengikut telunjuk' tersebut tidak akan berlaku. Ini memandangkan UMNO mempunyai 28 kerusi dan Pas enam kerusi menjadikan jumlah keseluruhannya 34 kerusi.

Di Kedah, walaupun Pas memerintah tetapi talian hayat kerajaan negeri tetap bergantung kepada tiga ADUN bukan Melayu daripada PKR.

Di Selangor, Menteri Besarnya, bukan sahaja bergantung kepada DAP untuk terus kekal sebagai kerajaan negeri malahan harus mendapat sokongan ADUN bukan Melayu dalam PKR untuk kekal berkuasa.

Kecuali di Kelantan dan Terengganu yang bakal terus menyaksikan pertarungan antara parti-parti orang Melayu, di negeri-negeri lain, kuasa politik Melayu semakin berkurangan.

Berikutan perpecahan yang berlaku kuasa politik orang Melayu di Parlimen juga semakin lemah. UMNO yang diharapkan menjadi sandaran orang Melayu semakin 'nipis' jumlah kerusinya di Parlimen. Parti itu hanya menguasai 78 kerusi. Kita tidak boleh berharap bahawa kepentingan Melayu akan turut dikongsi oleh semua ahli Parlimen Pas kerana sebahagian besar mereka lebih taksub 'memuja' Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kelompok ini agenda mereka hanya ingin mendapat kuasa bersama-sama DAP. Kesudahannya UMNO bergantung kepada ahli Parlimen bebas yang keluar PKR dan sedikit sokongan daripada Pas agar agenda Melayu tidak diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.

Namun persoalannya sekarang, apakah akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang.

Pelbagai analisis dan kajian yang dibuat oleh sesetengah pihak berkecuali (non partisan) mendapati, kuasa politik Melayu tidak mustahil akan luntur daripada persada politik tanah air.

''Masih ramai ahli politik Melayu leka dan tidak sedar bahawa ada bahaya yang sedang menanti dalam pilihan raya umum akan datang. Situasi ini jika dibiarkan boleh memungkinkan kuasa politik Melayu akan berakhir.

''Jika ini terjadi ia bukan sahaja akan merugikan UMNO semata-mata tetapi juga Pas di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta ahli politik PKR yang masih kukuh idealismenya dalam perjuangan untuk bangsa, agama dan negara,
" kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis ketika dihubungi.

Persefahaman

Sememangnya, ketika orang Melayu masih belum mampu mencapai persefahaman hatta dalam soal mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam sekali pun, parti-parti politik bukan Melayu bukan sahaja semakin mengukuh cengkaman mereka di sesetengah negeri dan kawasan malahan mula mengatur gerakan membuat tuntutan demi tuntutan untuk kepentingan kaum mereka.

Seperti mana kata seorang lagi pemimpin UMNO, walaupun mereka sedari ada kalanya tuntutan mereka adalah melampau dan boleh menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan orang Melayu tetapi mereka tidak mempedulikannya. Mereka ingin menonjolkan diri menjadi juara kepada kaum sendiri.

Puak-puak ini amat memahami bahawa politik Melayu berada di dalam keadaan lemah.


Walaupun terdapat tiga parti politik yang diterajui orang Melayu tetapi mereka tidak mampu bersatu hati. Ini berbeza dengan amalan politik parti-parti bukan Melayu, mereka akan sepakat dalam soal berkaitan kaum mereka.

Tetapi orang Melayu, kalau UMNO bercakap soal kepentingan Melayu, sebahagian puak-puak di dalam Pas dan PKR akan menuduh UMNO rasis dan mengamalkan politik perkauman tetapi mereka tidak pula menyerang parti-parti bukan Melayu yang memperjuangkan hak kaum mereka secara keterlaluan.

Ketika ini pembangkang yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Pas begitu yakin bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), mereka akan menguasai Putrajaya dan sudah ada congak dibuat bahawa beberapa negeri lagi akan jatuh ke tangan mereka.


BN terutamanya UMNO tidak boleh merasa selesa bahawa negeri yang mereka pegang sekarang akan berkekalan. Apa yang terjadi kepada Selangor adalah contoh terbaik. Tidak mustahil keadaan ini boleh berlaku di negeri-negeri lain pula seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, jika UMNO terus leka.

Hakikatnya, kita menghormati proses demokrasi yang mana rakyat memilih siapa yang mereka mahukan tetapi persoalannya apakah akan berlaku kepada kuasa politik orang Melayu? Mampukah PKR yang pemimpinnya terlalu kemaruk kuasa mengimbangkan kekuatan DAP? atau mampukah Pas bersuara bagi membolehkan mereka menjadi dominan dalam pakatan pembangkang?

Bagaimana pula dengan UMNO, beranikah parti itu mengambil semula kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu tetapi sebelum ini diserahkan kepada komponen BN yang lain untuk bertanding atas dasar setiakawan? Mampukah UMNO dan Pas menambah kerusi dalam Parlimen bagi memastikan suara orang Melayu dan umat Islam terus kedengaran dan hak mereka tidak diperkotak-katikkan?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah memberikan isyarat mengenai bahaya yang menanti orang Melayu kalau mereka terus berpecah dari segi kuasa politik, begitu juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah berkali-kali mengingatkan bahawa kuasa politik yang dipegang orang Melayu mungkin hilang jika mereka berpecah-belah.

Mengekalkan kuasa politik Melayu bukanlah bermakna kita hendak menganiaya atau mengetepikan hak kaum lain. Selama 53 tahun memerintah Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggak kekuatannya sudah membuktikan bahawa nasib kaum bukan Melayu sentiasa dipelihara dan terbela.

Pengekalan kuasa politik Melayu juga bertujuan untuk memastikan kaum bukan Melayu tidak terjebak dalam permainan politik sempit yang boleh memudaratkan keharmonian di negara ini.


Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa masa depan kuasa politik Melayu bergantung sepenuhnya kepada UMNO dan Pas. Orang Melayu tidak boleh berharap kepada PKR. Bagi pemimpin-pemimpin PKR mereka akan melakukan apa sahaja asalkan boleh mendapat undi. Cukuplah kedua-dua parti itu bertelagah sejak hampir 60 tahun lalu.

Masanya sudah tiba untuk dua parti besar itu seperti mana kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencari 'kemuncak persamaan' bagi membolehkan mereka duduk semeja berbincang dalam usaha memastikan kuasa politik Melayu tidak lenyap dalam pilihan raya umum akan datang.

Sekali lagi mungkin akan ada di kalangan pemimpin dan ahli Pas yang akan mendakwa bahawa semua ini agenda untuk menakut-nakutkan orang Melayu atau lebih tepat lagi bagi menyelamatkan kuasa politik UMNO yang dikatakan semakin berkurangan.

Tidak kisah untuk bertelagah berebut kerusi dalam pilihan raya tetapi janganlah sikap 'berlawanan' dalam pilihan raya itu turut diseret ketika kita berhadapan dengan persoalan untuk mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam.

Orang Melayu perlu sedar dan bangkit untuk menyedari bahawa kuasa politik mereka semakin terancam, jika mereka terus bertelagah dalam soal politik. Sama ada UMNO mahupun Pas mereka perlu sedar kalau kuasa politik itu hilang, kedua-duanya akan rugi. Oleh itu mereka harus berusaha sedaya upaya mencari titik persamaan bagi memastikan di dalam pilihan raya umum nanti kuasa politik Melayu tidak hanya menjadi bahan sejarah!

oleh : ZULKIFLEE BAKAR

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP