Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Friday, July 9, 2010

Negara Islam Sekadar Retorik PAS...

Pada 12 November 2003, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan dokumen negara Islam yang merangkumi semua aspek konsep negara Islam termasuk tasawur, dasar, ciri-ciri sehinggalah polisi umumnya.

Ketika itu, PAS berada dalam Barisan Alternatif (BA) bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada masa yang sama, kedua-dua parti itu turut mempunyai kerjasama dengan DAP yang memperjuangkan konsep 'Malaysian Malaysia'.javascript:void(0)

Malahan suatu ketika, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memuji pemimpin-pemimpin DAP kerana dikatakan semakin menerima Islam. Ketika berucap di konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam tidak lama dulu, Nik Abdul Aziz berkata, di dada Lim Kit Siang dan Karpal Singh ada tanda bulan (lambang PAS).

Kini, pujian Nik Abdul Aziz kepada DAP terutamanya Karpal mungkin berubah apabila Pengerusi DAP tersebut secara terbuka mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Pendirian itu membuatkan Menteri Besar Kelantan mencabar Karpal membuktikan konsep negara Islam acuan PAS yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun adalah salah.

Nik Abdul Aziz turut menganggap kenyataan Karpal yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika pakatan pembangkang menguasai pentadbiran negara sebagai kenyataan peribadi.

Sebenarnya tidak timbul soal kenyataan peribadi kerana sejak dari awal lagi sama ada Karpal mahupun DAP tidak pernah memperakui secara terbuka menyokong gagasan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.


Tambahan pula sejak berkawan rapat dengan PKR dan DAP, PAS sendiri bukan sahaja sudah lama tidak bercakap soal menubuhkan negara Islam, malah ada pemimpin menganggap gagasan itu tidak ada dalam Perlembagaan parti tersebut.

Dalam muktamar parti itu baru-baru ini, suara-suara mengenai perjuangan membentuk negara Islam langsung tidak kedengaran sama ada di kalangan pemimpin mahupun perwakilan PAS.

Nik Abdul Aziz hanya melenting apabila Karpal terus konsisten menolak penubuhan negara Islam. Kalau Karpal tidak bercakap maka sudah pasti isu negara Islam tidak disentuh oleh PAS.

Ini terbukti apabila dalam dua pilihan raya umum lalu, PAS dalam manifestonya tidak menyentuh soal negara Islam sehingga akhirnya memungkinkan konsep negara Islam yang mereka perkatakan hanya wujud dalam bentuk dokumen semata-mata tidak lebih daripada itu.


Konsep negara Islam hanya menjadi retorik politik kepada PAS kerana ia tidak bersungguh-sungguh hendak dilaksanakan oleh parti tersebut. Apa yang lebih penting bagi parti berkenaan ialah bersama-sama PKR dan DAP menggabungkan kekuatan bagi merebut tampuk kekuasaan negara dalam pilihan raya umum akan datang.

Atas sebab itulah, DAP dilihat tidak pernah menghormati dasar perjuangan PAS kerana mereka memahami bahawa PAS bersedia mengorbankan semua itu demi mencari kuasa politik.

Kita tidak harus lupa bahawa pada 25 Jun 1999, Nik Abdul Aziz sendiri pernah berkata, "PAS sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa..."

Bagaimanapun seorang pemimpin PAS ketika dihubungi berkata, DAP sepatutnya menghormati dasar perjuangan PAS bukannya mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan.

Katanya, PAS sentiasa bersedia bekerjasama dengan DAP selagi perasaan hormat-menghormati itu wujud.

"Selagi DAP hormati PAS, kita tidak ada masalah tetapi nampaknya DAP tidak mempunyai perasaan tersebut, sebab itulah Karpal sanggup mengeluarkan kenyataan itu," katanya.

Menurut pemimpin PAS berkenaan, semua rakan di dalam pakatan pembangkang telah bersetuju dan menghormati dasar perjuangan PAS.

"Justeru, tidak timbul soal penolakan oleh mana-mana pemimpin DAP termasuk Karpal sendiri. Bagi saya, itu pandangan peribadi beliau," katanya.

'Pandangan peribadi' - inilah istilah yang digunakan oleh hampir keseluruhan pemimpin PAS apabila diminta mengulas mengenai kenyataan terbaru Karpal itu.

Apa yang pasti Karpal bukanlah ahli biasa, tetapi Pengerusi DAP. Jadi, pandangan beliau sudah tentu dikongsi bersama oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Adakah kenyataan pemimpin PAS itu bermaksud Guan Eng akan membela PAS?

Sepatutnya PAS belajar terhadap apa yang berlaku di Selangor kerana biarpun PAS menyumbang kerusi kepada pembentukan kerajaan negeri tetapi suara PAS seolah-olah tidak didengari.

Beberapa usaha PAS untuk menerapkan nilai-nilai Islam ditentang hebat bukan sahaja oleh DAP tetapi juga pemimpin bukan Melayu dalam PKR.

Kini, PAS tidak boleh melenting dengan kenyataan Karpal kerana PAS tidak ada kuasa untuk melawan kekuatan politik DAP mahupun PKR.

Sepatutnya, PAS menghormati Karpal kerana sentiasa konsisten dalam membuat sesuatu kenyataan. Keadaan tersebut berbeza dengan pemimpin-pemimpin PAS yang tidak pernah konsisten dalam pendirian mereka.

Akibat sikap tidak konsisten inilah, ia memungkinkan PAS hanya menjadi 'kawan mainan politik' kepada PKR dan DAP.

Mungkin pujian boleh diberikan kepada Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan yang dengan tegas menyatakan PAS bersedia mengkaji semula hubungan dengan DAP pada masa depan jika DAP terus mengamalkan sikap menikam dari belakang.

Sebenarnya, DAP selama ini bukan sahaja sudah menikam dari belakang, malah boleh disifatkan 'sudah menetak' PAS dari hadapan apabila sering sahaja melakukan tindakan yang kadangkala dilihat tidak menghormati PAS. Tetapi apa yang PAS boleh buat?

Oleh itu, apa juga penegasan dan kenyataan yang dibuat oleh PAS dalam isu negara Islam boleh dianggap retorik semata-mata. Pemimpin PAS terpaksa bersuara apabila ia disentuh oleh Karpal bagi menunjukkan kononnya PAS tetap ingin memperjuangkan konsep berkenaan.

Namun, ia hanyalah mainan lidah politik PAS sahaja. Hakikatnya, langkah bagi memperjuangkan konsep negara Islam tersebut semakin ditinggalkan oleh parti itu demi mencari kuasa bersama PKR dan DAP.

- Oleh Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP