Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Saturday, July 31, 2010

Azmin-Anwar ibarat dalam Keluarga 69


Azmin Ali mungkin sudah berangan-angan tentang Istana Mestika, tentang kerusi panas MB Selangor yang baru. Riwayat seorang Khalid Ibrahim kini di muka surat akhir.

Tokoh korporat yang mengaku dirinya kurang cerdik politik itu dilihat akan disembelih sebelum habis penggal.


Tiada lagi kelebihan anak emas Anwar Ibrahim buat beliau. Tiada lagi puji-pujian, puja-pujaan dari Anwar Ibrahim kepada beliau. ADUN Ijok itu bagai sudah jatuh ditimpa tangga terpijak tahi ayam pula, dibuang dari menjadi ketua PKR negeri kini kerusi MB pula dijangka pergi.

Tumpuan pemerhati politik mula mengarah kepada ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PKR yang juga isteri beliau untuk buat pengumuman.

Pemerhati politik berpandangan bahawa Anwar hanya ada dua pertimbangan. Mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim yang didokongi oleh pemimpin Cina, India, Dayak dan sosialis dalam PKR atau melantik orang paling kanan, paling setia beliau iaitu Azmin yang dilihat didokongi oleh pemimpin Melayu dalam PKR.

Cita-cita Azmin untuk jadi MB Selangor adalah normal. Beliau layak serta cukup syarat untuk memasang angan-angan tersebut.


Di samping kedudukan beliau sebagai orang paling kanan Anwar, beliau juga pengasas PKR dan telah lama berkhidmat kepada Anwar. Azmin untuk Anwar ibarat Ibrahim Din untuk P Ramlee dalam cerita Keluarga 69.

Azmin dikata punya kuasa sakti yang boleh digunakan untuk menekan Anwar. Namun dalam pergolakan ini Azmin lebih dilihat anak jantan yang melawan daripada mengguna kuasa sakti politik menundukkan ketua pembangkang itu.

Ketika PKR menang pilihanraya umum lalu dan membentuk kerajaan bersama DAP dan PAS, Azmin adalah calon terbaik sebagai MB Selangor.

Pengorbanan beliau kepada Anwar selama ini adalah cop mohor paling kuat untuk beliau menjadi MB Selangor negeri paling kaya. Namun angan-angan itu hancur apabila Anwar memilih Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor dan mengenepi impian dan harapan Azmin untuk menjadi MB pertama dari PKR.

Beliau dipujuk untuk beri laluan kepada Tan Sri Khalid menjadi MB. Beliau dipujuk Anwar dengan dongeng 16 September dan dijanjikan jawatab menteri kanan dalam kabinet. Putrajaya sudah semakin dekat hanya tunggu masa dan ketikanya.


Pada Azmin ini bukan kali pertama Anwar ketepikan beliau. Ketika mahu bertanding jawatan timbalan presiden semasa pemilihan parti 2007, Anwar juga telah ketepikan hasrat beliau dengan memberi ihsan menang percuma kepada Senator Syed Husin Ali.

Namun pendam Azmin diam-diam menjadi dendam. Tragedi kena tipu dengan Anwar dek projek 16 September menjadi iktibar.

Daripada berputih mata lebih baik calar berdarah.

Pertarungan bermula sebelum pemilihan PKR sekitar September tahun ini. Desas-desus Khalid akan bertanding jawatan timbalan presiden telah menggugat cita-cita lama Azmin untuk menjadi orang nombor 2 PKR.

Peringkat parti - Khalid didokong kuat oleh kumpulan sosialis PKR yang diketuai Syed Husin dan kuncu-kuncunya, manakala dalam pentadbiran kerajaan Selangor, beliau disokong oleh Elizabeth Wong, Yaakob Sapari, Xavier Jayakumar dan Rodziah. Semua exco kerajaan Selangor adalah penyokong kuat bos mereka.

Pemerhati politik menjangkakan Khalid punya kelebihan untuk menang jawatan timbalan presiden berbanding Azmin, ini kerana ADUN Ijok dilihat lebih popular terutama di kalangan kumpulan bukan Melayu dalam PKR.

Menyedari perkara ini, dendam Azmin tidak boleh selamanya dipendam. Pergeseran antara kedua-dua tokoh PKR sudah menjadi rahsia umum. Azmin mengorak langkah menyerang Khalid dan menekan Anwar.

Serampang dua mata, langkah pertama membuahkan hasil, terpelanting anak jati Kuala Selangor dari Ketua PKR Selangor. Misi sebenar tidak berakhir dengan hanya menjadi Ketua PKR Selangor tetapi adalah menjadi Ketua PKR Selangor dan MB Selangor sekaligus.


Barangkali pada ketika ini Khalid sedang memikir nasib untung rugi politik beliau sambil mendengar lagu Kris Dayanti “Menghitung Hari”.

http://www.malaysiakini.com/letters/136940

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP