Oleh: ROSLAN BIAN
Pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Khamis malam mengenai pelan 16 September 2008 akhirnya menjerat dirinya sendiri.
Ketika Ketua Pembangkang itu beria-ria mahu tebus malu ekoran pendedahan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim baru-baru ini beliau gunakan nama Yang Di Pertuan Agong dan Panglima ATM, tanpa disedarinya pekongnya sendiri terlondeh.
Antaranya, Anwar mengaku ada menulis surat kepada yang Dipertuan Agong, mempelawa Ahli-ahli parlimen BN menyertai pembangkang dan berbual telefon dengan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk tujuan itu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu nyata ‘sangkut’ bila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mempertikai kenapa beliau hanya menghantar surat mohon untuk menghadap yang Dipertuan Agong tanpa menyertakan senarai Ahli parlimen BN yang kononnya mencukupi bagi membolehkan pembangkang ambil alih kerajaan.
Semua ini bermula apabila Nazri yang menggulung perbahasan menjunjungi kasih titah Yang Di Pertuan Agong di Dewan Rakyat menyentuh soal pelan 16 September Anwar menggunakan nama Agong dan ATM seperti didedahkan Zahrain.
Pengulungan menteri itu selama sejam telah mencuri tumpuan para Ahli Parlimen dan pemerhati yang hadir.
Menurut Nazri, dakwaan Ahli Parlimen BN beramai-ramai ingin melompat parti adalah tidak benar.
Beliau juga bertanya bilakah masanya kerajaan merampas dan mencuri Ahli Parlimen pembangkang sedangkan Ahli Parlimen PKR yang keluar menjadi Bebas dan tiada yang menyertai BN.
Katanya, tuduhan bahawa BN memberi imbuhan atau sogokan kepada mereka juga tidak berasas dan rakyat boleh menilai sendiri pembohongan itu selepas Ahli Parlimen PKR yang keluar parti membuat pendedahan.
Katanya, dengan pendedahan oleh Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru dan beberapa orang lain yang keluar PKR serta Menteri Besar Perak semalam akhirnya terbongkarlah bahawa pembangkang sendiri yang mahu mencuri Ahli Parlimen BN.
“Ini termasuk usaha rombongan pembangkang ke Taiwan memburu ahli parlimen BN babitkan (ahli parlimen) Batu (Tian Chua), (ADUN) Bukit Lanjan (Elizabeth Wong) dan Machang (Saifuddin Nasution Ismail),” katanya.
Ketika ini Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad bangun mencelah mempersoalkan kenapa Dr Zambry membuat pendedahan itu selepas dua tahun sedangkan ada wakil rakyat BN pernah mengaku dihubungi Ketua Pembangkang tetapi mengatakan tidak pernah ditawarkan apa-apa jawatan.
Menjawab perkara itu, Nazri berkata, beliau membangkitkan soal itu kerana hanya dikatakan sekarang.
Mengenai tawaran yang dimaksudkan, Nazri berkias mengatakan ada perkara-perkara yang beliau tahu dan pernah bercakap dengan Anwar tetapi tidak perlu disebut kerana menghormatinya sebagai kawan.
Jawapan beliau mengundang rasa tidak puashati Khalid yang mendakwa kononnya Nazri takut bercakap benar apabila memberi jawapan sedemikian.
Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tengku Jaafar terpaksa mententeramkan keadaan.
Apabila keadaan Dewan tenang, Nazri memberi laluan kepada Anwar mencelah.
Kata Anwar “merujuk kepada kenyataan Menteri Besar (Dr Zambry), saya buat pelawaan terbuka, bukan rahsia. Saya kata memandangkan apa yang ada pada pakatan rakyat (jumlah ahli parlimen) , saya pohon kerjasama rakan-rakan termasuk teman-teman saya (dalam BN) untuk bersama (Pakatan Rakyat).”
“Saya buat secara terbuka. Bukannya rahsia atau janji wang.” .
Beliau cuba mengungkit kisah dua ADUN PKR Perak (Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi) serta Adun BN Bota (Datuk Nasaruddin Hashim) yang didakwanya ‘hilang’ dan menimbulkan misteri .
Anwar juga mendakwa tiada pertemuan antaranya dengan Zambry.
Katanya yang ada hanyalah perbualan telefon beberapa minit bertanya khabar.
“Saya tidak bincang hal-hal sedemikian (tawar jawatan Menteri Besar). Apabila beliau (Zambry) sedia berbicara di telefon, saya tak umumkan apa yang dikatakan (tawar jawatan), tegasnya.
Ketika ini Dewan Rakyat diam tanpa sesiapa bangun mencelah kerana kedua-dua barisan Ahli Parlimen sama ada BN dan pembangkang mahu mendengar jawapan Anwar.
Menurut Anwar, Zambry tidak tuntut jawatan atau wang daripadanya mahupun apa-apa perbincangan.
Nazri yang menyambung hujah berkata, yang dimaksudkan (pujuk Zambry) bukan Anwar dan minta jangan bersikap ‘siapa makan cili berasa pedas’.
“Saya tak kata Yang Berhormat. Ini kerja-kerja Little Napoleons dalam PKR,” katanya.
Zahrain kemudian turut bangun mencelah membidas Anwar kerana buat pembohongan dan cerita-cerita dongeng 16 Sptember termasuk menggunakan nama Yang Di Pertuan Agong dan ATM.
“Sekarang (pembangkang) tuduh kita ambil duit, imbuhan. Kalau ada buktilah. Kita hilang kepercayaan sebab tindak tanduk Ketua Pembangkang,” tegasnya.
Nazri kemudian menyokong kenyataan Zahrain dengan mengatakan, mereka yang sudah keluar (PKR) adalah kerana sudah hilang keyakinan terhadap pemimpin parti itu.
Anwar sekali lagi meminta laluan menjawab dakwaan Zahrain dan menjelaskan mengenai pelan 16 Septembernya.
Beliau mengaku ada menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Sept 2008 untuk memohon menghadap bagi memaklumkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan.
Katanya, adalah mustahil beliau berani menulis surat kepada Yang Di Pertuan Agong jika tidak cukup bilangan ahli parlimen untuk ambil alih kerajaan.
"Pada 18 September, saya mendapat persetujuan pimpinan tiga parti pembangkang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk menulis kepada Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) supaya diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul dewan sudah hilang kepercayaan terhadapnya dan kepimpinan beliau.
"Mustahil jika saya berani menulis surat itu jika saya tidak mendapat perakuan Ahli Parlimen lain dan selepas surat itu ditolak, saya menulis pula kepada Speaker tetapi turut ditolak dan kemudian kepada Tuanku Mizan," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak pula menyebut nama-nama Ahli Parlimen BN yang didakwanya telah membuat perakuan untuk menyokong pakatan pembangkang ketika itu.
Pengakuan Anwar itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh seketika dan beberapa Ahli Parlimen menyifatkannya sebagai satu pembohongan.
Nazri yang meneruskan penggulungan mempertikaikan kebenaran dakwaan Anwar beliau sudah ada cukup bilangan Ahli Parlimen BN yang nak melompat itu.
Nazri berkata Anwar sudah pasti akan menghantar surat tersebut terus kepada yang Dipertuan Agong jika beliau berjaya "menarik" antara 20 hingga 30 anggota Parlimen BN tanpa perlu bersusah-payah mengikut saluran pertama (Perdana Menteri) dan kedua (Speaker Dewan Rakyat) itu.
"Sepatutnya Anwar membawa tandatangan 20 atau 30 orang yang berjaya ditariknya dari BN kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi dia tidak ada. Pembangkang ada 82 dan BN ada 140, bagaimana nak buat undi tak percaya itu," katanya.- 1/4/2010
agendadaily
salam tuan blog.
ReplyDeletesaya dah add dalam list BPN blog tuan...
maaf kerana tercicir blog tuan.
tq