Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Tuesday, April 13, 2010

Telan air ludah ustaz!

Berbagai sumber yang boleh diyakini memaklumkan kepada saya bahawa di Selangor ada seorang tokoh agama yang mengadakan 'upacara' orang ramai menelan air liurnya untuk keberkatan.

Upacara itu pula dibuat di masjid. Apa tidaknya, beliau ada tauliah dan berjawatan di negeri berkenaan.

Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu 'menikmati' seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau!

Ada banyak perkara yang boleh ditanya.

Demikian mudah nama Ahlus Sunnah dipergunakan dan tidak pula dikenakan tindakan oleh JAIS.

Jika ditanya mungkin ustaz itu –jika dia tahu- akan berkata ada hadis Nabi s.a.w pernah meludah mata 'Ali bin 'Abi Talib sehingga sembuh sakit matanya.

Atau mungkin riwayat lain yang dipertikaikan kesabitannya yang menyatakan kononnya Rasulullah s.a.w pernah meludah ke dalam mulut kanak-kanak pada Hari 'Asyura untuk melatih mereka terus berpuasa.

Riwayat ini dipertikaikan oleh sebahagian sarjana hadis. (lihat: Silsilah al-Da'ifah hadis ke 6749).

Apapun, soalan yang wajar ditanya, apakah ustaz berkenaan merasakan dirinya setaraf dengan Nabi s.a.w atau seberkat baginda s.a.w sehingga dia pun hendak menyuruh orang lain menelan ludahnya?

Para sahabah Nabi s.a.w seperti para khalifah al-Rasyidin, atau para sahabat lain yang dijamin buat mereka syurga mempunyai berbagai kelebihan atau fadilat mereka yang dinyatakan sendiri oleh Nabi s.a.w.

Begitupun tidak pernah pun para sahabat ini semasa atau selepas kewafatan Nabi s.a.w membuat majlis dalam masjid atau luar masjid memanggil orang ramai menelan air ludah mereka untuk mendapatkan berkat.

Apakah ustaz berkenaan merasakan dirinya sudah sampai ke suatu tahap yang menyamai Nabi s.a.w dan dia pula diberikan lesen besar oleh Jabatan Agama untuk mempromosikan 'kesucian' air ludahnya itu?

Pertembungan

Isu-isu yang seperti inilah yang sering membawa perbezaan antara golongan pembaharuan yang ingin membersihkan Islam dari kepentingan diri, bertembung dengan kelompok yang cuba menjadikan Islam sebagai sumber untuk mendapatkan kuasa pengaruh dan ketaksuban dengan cara memperbodohkan orang ramai agar meletakkan kesucian untuk diri mereka.

Golongan tarekat sering terjebak dengan hal yang seperti ini. Padahal semua hal tersebut atas tujuan penguasaan pengaruh atau politik yang akhirnya boleh membawa keuntungan yang berbagai kepada seseorang tokoh.

Hal ini saya telah sentuh dalam artikel 'Kuasa Politik dan Kuasa Agama'.

Dalam buku Tarekat Naqsyabandi, disebutkan tentang tanggungjawab disiplin pengikut tarekat: “Meninggalkan ikhtiar diri dan menyatukan ke dalam ikhtiar syeikh dalam segala urusan, baik ibadat mahupun adat kebiasaan.

Salah satu tanda murid yang benar, kalau syeikh menyatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam api yang menyala”, ia akan memasukinya” (H.A Fuad Said, Hakikat Thariqat Naqsyabandiah, m.s. 103).

Padahal dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, di mana Rasulullah s.a.w. pernah menghantar satu pasukan kecil tentera dan dilantik seorang lelaki Ansar mengetuai mereka serta memerintahkan mereka agar taat kepadanya.

Semasa dalam tugasan, lelaki itu pernah marah kepada mereka dan berkata: “Tidakkah kamu diperintahkan untuk taat kepadaku?”.

Jawab meraka: “Bahkan”. Katanya: “Aku telah putuskan apabila kamu siap kumpulkan api, kamu nyalakannya dan hendaklah kamu masuk ke dalamnya”.

Maka mereka pun mengumpulkan kayu api dan menyalakannya dan apabila mereka hendak masuk ke dalamnya maka mereka melihat antara satu sama lain.

Maka salah seorang dari mereka terfikir: “Kita ini mengikut Nabi s.a.w. hanya kerana ingin lari dari api (neraka) apakah kita patut masuk ke dalamnya?”.

Sedang mereka dalam keadaan tiba-tiba api tersebut pun terpadam dan kemarahan ketua mereka kembali tenang.

Maka apabila kisah tadi disebut kepada Nabi s.a.w., baginda bersabda: “Jika mereka memasukinya maka mereka tidak dapat keluar darinya selama-lama (mereka akan mati dan tidak dapat kembali ke dunia).

Ketaatan itu hanya itu hanya dalam perkara ma'ruf (kebaikan)”. Maksudnya, tidak boleh taat kepada arahan yang menyanggahi ajaran Islam.

Ketua yang dilantik oleh Nabi s.a.w sendiri pun tidak disuruh taat membabi buta, inikan pula sekadar guru tarekat yang hanya melantik diri sendiri!

Hadis Musalsal

Dalam usaha membina pengaruh, sesetengah golongan mencipta hadis-hadis yang bersifat musalsal. Hal ini mula berkembang dan 'mendapat tauliah' dalam negara ini.

Hadis Musalsal bermaksud periwayat hadis itu akan meniru perbuatan periwayat sebelumnya, yang sebelumnya itu juga meniru yang sebelumnya sehinggalah berterusan kepada Rasulullah s.a.w.

Contohnya, periwayat akan memakai serban seperti yang ditiru dari periwayat sebelumnya dan berterusan sehingga kepada Rasulullah s.a.w.

Hadis-hadis ketagori ini dinamakan dengan hadis musalsal. Kebanyakan hadis jenis ini amat daif atau palsu.

Kata tokoh agung hadis al-Imam al-Zahabi (meninggal 848H): “Secara umumnya hadis-hadis musalsal adalah dhaif, kebanyakannya pula adalah batil, disebabkan pembohongan periwayatnya. (Al-Zahabi, al-Muqizah fi `ilm al-Mustalah al-Hadith, m.s. 44. Halab: al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Jika pun ada yang sahih, adakah periwayat di zaman ini mencapai standard perawi yang dikehendaki dalam disiplin ilmu hadis sehingga layak riwayat mereka itu hendak dipercayai?

Sebenarnya, di sebalik 'kegalakan' sesetengah pihak berkempen hadis-hadis jenis ini, ia mempunyai tujuan agar diri mereka dikaitkan dengan Nabi s.a.w dan hasilnya mereka akan disucikan atau diagungkan sehingga ke tahap air ludah mereka pun ditelan orang.

Inilah yang Prof Hamka berikan sindiran pedas pada zamannya dengan memetik kata seorang tokoh bernama Syeikh Abdullah Saleh: “Menjadi Mufti dalam Kerajaan –kerajaan Melayu itu sangatlah megahnya.

Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri.

Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah. Dan kalau beliau ingin hendak kahwin, bismillah! (Prof Hamka, Ayahku, m.s. 160, Selangor: Pustaka Dini).

Demikian jika ketaksuban melampaui batasan yang patut.

Dulu saya pernah tegur, ada guru dari Indonesia yang diberikan lesen berceramah di masjid-masjid di Malaysia mendakwa sesiapa yang berjabat tangan dengannya bererti berjabat tangan dengan Nabi s.a.w maka akan masuk syurga.

Beliau membuat majlis di masjid-masjid membaca hadis musalsal berjabat tangan atau disebut al-Musalsal bi al-Musafahah.

Lalu beliau pun baca hadis palsu berkenaan: “Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku sehingga hari kiamat maka dia masuk syurga”.

Maka orang ramai yang terpengaruh pun akan berjabat tangan dengannya dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi s.a.w.

Hadis palsu itu telah disangkal oleh para sarjana hadis sejak sekian lama. Kata sarjana besar hadis al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Lisan al-Mizan: “Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (Ibn Hajar al-`Asqalani, Lisan al-Mizan, 6/ 68, Beirut: Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at).

Begitupun, ada juga mereka yang terpelajar terpengaruh dengan dakwaan yang karut yang seperti itu.

Para sahabat Nabi s.a.w entah berapa kali berjabat tangan dengan Nabi s.a.w, namun tidak pernah mereka membuat majlis berjabat tangan dengan mereka untuk masuk syurga.

Sebenarnya, ia bukan berkaitan syurga atau Nabi s.a.w, tetapi kegilaan sesetengah manusia untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa.

Ekploitasi

Saya teringat cerita seorang kawan yang menyatakan apabila rombongan mereka ke Mekah untuk umrah dan pihak 'ustaz' yang menguruskannya tidak dapat menyediakan tempat dan makanan seperti yang dijanjikan, maka ustaz itu berkata: 'ini ujian Tuhan yang mungkin disebabkan dosa-dosa tuan-tuan sebelum tiba di tanah suci”.

Dengan itu semua ahli rombongan terima seadanya, walaupun tidak padan dengan kadar harga yang dibayar kepada ustaz berkenaan.


Saya tersenyum dengan cerita itu. Saya kata: “Ada golongan manusia yang suka eksploitasi orang lain dengan menggunakan agama. Mengapa saudara tidak bertanya apakah hukum wang orang yang diambil tetapi gagal menunaikan janji di tanah suci?!”.

Malangnya, ramai yang berpelajaran tinggi yang bukan bidang khusus agama, yang baik intelek mereka, tapi apabila tiba masalah agama mereka memandulkan akal.

Seakan, agama melarang mereka menggunakan akal walaupun ternyata mereka diperbodohkan oleh orang yang menyalahgunakan agama. Ya, bukan semua golongan agama begitu, tapi ada yang begitu!

Saya sedang menunggu apakah reaksi JAIS terhadap majlis menelan air ludah yang dibuat dalam masjid itu.

Saya juga sedih apabila tahu ada juga orang yang terpelajar sanggup menelan air liur ustaz berkenaan.

Apakah mereka pasti ustaz mereka itu telan mencampakkan berkat ke dalam mulut mereka?

Pastikah pula mereka air liur ustaz mereka itu memang berkat?

Sekali lagi, sebenarnya, mereka pun tidak pasti dan ustaz berkenaan pun tidak pasti.

Ini bukan berkaitan air liur atau berkat, ia berkaitan kuasa pengaruh atau doktrin yang ingin ditanamkan. Akhirnya, semua mereka akan ikut dan serah apa sahaja seperti yang berlaku pada al-Arqam dan Tal Tujuh di Kelantan.


Jangan salahkan JAIS isu 'telan ludah'


Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meminta Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan orang ramai tidak menyalahkan pihaknya berhubung 'upacara telan air ludah ustaz' yang didakwa oleh bekas mufti Perlis itu.

"Beritahu, kita siasat. Kita tidak dapat aduan. Jangan salahkan JAIS. Setakat ini memang tidak ada (laporan kepada JAIS)," katanya pengarahnya Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Beliau diminta mengulas dakwaan Dr Asri dalam kolumnya di Malaysiakini semalam yang mendakwa "upacara itu pula dibuat di masjid" oleh tokoh agama yang "bertauliah dan berjawatan" di negeri Selangor.

Dakwanya, dalam upacara tersebut, hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dan 'menikmati' seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat yang di masukkan ke dalam mulut mereka "untuk mendapatkan keberkatan".

Ditemui di perkarangan DUN Selangor hari ini, Mohammed Khusrin meminta Dr Asri memberikan butiran lanjut dakwaannya itu bagi membantu JAIS melengkapkan kertas siasatan yang baru dibuka semalam.

"Kalau dia segan hendak telefon JAIS untuk beritahu pun. Beliau boleh maklumkan kepada media, pada Malaysiakini. Kita pun tiap-tiap hari tengok Malaysiakini," kata Mohammed Khusrin.

Ditanya sama ada JAIS boleh memulakan siasatan tanpa mengharap 'bantuan' daripada Dr Asri, Mohammed Khusrin menjelaskan:

"Kita tidak jumpa. Kita tidak tahu di mana masjid itu. Macam mana hendak semak, kita ada lebih seratus masjid di Selangor.

"Kenyataan dia (Dr Asri) buat itu umum sangat," katanya.

Mohammed Khusrin juga enggan mengulas sama ada tindakan Dr Mohd Asri itu bagi 'membalas dendam' terhadap jabatan itu yang menangkapnya ketika mengajar tanpa tauliah sebelum ini.

"Itu saya tak pastilah. Saya tak tahulah. Sudah jadi kes mahkamah," katanya.


Apa lagi ditunggu Dr. Maza, sila buat laporan bertulis kepada JAIS. Gebang kosong di kedai kopi bukan untuk zaman sekarang lagi. Tunjukkan kredibiliti kita!!!

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP