Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Thursday, April 15, 2010

Lagi geng Anwar keluar PKR

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Tan Wei Shu mengumumkan keluar PKR hari ini.

Beliau sebelum ini merupakan exco kerajaan Kedah yang digugurkan dalam rombakan exco pada 10 Mac lalu.

Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.

Pada sidang medianya di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 3.00 petang ini, Wei Shu mendakwa tindakannya itu diambil kerana "dipermainkan oleh pemimpin parti demi kepentingan individu tertentu".

"Cakap besar saya tak pandai, cakap bohong saya tak pandai, cakap mengampu saya tak pandai, cakap manis janji saya tak pandai.

"Tetapi yang saya pandai, (sama ada) boleh buat atau tak boleh buat dan mahu buat atau tak mahu buat. Itu saja saya tahu.

"Saya cuma tahu bercakap benar, tak seperti orang lain (yang) bermuka dua dan lidah bercabang," katanya sambil membacakan kenyataan yang disediakan lebih awal.

'Monyet' dalam parti

Wei Shu juga memberi jaminan menjadi Adun bebas "yang menyokong mana yang betul" dan tidak condong kepada mana-mana parti, termasuk ketika membuat pengundian dalam sidang DUN.

"Dengan kedudukan saya (sebagai wakil bebas) ini, saya harap rakyat di kawasan saya tidak akan risau. Saya akan terus berkhidmat seperti biasa," katanya yang berdakwa telah bertungkus-lumus memenuhi kehendak rakyat di kawasannya selama ini.

Tindakan Wei Shu hari ini menjadikannya wakil rakyat PKR yang kelapan keluar parti. Sebelumnya, empat ahli parlimen dan tiga Adun parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah mengambil tindakan yang serupa.

Wei Shu juga menjadi Adun kedua - selepas Adun Lunas Mohammad Radzhi Salleh - daripada Kedah yang melompat parti sebelum ini.

Ekoran tindakan Wei Shu hari ini, BN kini lebih hampir untuk mengambil alih Kedah. Dalam kerajaan pimpinan PAS itu, Pakatan kini tinggal 20 kerusi DUN, BN 14 kerusi, manakala bebas dua.

Kerajaan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak itu boleh jatuh sekiranya terdapat tiga lagi Adun Pakatan yang mengikut jejak langkah Wei Shu.

Dalam sidang media hari ini, Wei Shu yang hadir bersendirian juga berkata, beliau tidak boleh menunggu lagi untuk keluar parti kerana "kedegilan pemimpin tertentu" yang disifatkannya sebagai "monyet".

'Saya sayang Anwar, Najib'

"Tak puas hati itu banyak. Kalau hendak cerita, tiga hari tiga malam pun tak habis," katanya dalam loghat Kedah.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan akan bertindak sebagai Adun bebas yang tidak condong kepada mana-mana parti sebaliknya akan "menyokong mana yang betul".

Wei Shu turut menafikan pengundurannya mempunyai kaitan dengan perlucutan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri Kedah.

Walaupun keluar parti, Adun tersebut bagaimanapun mengegaskan bahawa beliau masih "sayang" pada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya sayang pada Anwar. Tetapi tengok sekarang, Najib pun bekerja, (jadi) saya sayang pada Najib juga," katanya.

Dalam respons segera berhubung perkara itu, Anwar berkata beliau tidak terkejut dengan peletakan jawatan Wei Shu itu.

"Beliau tidak gembira kerana dilucutkan jawatan sebagai exco negeri. Menteri besar (Kedah) mencadangkan perubahan dalam barisan kepimpinan kerana prestasinya tidak memuaskan.

"Jadi beliau dilucutkan," kata ketua pembangkang.

Anwar juga mendakwa, peletakan jawatan itu telah dirancang lebih awal memandangkan ia dibuat menjelang pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April ini.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

About Me

My photo
Seorang Melayu Muslim yang dapat membezakan antara kehidupan seribu tahun lampau dengan kehidupan hari ini dan kini tinggal di daerah dan negeri di mana keturunan bukan Melayu menguasai politik, ekonomi, hartanah dan pendidikan.

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP